Saturday, March 27, 2010

Orang Melayu Bukan Melayu oleh Ismail Pantek

28 Mac 2010
KOMENTAR
ORANG MELAYU BUKAN MELAYU

Isu: Apakah akibatnya bila kita semakin jauh meninggalkan adab, budi bicara dan nilai-nilai murni budaya warisan bangsa?
MUNGKIN anda terkejut atau tersinggung membaca tajuk rencana ini... seolah- olah kita ni bukan orang Melayu lagi, atau dah jadi 'Melayu Murtad'.
Bukan. Bukan itu maksud saya. Memang kita ni masih orang Melayu dan Islam agama kita.
Nama kita masih nama Melayu (walaupun ada yang dah bertukar nama jadi Joe, Sally, Bob dan sebagainya).
Pakaian kita (sekurang-kurangnya semasa Hari Raya) masih pakaian Melayu.
Lidah kita masih 'lidah belacan'. Kita masih makan lontong, nasi lemak, nasi sambal goreng dan sebagainya.
Tetapi itu semua dari segi luaran atau superficial saja.
Nilai kita, tingkah laku kita, adab dan tata tertib kita serta budi bicara sesetengah kita tidak lagi mencerminkan kita sebagai Melayu sejati.
Jika kita tidak hati-hati, suatu hari nanti kita atau anak-anak kita, terutama cucu cicit kita, akan hanya tinggal Melayu dari segi nama saja.
Silap hari bulan, jadilah kita Orang Melayu Bukan Melayu. Biar saya jelaskan.
Jika difikir dan dikaji dengan teliti, sebenarnya masyarakat Melayu kita adalah masyarakat yang beruntung.
Kita beruntung kerana mewarisi nilai- nilai murni yang terpahat dalam budaya Melayu zaman berzaman dan diperkukuh dengan nilai-nilai agama Islam yang kita anuti.
Cuma, timbul masalah seperti yang kita hadapi sekarang apabila kita semakin jauh melupakan nilai-nilai tersebut, yang sebahagian kita anggap sudah lapuk.
Biar saya beri contoh. Sopan santun dan budi bahasa pernah menjadi teras kehidupan bermasyarakat orang Melayu sejak zaman datuk nenek kita.
Orang Melayu terkenal dengan sifat sopan apabila berbicara, sopan berpakaian dan tingkah laku.
Bahkan, jika anda masih ingat, datuk nenek dan ibu bapa kita dahulu sering mengajar kita jalan menundukkan badan dan tangan sedikit ketika melintas depan orang, terutama orang tua - baik di rumah mahupun di masjid atau di mana-mana.
Tujuannya ialah untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang lain.
Tetapi sekarang, usah kata di rumah, jika anda duduk berjemaah di masjid pun, anda lihat orang kita jalan menegak dan laju sahaja, sampai ada yang hampir-hampir melanggar batang hidung kita.
Mereka melangkah tanpa menghirau jemaah lain yang sedang duduk, bagaikan membujur lalu melintang patah.
Ini contoh kecil saja. Ada banyak contoh lain. Misalnya, cuba anda perhatikan anak- anak muda kita berbicara sesama mereka, baik di pusat membeli-belah, di MRT mahupun dalam bas.
Cara pertuturan mereka tidak mencerminkan mereka sebagai orang Melayu.
Mereka cakap pekik-pekik, penuh 'dihiasi' perkataan 'siol' dan perkataan-perkataan lain yang tidak elok didengari.
Orang Melayu kita pun makin kasar, cepat marah, kaki gaduh dan perangai macam gangster. Tidak kurang yang betul-betul gangster. Bahkan ada seorang teman yang berkata, beliau kadangkala berasa takut apabila berjalan dekat dengan sekumpulan pemuda Melayu.
Bukan apa, beliau takut kena pukul pula oleh mereka.
Begitu juga dengan banyak perangai lain, seperti sifat kurang ajar kepada ibu bapa atau mengabaikan ibu bapa.
Jika anda kaji, sebenarnya, sebahagian masalah yang dihadapi masyarakat kita sekarang berlaku bukan kerana kita orang Melayu. Sebaliknya, ia berlaku kerana kita sudah tidak macam orang Melayu lagi.
Kita tinggalkan ajaran orang tua dan nilai murni yang datang bersamanya kerana kita anggap yang lama itu semua sudah lapuk, sudah tidak 'cool' lagi.
Kita tidak boleh salahkan modernisasi (proses jadi orang modenlah kononnya) atau urbanisasi (maknanya jadi orang bandarlah) atau westernisasi (maknanya pengaruh Barat) atas apa yang berlaku dengan kita sekarang ini.
Poknya orang Jepun dan orang Korea juga hadapi proses yang sama, bahkan sudah lebih maju dari kita, tetapi mereka tetap dengan nilai-nilai hidup mereka turun-temurun.
Bukan maksud saya agar kita melangkah ke belakang dan mengamalkan keseluruhan gaya hidup nenek moyang kita dahulu. Untuk kembali jadi Melayu sejati, kita tidak perlu buang pelajaran dan buku-buku kita dan kembali pegang cangkul menjalani hidup sebagai petani atau nelayan.
Untuk menjadi Melayu sejati, bukan bererti kita berhent bersaing untuk maju, tinggalkan flat atau rumah batu yang serba lengkap dan moden sekarang untuk kembali ke rumah kampung yang jambannya lebih 100 meter nun jauh di luar rumah.
Cukup jika kita mendalami dan menghayati nilai-nilai murni warisan budaya kita yang sebahagian besarnya tetap relevan dalam kehidupan hari ini.
Misalnya, ramai daripada kita yang tidak tahu langsung tentang ungkapan tradisional Melayu kita.
Mungkin ia sudah tidak diajar lagi di sekolah-sekolah. Bahkan di universiti juga, kursus Pengajian Melayu yang ditawarkan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) misalnya, lebih menitik beratkan aspek sosiologi masyarakat Melayu berbanding dengan adat dan budaya warisan kita.
Wal hal, ungkapan yang kian terkubur dalam masyarakat kita sekarang mempunyai nilai yang amat tinggi.
Seperti yang ditulis oleh budayawan Riau, Tenas Effendy, dalam bukunya Ungkapan Tradisional Melayu Riau (yang serumpun dengan budaya warisan kita), di dalam ungkapan terpantul dan tercermin nilai-nilai luhur masyarakat Melayu.
Lambang-lambang dalam seni bangunan tradisional, tata berpakaian, peralatan muzik, bahan perubatan dan sebagainya hampir kesemuanya dijalin dalam ungkapan atau pepatah dan petitith. Masalahnya, berapa ramai di antara kita yang tahu tentangnya, selain segelintir budayawan seperti Dr Haji Muhammad Arif Ahmad?
Di pandang dari sudut ini, terdapat kepentingan untuk kembali mendalami warisan budaya Melayu-Islam silam seperti syair, pantun, gurindam, pepatah dan sebagainya sebagai sebahagian daripada pengajian moral.
Sebabnya, hasil seni masyarakat Melayu ini penuh dengan unsur-unsur kesenian, nasihat dan sistem nilai yang baik untuk menjadi bekalan hidup di zaman moden sekarang.
Mudah-mudahan, pihak-pihak yang bertanggungjawab melakarkan kurikulum bahasa Melayu di sekolah-sekolah dapat memberi perhatian kepada perkara ini.
Mudah-mudahan, kita sebagai ibu bapa di rumah turut memikul tanggungjawab menyemai nilai-nilai tersebut dalam diri anak-anak kita. Tetapi, kalau kita sendiri sebagai ibu bapa dah jadi macam 'Melayu celup', yang dah tak kuasa nak jadi Melayu, maka jangan salahkan orang lain kalau anak kita jadi Orang Melayu Bukan Melayu.

No comments:

Post a Comment