Monday, July 23, 2012

cinta bahasa ibunda

10 Jun 2012

Pupuk cinta bahasa ibunda di kalangan pelajar

Antara peranan dan tugas terpenting guru bahasa Melayu
 
 
oleh Shahida Sarhid
 
SAMBIL menggetap bibir dan menggaru-garu lehernya, pelajar itu terkial-kial mencari perkataan Melayu yang sesuai untuk menjawab soalan gurunya.
"Appreciate dalam bahasa Melayu apa eh cikgu?" tanya pelajar lelaki itu selepas tercegat di depan kelas selama beberapa minit sambil disaksikan teman-teman yang lain.
Situasi begini bukan asing lagi. Malah, ia kian teruk terutama di kalangan pelajar Melayu sendiri.
Ramai pelajar menghadapi masalah meluahkan perasaan mereka secara lisan dalam bahasa Melayu.
Ada yang menghadapi kesukaran mencari perkataan Melayu yang sesuai dengan perasaan atau pendapat yang ingin diluahkan.
CANGGUNG
Ada pula berasa canggung berbual dalam bahasa ibunda sendiri.
Menerusi pengamatan dan pengalaman saya mewawancara beberapa orang pelajar dalam bahasa Melayu, ramai daripada mereka yang kerap 'tersangkutsangkut' apabila berbual.
"Emm... boleh cakap dalam bahasa Inggeris 'tak? Bahasa Melayu saya tak baguslah!" keluh sesetengahnya, seakan-akan putus asa.
Bagaimanapun, ada juga pelajar yang sanggup mencuba sedaya upaya untuk berbual dalam bahasa Melayu biarpun bercampur aduk dengan bahasa Inggeris.
Tetapi, ada yang terus dengan mudahnya mengibarkan bendera putih sambil berkata begini: "Sorry, my Malay not so good.''
Jawapan saya kepada pelajar begini mudah sahaja: "I think gramatically, your English is equally bad."
Saya agak hairan mengapa para pelajar ini mengalami kesukaran yang teramat sangat untuk berbual dalam bahasa Melayu dengan fasih.
Saya sendiri dibesarkan dengan buku-buku Inggeris dan ibu bapa saya, terutama bapa saya, sering berbual dengan saya dalam bahasa Inggeris.
TIDAK TERUK
Tetapi, semasa di sekolah, setiap kali saya ditanya cikgu dalam bahasa Melayu, saya tidak mempunyai masalah yang begitu teruk seperti apa yang berlaku dengan ramai pelajar Melayu sekarang.
Apabila saya bertanya seorang guru kanan yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu di Sekolah Menengah Springfield, Cikgu Ghazali Mohamed Ibrahim, mengapa terjadi hal sebegini, beliau berkata:
"Dulu, kita semua terdedah kepada lagu-lagu Melayu yang sesuai didengar oleh semua lapisan umur dan masyarakat.
"Secara tidak langsung, kita dapat mengetahui dan menguasai kosa kata bahasa Melayu menerusi liriknya. Tetapi kini, pelajar lebih berminat mendengar lagu-lagu Inggeris ataupun Korea dan bukan lagi lagu Melayu yang mereka anggap 'kental'."
Cikgu Ghazali menambah, status bahasa Melayu daripada kaca mata masyarakat juga memainkan peranan penting.
"Para pelajar kini menganggap bahasa Melayu tidak penting untuk kegunaan harian. Ini yang menyebabkan bahasa Melayu digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja dan bagi pelajar-pelajar ini, ia hanya wajar digunakan semasa dalam kelas mata pelajaran Bahasa Melayu.''
KETARA SEJAK AWAL
Menurut seorang lagi guru yang mengajar mata pelajaran itu di Sekolah Rendah Naval Base, Cikgu Rohani Ahmad Asi, masalah ini sudah ketara saat pelajar itu masih dalam darjah satu lagi.
"Oleh kerana para pelajar ini jarang berbual dalam bahasa Melayu di rumah, jadi apabila mereka disuruh berbual dalam bahasa ibunda, ia kedengaran cukup janggal.
"Cara mereka bercakap dalam bahasa ibunda itu kaku, tidak lembut dan tidak bersahaja seperti perbualan," ujar Cikgu Rohani yang sudah mengajar selama kira-kira 20 tahun.
Menurut beliau lagi, apa yang lebih membimbangkan ialah masalah ini telah 'melimpah' pula kepada cara penulisan para pelajar.
"Pelajar akan mengambil jalan mudah dengan menterjemahkan secara langsung daripada bahasa Inggeris apa yang ingin diluahkan.
"Misalnya, jika mereka ingin katakan, I went to my grandmother's house, ayat itu akan diterjemahkan sebagai Saya pergi ke saya nenek rumah," ujar Cikgu Rohani lagi.
Kelakar 'kan? Tetapi, inilah realitinya!
SARANAN GURU
Berdepan dengan masalahmasalah ini, apakah saranan yang sering guru-guru berikan kepada ibu bapa pelajar yang menghadapi masalah menggunakan bahasa Melayu dengan baik?
"Saya akan nasihati ibu bapa menyiapkan jadual. Dalam seminggu, lima hari mereka perlu berbual dalam bahasa Inggeris dengan anak-anak dan dua hari dalam bahasa Melayu.
"Perlu juga diingatkan bahawa bahasa Melayu yang digunakan itu tidak boleh bercampur-campur dengan bahasa Inggeris.
"Ataupun ibu bapa boleh memilih satu bahasa tetap untuk berbual dengan anak-anak.
"Misalnya, jika si anak berbual dengan si ibu, dia perlu berbual dalam bahasa Inggeris, manakala apabila si anak berbual dengan ayah, dia perlu berbual dalam bahasa Melayu," usul Cikgu Rohani.
Namun, jika cara ini tidak berhasil, bagaimana guru dapat membantu para pelajar sedemikian?
"Seperti apa yang disarankan pemerintah, jika masalah ini menjadi rumit, guru perlu menggunakan kaedah dwibahasa dalam kelas.
"Ini bermakna guru perlu menerangkan sesuatu frasa ataupun konsep pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan semula ke dalam bahasa Melayu, dengan harapan ia dapat mengeratkan jurang antara kededua bahasa teresebut," jelas Cikgu Ghazali.
PERANAN GURU
Peranan seorang guru bahasa Melayu memang besar. Seorang rakan kerja saya memberitahu bahawa semasa di sekolah menengah, beliau sering berbual dalam bahasa Inggeris dan membaca buku-buku cerita Inggeris sahaja.
Tetapi, guru bahasa Melayunya yang menanamkan kecintaannya terhadap bahasa Melayu dengan memperkenalkan dan menghuraikan makna-makna peribahasa, simpulan bahasa dan kiasan dalam bahasa Melayu. Maklumlah, orang Melayu kaya peribahasa.
Cikgunya juga suka mendedahkannya kepada puisi-puisi Melayu yang ringkas dan indah dengan makna yang mudah difahami. Jadi, dengan secara tidak langsung, rakan saya pun jadi minat dengan bahasa Melayu dan mula menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Oleh yang demikian, menanamkan cinta pada bahasa Melayu adalah antara tugas penting guru-guru bahasa Melayu.
Guru-guru perlulah memikirkan cara-cara yang kreatif dan menarik untuk menanamkan kecintaan itu dan bukan setakat mengajar kosa kata dan rujuk kepada buku teks sahaja.

No comments:

Post a Comment