Thursday, March 29, 2012

Ajar Nilai dan Adab pekerti Melayu

28 Mac 2012

KOMENTAR

Sokong pelajar diajar nilai dan adab pekerti Melayu


SAYA setuju para pelajar diajar tentang pentingnya nilai dan budi dalam Perkhemahan Adab Dan Kesantunan Melayu pada 17-18 Mac lalu di Kelab Masyarakat Kampong Ubi anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Tahniah juga kepada Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat yang memimpin perkhemahan itu dan para pemudah cara yang terdiri daripada guru, pensyarah serta guru pelatih NIE.

Ia memang tepat kerana guru contoh penting bagi pelajar mendalami adab di sekolah, selain dipupuk dengan asas-asas budi pekerti oleh ibu bapa di rumah.

Adab mengandungi erti, kesopanan, kehalusan dan kebaikan budi pekerti. Nilai peribadi seseorang dalam masyarakat diukur dari segi adabnya. Beradab sopan kepada ibu bapa wajib pada hukum agama dan kebudayaan kita.

Betapa luas sekalipun pergaulan seseorang itu atau masyhur namanya dalam masyarakat atau kaya-raya, dia belum tentu dianggap beradab sopan jika belum menunjukkan rasa hormat, mengasihi, memulia serta berbakti kepada ibu bapanya.

Selain peribahasa Melayu kita yang indah, puisi, sajak dan pantun yang berbunga, kata-kata mutiara daripada hadis Nabi dan juga ahli falsafah (baik yang ada dahulu mahupun sekarang) boleh dijadikan inti pati pengajaran kepada pelajar di sekolah.

Ini memerlukan sedikit kajian atau semakan oleh tenaga pengajar.

Kesantunan Melayu memang amat menyerlah kerana kelembutan jiwa orang Melayu. Nenek moyang kita terkenal dengan adab 'beralas' apabila bercakap, dan bersuara lembut apabila bertutur tanda hormat dan mendengar dengan tertib.

Hamka ada berkata pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa, hendaklah bergaul dengan orang beradab dan berbudi mulia agar kita dapat mengutip manfaatnya.

Semua pembentukan boleh gagal kecuali yang mengikut aliran budi dan akhlak mulia.

Atas usaha bersama sekolah, pertubuhan bahasa dan budaya seperti Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), dapatlah MBMS menganjurkan lebih banyak program yang dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu serta interaksi antara pelajar dan antara pelajar dengan masyarakat Melayu amnya.

Dengan Bulan Bahasa bakal diadakan dari 30 Jun hingga 14 Julai, dapatlah kita semua menikmati dan sama-sama menyemarakkan kegiatan yang akan dianjurkan.

Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Sharifah Mohamed

No comments:

Post a Comment