Monday, October 17, 2011

dadah

'...jumlah mereka yang diberkas sejak beberapa tahun lalu menunjukkan masalah penyalahgunaan dadah di sini telah bertambah buruk. Jumlah penyalahguna dadah yang diberkas dijangka meningkat bagi beberapa tahun mendatang,
-- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad


Mudah cetak
E-mel

17 Okt 2011

SINGAPURA

Masalah dadah kian buruk

Meningkatnya bekalan dadah di seluruh dunia dan ramai penagih dadah bentan burukkan keadaan

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini
JUMLAH pesalah dadah yang ditangkap di sini dikhuatiri akan terus meningkat dalam masa beberapa tahun akan datang.

Ia disebabkan oleh meningkatnya bekalan dadah di seluruh dunia dan ramainya penagih bentan, iaitu mereka yang mengulangi kesalahan mereka selepas dibebaskan.

Kprihatinan ini disuarakan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini.

Beliau mendedahkan, kira-kira 2,800 penyalahguna dadah dijangka dibebaskan antara 2012 dengan 2014.

'Sebahagian mereka bukan sahaja ada kemungkinan akan mengulangi kesalahan mereka, bahkan dijangka mempengaruhi orang lain mengambil dadah.

'Satu kajian CNB (Biro Narkotik Pusat) terhadap penyalahguna dadah yang baru pada 2010 mendedahkan bahawa 76 peratus daripada mereka menyatakan bahawa mereka dipengaruhi menyalahguna dadah oleh penyalahguna dadah yang lebih berpengalaman,' katanya.

Pada masa yang sama, bertambahnya bekalan dadah di seluruh dunia, termasuk di rantau Asia Tenggara, memberi tekanan kepada cabaran yang dihadapi.

Memberikan contoh, Encik Masagos Zulkifli berkata, jumlah heroin yang dirampas telah meningkat daripada 17.2 kilogram (kg) pada 2007 kepada 49kg tahun lalu, manakala jumlah dadah metafitamin atau 'Ice' yang dirampas pula, bertambah daripada 1.5kg kepada 5.6kg bagi jangka waktu yang sama.

Rabu lalu CNB telah berjaya merampas heroin seberat 8.5kg dalam satu operasi 12 jam di Jurong West - jumlah terbesar sejak 2008.

Dua lelaki Melayu berusia 28 tahun dan 34 tahun telah diseret ke mahkamah atas tuduhan mengedar dadah.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya, yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, akan menghadapi hukuman mati.

Awal bulan ini pula, CNB memberkas tiga suspek satu sindiket pengedaran dadah setempat dan merampas sekitar 1.4kg heroin, 176 gram 'Ice' dan 318 pil Ecstasy bernilai $270,000.

CNB sebelum ini mendedahkan bahawa penyalahgunaan dadah di negara ini telah meningkat dengan 2,537 orang diberkas pada 2008, 2,616 orang pada 2009 dan 2,887 tahun lalu.

Menurut Encik Masagos Zulkifli perangkaan itu jika diteliti, adalah agak rendah jika dibandingkan dengan jumlah penangkapan yang dibuat pada tahun-tahun 90-an.

Misalnya, sebanyak 6,165 penangkapan dibuat pada 1994 berbanding 2,887 pada tahun lalu.

Dari segi nisbah, jumlah penyalahguna dadah yang diberkas pada 2010 adalah sekitar 80 bagi setiap 100,000 penduduk, yakni kurang daripada separuh berbanding 200 yang diberkas bagi setiap 100,000 penduduk dalam 1994.

'Namun begitu, jumlah mereka yang diberkas sejak beberapa tahun lalu menunjukkan masalah penyalahgunaan dadah di sini telah bertambah buruk.

'Jumlah penyalahguna dadah yang diberkas dijangka meningkat bagi beberapa tahun mendatang,' jelasnya.

No comments:

Post a Comment