Sunday, July 22, 2012

ke arah bahasa saintifik dan artistik


Pandangan

Ke arah bahasa saintifik dan artistik


Bahasa baku boleh jadi alat hubungan yang padu dan berkesan, saluran lahir emosi serta miliki nilai keindahan amat menyerlah


PENGAJARAN sebutan Baku bermula di sekolah Singapura pada tahun 1993 dan penggunaan di media radio dan televisyen mulai 1995.
Institut Pendidikan Nasional (NIE) sebagai satu-satunya institusi nasional yang melatih guru-guru bahasa Melayu di Singapura diperlukan untuk mendukung polisi-polisi pemerintah, termasuk juga dasar sebutan baku.
Sejak sebutan baku diterapkan dalam kurikulum Bahasa Melayu di sekolah lebih kurang 20 tahun lalu, kita sudah pun melihat hasil pendidikan ini di kalangan generasi muda yang positif dan menggalakkan.
Misalnya, kajian tesis sarjana oleh Pairah Satariman pada tahun 2007, ke atas sejumlah 300 pelajar menengah tiga dan 76 guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah menengah, menunjukkan bahawa 88.3 peratus pelajar mendapati bahawa sebutan baku membantu mereka dalam bacaan dan ejaan dan sekali gus membantu mereka mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah.
MUDAH BELAJAR
Peratus pelajar bukan Melayu yang mendapati bahawa sebutan baku membantu mereka dalam pembelajaran adalah lebih tinggi daripada pelajar Melayu.
Sebanyak 82.7 peratus berpendapat bahawa sebutan baku membantu mereka dalam bacaan dan ejaan dan 74.5 peratus bersetuju bahawa sebutan baku membantu mereka mempelajari bahasa dengan lebih mudah, berbanding dengan pelajar Melayu sebanyak 61.3 peratus dan 50.3 peratus bagi perkara yang sama.
Dapatan juga menunjukkan bahawa sebanyak 77.6 peratus guru berpendapat bahawa secara keseluruhan, pelaksanaan dan pendekatan sebutan baku di sekolah-sekolah menepati objektif pelaksanaannya.
Sebanyak 92.1 peratus pula bersetuju bahawa sebutan baku membantu pelajar dalam bacaan dan ejaan.
Kajian itu jelas menunjukkan bahawa sebutan baku ini telah membantu pelajar Melayu dan bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu, khususnya kemahiran mengeja dan membaca.
Pada masa yang sama, para pendengar radio di Singapura dan di luar Singapura yang mengikuti siaran stesen radio Warna dan Ria sudah pun menyaksikan penggunaan bahasa juruhebahnya agak lancar dan mesra di udara.
Kejayaan dua stesen radio ini telah mendorong seorang wartawan Berita Harian Malaysia, Zainuri Misfar, menulis pada Mei 2011, antara lain:
"Memang kali pertama mendengar bahasa Melayu dalam sebutan baku terasa agak lucu, tetapi lama-kelamaan ia menjadi sedap pula untuk didengar.
"Kita juga mendapati juruhebah yang ke udara tidak berasa kekok atau janggal apabila bertutur bahasa Melayu dalam sebutan baku ini.
"Walaupun menerima dan melayan panggilan daripada pendengar yang menggunakan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, tetapi penyampai atau juruhebah tetap dengan sebutan bahasa Melayu yang betul. Mereka tidak terikut-ikut atau mempersendakan pendengar."
Jelaslah daripada contoh-contoh daripada bidang pendidikan dan penyiaran telah banyak kemajuan yang diraih dan dapat dibanggakan melalui pelaksanaan sebutan baku di Singapura.
KECOH SEBUTAN
Tahun lalu, semasa timbul kekecohan tentang sebutan baku, saya telah mendapatkan pandangan kakitangan NIE mengenainya dan berikut adalah beberapa keprihatinan yang dikenal pasti:
  • Sebutan Johor-Riau sudah baku. Tidak perlu ditukar dengan sebutan baku yang lain.
  • Model atau pedoman sebutan baku yang diketengahkan tidak berdasarkan 'penutur jati' (native speakers) Melayu.
  • Buku panduan yang disiapkan oleh Malaysia terdapat beberapa kekurangan. Jika dituruti agak 'kaku' dan akan menimbulkan cara pertuturan yang tidak 'alamiah'
  • Pola pertuturan kita akan 'menyimpang' dan berbeza daripada Malaysia yang tidak meneruskan dasar sebutan ini.
  • Dari segi pengujian/testing dalam pengajaran bahasa, timbul masalah bahan yang tidak otentik.
  • Sebutan bahasa Inggeris tidak seragam, tetapi penuturnya di serata dunia masih boleh memahami antara sama lain walaupun dari latar etnik dan negara yang berbeza.
Senarai keprihatinan tersebut wajar ditangani dan dihormati, seperti kita menghormati pandangan ramai lagi para sarjana bahasa dan pendidik bahasa.
Mungkin setelah 20 tahun, kita perlu menilai semula pemahaman, keyakinan dan iltizam kita terhadap bahasa dan bentuk pengucapannya.
Dalam kalangan para sarjana bahasa Melayu di Malaysia, kita tahu ada dua golongan yang berbeza:
  • Golongan yang mengemukakan sebutan baku berdasarkan pedoman DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), seperti Profesor Nik Safiah dan Profesor Awang Sariyan; dan
  • Golongan yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan golongan pengemuka seperti Profesor Asmah Haji Umar yang mahu mengekalkan sebutan yang sedia ada.
Perbezaan pandangan akademik para sarjana di Malaysia dirumitkan lagi dengan konflik politik dalam negara tersebut.
Saya percaya pihak Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah pun membuat penelitian, perbandingan dan menimbangkan hal ini dengan teliti sebelum membuat keputusan.
Ternyata, mereka menerima pandangan golongan sarjana pertama yang mengutarakan, malah telah mengambil para pengemuka seperti Profesor Nik Safiah dan Profesor Awang Sariyan sebagai pembimbing dalam kursus-kursus sebutan baku yang dijalankan.
Seperti ramai penutur, saya juga lebih selesa dengan sebutan Johor-Riau.
Tetapi saya juga sedar yang kita tidak harus dimanjakan oleh keselesaan, dan dibataskan oleh kebiasaan.
Kita perlulah keluar daripada ruang keselesaan ini untuk meraih potensi dan kelebihan sebutan baku yang berikut:
  • Kita ingin melihat ciri yang lebih saintifik dalam bahasa Melayu - keselarasan antara sistem ejaan dengan sebutan yang menjadikan ia lebih alat komunikasi yang padu dan berkesan.
Keselarasan ini akan memudahkan pengajaran dan pembelajaran bukan saja di kalangan orang kita, malah pelajar bukan Melayu di serata dunia. Ini penting untuk memudahkan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa dunia.
  • Kita mahu bahasa Melayu menjadi saluran pengucapan emosi, jiwa dan pemikiran yang lepas, ekspresif dan lengkap.
Saya rasakan satu ekspresionisme/penglahiran 'a' lebih dinamik/penuh/lepas/tidak terkongkong berbanding 'e'.
Misalnya kata 'Merdeka!'. Ada kesan psikologi yang lebih bebas, positif, dinamik dan humanis.
Ia boleh menukar jiwa Melayu yang masih malu-malu dan kurang yakin diri dan suka cara 'santai' (sikap 'tak apa') yang boleh dikikis melalui ketegasan penglahiran sebutan 'a'.
  • Kita mahu bahasa Melayu menjadi bahasa yang indah. Nilai estetika/keindahan amat menyerlah melalui sebutan baku.
Ini menyebabkan dendangan lagu dan persembahan puisi telah lebih dulu memilih sebutan baku ini, bukan dalam loghat Johor-Riau.
Bahasa yang saintifik, bahasa pengucapan yang lengkap; dan bahasa yang estetik, penuh keindahan makna, bentuk dan cara pengucapannya.
Itulah ciri dan citra unggul bahasa yang diinginkan. Saya yakin tiga ciri unggul bahasa tersebut juga diidamkan oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu, yang kini sudah lebih 200 juta orang.
TUNTUTAN GLOBAL
Sebutan Johor-Riau telah mengisi keperluan zaman kesultanan Johor-Riau, abad ke-16 hingga 18 Masihi lalu, zaman sebelum empayar Inggeris dan Belanda menguasai Alam Melayu. Zaman kegemilangan yang telah melahirkan teks klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Perkembangan bahasa Melayu kini dalam konteks global, membuka bahasa Melayu kepada system bunyi yang lebih rencam, yang mungkin menelan unsur bunyi dan identiti asalnya.
Ini sekali gus menuntut kita menilai semula keampuhan dasar dan pedoman sebutan baku kita, sama ada yang berpaksikan model eka pusat (sebutan loghat Johor-Riau) sahaja dan juga yang dwipusat (sebutan loghat Johor-Riau dan sebutan loghat Utara Semenanjung).
Sebenarnya, kita harus berani memandang lebih jauh ke hadapan, mencuba, meneroka dan membina sebuah pusat bahasa dan budaya yang baru, memanfaatkan pelbagai sumber tradisi dan baru di luar wilayah tradisional dunia Melayu.
Bukan pusat secara fizikal, tetapi pusat nadi yang meneraju gerakan bahasa dan budaya Melayu yang hidup subur.
Kita berada dalam abad ke-21 dan keperluan serta cabaran abad ini amat besar, termasuk menukar paradigma pemikiran dan cara hidup.
Pusat-pusat bahasa, budaya dan tamadun dunia sering berubah, digantikan oleh pusat tamadun baru yang lebih gagah ilmu, teknologi dan budaya masyarakatnya.
Untuk mengisi impian abad ke-21, kita memerlukan perancangan semula bahasa dan budaya yang lebih radikal, proses rekayasa (engineering) bahasa dan kebudayaan Melayu, yang sistematik lagi mencabar untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Ini juga bermakna kita juga harus lebih berani dan bersedia untuk membina dan mencipta semula (reinvent) minda, identiti bahasa dan kebudayaan kita.
Gagasan awal ini telah saya kemukakan tujuh tahun lalu dalam seminar Kementerian Pendidikan Singapura pada tahun 2005 dalam kertas kerja bertajuk Membina Semula Rumah Budaya Melayu di Perkampungan Sejagat - Visi Pendidikan Bahasa Melayu Selanjutnya, dan kertas seminar Dunia Melayu Dunia Islam berjudul Membina Minda dan Budaya Melayu Melalui Perekayasaan Pendidikan Bangsa anjuran Jamiyah dan Majlis Pusat, pada 25 Ogos 2007.
Sebagai institusi akademik, NIE berpendapat cara terbaik untuk mengatasi permasalahan ini ialah melalui wacana akademik yang bersifat objektif, terbuka demi kepentingan bersama.
Ia perlu berasaskan ilmu yang kukuh dan sikap yang progresif.
Penilaian yang menyeluruh atau holistik lebih utama berbanding pandangan peribadi yang subjektif dan mungkin berbeza kerana latar, cita rasa dan keperluan masing-masing yang berbeza.
Kita juga perlu sedar bahawa banyak perubahan telah berlaku dalam bidang ilmu dan juga kehidupan masyarakat sejak 20 tahun lalu.
Semua ini perlu diambil kira dalam membuat penilaian dan penghalusan polisi dan proses pelaksanaannya.
BUKU PANDUAN BARU
Dengan harapan dan rasa tanggungjawab inilah maka sebuah kumpulan kajian mengenai sebutan baku telah dibentuk pada tahun 2007 untuk meneliti perkara ini.
Jawatankuasa ini terdiri daripada tiga pakar bahasa yang bertugas di Jabatan - Profesor Madya Paitoon M. Chaiyanara, Profesor Madya Dr Roksana Abdullah dan Dr Sanat Md. Nasir.
Mereka telah memulakan kajian sejak lima tahun lalu.
Kajian ini adalah selaras dan mengisi saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan, yang saya pengerusikan, pada tahun 2005.
Perjuangan mengangkat bahasa perlu kebijaksanaan, keyakinan, ketabahan dan pengorbanan.
Kita perlu bergerak terus kerana banyak cabaran bahasa, seperti cabaran bahasa Inggeris, soal krisis nilai dan adab yang perlu ditangani.
Jangan jadikan isu sebutan sebagai penghalang dan menyempitkan tumpuan kita.
Jika cepat kita sepakat mencari jalan penyelesaiannya, maka akan lebih baiklah imej bahasa dan masyarakat Melayu.
Akan lebih mudah dan pantas kita bergerak ke hadapan untuk menyahut cabaran baru pula.
Nota: Rencana ini adalah sedutan daripada ucapan panjang penulis, timbalan ketua Kumpulan Bahasa dan Kebudayaan NIE.

No comments:

Post a Comment