Monday, July 23, 2012

warna dalam budaya melayu

5 Jun 2012
WARISAN MELAYU

Sistem Warna Dalam Psikologi Melayu

PELUKIS Moden Amerika, Georgia O'Keeffe, berkata: "Aku dapati bahawa aku dapat bersuara lewat bentuk dan warna. Bersuara dengan apa yang tidak dapat diungkapkan dengan sebarang kata mahupun cara yang lain."
Andai kata-kata beliau ini dijadikan pegangan, dapatlah dijangkakan betapa besarnya keupayaan dan peranan yang dimainkan warna.
Bahkan, warna dapat mengungkapkan apa yang tidak dapat dikatakan serta menyimpulkan makna tanpa huraian yang berjela.
Tanpa disedari, warna secara langsung mempengaruhi tindak-tanduk kita selaku manusia.
Barangkali, atas dasar tersebut, terdapat pelbagai tokoh Melayu yang namanya dipadankan dengan warna-warna tertentu.
Antaranya termasuklah Panglima Selimpang Merah, Daeng Kuning, Panglima Hitam, Tok Putih, Merah Silu dan sebagainya.
Turut tergolong dalam senarai tersebut merupakan Daeng Chelak yang merujuk pada warna merah dalam bahasa Bugis.
Jelasnya, warna-warna yang dipadankan dengan susuk diri mereka membawa pengaruh psikologi tertentu.
Lantaran itu, tidak menghairankan, warna-warna yang lazimnya ditanggapi sebagai tanda kelembutan tidak digunakan.
Misalnya, warna merah jambu pastinya sengaja tidak dikaitkan dengan susuk seorang pejuang, tidak kira sama ada si polan merupakan lelaki atau perempuan.
Sekiranya diperhatikan, tidak semua warna yang sedia diketahui masyarakat semasa digunakan sebagai rujukan terhadap tokoh-tokoh tersebut.
Malah, dalam penggunaan sekalipun, hanya warna-warna tertentu yang sering diulang-ulang.
Hal tersebut sebenarnya mencerminkan sistem warna dalam psikologi orang Melayu.
Dalam konteks pemikiran Melayu, hanya terdapat tujuh warna utama sementara warna-warna lain merupakan penyimpangan daripada warna-warna utama tersebut.
Dalam hal ini, warna-warna tersebut merupakan hitam, putih, merah, kuning, hijau, biru dan kelabu.
Meskipun begitu, berbalik pada konteks perbincangan, ada warna mempunyai nilai yang lebih tinggi dalam minda Melayu.
Demikian halnya antara warna yang paling bernilai dalam adat dan budaya Melayu merupakan warna kuning.
Menekankan betapa tingginya nilai warna tersebut, warna kuning turut dirujuk sebagai warna diraja. Malahan, menurut teks Sejarah Melayu, warna kuning diraja turut disebutkan sebagai 'kekuningan larangan'.
Menggariskan adab dalam berwarna, karya-karya agung Melayu secara tidak langsung turut menggambarkan nilai-nilai ketamadunan Melayu yang sedia hadir.
Terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri tentang betapa mundurnya kehidupan masyarakat tersebut pada zaman lalu. Teks-teks tersebut menjelaskan sistem dan protokol yang jelas dalam tatahidup masyarakat lalu.
Berbalik pada wacana, teks Sulalatus Salatin menjelaskan bahawa warna 'kekuningan larangan' tidak boleh digunakan dalam apa jua bentuk sekalipun melainkan sebagai kain, baju dan destar.
Bahkan, perhiasan rumah sekalipun tidak boleh menggunakan warna kuning diraja sebagai warna utama.
Perihal tersebut sebenarnya dapat dijelaskan lewat akal rasional dengan kesedaran bahawa warna kuning merupakan warna yang paling dekat dengan warna keemasan.
Malahan, Sulalatus Salatin turut menjelaskan dalam bab yang sama akan larangan memakai sebarang pakaian emas tanpa restu sultan.
Andai sengaja dilanggar, individu tersebut terpaksa didenda dengan membayar "sekati lima emas". Dalam kiraan moden, hal tersebut menyamai sekitar 1,280 kepingan emas.
Secara psikologi, perihal tersebut secara langsung memberikan kesan dan pengaruh terhadap peranan yang dimainkan setiap individu. Tanpa sepatah pun kata bicara, batasan akan setiap peranan dan tanggungjawab digambarkan secara jelas dan nyata.
Menariknya, andai diambil sistem istana Melaka dahulu sebagai piawai, warna yang lebih utama daripada kuning merupakan warna putih.
Mengikut sistem warna dalam kerajaan Melaka dahulu, warna putih dikhususkan penggunaannya untuk raja manakala kuning merupakan warna bagi anak raja.
Secara amnya, bergantung pada majlis adat istiadat, warna yang lazim digunakan para sultan merupakan kuning, putih dan hitam.
Menyusul warna pilihan sultan, warna-warna yang digunakan kemudiannya oleh warga istana yang lain sengaja dibezakan.
Seandainya sultan menggunakan warna kuning, warna-warna lazim yang digunakan merupakan ungu untuk anak raja, merah untuk panglima perang, hijau untuk datuk-datuk, biru untuk laksamana, hitam untuk datuk adat dan datuk bergelar, dan hitam polos untuk pendekar.
Jelas sekali, khususnya dalam majlis-majlis yang membabitkan pencemaran duli raja-raja, warna yang digunakan oleh setiap individu menjadi faktor penting. Implikasinya, pemakaian yang salah meletakkan pemakai sebagai seseorang yang tidak beradab sewajarnya.
Tanpa perlu mengungkapkan sebarang kata, warna membawa pengaruh psikologi dalam kaca mata masyarakat serta menandakan fenomena-fenomena tertentu dalam lingkungan sosio-budayanya.
Namun, lebih penting lagi, lewat penelitian sistem warna serta falsafah sebaliknya, dapatlah sebarang pemerhati jangkakan asal usul serta kedudukan orang tersebut.
Dalam konteks Singapura, andai difahamkan permaknaan merah dalam bendera Singapura, dapatlah dijangkakan pengaruh budaya Melayu yang agak kental di dalamnya. Nescaya, makna 'merah sebagai kesatuan' itulah yang turut ditonjolkan tentera Panglima Selempang Merah bagi menentang komunisme pada 1942.
Berbekalkan kain selempang merah di bahu setiap seorang, perajurit-perajurit Panglima Selempang Merah telah bersatu dalam menumpaskan pihak komunis.

1 comment: