Showing posts with label bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label bahasa Melayu. Show all posts

Thursday, August 21, 2014

Memartabat Melayu Jadi Bahasa Dunia

Bahasa

Memartabat Melayu jadi bahasa dunia

  
BILANGAN MENINGKAT: Jumlah penutur bahasa Melayu terus meningkat – sekitar 300 hingga 350 juta kini – dengan kian ramai juga meraih pencapaian cemerlang dalam bidang Pengajian Melayu seperti warga Singapura, Cik Noraini Mohamed Yusope (kanan), yang mendapat kepujian kelas pertama dari Universiti Malaya.
Mohd Raman Daud
DAPATKAH bahasa Melayu menjadi bahasa dunia? Persoalan ini bukanlah baru.
Dalam wawancara akhbar ini baru-baru ini dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Dr Haji Awang Sariyan, beliau mengutarakan erti penting usaha gigih untuk ‘mengantarabangsakan’ bahasa Melayu.
Umumnya, beliau mengungkapkan usaha di pihak rumpun Melayu yang sekitar 350 juta jiwa dan lobi di peringkat antarabangsa.
Bagi rumpun Melayu, hujahnya, perlu ada visi dan tekad politik terutama di pihak tiga negara – Indonesia, Malaysia dan Brunei – agar bahasa Melayu dapat digunakan di forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia tentulah menuntut usaha menghasilkan sebanyak mungkin bahan berilmu dalam bahasa Melayu dan dasar pemerintah yang sentiasa mengutamakannya sebagai pengantar dalam perhubungan awam dan swasta, di samping terus merakyat dengan rapi.
Apakah bahasa dunia?
Bahasa dunia ialah bahasa yang dituturkan di peringkat antarabangsa dan dipelajari ramai orang sebagai bahasa kedua. Bahasa dunia tidak dicirikan dengan jumlah penuturnya (penutur asli atau penutur bahasa kedua) sahaja, bahkan juga tebaran menurut kawasan (geografi) dan hubungan diplomatik.
Dalam banyak hal, kebanyakan bahasa dunia menonjolkan bahasa asal Eropah, iaitu Inggeris, Perancis dan Sepanyol.
Sebabnya dari segi sejarah, sudah berlaku pengembangan kuasa Eropah menerusi penaklukan dan penjajahan di banyak bahagian dunia.
BAHASA DUNIA
Bahasa yang terluas digunakan di dunia ialah Inggeris, yang dipercayai digunakan lebih 1.8 bilion orang, terutama sejak kehadiran Internet dan media antarabangsa.
Bahasa Arab juga ketara sebagai bahasa dunia kerana sebab sejarah – peluasan Islam yang membawa bersamanya bahasa Arab di seluruh Timur Tengah, utara Afrika dan negara yang mempunyai penduduk Muslim di luar Dunia Arab.
Bahasa Arab memang mempunyai pelbagai dialek, seperti Mesir, namun yang digunakan sebagai standard atau berpiawai ialah fusaha.
Bahasa Cina standard dipanggil Mandarin atau Putonghua (bahasa awam) yang mengganti bahasa Cina Klasik yang sebelum ini digunakan di Timur Jauh sehingga awal abad ke-20 Masihi.
Bahasa Mandarin digunakan di kalangan majoriti China keturunan Han dan bukan Han, juga di diaspora kaum Cina seberang laut, seperti di Malaysia dan Singapura.
Memandangkan penduduk China terbesar di dunia, 1.32 bilion jiwa, maka sekali gus ia mencerminkan kekuatan bahasa Mandarin.
Bahasa Russia digunakan secara meluas dalam empayar Russia dan kemudian di Soviet Union (dikuasai Russia, 1917-1991) dan juga di Eropah Timur.
Walaupun sesudah kejatuhan Soviet, bahasa Russia masih terus digunakan terutama di Russia iaitu negara terbesar dari segi saiznya di dunia (17 juta km persegi).
Bahasa Jerman pula pernah menjadi bahasa pengantar atau ‘lingua franca’ di sebahagian besar benua Eropah, terutama Empayar Rom Kudus dan kemudian Empayar Austro-Hungary. Ia merupakan bahasa kedua terpenting di bahagian Tengah dan Timur Eropah dan di kalangan masyarakat saintifik antarabangsa.
Terdapat bahasa utama yang tidak luas digunakan antara benua tetapi penting daripada bahasa pengantar kerana kaitan sejarah. Ini termasuk bahasa Greek ketika zaman kekuasaan Hellenistik, seperti penaklukan Alexander Yang Agung dan di wilayah Empayar Byzantin.
Bahasa Latin kini dianggap ‘mati’ tetapi pernah menjadi bahasa utama Empayar Rom, bahasa keagamaan bagi mazhab Katolik.
Bahasa Parsi meluas ketika Empayar Parsi berkembang dalam zaman silam dari Mediterranean sehingga utara benua India. Bahkan Parsi pernah digunakan sebagai bahasa pengantar kedua selepas bahasa Arab di banyak negeri majoriti Muslim.
Sanskrit, atau Sanskerta, luas digunakan dalam zaman silam di Asia Selatan (Pakistan, India, Sri Lanka), Asia Tenggara, Asia Tengah. Ia merupakan pengantar bagi agama Hindu dan Buddha. Namun seperti Latin, Sanskerta dianggap bahasa mati kerana jarang dituturkan.
Banyak bahasa utama di benua kecil India boleh dianggap bahasa penting kerana dituturkan ratusan juta orang.
Namun bahasa Hindustan dan Tamil lebih menonjol di benua ini, selain Urdu, yang merupakan bahasa rasmi di Pakistan, yang mempunyai 180 juta penduduk.
Bahasa Bengali (bahasa ibunda Rabrindranath Tagore, orang Asia pertama menerima Hadiah Nobel bagi Sastera) lebih besar bilangan penutur berbanding bahasa Perancis. Terdapat 230 juta penutur bahasa Bengali, iaitu keenam di dunia.
Namun bahasa Perancis sudah lama dianggap bahasa diplomatik sehingga ditancapkan sebagai bahasa dunia.
Bahasa Sepanyol tersebar luas hasil penjajahan Sepanyol di Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan sedikit sebanyak di Filipina.
Terdapat usaha sedar di peringkat antarabangsa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia kerana busana, makanan dan pelbagai aspek budaya Melayu kian diterima di peringkat sejagat.
Memang banyak manfaat apabila bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa dunia. Antara lain, kian banyak orang bukan Melayu atau bukan penutur asli yang menggunakannya sebagai bahasa kedua.
Selanjutnya, karya asal Melayu daripada muzik sehingga buku berisi bahan ilmu dan teknologi akan diterjemah sehingga istilah Melayu turut digunakan dalam bahasa-bahasa dunia lain.
Sekali gus ini bermakna sumbangan rumpun Melayu daripada adab, ilmu dan tamadunnya akan turut mencorak jagat.

* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 1 Jun 2013.
- See more at: http://beritaharian.sg/gah/sastera/memartabat-melayu-jadi-bahasa-dunia#sthash.ngsTAjZU.dpuf

Friday, September 20, 2013

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Takkan Melayu Hilang Di Dunia: Realiti & Harapan

oleh Prof. dr Arndt Graf
Jabatan Pengajian Asia Tenggara
Goethe-Universiti Frankfurt

Ceramah Arif Budiman
21 September
Pusat Bahasa Melayu Singapura

Bahagian I: Pengantar - Takkan Melayu hilang di dunia

Bahagian II: Realiti - Bahasa Melayu di tengah bahasa besar yang lain

Bahagian III: Harapan untuk masa hadapan -

 Pengajian Bahasa Melayu antarabangsa terus meningkat

Bahagian I - Pengantar:
"Takkan Melayu Hilang Di Dunia"

Ucapan yang dikaitkan dengan Hang Tuah, walaupun tidak disebut dalam Hikayat Hang Tuah atau Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu)

Ucapan yang menandai semangat pejuang Melayu sejak tahun 1930-an

Bahasa dan budaya Melayu hendak dilestarikan

Hang Tuah dan ucapan itu sebagai simbol

Kaitan dengan Singapura: Hang Tuah -wira Melaka - Temasek

Hang Tuah...

- Merupakan wira yang sempurna (dalam konteks kurun ke-14 atau ke-15)
- Setia
- Arif, budiman dan pandai berceramah
- Menguasai dua belas bahasa (Jawa, Cina, keling, Siam, arab dll.)
- Wawasan antarabangsa
-  Kunjungan ke Chiuna, Siam, Keling, arab, Rom (Constantinople)

Dalam istilah hari ini: wira yang berwawasan global dan yang menghormati akar tempatannya

Hang Tuah di Singapura, kjurun ke-14 dan ke-21

Pada kurun ke-14:
- Pendidikan diutamakan
-Hang Tuah setia, arif, poliglot: pandai dalam 12 bahasa
Pada kurun ke-21:
- pendidikan dan pengetahuan amat penting dalam dunia globalisasi

Hang Tuah 2020: Bahasa mana yang akan menjadi relevan untuk orang Melayu? 

2013:                                               2020:
B. Melayu
B. Inggeris                                         ?
B. Cina

Kalau ekonomi Singapura semakin berwawasan global, ada peluang baru untuk orang Singapura...
Tetapi bahasa mana yang akan menjadi menarik?

Bahagian II: Realiti 

Bahasa Melayu di tengah bahasa besar yang lain

Senario I: Monopoli Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, bahasa lain semua mati sebagai bahasa antarabangsa

Hujahan:
Kita semua belajar Bahasa Inggeris di sekolah.
Bahasa lain tidak perlu sebagai bahasa penghubung.
Dalam jangka panjang penterjemah semakin kurang perlu.
= sekolah sebaiknya hanya memfokuskan pada bahasa Inggeris

Senario II: Duopoli Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin sebagai bahasa antarabangsa 

Hujahan:
Bahasa Inggeris tetap penting, bahasa Cina semakin naik.
Yang lain semua tidak perlu diperhatikan.
= sekolah sebaiknya hanya memfokuskan pada bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin

Senario III: Tunggu dulu! Kajian empirikal diperlukan 
untuk mengenal pasti perkembangan trend linguistik 

Fakta 1: Pasaran terjemahan global semakin besar

2011: 30 Billion USD , pertumbuhan tahunan: 7.41%
- Sastera hanya sebahgian kecil
- Paling penting: terjemahan industri, termasuk teks produk, teks undang-undang, teks lokalisasi laman web
= bahasa asing semakin menarik dari segi ekonomi 

Fakta 2: Semakin banyak bahasa menarik untuk e-bisnes 

1990-an : Internet mula di AS, e-bisnes mula diterokai di AS= bahasa Inggeris bermonopoli
2012: 20 bahasa meliputi 90% dari potensi pasaran Internet, semakin banyak bahasa mula menjadi relevan
2012-2016: perubahan pesat, mengikut ramalan T-Index

Metodologi T-Index:
- Jumlah penduduk setiap negara di dunia (mengikut CIA World fact Book)
- Penetrasi Internet untuk setiap negara
- Pendapatan per kapita, 2012 dan 2016 (mengikut IMF), diperhatikan dari bahgian (quintile) yang paling kaya ke bawah
- Potensi daya beli di Internet untuk setiap negara
- Diperhitungkan mengikut proporsi bahasa di setiap negara (berdasarkan CIA World Fact Book)
= Potensi daya beli online untuk setiap bahasa , 2012 dan 2016

Fakta 3: Peranan bahasa Inggeris semakin menurun dalam e-bisnes global 
Global rank      Countries                             T-index 2012      Projection 2016
1                      USA                                         22.5%                15.6%
5                      UK                                           3.4%                     2.6%
11                    Canada - English                       1.5%                    1.2%
14                    India - English                           1.5%                     1.5%  
15                    Australia                                    1.4%                    1.1%
31                    South Africa - English                0.33%                  0.33%
35                    Singapore - English                    0.34%                  0.34%
36                    Nigeria - English                        0.45%                  0.71%
                                                                        31.42%                 23.38%

Sumber: T-index 2013, perhitungan sendiri

= peluang bagi penterjemah bahasa Inggeris semakin menurun secara relatif
Sebab:
a) semakin banyak negara di luar Anglosphere menggunakan Internet
b) semakin banyak negara di luar Anglo9sphere mempunyai daya beli yang meningkat
= semakin banyak teks harus diterjemahkan ke dalam bahasa bukan-Inggewris
= itu menjelaskan pertumbuhan industri terjemahan global

Fakta 4: Bahasa Mandarin naik, menjadi kelak lebih penting daripada bahasa Inggeris (?) 

Bahasa Mandarin

Global     Countries                             T-index                Projection
rank                                                       2012                      2016
2              China(!)                                 13.5%                    20.1%
17            Taiwan                                    1.3%                     1.1%
30            Hong Kong                              0.53%                  0.42%
35            Singapore - Chinese                 0.14%                  0.14%
                                                              15.47%                  21.76%
Sumber: T-index 2013, perhitungan sendiri


Peluang bagi orang Singapura:
+++ bagi orang Singapura yang berbahasa Mandarin

+++ semakin banyak orang Melayu, Indonesia, Jerman, Perancis, Afrika dll. beljar bahasa Mandarin

+++ bahasa mandarin semakin popular di sekolah di seluruh dunia

Fakta 5: Bahasa Sepanyol semakin penting kerana pembangunan di Amerika Selatan 

Bahasa Sepanyol

Global rank     Countries                   T-index            Projection
                                                            2012                 2016  
12                     Mexico                        2.0%                2.0%
13                     Spain                           2.0%                1.8%
20                     Argentina                     1.1%                1.4%
24                     Colombia                     0.67%              1.0%
38                     Venezuala                    0.41%              0.57%
                                                             6.18%              6.77%

Sumber: T-index 2012, perhitungan sendiri

Peluang bagi orang Singapura:
- ada, tetapi siapa yang menguasai bahasa Sepanyol?
- sudah ada bahasa Sepanyol di beberapa pusat bahasa universiti - bagaimana dengan Jabatan Pengajian Bahasa dan Budaya Sepanyol?
- bagaimana dengan kamus bahasa Melayu - Sepanyol ?
- bahasa Sepanyol; di sekolah?

Fakta 6: Relevansi bahasa Jerman, perancis dan jepun menurun 

B. Jerman, B. Perancis, B. Jepun

Global      Countries                        T-index        Projection
rank                                                 2012            2016  
4             Germany                           4.6%           3.9%
32           Switzerlands - German       0.36%        0.36%
33           Austria                               0.50%        0.43%
                                                        5.46%         4.69%

Sumber: T-index 2012, perhitungan sendiri

Global       Countries                       T-index      Projection
rank                                                2012          2016
6               France                           3.4%          3.2%
11             Canada - French            0.56%        0.56%
28             Belgium - French            0.23%        0.23%
32             Switzerland - French      0.12%        0.12%
                                                       4.31%        4.11%

Global      Countries                        T-index      Projection
rank                                                2012          2016
3              Japan                              6.3%          4.6%

Penurunan relatif mirip dengan bahasa Inggeris
Mencerminkan kenaikan negara berkembang dengan bahasa mereka

Peluang bagi orang Singapura yang berbahasa Jerman dll:
- semakin berkurang secara relatif

Fakta 7: Ada sejumlah bahasa dan negara lain yang semakin relevan 

Global        Countries                    T-index         Projection
rank                                              2012             2016            
7             Brazil                             3.1%             4.3%
8             Russia                            2.9%             3.6%
16           Turkey                           1.3%             1.7%
18           Iran (!)                           1.2%             1.8%
21           Poland                           1.0%             1.3%
23-34     Saudi Arabia,                 1.82%           2.39 %
              UAE, Egypt etc
26          Thailand                          0.62%           0.78%
37           Philippines                      0.43%           0.64%
                                                     12.37%         16.51%

Sumber: T-index 2012, perhitungan sendiri

+++ Peluang baharu bagi orang Singapura
- bahasa Portugis, Rusia, Arab, Parsi, Turki, Poland, Thai, Tagalog...
- universiti harus mula membangun kapasiti, sehingga bahasa baharu itu pada satu ketika nanti boleh dimasukkan di sekolah
- Jabatan Bahasa dan Budaya Portugis, Turki dll. di universiti - sudah ada?

Fakta 8: Bahasa Melayu sendiri juga semakin penting 

Perkembangan relevansi global bahasa-bahasa ASEAN, 2012 -16

Global     Countries             T-Index        Projection
rank                                    2012            2016
22         Indonesia               0.86%          1.0%
25         Malaysia                0.65%          0.66%
26         Thailand                 0.62%          0.78%
35         Singapore              0.48%          0.46%
37         Philippines              0.43%          0.64%
48         Vietnam (!)            0.30%           0.43%
103       Brunei Darussalam  0.029%        0.035%
135       Laos                       0.0059%      0.0095%
158       Myanmar(!)            0.0027%       0.0021%
199       East Timor              0.00011%     0.000096%
                                            3.38%           4.02%

Sumber: T-Index 2012, perhitungan sendiri

+++ Peluang bagi orang Singapura :
- Indonesia, Malaysia termasuk 'negara besar' di ASEAN
- relevansi bahasa Melayu / Indonesia terus meningkat
- Perkembangan ekonomi di Nusantara membantu bahasa Melayu

Bahagian III: Harapan masa hadapan - Pengajian Melayu antarabangsa semakin meningkat 


beberapa edisi Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Jerman.
Terjemahan pertama oleh Hans Overbeck terbit pada tahun 1922


Definisi: Apa itu Pengajian Melayu? 

Pengajian Melayu = Pengajjian tentang Dunia Melayu 

Dunia Melayu: Nusantara (Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thai, Selatan Filipina, Timor Leste)
Faktor penting: agama Islam
Bahasa Melayu / Indonesia, Jawa, Minang, Batak, Aceh, Iban, Tausug dll.
Persuratan, kesusasteraan, sastera, pengajian teks, filologi, retorik, teks media
Sejarah
Sosio-budaya / kesenian

Dalam teori... 
- globalisasi membawa pertukaran yang semakin intensif : idea, orang, dan bahan
- ekonomi sebagai faktor penggerak
- semakin banyak persentuhan antara bahasa dan budaya yang berbeza
- pengajian kawasan (pengajian bahasa dan budaya) semakin relevan
- MAKA: juga Pengajian Melayu (-Indonesia) semestinya semakin berkembang


Dalam kenyataan: Dunia Melayu sebagai salah satu pusat ekonomi dunia 

Asia Tenggara pada malam hari: 
- Bangkok
- Semenanjung Malaysia
- Brunei
- Jawa
- Manila

= pusat-pusat ekonomi
= MAKA:  Pengajian tentang Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina
                  semestinya berkembang di semua negara maju lain

Kajian Kes: 4 kelompok sistem pendidikan tinggi di Eropah 

1) Kelompok 1: berorientasikan pasaran sahaja (contoh: UK)
2) Kelompok 2: berorientasikan pasaran, namun dengan tradisi peranan kerajaan dalam agenda
                          penyelidikan (contoh: Belanda)
3) Kelompok 3: berorientasikan pertimbangan politik dengan sistem pemerintahan sentralis
                          (contoh: Perancis, Itali, Rusia)
4) Kelompok 4: berorientasikan pertimbangan politik, dengan sistem pemerintahan federal
                         (contoh: Jerman)

Persoalan dasar : Bagaimana dan mengapa Pengajian Melayu berkembang pada zaman 
                               globalisasi? 


Kelompok I: Pengajian Melayu dalam sistem pendidikan berorientasikan pasaran sahaja

SOAS
University of London

satu-satunya universiti di U.K. yang masih menawarkan bahasa Indonesia/ Melayu

Kenyataan empirikal : Pengajian Melayu di U.K. 

- 1930an: U.K. mempunyuai hegemoni global dalam Pengajian Melayu (Semenanjung)

- 1970an: orientasi pada Indonesia

- SOAS 2000an: tiada pustakawan yang berbahasa Melayu (hanya British Library masih ada kurator yang ahli)

- SOAS 2011 : dua posisi profesor bersara dalam Pengajian Melayu tidak diisi lagi

- Hull 2000an: Pengajian Asia Tenggara di Hull ditutup dan dipindah ke Leeds, bahasa Melayu di Leeds ditutup

- U.K. 2010an: enrolmen dalam Pengajian Melayu menurun drastis

- Penurunan Pengajian Melayu di U.K. di tengah arus globalisasi - sesuai dengan ramalan teoretis?

Sebab-sebab untuk perkembangan Pengajian Melayu di U.K. merudum

1. Proses dekolonisasi belum selesai:
"great-grandfathers were in Malaya - why should we?" - persepsi lama mengambil pandangan pada Malaysia kini yang amat maju

2. 1970an: Re-orientasi pada Indonesia: pada awalnya bermanfaat daripada tema-tema pembangunan, namun Indonesia sudah semakin keluar dari kelompok negara membangun

3. 10 tahun imej Indonesia yang buruk (2000-), 9/11, gempa bumi, tsunami, flu burung, SARS, korupsi, macet di Jakarta, perang saudara, wacana "failing state"...

4. Globalisasi bagus untuk penutur asli bahasa Inggeris -
kenapa belajar LOTE (languages other than English)?

5. Tuisyen yang tinggi : pelajar Inggeris boleh studi ke Jerman dan Perancis, semua percuma, kenapa harus ke SOAS?

= permintaan menurun, penawaran juga 

Kelompok II : Berorientasikan pasaran, namun negara membiayai penyelidikan berterusan tentang Dunia Melayu (contoh: Belanda) 

- 1930an: monopoli dalam Pengajian Indonesia

- 1950an: persaingan dengan A.S.

- 1980an: Pengajian Indonesia masih ada di Leiden, Ultrecht, Amsterdam/ perpustakaan dan pusat penyelidikan yang kuat (KITLV etc.)

- 1990an/ 2000an: "proses konsentrasi": Leiden sebagai satu-satunya pusat

- 2000an : staf di Leiden semakin menurun: dari 12 ke 8 ke 6 ke 4 ke ...

- 2010an: Wacana tentang KITLV: akan ditutup  - dipindah- digabungkan (belum selesai)???

Sebab-sebab penurunan minat pada Pengajian Melayu/ Indonesia di Belanda 

1. Proses dekolonisasi belum selesai:
Hindia Belanda yang lama: "menarik" - indonesia pasca 45: "masalah sosial" - Malaysia yang maju kurang diperhatikan, dan  juga sukses-sukses di Indonesia kurang

2. Globalisasi menarik -
namun asosiasi positif dengan China, bukan Asia Tenggara: banyak pelajar di Jabatan Pengajian Cina

3. Imej Indonesia pasca-45 tidak positif 

4. Pengajian Melayu terus diperkecilkan kerana jumlah alumni kurang: sistem pendidikan tinggi yang berorientasikan pasaran

5. Pemerintah (melalui Akademi sains)( masih memelihara perpustakaan di KITLV dan sejumlah penyelidik

= permintaan menurun, penawaran juga

Kelompok III: berorientasikan pertimbangan politik, sistem sentralis

- Perancis: paris (INALCO; EHESS dll), La Rochelle, Le Havre

- Rusia: St. Petersburg + Moscow

- Itali: Napoli

Kelompok III: kebersamaan

- Tiada sejarah penjajahan di Dunia Melayu: 
Dulu pusat-pusat ini kecil berbanding dengan London dan Leiden

- Melihat realiti ekonomi baharu di Asia Tenggara: 
jika pemerintah pro-aktif (contoh: Perancis)

- Pengajian Melayu sebahagian dari persepsi diri sendiri sebagai kuasa dunia:
tentu mesti ada Pengajian Melayu

- Sistem pendidikan tinggi cukup tidak fleksibel:
syok-syok seperti krisis Asia tiada impak langsung pada Pengajian Melayu

- Liputan meduia tentang Asia Tenggara berbeza: kerana bahasa media yang berbeza

Olga Vasilevskaya, asal Moscow, - pemenang PABM 2007
                                                    - setiap tahun peserta yang cemerlang dari Rusia
                                                    - mencerminkan pengajian Melayu yang cemerlang
                                                   - minat tinggi dan simpati besar untuk Dunia Melayu
                                                     ( sama-sama bukan Anglosphere)  

Peranan negara dalam kelompok III

Pemerintah pusat sebagai pemain strategik: 

- "meliputi dunia": pengetahuan pengajian kawasan untuk tujuan politiuk, pertahanan, ekonomi

- universiti dan pusat penyelidikan dibiayai penuh (CNRS, Russian Academy of Sciences)
  (CNRS- Centre National De La Recherche Scientifique)

- visi jangka panjang, minat para pelajar tidak boleh sampai menghapuskan bidang studi penting tertentu

- masalah: perkembangan dan perubahan Pengajian Melayu harus melalui sistem politik

- Ramalan:Perancis, Rusia akan tetap berminat pada Asia Tenggara. Pengajian Melayu akan tetap berkembang


Saturday, March 16, 2013

Bahasa Melayu Penting Dalam Budaya



JUNJUNG BAHASA: Cikgu Mohd Naim Daipi berkata orang Melayu umumnya masih menganggap bahasa Melayu sebagai penting dalam masyarakat mereka.
- Foto TUKIMAN WARJI
WAWANCARA

Bahasa Melayu penting dalam budaya

MELAYU SINGAPURA PRAGMATIK
Soalan (S): Tidak lama dahulu Cikgu ada membentangkan kertas kerja di Malaysia. Boleh secara ringkas berikan inti pati dan rumusan kertas kerja itu.
Jawapan (J): Kertas kerja itu bertajuk Bahasa Melayu Singapura dan cabaran masa muka dan disampaikan pada 7 Disember tahun lalu.
Kertas kerja itu mempunyai beberapa bahagian. Pertama, latar belakang bahasa Melayu di Singapura berdasarkan petikan tokoh-tokoh utama. Umpamanya, Pak Liaw (Dr Liaw Yock Fang) selalu menyatakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu perlu dipertingkat penggunaannya.
Selain itu, saya menukil kenyataan mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah berkata bahasa Melayu di Singapura sudah memasuki zaman kepupusannya. Saya menyatakan pandangan itu kurang tepat.
Turut disentuh, pencapaian orang Melayu Singapura termasuk soal kebahasaan seperti sikap pragmatik bangsa Melayu Singapura yang mempelajari bahasa Inggeris kerana bahasa itu penting. Saya juga menyentuh tentang bahasa Melayu dalam konteks dasar dwibahasa selain krisis keyakinan pengguna bahasa Melayu dan peranan badan-badan teras/tunjang seperti Yayasan Mendaki, Muis, Mesra dan AMP umpamanya yang kurang mendukung dalam perkembangan bahasa Melayu.
Terakhir, tentang peranan badan bahasa seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), dan Pusat Bahasa Melayu dalam melestarikan bahasa Melayu di Singapura.
BADAN TUNJANG KURANG SEMANGAT
S: Kenapa Cikgu berpendapat badan tunjang yang disebutkan itu kurang mendukung perkembangan bahasa Melayu?
J: Badan-badan ini memang menjuruskan usaha ke arah keutamaan mereka dan kita dapat memahaminya. Tetapi apabila sehingga menidakkan penggunaan dan peranan bahasa Melayu di badan-badan itu, ini akan menjadikan bahasa Melayu itu lemah.
Ini termasuk tidak dijadikan bahasa Melayu sebagai wadah berbincang, mengeluarkan pendapat dan sebagainya. Dengan demikian, pengguna akan berasa dirinya tidak perlu lagi berbahasa Melayu dan tidak perlu berfikir dalam bahasa Melayu. Walhal, mereka berupaya meningkatkan daya saing orang Melayu dalam banyak hal, dan dengan menggunakan bahasa Melayu, akan melengkapkan lagi peranan mereka.
PROSES PELENYAPAN BAHASA BERLAKU?
S: Apakah antara reaksi selepas Cikgu membentangkan isu-isu di dalam kertas kerja itu?
J: Reaksinya agak positif dan mereka umumnya memahami kedudukan bahasa Melayu di Singapura. Ini berbeza dengan tempoh 1980-an dahulu sewaktu saya membentangkan kertas kerja di sana mengenai kebudayaan nasional Singapura.
Dahulu mereka menganggap budaya Melayu sudah hilang di Singapura. Walaupun pada masa itu saya beri beberapa contoh seperti penjualan akhbar Berita Harian yang kukuh - mencapai antara 200,000 hingga 250,000 pembaca Melayu - tetapi mereka tetap menyatakan proses pelenyapan sedang berlaku di Singapura.
Kini, mereka ingin lebih tahu tentang pelapis aktivis bahasa Melayu di Singapura termasuk persatuan yang menjalankan kegiatan berkaitan bahasa Melayu.
DOMINASI BAHASA INGGERIS
S: Ada pendapat menyatakan bahasa Inggeris kini mendominasi bahasa Melayu di kalangan orang Melayu. Apakah pendapat Cikgu?
J: Saya teringat kata-kata Profesor Edwin Thumboo pada akhir 1970-an dengan beliau menyatakan, secara tidak langsung, bahawa satu masa nanti bahasa Inggeris mungkin akan 'membunuh' bahasa ibunda.
Pada pendapat saya, gejala-gejala itu mungkin berlaku. Tetapi nampaknya orang Melayu bersikap positif dan pragmatik terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan melihatnya sebagai bahasa penting terutama dalam era kesejagatan sekarang. Tetapi tidaklah sampai kita jadikan bahasa Melayu itu sebagai tidak penting pada masyarakat kita sendiri.
Bahasa Melayu mengandungi etika-etika murni di dalamnya yang boleh menjadikan pendidikan kita lebih lengkap. Bahasa Melayu mempunyai akal dan akar, yakni minda dan budaya yang merupakan gabungan holistik untuk membentuk keperibadian seseorang.
Selepas tsunami melanda Aceh pada Disember 2004, mantan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, ada menyarankan agar 15 peratus warga bukan Melayu Singapura mempelajari bahasa Melayu agar menangani keterbasan bahasa antara penduduk bukan Melayu Singapura dengan penduduk di rantau ini yang rata-rata berbahasa Melayu.
Tetapi nampaknya usaha mencapai matlamat itu agak lemah. Namun pada masa yang sama, saya gembira dengan usaha pemerintah menganjurkan pembelajaran Program Bahasa Melayu Khas di peringkat menengah yang merangsang pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu. Perkara ini wajar kerana Singapura berada di tengah-tengah kelompok negara Nusantara.
KRISIS KEYAKINAN
S: Apakah ada 'krisis keyakinan' di kalangan orang Melayu tentang bahasa ibunda mereka sendiri?
J: Peratusan kelulusan pelajar Melayu dalam bahasa Melayu tidak berganjak daripada kedudukan yang baik.
Namun, ada semacam kurang yakin orang Melayu untuk gunakan bahasa Melayu dalam bidang 'perniagaan' terutamanya media. Media Melayu terpaksa menggunakan tajuk program yang salah dalam bahasa Melayunya atau tidak menggunakan langsung bahasa Melayu, kerana menitikberatkan faktor 'rating' dan keberkesanannya pada perniagaan.
Yang terbaru, tajuk rancangan Muzik Arena, padahal dari segi bahasa ini adalah salah. Seharusnya disebut Arena Muzik, berdasarkan hukum bahasa Melayu. Kesilapan ini boleh menjadi ikutan para penonton. Saya pernah mencatatkan lebih 30 tajuk yang kemungkinan ditulis dalam bahasa yang celaru, dan pernah menegur pihak tertentu.
Ada juga yang menyatakan krisis keyakinan ini disebabkan bahasa baku.
Saya fikir itu bukan faktor utama tentang timbulnya krisis keyakinan kerana sebutan baku itu adalah sebahagian usaha pembakuan bahasa Melayu keseluruhannya termasuk dalam aspek tatabahasa, ejaan, istilah dan perkamusan bahasa Melayu.
Sebutan baku sebenarnya memudahkan pembelajaran dan memudahkan orang menggunakan bahasa Melayu, dan usaha-usaha ini akan berbaloi jika ada dukungan keluarga, pelajar, pengajar dan dalam usaha melestarikan bahasa Melayu di kalangan pengguna.
PERANAN IBU BAPA
S: Apa peranan golongan ibu bapa di rumah dalam melestarikan penggunaan bahasa Melayu?
J: Saban minggu saya mengajar cucu dan cucu saudara saya dengan memberi tuisyen bahasa Melayu. Nampaknya usaha ibu bapa mereka belum mencukupi sehingga dapat memberi keyakinan kepada anak-anak itu berbahasa Melayu.
Ini satu contoh agar ibu bapa perlu meningkatkan usaha agar anak mereka dapat mahir dalam kededua bahasa Melayu dan Inggeris. Jangan pula, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Ibu bapa sendiri harus meningkatkan penggunaan bahasa Melayu, selain mengetahui serba sedikit tentang tatabahasa Melayu agar mereka juga dapat mengajar bahasa Melayu di rumah kepada anak-anak mereka.
Saya berharap agar ibu bapa dapat memperuntukkan masa dan usaha yang mencukupi untuk berbahasa Melayu di rumah yang boleh membantu meningkatkan kemahiran anak-anak mereka dalam bahasa Melayu.
CABARAN BAHASA MELAYU SERANTAU
S: Apakah cabaran penggunaan bahasa Melayu ini hanya unik di Singapura, atau juga berlaku di Malaysia dan di rantau Nusantara ini?
J: Tun Dr Mahathir pernah menyebut anak-anak Malaysia terutama di kawasan bandar pun sudah jarang berbahasa Melayu.
Di Indonesia, kian ramai penduduknya mengejar-ngejar penggunaan bahasa Inggeris. Di Brunei ada isu bahasa sukuan yang kental dan banyak digunakan di rumah, dan mereka tidak menganggap bahasa Melayu itu sebagai bahasa ibunda mereka. Ini antara masalah serantau.
Perkara-perkara ini menjadi cabaran dalam usaha melestarikan bahasa Melayu dan badan-badan berwenang dalam bahasa Melayu perlu melihat perkara ini agar penggunaan bahasa Melayu dapat terus dipertingkat dari semasa ke semasa terutamanya mengadakan wadah dan kegiatan yang memberi peluang kepada pengguna bahasa Melayu menggunakan bahasa tersebut khususnya di luar sekolah.
LANGKAH SETERUSNYA
S: Apakah langkah-langkah dalam memastikan orang Melayu pada masa sekarang, dan akan datang, akan terus mampu berbahasa Melayu, melestarikannya, malah mampu menanam rasa jati diri di kalangan orang Melayu agar bangga menggunakan bahasa Melayu?
J: Kita tidak pernah menolak bahasa Inggeris. Kita tidak pernah menyatakan bahasa Inggeris tidak wajar dipelajari kerana ia memang memberi kesan ekonomi yang baik kepada masyarakat. Bahasa Inggeris juga membantu kita mengejar kemajuan dan berdaya saing. Namun, bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting dalam budaya kita, harus ada usaha-usaha pelestarian dan mendapat tempat yang utama dalam masyarakat kita.
Ibu bapa, anak-anak, guru, sekolah dan sebagainya harus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting untuk membangun masyarakat kerana dalam bahasa Melayu ada banyak unsur yang dapat membina peribadi yang baik dan menyediakan pembelajaran yang lebih holistik.
Usaha berterusan pihak berwenang terutama MBMS dan badan-badan setempat yang menganjurkan kegiatan bahasa Melayu merupakan satu usaha yang amat baik dan dari masa ke masa, penglibatan peserta juga meningkat. Contohnya, ada kegiatan dalam Bulan Bahasa yang menampakkan peningkatan dari segi bilangan peserta dan ini menjadi semacam dorongan kepada kita terus memajukan bahasa dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di kalangan masyarakat Melayu.
Kami sedia menerima kritikan membina sebagai satu maklum balas penting, namun usahlah sampai menyenda-nyenda kerana itu sememangnya kurang wajar.

Wednesday, November 28, 2012

BM diinggeriskan


E-MEL DARI KL

Alah bahasa Melayu diinggeriskan

SUASANA penginggerisan ke atas bahasa Melayu di Malaysia kini dikatakan di tahap 'membimbangkan'.
Demikian pandangan dua sarjana Malaysia, Dr Mohamed Yusof Ismail dan Profesor Dr Teo Kok Seong.
Dr Mohamed Yusof, Profesor Antropologi dan Pakar Runding di Universiti Terbuka Malaysia, memberitahu satu pertemuan ahli bahasa bahawa keterlanjuran menginggeriskan bahasa Melayu boleh mewujudkan suasana serupa di Papua New Guinea apabila kacukan bahasa Inggeris dan bahasa tempatan melahirkan 'pidgin English'.
Dr Teo, pendukung Bahasa Melayu dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM, pula pada satu wacana bahasa kebangsaan baru-baru ini mendapati ketulenan bahasa Melayu kian terhakis kerana lemahnya azam orang Melayu sendiri.
Keazaman pengamal bahasa Melayu amat membimbangkan berbanding bangsa Cina yang menurut beliau kadang-kadang agak keterlaluan dalam melindungi bahasa Mandarin.
"Bahasa Melayu perlu mengurangkan perkataan pinjaman kerana bahasa Melayu itu sendiri kaya dengan perbendaharaan kata yang boleh dipilih.
"Kenapa perlu gunakan perkataan 'infrastruktur' walaupun sudah ada 'prasarana'? Kenapa perlu menggunakan perkataan 'kontemporari' jika perkataan 'semasa' mampu menyampaikan maksud sama?" katanya.
Tambah Dr Teo, disebabkan terlalu banyak perkataan Inggeris diserap dalam kosa kata Melayu, suatu hari nanti rujukan sering dibuat kepada kamus bahasa Inggeris untuk mengetahui makna sesuatu perkataan.
Contohnya, 'modulasi' lebih mudah diketahui maknanya dengan merujuk kepada kamus Inggeris, katanya.
Dr Mohamed Yusof juga menerima rungutan kalangan pelajar antarabangsa yang belajar bahasa Melayu:
"Kami perlu belajar bahasa Inggeris dulu, baru boleh faham bahasa Melayu," katanya, menukil sindiran pelajarnya.
Malah, Dr Mohamed Yusof, mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masih ingat pengalaman beberapa pelajarnya yang menjalankan kajian di sebuah kampung.
"'Bagaimana kemudahan komunikasi di desa ini?' tanya pelajar. Penduduk kampung menjawab spontan: 'Pada masa komunis dulu kami hidup terseksa.' Mereka jelas keliru dengan perkataan 'komunikasi' yang bermaksud 'perhubungan'," katanya.
Bala paling besar, kata Dr Mohamed Yusof, berlaku apabila tatabahasa Melayu yang dipelopori Pendeta Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) 'dikhianati' oleh penggubal tatabahasa angkatan baru atas alasan agar bahasa Melayu lebih 'moden'.
Maka muncullah istilah saduran seperti 'frasa' (phrase), 'klausa' (clause), 'predikat' dan 'subjek' serta istilah seperti 'vokal' bagi menggantikan 'huruf saksi', 'ayat aktif' bagi menggantikan 'ayat bangun membuat', 'ayat pasif' bagi menggantikan 'ayat bangun kena buat', dan pelbagai lagi kerenah lain yang telah menghancurkan atau menidakkan kerja murni yang dipelopori Za'ba.
Dr Mohamed Yusof selanjutnya menarik perhatian betapa istilah yang sedia ada dan lama digunakan digantikan dengan istilah saduran yang kononnya menampakkan kecanggihan bahasa Melayu.
Misalnya, kata beliau, 'produk' menggantikan 'hasil mahsul', 'keluaran' dan 'barangan'; dan 'bajet' pula menggantikan 'belanjawan'.
Dr Mohamed Yusof memberi contoh lagi bagaimana banyak lagi istilah ciptaan Za'ba telah diketepikan. Pembaca tentu masih ingat istilah lama seperti 'mata-mata' dan 'mata-mata gelap' yang telah digantikan dengan 'polis' dan 'detektif.'
Beliau berpendapat penggubalan istilah baru dengan cara memberi makna baru kepada perkataan lama tidak berlaku di kalangan ahli bahasa selepas Za'ba, tidak seperti orang Inggeris.
Misalnya, apabila 'komputer' mula-mula timbul terdapat keperluan mencari istilah baru. Sebagai contoh, istilah cursor diambil daripada kosa kata lama Inggeris, tetapi diberikan makna baru.
Ahli bahasa di Malaysia memelayukannya terus kepada 'kursor'.
Jika Za'ba masih ada, mungkin dicadangkan istilah 'kekelip', 'kekunang' atau 'tetunjuk' kerana itulah sifat hakiki 'kursor' pada setiap layar 'komputer'.
Begitu juga dengan istilah mouse, virus, web, garbage, footprint dan sebagainya. Orang Inggeris memberikan makna baru kepada istilah lama.
Beliau menegaskan bahawa kita juga boleh mengambil iktibar daripada penduduk tempatan yang lebih bergeliga dalam menggubal istilah yang sesuai apabila perlu.
"Misalnya, ketika 'pizza' mula diperkenalkan di Kelantan, mereka memanggilnya 'roti berlauk'. Begitu juga dengan 'tauhu' yang dipanggil 'pati kacang', 'tauge' dipanggil 'kacang cambah', 'taucu' dipanggil 'kacang masin', buah 'tomato' dipanggil 'terung masam' dan 'carrot' dipanggil 'lobak merah'."
Sebenarnya, kata beliau, Melayu Malaysia boleh belajar memelihara bahasanya daripada orang Thai - tetapi jangan ikut cara Indonesia atau Filipina yang bercelaru bahasa masing-masing.
Misalnya, apabila 'telegram' mula-mula masuk ke Thailand, ahli bahasanya mencari istilah yang dapat menggambarkan sifatnya yang mutlak, iaitu toralek ('tora' = huruf dan 'lek' = jauh).
'Telefon' dalam bahasa Thai ialah 'torasap'. 'Sap' ialah istilah Sanskrit yang bersepupu dengan 'sabda' (kata-kata). 'Televisyen' adalah 'toratat'; tat bermakna 'gambar' atau 'rupa'.
Tidak ada perkataan 'radio' dalam bahasa Thai, tetapi diganti dengan 'wittayu' (daripada kekata Sanskrit, 'bayu').
"Bagi mereka, kepuk serumpun dan turun-temurun adalah Sanskrit, Khmer dan Melayu," tambah beliau.
Adakah amaran dua sarjana itu akan diberi perhatian para bahasawan?