Sunday, July 22, 2012

Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa

khutbah 22 jun 2012
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t., iaitu dengan memahami segala perintah yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. Renungkanlah segala pengajarannya, agar dengan itu, ia akan menimbulkan kesedaran untuk kita lebih taat kepada segala perintah Allah, dan menghindari segala larangan Allah s.w.t.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai memulakan khutbah pada hari ini, suka saya mengajak saudara sekalian untuk merenung sejenak, andai kata kita baru berumahtangga, atau baru dikurniakan cahaya mata, atau  bagi mereka yang sudah bergelar ayah, cuba kita bayangkan antara 35-45 tahun dari sekarang, ketika kita sudah lanjut usia dan mungkin sudah tidak bekerja lagi, agak-agaknya, adakah di antara anak-anak kita yang masih sudi memberikan sejumlah wang bagi perbelanjaan harian bagi kita meniti usia senja? Begitu juga dengan kita, adakah sejauh ini telah kita sumbangkan sesuatu buat kedua ibu bapa kita bagi mengurangkan bebanan kewangan mereka?



Namun sebelum itu saudaraku sekalian, marilah sama-sama kita merenung terlebih dahulu firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Israa’ ayat 23:


Ertinya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”

Saudaraku yang dikasihi sekalian,

Berbuat baik dan berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa di dalam ayat ini mempunyai pengertian yang sangat luas. BermuIa dengan perintah supaya mentaati perintah kedua ibu bapa, menyantuni dan melayan keduanya dengan baik dan menggembirakan hati mereka, sehinggalah kepada menjaga dan memberi nafkah bagi menampung keperluan hidup mereka. Ini bermakna bahawa menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka dalam meniti hari-hari tua mereka juga termasuk dalam maksud berlaku ihsan.



Dengan ini jelas bahawa nafkah bukan hanya terhad kepada pasangan suami dan isteri sahaja, dan bukan juga terbatas kepada anak-anak kita sahaja, tetapi juga meliputi kedua ibu bapa kita juga, khususnya bagi ibu bapa yang sudah tua dan tidak bekerja. Malahan betapa pentingnya perintah Allah ini dalam hal berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa ini, sehingga  ia merupakan perkara kedua terpenting selepas Allah memerintahkan kita menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya.



Sebagaimana pada waktu kecil kita memerlukan perlindungan dan kasih sayang mereka, begitulah juga ibu bapa kita pada usia senjanya ini, mereka juga amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita. Meskipun mereka tidak meminta, sebagai anak yang bertanggungjawab dan tahu mengenang budi, setentunya tidak boleh tidak kita perlu memberikan mereka sokongan kewangan, moral dan fizikal kepada  mereka mengikut kadar kemampuan kita.



Sebagai contoh, bagi anak-anak yang sudah bekerja, bolehlah memperuntukkan sejumlah wang secara tetap pada setiap bulan, manakala bagi mereka yang tidak bekerja atau kurang berkemampuan pula, dapat secara sukarela menjaga kedua ibu bapa mereka. Malah, andaikata kesemua anak-anak mempunyai pekerjaan tetap dan masing-masing sukar menjaga kedua ibu bapa sekalipun, ia bukan merupakan satu penghalang untuk kita berbakti. Malah kita masih mempunyai alternatif dan pilihan untuk mendapatkan pembantu rumah bagi tujuan khusus menjaga ibu bapa kita ini, dan ini juga merupakan satu peluang untuk kita saling berkongsi kos sesama adik beradik bagi tujuan murni ini.



Sikap ingin berlumba-lumba dalam berbakti kepada kedua orang tua ini seharusnya ada pada diri setiap anak. Malah, andaikata adik beradik kita yang lain bersikap tidak endah dan mementingkan diri, usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain, kerana sama ada kita suka atau tidak, salah seorang dari kitalah yang perlu menyara ibu bapa kita, kerana jika tidak kita, siapa lagi?



Mengapakah masih terdapat anak-anak yang masih lagi berkira dalam hal menguruskan kebajikan ibu bapa kita sendiri. Tidakkah kewujudan kita di muka bumi ini kerana adanya ibu bapa kita? Merekalah sebab kita merasa nikmat hidup di dunia ini, dan merekalah yang memelihara dan mengasuh kita hingga kita mampu berdikari pada hari ini. Mengapakah kedua ibu bapa boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya?



Tidakkah terdetik walau sedikitpun rasa bersalah pada diri kita untuk tidak membantu kedua ibu bapa kita, sedangkan kita mampu mengadakan apa yang kita inginkan buat diri kita; memiliki kediaman yang selesa, mampu mempunyai kenderaan sendiri, menggajikan pembantu rumah dan sebagainya. Maka kita perlu bertanya pada diri kita, adakah kita termasuk dari kalangan anak yang tidak berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa kita, jika kita tidak melakukan sesuatu untuk menyara dan membantu meringankan bebanan kedua orang tua, atau lebih malang lagi jika ibu bapa kita terpaksa meminta bantuan dari orang lain?



Tidakkah kita sedar, betapa banyak ibadah dan amalan kita sekalipun, jika kita gagal berbakti kepada kedua orang tua, apatah lagi membiarkan mereka terabai dan menderita, maka ia mampu menjadi penyebab terhalangnya pintu syurga buat kita pada hari akhirat nanti.



Tidakkah Baginda s.a.w. pernah mengingatkan kita dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: “Amat malanglah, Amat malanglah, Dan amat malanglah! Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (Yakni lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” Hadith riwayat Imam Muslim.



Saudaraku kaum Muslimin yang dirahmati sekalian,

Perlu juga ditegaskan di sini, bahawa memberi nafkah kepada kedua ibu bapa ini juga tidak hanya terhad kepada anak lelaki, tetapi juga kepada anak perempuan. Dengan ini bagi anak perempuan yang sudah berumahtangga, maka hak untuk memberi nafkah dan berbakti kepada kedua orang tua tertakluk kepada keizinan suami. Namun, selaku seorang suami yang mempunyai sikap rahmah dan ihsan serta bertimbang rasa, pastinya tidak akan menghalang dan membiarkan isterinya dari menyantuni kedua ibu bapanya.



Dengan itu, jika isteri kita mempunyai kemampuan kerana dia bekerja, atau ada sedikit kelebihan untuk membantu kedua ibu bapanya, usahlahlah kita halang, bahkan kita perlu menggalakkan isteri kita untuk berbakti, kerana pemberian itu suatu sedekah yang pasti membawa keberkatan dalam kehidupan seharian kita, Insya Allah. Bahkan jika kita mempunyai sedikit kelebihan, tiada salahnya kita juga menghulurkan habuan bulanan kepada kedua mertua kita yang seumpama ibu bapa kandung kita sendiri juga.



Malah ini merupakan salah satu tanda kita untuk berterima kasih kepada mereka, seperti yang diserukan oleh Allah dalam surah Luqman ayat 14:

Ertinya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; dengan yang demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan kepada Akulah jua tempat kembali.”



Ingatlah dan sedarlah, apabila kedua ibu bapa kita berasa berbesar hati, gembira dan bersyukur dengan pemberian kita itu, doa dan harapan mereka buat diri kita akan menjadi salah satu penyebab kebahagiaan hidup kita di dunia dan di akhirat kelak.



Kaum Muslimin yang dikasihi Allah sekelian,

Izinkan saya untuk merumuskan tiga perkara penting di dalam khutbah hari ini. Pertama, suruhan berbuat baik dan memberi nafkah kepada ibu bapa adalah perintah Allah yang wajib kita taati. Kedua, memberi nafkah kepada kedua ibu bapa kita dan mertua kita adalah tanggungjawab dan tanda berterima kasih kita kepada mereka. Ketiga, kebaikan yang kita lakukan kepada kedua ibu bapa akan membawa kebahagiaan hidup kita di dunia dan di akhirat.



Semoga Allah membantu kita dalam usaha kita membantu dan berbuat baik kepada dua manusia yang banyak berjasa dalam hidup kita. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

No comments:

Post a Comment