Friday, April 1, 2011

KUIZ CEPAT TEPAT

2 Apr 2011

KOMENTAR

CETUSAN MINDA
Langkah cepat dan tepat demi semai cinta bahasa

Oleh
Mohd Noor A. Rahman
SEKALI lagi, saya teruja menonton rancangan kuiz pelajar, Kuiz Cepat Tepat, yang peringkat akhirnya disiarkan di saluran Suria Isnin lalu.

Kali ini, pertandingan dimenangi Sekolah Rendah Temasek. Syabas juga kepada Sekolah Rendah MacPherson dan Sekolah Rendah Punggol yang berjaya ke peringkat akhir.

Dua tahun lalu, saya pernah menulis meluahkan rasa gembira tentang inisiatif menganjurkan pertandingan itu termasuk penyiarannya di televisyen.

Pertama, rancangan itu dapat menyumbang kepada usaha menggalak penggunaan bahasa Melayu selain memupuk rasa cinta terhadap budaya dan sastera di kalangan murid kita.

Rancangan itu juga dapat membantu pelajar Melayu kita dalam aspek perbendaharaan kata, peribahasa, budaya Melayu dan banyak lagi.

Kedua, penyiaran di televisyen merupakan satu wadah baik yang mampu menimbulkan rasa ghairah bukan sahaja di kalangan pelajar dan guru, malah di kalangan ibu bapa terhadap bahasa Melayu.

Pada pendapat saya, penggunaan media massa ini mampu mempengaruhi ramai anggota masyarakat kita tentang betapa penting dan perlunya masyarakat terus berusaha dalam melestarikan bahasa, sastera dan budaya Melayu kita.

Sama penting, penimbaan ilmu dan pengasahan minda itu dilakukan dalam suasana bukan peperiksaan, dan menggunakan cara yang menyeronokkan.

Bukan sahaja peserta meraih manfaat, bahkan para penonton.

Atas sebab itu juga, saya mengalu-alukan rancangan Kementerian Pendidikan (MOE) melancarkan satu portal interaktif dalam talian berdasarkan permainan kuiz bahasa Kuiz Cepat Tepat ini di sekolah-sekolah rendah tahun ini bagi meningkatkan penguasaan dan penghayatan bahasa Melayu di kalangan murid.

Mengumumkan rancangan itu, Menteri Negara (Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

'Kami berharap dengan wujudnya program tersebut, ini akan memperkayakan lagi bahan-bahan yang boleh digunakan guru-guru di sekolah untuk menarik minat para pelajar dalam mempelajari bahasa Melayu.'

Rancangan Kuiz Cepat Tepat kembali bagi musim kedua tahun ini.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan MediaCorp.

Seramai 440 murid dari 110 sekolah rendah telah menyertai peraduan itu yang bermula lewat tahun lalu.

Tahun ini, stesen radio Melayu, Ria 89.7 FM, menyiarkan pusingan suku akhir dan separuh akhir pada 15 dan 17 Mac lalu.

Hanya pusingan akhir disiarkan di televisyen, iaitu pada 28 Mac lalu.

Pada pendapat saya, adalah lebih baik bagi rancangan itu disiarkan di televisyen di peringkat lebih awal seperti yang dilakukan pada musim pertama dua tahun lalu.

Malah, dilaporkan di akhbar ini bahawa rancangan Kuiz Cepat Tepat itu mendapat sambutan hangat dan merupakan rancangan kanak-kanak yang paling ramai ditontoni dalam Tahun Belanjawan 2008/ 2009 (dua tahun lalu) dengan angka rating mencecah lebih 100,000 penonton Melayu.

Jadi, kenapakah format ini tidak diulangi? Apakah kerana masalah kos atau masalah berkaitan penganjuran pertandingan itu?

Saya pernah dimaklumkan bahawa kos penganjuran rancangan itu di televisyen agak tinggi.

Justeru, mungkin faktor ini menyebabkan rakaman pertandingan itu disiarkan melalui radio. Alasan ini boleh difahami.

Pada masa yang sama, dilaporkan juga bahawa pemerintah telah meningkatkan peruntukan bagi MLLPC kepada minimum $2.1 juta bagi tempoh lima tahun mendatang demi menyokong kegiatan bahasa dan kesusasteraan.

Ini berbanding $1.5 juta bagi tempoh yang sama sebelumnya.

Oleh itu, bagi tempoh mendatang, mungkin sebahagian tambahan dana ini dapat disalurkan bagi membiayai kos penganjuran pertandingan Kuiz Cepat Tepat di televisyen.

Malah, jika satu kajian kebolehlaksanaan mendapati pertandingan itu dapat dijadikan acara tahunan, maka ia harus dipertimbangkan.

Namun, jika kos masih menjadi hambatan, anjurkanlah kuiz ini secara dwitahunan, namun pada skala lebih berprestij yang memberi manfaat besar kepada pelajar kita khususnya dan anggota masyarakat umumnya.

Ini termasuk penyiaran pertandingan itu pada peringkat lebih awal, sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir.

Bagi saya, manfaat dan kesan membina Kuiz Cepat Tepat adalah jauh lebih besar berbanding sebilangan besar rancangan Melayu kanak-kanak yang disiarkan sekarang atau pernah disiarkan dalam tempoh satu dua tahun ini.

Malah, harapan menggunung agar lebih banyak pertandingan bahasa, sastera dan budaya dapat disiarkan di televisyen Melayu kita sebagai salah satu langkah bersepadu demi menggalak penggunaan bahasa Melayu di samping melestarikan ciri-ciri jati diri orang Melayu di sini.

Banyak pertandingan yang boleh dijadikan santapan penonton televisyen seperti pertandingan pantun/gurindam, bahas, kuiz (peringkat posrendah), sajak, pintar ejaan, dikir barat, boria, bercerita dan sketsa.

Banyak acara ini juga membabitkan golongan belia dan ini secara langsung menggalak dan melibatkan mereka sama-sama berusaha melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

Penyiaran di televisyen merupakan satu insentif baik kepada usaha golongan belia ini sebagai penganjur.

Kini, banyak acara peraduan di televisyen lebih memberatkan bidang nyanyian dan lakonan.

Dalam era bahasa Inggeris lebih sering digunakan, baik di sekolah, rumah mahupun tempat kerja, usaha menggalak penggunaan dan pelestarian bahasa Melayu harus dipertingkat dan dilakukan sekerap mungkin serta di semua peringkat.

Sebarang kesempatan yang ada harus diambil dan sumber yang ada dilaburkan dengan baik.

Harus juga dilakar pendekatan bijak demi memastikan pertandingan televisyen dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu dapat diolah agar menjadi menarik.

Dengan cara ini, akan lebih ramai orang Melayu bukan hanya menghargai bahasa dan budaya Melayu, malah lebih mencintainya.

Dalam perkara ini, MLLPC dan juga Majlis Bahasa Melayu Singapura perlu bertindak cepat dan tepat supaya orang Melayu mencintai bahasa dan budayanya.

No comments:

Post a Comment