Monday, March 11, 2013

Kesan raja purba pada zaman sekarang Oleh M. EFFENDY A. HAMID



TUNTUTAN BERDARAH: Sama ada tuntutan Encik Jamalul Kiram III, yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu - kesultanan yang pernah mengawal bahagian selatan Filipina dan Sabah di Borneo - adalah benar atau tidak, tiada erti sekarang apabila pertumpahan darah berlaku.
- Foto AP
ANAK TEMASEK

Kesan raja purba pada zaman sekarang

BEBERAPA hari lalu, saya ber peluang bertemu profesor saya di Vietnam.
Kami bertemu di rumahnya dan terus berbincang mengenai perkara yang sangat menarik tentang struktur kerajaan purba Panduranga, salah satu kawasan Champa terakhir yang masih kekal sehingga 1835 apabila ia telah dimusnahkan oleh kerajaan Vietnam.
Apa yang paling menarik ialah walaupun golongan elit politik Panduranga tiada lagi golongan elit agama kerajaan purba masih kekal sehingga kini.
Mereka bukan sahaja meneruskan tradisi purba mereka yang telah mengekalkan budaya dan identiti Cham malah lebih penting, mengekalkan ingatan rakyat mengenai kuasa raja Cham dalam berbagai ritual.
Akibatnya, Raja Cham, walaupun telah lama tiada, semangat beliau diingati dan sistem istana digubal semula bagi mengingatkan rakyat Cham bahawa Raja Cham dan kerajaannya wujud dalam sejarah. Roh Raja Cham disanjungi rakyatnya.
Tetapi bagaimana pula Sultan Sulu yang pewarisnya kini dikaitkan dengan keganasan di Sabah? Membaca kisah berdarah di Lahad Datu itu membuat saya terganggu.
Sama ada tuntutan Encik Jamalul Kiram III, 74 tahun, yang mendakwa sebagai pewaris kesultanan Sulu - kesultanan yang pernah mengawal bahagian selatan Filipina dan Sabah di Borneo - adalah benar atau tidak, tiada erti sekarang apabila pertumpahan darah berlaku.
Mengimbas kejadian itu, saya tahu bahawa terdapat ramai keturunan raja-raja di seluruh Asia Tenggara dan ada yang mempunyai sejarah sangat cemerlang yang boleh disokong melalui dokumentasi rasmi.
Saya juga sedar terdapat juga banyak 'raja' yang mempunyai tuntutan palsu bagi mendapatkan kelebihan dalam perniagaan atau semata-mata mendapat sanjungan pengikut yang mempercayai dakwaan tentang kemegahan mereka.
Adakah ini kesinambungan warisan masalah yang berpunca dalam zaman penjajahan?
Jika kita memahami bagaimana kuasa penjajah mengukir wilayah dan sempadan dalam tanah jajahan mereka, ia adalah sebuah proses yang agak bermasalah, terutama sekali apabila tuntutan prakolonial diabaikan dan pentadbir kolonial melibatkan raja dan sultan tempatan.
Pihak raja dan sultan diikat dengan perjanjian yang memberikan atau memajakkan wilayah dengan ganjaran wang pampasan seperti pembayaran tahunan atau bulanan daripada pihak kolonial.
Satu contoh baik adalah bagaimana Tengku Hussein dinaikkan sebagai Sultan oleh Syarikat Hindia Timur British pada 6 Februari 1819. British memberinya prestij dan kekayaan serta elaun bulanan sebanyak $416 selain dibina Istana untuknya.
Namun, perbelanjaan dalam mengekalkan gaya hidup beliau dan para pengikutnya meningkat dan permintaan berulang bagi elaun lebih besar dibuat. Akhirnya, Sultan Hussein diberi $32,000 sekali sahaja dan elaun bulanan $1,300 seumur hidup.
Bagaimana British menguruskan Sultan Sulu pula adalah lebih rumit.
Saya membaca sebuah artikel di The Straits Times, 14 Ogos 1977, bertajuk Man who created the Sabah claim menunjukkan Gustavus Baron von Overbeck adalah punca masalah tuntutan Filipina pada masa itu ke atas bahagian Sabah.
Ia melaporkan pada 1878, Overbeck meyakinkan Sultan Sulu, menggunakan ketakutan Sultan itu kepada kawalan Sepanyol, supaya memajak bahagian Sabah kepadanya untuk mencegah Sepanyol daripada memperolehi tanah sultan itu.
Tetapi dalam 1880-an, Syarikat Borneo Utara British telah diberikan piagam diraja (royal Charter) dan ini bermakna wilayah syarikat perdagangan diletakkan dalam naungan British.
Pada 1946, syarikat itu memberi Sabah kepada kerajaan British, mengesahkan status kolonial Sabah dan dalam 1963 pula, Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Namun keturunan Sultan Sulu tidak pernah berputus asa atas tuntutan ke atas Sabah dan daripada berita terkini, keturunan sultan itu masih diberikan pembayaran oleh kerajaan Malaysia.
Jadi di sini adalah dasarnya masalah. Apabila Overbeck membuat perjanjian dengan Sultan Sulu dalam abad ke-19, apakah erti 'pajak' yang digunakan pihak British? Apakah tafsiran perkataan 'pajak' kepada royalti Sulu dan Overbeck?
Juga, pembayaran berterusan yang dilakukan Malaysia (Kedutaan Malaysia di Manila menyampaikan bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada keturunan diraja Sulu) telah membuatkan lebih mudah menyatakan bahawa Sabah telah dipajakkan kepada Malaysia dan tidak diserahkan dan bermakna Sabah masih dimiliki kerabat diraja Sulu.
British mencipta 'Sultan Singapura' pada 1819 tetapi dalam berbuat demikian kesahihan pemerintahan Sultan jelas disekat kerana dia adalah ciptaan British.
Namun kes Sultan Sulu berlainan dan beliau tidak 'diciptakan' pihak British. British bagaimanapun mengikat beliau kepada perjanjian dan ini mempunyai kesan besar kepada hubungan Malaysia dan Filipina.
Persoalannya, bagaimana pemerintah masa kini menangani masalah tuntutan purba?, Sejauh mana memberi wang pampasan berkesan? Natijahnya, kes raja purba masih boleh membawa kesan besar kepada keadaan masa kini.

No comments:

Post a Comment