Sunday, July 22, 2012

keanggunan wanita melayu

KECANTIKAN WANITA MELAYU: Cantik atau tidaknya seseorang wanita bergantung pada nilai akhlak dalam dirinya di samping keupayaan menjaga fitrah fiziknya. Dalam hal ini, sesuai dengan ajaran Islam, wanita Melayu yang ayu dan cantik semoleknya harus bijak menjaga aib dan kesihatan dirinya.

- Foto fail


Warisan Kita

Keanggunan Wanita Melayu


Akhlak dan budi penentu kecantikan

TERDAPAT konsep yang salah di kalangan masyarakat umum berkenaan citra keayuan dan keanggunan wanita.
Andai media menjadi sumber rujukan utama bagi menilai konsep kecantikan bagi wanita, imej wanita yang terlahir dalam benak akal manusia pastinya mereka berpinggang ramping, berkulit gebu, berbibir merah dan sebagainya.
Ciri wanita cantik yang dibayangkan itu seringkali seiring imej yang dipaparkan dalam iklan-iklan jenama kosmetik dan watak-watak heroin dalam filem.
Tanpa disedari, ia mempengaruhi cita rasa kita, lantas membuat kita meletakkan kayu ukur yang tidak realistik terhadap nilai kecantikan seorang wanita.
Jelasnya, konsep kecantikan wanita telah diracuni dengan gambaran barisan peragawati dan ikon-ikon kecantikan yang lain.
Namun, konsep tersebut sebenarnya tidak selari dengan imej kecantikan dan keayuan dalam ruang pemikiran manusia Melayu.
Bagi orang Melayu, keayuan merupakan sesuatu yang dapat diturunkan dan diwariskan daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Lantaran itu, antara peranan kaum ibu Melayu ialah membangkitkan ciri-ciri kewanitaan dalam diri puteri-puteri mereka seperti nilai tanggungjawab, peranan, penampilan diri, dan budi sejak kecil lagi.
Bagi mereka, untuk menjadi seorang wanita merupakan satu proses dan usaha yang berterusan.
Sejauh mana seseorang itu memiliki nilai budi, tanggungjawab dan penampilan dirilah yang akan membezakan antara wanita atau perempuan dengan "betina".
Ringkasnya, bagi diri orang Melayu, cantik atau tidaknya seseorang wanita bergantung pada nilai akhlak dalam dirinya di samping keupayaan menjaga fitrah fiziknya.
Dalam hal ini, sesuai dengan ajaran Islam, wanita Melayu yang ayu dan cantik semoleknya harus bijak menjaga aib dan kesihatan dirinya.
Konsep 'puteri' ataupun 'wanita' dari sudut pandangan orang Melayu berbeza daripada konsep dalam peradaban Barat.
Misalnya, kecantikan dari sudut pandangan orang Barat lebih menitikberatkan penampilan wajah dan bentuk fizikal seseorang wanita, tanpa dikaitkan dengan nilai budi dan tanggungjawab.
Menariknya, dalam sorotan sejarah bangsa Melayu, puteri-puteri Melayu bukan sekadar penghias kepada kaum Adam, malahan mereka turut berperanan besar dalam pembentukan peradaban yang gemilang.
Masyarakat Barat hanya mula menyedari peranan kaum wanita dalam waktu-waktu peperangan sekitar 1970-an.
Sebaliknya, masyarakat Melayu telah lama menyedari kepentingan dan peranan yang dimainkan kaum wanita. Tidak menghairankan, gerakan feminisme ataupun golongan memperjuangkan hak wanita tidak pernah wujud dalam sejarah peradaban Melayu.
Mentelah Islam telah menggariskan dengan jelas peranan yang dimainkan lelaki mahupun wanita.
Berbalik pada wacana, dipercayai, sekitar 1360-an, seorang puteri berketurunan Melayu, Siti Zubaidah, telah menyamar sebagai Syahar Pahlawan bagi menyelamatkan suaminya, Sultan Zainal Abidin, yang berada dalam tawanan China.
Menggunakan setiap inci daripada kelebihan yang terdapat dalam dirinya, Siti Zubaidah bergerak secara tersusun bagi menangani cabaran yang dihadapinya.
Bertentangan dengan budaya Barat yang cenderung meletakkan status lelaki pada tahap yang lebih tinggi, budaya Melayu akur akan kelemahan yang turut terabadi pada kaum lelaki.
Peri keayuan puteri-puteri Melayu tidak terletak pada sifat fizikalnya semata.
Bagi orang Melayu, segala citra keindahan rupa pada seorang gadis pastinya dapat dinilai tambah dengan kewujudan budi pekerti tinggi.
Memandang ke belakang, sekitar 1750-an, hadir seorang puteri Melayu yang begitu terkenal akan budi pekertinya yang tidak tertanding di samping berwajah ayu.
Kemasyhuran Mahsuri dicemburui ramai, termasuk Wan Mahura, isteri Dato' Pekerma Jaya, Penghulu Pulau Langkawi pada zaman itu.
Biarpun dicaci dan ditohmah dengan pelbagai hinaan, Mahsuri tetap berpegang teguh pada prinsipnya biarpun diancam nyawa. Pada saat-saat akhir riwayat hidupnya, Mahsuri sempat berdoa kepada Tuhan dalam keadaan pasrah dan reda.
Citra keayuaan kededua puteri yang disebutkan di atas diperteguhkan dengan kewujudan unsur-unsur selain wajah yang indah.
Jelas sekali, mereka turut berjiwa kental, berprinsip, bijaksana, beriman, berwibawa, dan berpekerti mulia selain sanggup berbakti demi agama, bangsa, dan negara.
Sesuai dengan konsep 'menjadi orang yang berguna', puteri yang indah dan ayu dianggap dapat berkhidmat pada masyarakat yang lebih luas.
Dalam konteks masa kini, wanita yang dianggap unggul dan ayu seharusnya sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan budinya.
Berhadapan dengan dunia yang semakin bergantung dan terpengaruh pada aspek lahiriah, nilai perwatakan dan keperibadian kaum puteri menjadi kian penting.
Apatah pula, nilai itu tidak dapat diajarkan atau diturunkan lewat penggunaan bahan kosmetik.
Kilauan emas dan kecantikan kosmetik sekadar bertindak sebagai usaha untuk menempel dan menyembunyikan kecelaan atau kekurangan yang ada.

No comments:

Post a Comment