Wednesday, October 14, 2009

MENCARI HALA TUJU PENGAJIAN MELAYU

14 Okt 2009 Berita Harian

KOMENTAR

PANDANGAN
Mencari hala tuju Pengajian Melayu

Oleh
Muhammad Nadim Adam
SEDANG kian banyak anak Melayu/ Islam Singapura menempa nama dalam bidang keilmuan, kerjaya profesional, sains, kesenian sehingga sukan, terdapat keprihatinan yang perlu diberi tumpuan sewajarnya.

Pencapaian masyarakat Melayu Islam Singapura terkini akan dibentangkan pada Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) pada 31 Oktober depan. Namun, laporan CLF pada tahun 2008 menunjukkan suasana agak suram bagi masyarakat kita.

Secara ringkas, masalah keciciran dalam pendidikan formal, kelemahan dalam Matematik sejak di peringkat sekolah rendah sehingga menengah, isu kepincangan keluarga atau fenomena keluarga terpinggir kelas bawahan (the underclass) telah dilaporkan sebagai semakin membimbangkan.

Berdepan dengan realiti pedih masyarakat, kita pula disuakan dengan semacam polemik mengenai masa depan bidang Pengajian Melayu di varsiti setempat.

Ada perspektif yang mendakwa bahawa bidang Pengajian Melayu mutakhir ini menghadapi zaman gerhana berikutan dana kajian 'Dunia Melayu' yang semakin berkurangan dan penerbitan karyanya pula dikatakan 'lesu dan hambar'.

Pendekatan sains sosial di dalam pembelajaran Pengajian Melayu seakan-akan dipandang dengan nada sangsi dan sinis oleh golongan ini. Sebaliknya pendekatan hujah (contestations) tentang identiti Melayu di dalam konteks pascakolonial menjadi tunjang utama buat golongan berkenaan.

Sementara pada pihak yang lain, Pengajian Melayu bukanlah suatu bidang yang membincangkan tentang masalah bahasa dan sastera saja atau sekadar melihat Dunia Melayu melalui kaca mata pihak neoorientalis iaitu berpaksikan pada pendekatan jumud yang gemar melabelkan masyarakat Melayu dengan sifat atau ciri yang tertentu sahaja.

Dr Azhar Ibrahim Alwee berkata dalam tulisannya bertajuk Pengajian Melayu masih terus relevan (BH, 10 Oktober):

'Tradisi Pengajian Melayu memanfaatkan ilmu atau sains sosial demi membantu menjelaskan dinamika masyarakat yang dicorakkan oleh ideologi, sistem nilai, struktur ekonomi dan sebagainya seperti disiplin ilmu mapan yang lain.'

Pada hemat saya, golongan massa di luar menara gading tidaklah meraba-raba akan identiti mereka sebagai orang Melayu sehingga mencetuskan krisis yang melumpuhkan sebuah bangsa.

Hakikatnya, banyak orang Melayu tidak mendapat manfaat sepenuhnya melalui dialog kalangan ilmuwan tempatan dan luar negara yang secara berterus-terusan berpolemik mengenai takrif dan konsep 'identiti Melayu' atau geografi 'Dunia Melayu'.

Bidang Pengajian Melayu, melalui penghayatan falsafah daripada para saintis sosial klasik seperti Karl Mannheim, Emile Durkheim dan Erich Fromm, misalnya, seharusnya diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Perspektif para cendekiawan dari Timur pula, tidak kira daripada tradisi intelektual setempat mahupun para pemikir Islam daripada era moden ataupun silam umpamanya, malah buah fikiran daripada ahli pemikir Dunia Ketiga dan cendekiawan kulit hitam dari Amerika Syarikat dan Perancis contohnya (iaitu Black Pride Movement), adalah merupakan cabang-cabang ilmu yang dapat memberi pandangan dunia (weltanschuung) yang lebih menyeluruh dan menambah nilai (value added) kepada nilai falsafah dan sikap masyarakat Melayu.

Namun di dalam kerancakan kita membahaskan kaedah (metodologi) dalam pengajaran Pengajian Melayu hari ini, cabaran yang tidak kurang pentingnya ialah menimbangkan sama ada ilmu yang ditimba melalui bidang Pengajian Melayu dapat digunakan oleh masyarakat umum untuk menangani cabaran semasa dan perdana?

Pendekatan sains sosial sebenarnya mengingatkan betapa masyarakat memang tidak bersifat homogen (sama saja).

Kehidupan harian kita dipengaruhi oleh sistem sosial yang bertindak secara dualisme - iaitu keadaan kita yang terdedah untuk dipengaruhi oleh sistem sekitaran sekeliling (ecological environmental system) dan juga kemampuan kita untuk mempengaruhi ruang sekeliling kita (social empowerment).

Demi memperkukuh Pengajian Melayu, kita tidak mampu mengambil pendekatan sekadar merindui zaman keagungan kerajaan Melayu yang silam, hanyut dalam keindahan dan kehalusan seni halus warisan Melayu itu sendiri atau sewenang-wenangnya menuding jari kepada kezaliman sejarah (sense of historical victimization).

Para pendukung Pengajian Melayu harus bijak menggunakan ilmu yang diperolehi sebagai wadah memperkasakan bangsa Melayu (self-empowerment) dan memupuk jiwa merdeka - bebas daripada belenggu penindasan, ketidakadilan dan jiwa kehambaan di kalangan sesama manusia (self-emancipation).

Cabaran utama Pengajian Melayu di dalam konteks masyarakat Melayu Islam Singapura hari ini adalah untuk merealisasikan segala idealisme akademik yang telah dikaji dan diterbitkan dalam bentuk lisan, cetak dan digital agar sampai kepada rakyat.

Tiada ertinya ilmu tadi hanya di bibir dan pena cendekiawan menara gading atau jurnal akademik kerana sukar difahami rakyat.

Sebaliknya, para pendukung bidang Pengajian Melayu harus memastikan bahawa segala idea mereka dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Jika tidak, ditakuti polemik di menara gading hanya tinggal bahasan idea yang tidak berpijak di bumi nyata.

Nota: Penulis antara mahasiswa terbaik Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan kini pegawai penyelidik di sebuah badan Islam.

No comments:

Post a Comment