Tuesday, February 9, 2010

Rangsang Semula Melayu Untuk Bangkit oleh M Maidin Packer Mohd

8 Feb 2010
KOMENTAR
PANDANGAN

Rangsang semula Melayu untuk bangkit

Oleh Mohd Maidin Packer Mohammad

SEBUAH sekitaran baru yang dinamis.
Itulah visi yang digambarkan Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC) yang baru saja membentangkan laporannya.
ESC telah menetapkan matlamat sekitaran baru di sini dengan landasan 'Rakyat berkemahiran Tinggi, Ekonomi Berdaya Cipta dan Bandar Jagat yang Unggul' menjelang 2020.
Ke arah itu, ESC mencadangkan ekonomi Singapura dirombak agar lebih berteras daya penghasilan dalam 10 tahun.
Ini membuka peluang dan cabaran baru kepada semua rakyat Singapura, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu/Islam.
Ada peluang kerana usaha ini boleh memperkukuh penakatan Singapura sebagai bandar ekonomi sejagat dan mengundang pelbagai perusahaan yang akan memerlukan tenaga kerja dengan taraf kemahiran tinggi dan ganjaran besar.
Ia juga cabaran kerana peluang ini amat bermakna kepada orang berpendidikan dan berkemahiran tetapi sebaliknya mereka yang tidak cukup terdidik atau terlatih mungkin tidak dapat merasakan kesan dan manfaat daripada usaha baru itu.
Rancangan masa depan ini perlu disambut awal-awal lagi oleh masyarakat Melayu/Islam dengan membuat persiapan segera di peringkat individu, keluarga dan kolektif.
Kita perlu menggandakan usaha dan kesungguhan:
mempersiap generasi muda dengan ilmu dan kemahiran baru dan,
membantu dan membangunkan golongan sudah berusia agar menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan sekitaran baru itu.
Ini bermakna, setiap keluarga Melayu/Islam harus mengikuti dengan teliti pelaksanaan pelbagai saranan ESC.
Badan-badan Melayu perlu segera mengaturkan program kaunseling dan jaya diri untuk membantu orang Melayu bersemangat menggarap peluang kursus dan latihan demi meraih peluang pekerjaan atau bidang baru kelak.
Kita tidak boleh tunggu sampai sudah terhantuk baru tengadah.
Cuba kita nilai kelakonan masyarakat kita sebelum ini:
Oleh kurang persiapan dari segi pendidikan dan latihan kemahiran, ramai muda mudi Melayu masuk ke aliran 'hanyut' dalam sektor pekerjaan dan perniagaan di sini.
Kekurangan ini selanjutnya mengakibatkan banyak anak muda kita tertinggal dari segi peluang baru dan yang membawa ganjaran lumayan.
Akibatnya ramai terpaksa menerima pekerjaan kurang mahir dan bergaji rendah.
Kesannya selanjut ialah taraf dan mutu keluarga Melayu/Islam di sini terjejas.
Masih ramai belum dapat keluar daripada lingkaran musibah dengan pelbagai gejala, seperti perceraian dan pengabaian jagaan anak, penagihan dadah dan gam, jenayah dan gangsterisme.
Sejarah membuktikan bukan kita tidak pernah mencuba mengatasi masalah kita secara kolektif.
Sejak 1920-an lagi masyarakat kita cuba bangkit daripada kelemahan dengan menubuhkan pelbagai badan bantu diri, seperti Kesatuan Melayu Singapura (1926) dan Majlis Pelajaran Melayu (1955) dan seumpamanya.
Namun dalam perlumbaan maraton kemajuan, orang kita masih tertinggal. Ini terpapar dalam Banci Penduduk 1980 yang mencetuskan rasa insaf sehingga menjulang kegigihan untuk membentuk Majlis Pendidikan Anak-Anak Islam atau Yayasan Mendaki.
Mendaki telah mencetuskan minat baru dalam masyarakat Melayu/Islam untuk bangkit dan maju selaras pembangunan ekonomi di sini.
Ia dilancarkan semula pada 1989 demi memperkukuh kewujudan dan peranannya.
Memandangkan masih ada kekurangan besar, maka dibentuk pula Angkatan Karyawan Islam (AMP) oleh kalangan bijak pandai kita yang tidak puas hati.
Mereka berkeyakinan dan berharapan tinggi bahawa mereka akan dapat mencapai cita-cita serupa dengan lebih berkesan lagi.
Pada 1999, kita mengadakan konvensyen Ekonomi Berteras Ilmu (KBE) guna merangsang masyarakat agar lebih siap dengan perubahan yang sedang dan akan berlaku.
Ini diikuti dengan Konvensyen AMP pada tahun berikutnya.
Kini sudah hampir tiga dekad Yayasan Mendaki menjadi tunggak untuk membela usaha menjadikan Melayu/Islam di sini lebih maju dan berjaya sebagai masyarakat berilmu dan berkemahiran.
Tidak syak lagi, memang ada data membuktikan masyarakat kita lebih maju. Namun dalam maraton negara, kita masih corot lagi, mentelah dengan kehadiran bakat asing (termasuk pekerja asing) sekitar 1.3 juta jiwa.
Jadi, kita sedar matlamat kita masih jauh dan tugas kita belum selesai. Masih banyak perlu dilakukan. Masih ada deretan masalah sosial, soal taraf pendidikan dan mutu kehidupan yang perlu ditangani.
Kebelakangan ini, sebahagian daripada masalah kepincangan masyarakat kita kian menampakkan kehodohannya sehingga sesetengah berasa malu.
Ia tidak terjadi dengan sendirinya. Malah, ada kaitannya dengan isu-isu lain yang disebut lebih awal.
Jika isu-isu asas seperti pendidikan, pekerjaan dan nilai-nilai hidup dapat ditangani, kita harap masalah berkaitan juga dapat dikurang dan kejayaan Melayu/Islam semakin menyerlah.
Mungkin sudah tiba masa untuk kita merangsang semula masyarakat Melayu/Islam agar kembali menyusun langkah.
Kita perlu palu gong lebih kuat, lebih ghairah dan kukuh menumpukan usaha ke bidang pendidikan dan kemahiran sebagai kunci penghurai masalah.
Barangkali sesudah 10 tahun berseminar dan konvensyen, perlu diberikan satu pelancaran baru semangat Melayu/Islam dalam bidang-bidang tersebut.
Sayang sekali kalau Muis, Mendaki, AMP, Jamiyah, Pertapis, LBKM dan badan-badan lain terus aktif tetapi anggota masyarakat umumnya masih berpeluk tubuh, tidak terangsang, apatah lagi kurang terbabit sama dalam arus usaha berkenaan.
Maka itu, pancarkanlah warisan gotong-royong kita agar mereka yang perlukan sokongan dan dorongan tidak terus tersadai di pinggiran.
Tonjolkan maruah atau harga diri tinggi kita.
Masyarakat kita perlu dibangkit semula, lebih tangkas dan lebih berkesan - agar berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ke lurah sama dituruni dan ke puncak sama di daki.

Nota: Penulis pemimpin masyarakat dan usahawan.

No comments:

Post a Comment