Saturday, September 19, 2009

BIAR SEDERHANA DAN BANTU YANG KURANG UPAYA

18 Sep 2009

KOMENTAR

SINAR AIDILFITRI
Biar sederhana dan bantu yang kurang upaya

Oleh
Sulaiman Jeem

ESOK berakhirlah ibadah puasa 1430 Hijrah disusuli dengan kemunculan Syawal menandakan Aidilfitri yang lazimnya disambut meriah oleh umat Islam di rantau ini, termasuk Singapura.

Apatah lagi Hari Raya tahun ini jatuh pada hari Ahad dan Isnin tentulah hari cuti juga - tempoh lama untuk beraya.

Islam menetapkan adab menyambut Aidilfitri sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa dan melaksanakan pelbagai ibadah termasuk zakat fitrah, solat tarawih, khatam Al-Quran dan banyak lagi.

Adab ziarah

Ziarah-menziarahi keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai memang digalakkan bagi memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Namun, jagalah pakaian dan bersopan, lebih-lebih lagi jika mengunjungi rumah ibu bapa atau sesepuh.

Lazimnya, kunjung-mengunjungi itu dilakukan mereka yang mampu dan tidak menghadapi masalah kewangan.

Namun ziarahilah juga keluarga yang terjejas akibat kegawatan ekonomi dan mungkin bersedih. Jadi, ziarahlah dengan menghulurkan wang raya dan hadiah kuih-muih.

Bersikap sederhana

Banyak orang Islam bersedih meninggalkan Ramadan yang membawa berbagai barakah dan 'bonus' pahala. Tidak dapat dipastikan apakah tahun depan mereka menyambut Ramadan lagi.

Dalam Islam, apa jua tindakan hendaklah sederhana. Maka begitulah sambutan Aidilfitri. Pastikan kita lakukan yang termampu dan usaha membazir atau boros.

Bantu yang kurang upaya

Islam ialah agama ihsan.

Daripada 1.5 bilion umat Islam, sepertiga dipercayai hidup di bawah paras kemiskinan atau miskin tegar. Oleh itu, wajar kita mengetepikan wang untuk sentiasa membantu saudara seagama yang susah.

Bahkan di negara kita juga terdapat keluarga susah kerana ditimpa bencana. Tetapi ada juga segelintir yang susah kerana sikap malas. Oleh itu, kita perlu pandai membuat pembezaan. Jika kurang pasti, hulurkan derma kepada badan Islam yang bertauliah untuk membantu golongan susah.

Lebaran bertujuan menambah ibadah dan takwa dengan membantu sesiapa yang kurang mampu, bukan untuk menunjuk-nunjukkan kelebihan dan kemewahan.

Kembali kepada sejarah

Untuk menyelami erti Aidilfitri, kita perlu kembali kepada sejarah.

Puasa diperintahkan Allah ke atas umat Islam dalam tahun hijrah kedua.

Selepas dua tahun bermastautin di Madinah, Rasulullah saw mendapati masyarakat Arab menyambut dua hari raya.

Menurut para sahabat asal Madinah, dua hari itu ialah perayaan yang diwarisi daripada datuk nenek mereka terdahulu.

Rasulullah saw kemudian menyatakan bahawa Islam menggantikan dua perayaan yang mereka sambut itu dengan dua perayaan yang lebih bermakna: Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep Hari Raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan, bukan budaya atau kelaziman.

Ia disambut sebagai satu kemenangan bagi mereka yang berjaya mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan.

Ia juga kerana puasa Ramadan melahirkan 'individu baru'. Perkataan 'fitri' bermaksud fitrah iaitu kejayaan kembali kepada fitrah yang asal - tiada dosa dan noda.

Fitrah bermakna suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambutnya itu sendiri perlu mengikut adab dan peraturannya.

Apabila diumumkan Hari Raya, maka dimulakan malamnya dengan ibadah memperbanyak solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Sebuah hadis riwayat Imam Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan: 'Bahawa sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati akan mati: hari kiamat.'

Pada zaman Rasulullah saw, seorang lelaki bertanya kepada baginda: 'Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut Aidilfitri.'

Baginda bertanya: 'Kenapa, wahai saudaraku?'

'Kerana saya tidak ada baju baru.'

Rasulullah saw bertanya kepada beberapa sahabat jika ada yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki itu.

Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja bergaya dengan memakai baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah bahawa dalam menyambutnya, tidak semua orang bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai.

No comments:

Post a Comment