Sunday, July 22, 2012

semangat kersani dalam besi

KAYA LOMBONG BESI: Perkataan kersani dikatakan berasal daripada Khurasan, sebuah daerah besar meliputi Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikstan, yang kaya dengan lombong besi serta pernah aktif sebagai pusat pengeluaran besi waja dengan tukang-tukang besi yang baik.
- Foto MUHD JAILANI ABU TALIB
WARISAN KITA

Mencari Semangat Kersani Dalam Besi

Semangat logam dikatakan menjadi sumber kekuatan batin dan kesaktian
"HEI Kersani, mengalirlah dikau. Menjadi raksa, mengisi belikat punggungku."
Inilah antara seni kata lagu nyanyian M. Nasir yang sering menjadi siulan para penganut silat Melayu.
Malahan, kadangkala, lagu tersebut menjadi pengganti bagi paluan kompang dan permainan gendang ketika membuat persembahan-persembahan tertentu.
Kewujudan mahupun bentuk kersani jarang sekali dikenali para penganut ilmu tersebut.
Bahkan, dalam kalangan sesepuh ilmu silat Melayu, masih terdapat pertelingkahan berkenaan kesahihan tentang wujudnya elemen besi tersebut.
Menurut cerita, andai ditemukan, besi kersani mempunyai khasiat sebagai pelaris, pemanis diri, dan pemangkin darjat, selain memberikan nilai kekebalan kepada pemiliknya.
Memanjangkan cerita, kononnya besi tersebut kadangkala dicampurkan dengan logam lain untuk keris-keris terpilih.
Meskipun demikian, sukar memperolehi maklumat yang sekata berkenaan besi tersebut.
Jelasnya, besi kersani menjadi semacam misteri dalam alam Melayu.
Lantaran ketidaksepakatan masyarakat berkenaan kersani, besi tersebut menjadi tanda tanya dan dianggap mempunyai nilai mistik.
Kononnya, kersani dapat memberikan kuasa sakti dan kekebalan kepada individu yang berilmu tentang penggunaannya.
Menariknya, kekuatan besi kersani turut telah dicatatkan dalam bahan-bahan bertulis seperti Bustanus Salatin, Syair Hamzah Fansuri dan lagu nyanyian M. Nasir, Mentera Semerah Padi.
Namun demikian, sukar diterangkan bentuk mahupun rupa sebenar besi kersani.
Teori atau penjelasan tentang besi tersebut lazimnya bercanggah. Tidak kurang pula teori-teori yang sukar diterima akal.
Dalam hal ini, bergantung pada daerah dan pegangan sesebuah masyarakat, kersani turut dikenali sebagai kursani, qursani, kharsani, khurasani, dan khursani.
Dari sudut akar kata, dapat dijangkakan bahawa perkataan tersebut berasal daripada Khurasan, yakni sebuah daerah besar yang meliputi Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan.
Dalam hal ini, Khurasan merupakan sebuah daerah yang kaya dengan lombong besi serta pernah aktif sebagai pusat pengeluaran besi waja dengan tukang-tukang besi yang baik.
Lantaran itu, dapat dianggarkan, khursani dianggap bermaksud besi waja ataupun besi baja dari tanah Khurasan.
Namun demikian, menariknya, besi kersani turut dianggap segenap masyarakat sebagai besi yang mempunyai nilai fadilat tersendiri.
Kersani turut disebut dalam beberapa mantera Melayu. Secara khususnya, mantera-mantera tersebut memohon kepada Ilahi untuk meminjamkan kekuatan besi kersani kepada diri mereka.
Bagi segelintir individu, kersani dianggap sedia hadir dalam tubuh manusia.
Dalam hal ini, individu berkenaan akan menggunakan mantera-mantera tertentu bagi membangkitkan semangat besi tersebut.
Semangat besi tersebutlah yang kononnya menjadi sumber kekuatan batin dalam tubuh pengamal ilmu besi kersani.
Dalam erti kata lain, semangat besi tersebut diharapkan dapat mengalir dalam jiwa pendekar bagi memberikannya kesaktian yang luar biasa.
Dalam rangka kepercayaan para pengamal, kebangkitan besi kersani dalam tubuh ditandai dengan bunyi yang berdesing di telinga.
Dalam hal ini, proses mewujudkan besi dalam dirinya bermula dengan pengamal membayangkan kekuatan yang mengalir dalam urat-urat saraf.
Lazimnya berpusat daripada bahagian tapak tangan, besi kersani tersebut akan bertindak semacam cecair dan menjalar ke seluruh tubuh.
Kononnya, pendekar masa lalu berkemahiran tinggi dalam ilmu tersebut dan mempunyai keupayaan membuat diri mereka kebal dan kalis senjata.
Guru-guru terdahulu dikatakan teramat memilih dalam menurunkan ilmu besi tersebut. Tidak menghairankan, ilmu tersebut menjadi semacam fenomena yang diidamkan sebahagian orang Melayu.
Manusia moden tentu menyangkal perihal yang telah disebutkan di atas.
Dalam persekitaran serba moden, nilai kekebalan mahupun kesaktian seorang pendekar sukar dibuktikan.
Apatah lagi, Islam telah mengajak masyarakat Melayu berfikiran rasional dalam berhadapan dengan kehidupan harian.
Jika benar besi kersani boleh membuat seseorang kebal, kenapa pahlawan dan pendekar masa lalu tetap cedera atau tewas di medan pertempuran?

No comments:

Post a Comment