Monday, December 19, 2011

Puisi

19 Dis 2011

EKSTRA!

Apa yang dimaksud dengan puisi

Oleh
Mohamad Ashik
PEMBACA yang bistari lagi jauhari, satu lagi yang tidak difahami oleh sesetengah orang kita hari ini ialah mengenai perkataan puisi.

Apabila ditanya anda sedang menulis apa? Beliau menjawab, saya sedang mengarang puisi, tetapi apa yang dimaksudkan ialah 'sajak'.

Semasa saya di bangku sekolah dulu, saya difahamkan bahawa apa yang dikatakan puisi itu sebenarnya ialah puisi lama yang di dalamnya mengandungi pantun, syair, sajak, gurindam, mantera, bahasa berirama, yang pokoknya merupakan ragam sastera, yang bahasanya terikat oleh irama.

Sedang prosa pula ialah karangan bertulis dengan bahasa yang biasa, tidak berbentuk pantun, sajak, syair dan sebagainya, tegasnya ia merupakan karangan biasa.

Begitu juga halnya dengan pantun, masih ada lagi yang belum faham tentang syarat berpantun.

Baru-baru ini saya mendengar siaran radio dari daerah nusantara. Si pendengar radio berkenaan, berpantun seperti ini:

Naik rakit mudek ke hulu,
Sampai di kampung jumpa penghulu;
Kalau sudah tidak bermalu,
Buat sajalah dengan melulu.

Bunyi hujung pantun tadi, semuanya 'lu', 'lu', 'lu', 'lu'. Jika begitu keadaanya, bukan dikatakan pantun kerana tidak ubahnya seperti bahasa berirama, seperti syair dan rangkap tadi seakan pantun yang mempunyai pembayang dan maksud.

Cuma bunyi hujungnya semua sama. Kalau pantun dua kerat, boleh dikarang dengan sama bunyi hujungnya. Contohnya:

Pecah kaca pecah gelas,
Lepas baca harap dibalas.

Bunyi hujungnya 'gelas' dengan 'dibalas'.

Pantun empat kerat tadi boleh diperbetulkan seperti ini:

Naik rakit mudek ke hulu,
Jumpa penghulu di Kampung Ara;
Kalau sudah tidak bermalu,
Buatlah saja tanpa berkira.

Semoga apa yang telah saya katakan tadi memberikan semacam panduan kepada para peminat pantun menghasilkan pantun bermutu pada masa depan dan benar-benar faham apa yang dimaksudkan pantun.

Sehingga bertemu lagi di lain waktu, terimalah salam perpisahan berpantun daripada saya:

Duduk bersantun wajah berseri,
Pinang berbagi seorang satu;
Pantun warisan mengundur diri,
Sepekan lagi kita bertemu.

No comments:

Post a Comment