7 Feb 2011
EKSTRA!
SASTERA
Belajar daripada kritikan sastera
KRITIKAN sastera amat perlu ditumbuhkan khususnya lewat karya penulis muda.
Pembaca, peminat sastera dan penulis sendiri dapat belajar banyak perkara daripada teguran seorang pengkritik sastera.
Tanpa kritikan, kita tidak belajar suatu apa pun dan tidak mungkin dapat pergi lebih jauh.
Sungguhpun kita sering mendengar bahawa penulis mengambil sikap terbuka apabila berdepan dengan kritikan, namun pada hakikatnya kebanyakan pengarang lebih gemar mendengar yang muluk-muluk saja daripada mulut orang lain tentang karya mereka.
Perkara ini diakui sendiri oleh novelis terkenal Somerset Maugham (1874-1965). Beliau berkata, 'People ask for criticism, but they only want praise.'
Pengkritik sastera yang baik bahkan mampu melonjakkan nama penulis ke tempat yang paling tinggi di mata masyarakatnya.
Hal ini mengingatkan kita pada penyair Chairil Anwar yang hanya dikenali setelah H.B. Jassin mengkritik dan membedah puisi-puisinya. H.B. Jassin bahkan cukup marah ketika mengkritik Aku, puisi Chairil Anwar yang masyhur itu.
Menurut H.B. Jassin, menerusi sajak Aku, Chairil Anwar telah memporakperandakan Bahasa Indonesia!
Seorang pengkritik sastera bukanlah semata-mata membuat penghakiman terhadap cerpenis, penyair, novelis dan penulis dalam semua genre penulisan kreatif yang lain.
Pengkritik sastera mesti jujur, objektif dan berusaha mendidik penulis agar menjadi lebih prolifik.
Kritikan terhadap sebuah karya sastera dibaca oleh banyak orang yang mudah pula menerima dan mempercayainya bulat-bulat.
Sukarlah penulis terutama yang muda menempuhi masa depannya yang digelapkan oleh kritikan seorang pengkritik sastera.
Penulis perlulah sedar bahawa apabila mereka berani menerbitkan karya, itu bermakna mereka mendedahkan diri mereka kepada kritikan.
Mereka mesti bersikap terbuka dan bersedia berubah untuk terus maju sebagai penulis dan sasterawan.
Jika mereka tidak sanggup menerima kritikan, lebih baik mereka tidak berkarya. Benarlah apa yang disebutkan oleh Elbert Hubbard (1856-1915) 'To avoid criticism do nothing, say nothing, be nothing.'
Polemik dan kritikan sastera yang mundur mengakibatkan kurangnya majalah yang dapat kita beli bagi menikmati kritikan yang bernas, objektif dan menarik.
Jika kegiatan kritikan sastera tumbuh dan subur, tentulah kita dapat membaca majalah dan media selain Dewan Sastera di negara ini.
Memang ada usaha pelbagai pihak menerbitkan majalah yang lebih baik daripada Dewan Sastera, tetapi semuanya berkubur, antara lain kerana faktor kewangan dan ketiadaan sambutan daripada penulis dan pembaca.
Pada tahun 1950-an, para tokoh Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50), Hamzah Hussin dan Asraf Haji Wahab menjuarai perdebatan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat'.
Ini suatu polemik yang penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden. Ketika itu kepimpinan Asas '50 dikuasai oleh wartawan Utusan Melayu.
Hamzah Hussin beranggapan pengaruh badan-badan yang diharamkan pada tahun 1948 telah meresapi Asas '50.
Hamzah mengesan sikap antiagama dan tercium unsur-unsur komunisme dalam karya dan wacana yang mereka hasilkan melalui pendekatan 'seni untuk masyarakat'.
Bertolak dari situ Hamzah kemudian mempergiatkan gerakan 'seni untuk seni'. Dan semakin suburlah kritikan sastera di tanah air.
Polemik dan kritikan sastera menjadi lebih rancak sekitar '70-an dan '80-an tetapi tidak dapat bertahan lama.
Dalam perkembangan sejarah Malaysia beberapa karya sastera telah menjadi tumpuan pengkritik sastera antara lain termasuklah Maharaja Beruk dan beruk-beruk lainnya oleh Yahaya Ismail yang diterbitkan pada 1988 dan Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim (1990).
Lebih sedekad lalu novel Shit tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pula menimbulkan polemik yang agak besar juga. Kita terpaksa memikirkan semula bahawa sebuah karya sastera tidak semestinya mengungkapkan hanya yang indah-indah saja.
Dalam era kritikan sastera yang statik sekarang, tugas mengkritik karya sastera berpindah ke tangan pengarang akhbar dan majalah atau panel hakim hadiah sastera.
Sebagai petugas media, pengarang akhbar dan majalah memilih dan menilai berdasarkan 'warna' tertentu yang menunjangi dan memayungi tempat mereka makan gaji. Panel hakim hadiah sastera pula berpegang pada garis panduan yang telah ditetapkan.
Para editor menentukan karya yang mana boleh termuat dalam akhbar yang berkenaan, manakala panel hakim memilih karya mana yang wajar diberikan hadiah.
Setelah sesebuah karya diterbitkan baru pembaca dapat menilainya dan kalau mungkin, mengkritiknya.
Nota: Rencana ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia
Tuesday, February 8, 2011
Pelajaran dari kejatuhan Melaka
7 Feb 2011
EKSTRA!
SEJARAH
Pelajaran dari kejatuhan Melaka
Oleh
Muhamad Razak Idris
BARANGKALI ramai tidak menyedari bahawa tahun ini genap 500 tahun Kesultanan Melayu Melaka jatuh daripada putaran kekuasaan peradaban.
Menurut catatan sejarah, penjajah Portugis menewaskan Melaka pada 1511 dan terus menguasai empayar ini 100 tahun kemudian.
Baru-baru ini, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menganjurkan konvensyen memperingati 500 tahun kejatuhan Melaka di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Antara pembentang utama ialah Datuk Dr Hassan Ahmad. Beliau tidak asing lagi di Malaysia dari segi kedalaman ilmu berkaitan susur galur peradaban Melayu dan Islam di rantau ini.
Kertas kerja beliau 'Kejatuhan Melaka Sebagai Pelajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini' mustahak untuk dikongsi.
Sebagai umat Melayu, kita harus menyedari Kesultanan Melayu-Islam Melaka sebelum kejatuhannya ialah peradaban besar dan kuat.
Ketika itu Melaka bersama kesultanan Melayu-Islam seperti Samudera-Pasai, Aceh Darussalam dan kerajaan di timur Selat Melaka meliputi kepulauan Maluku, Ternate dan Mengkasar.
Semua kesultanan ini tunggak yang membangunkan peradaban Melayu-Islam di Nusantara menjadi empayar yang amat kuat. Kedudukan dan peranan Melaka ketika itu amat penting sekali.
Dalam tulisan pencatat diari bangsa Portugis, Tome Pires, menyatakan: 'Siapa menguasai pelabuhan Melaka, mereka dapat mencekik leher Venice.'
Gambaran yang meletakkan kepentingan Melaka sejajar dengan Venice, kota perdagangan di Eropah, menjelaskan dengan pengaruh dan peranannya di dalam dunia antarabangsa pada waktu itu dan kekuasaan peradabannya.
Menurut Datuk Dr Hassan: 'Melaka tidak saja sebagai pusat perdagangan dan pusat kuasa politik Melayu di seluruh rantau ini, tetapi juga pusat perkembangan Islam dan bahasa Melayu yang berpengaruh dan digeruni oleh kerajaan Melayu yang lain, termasuk juga kerajaan Majapahit Jawa.'
Kisah kekuasaan peradaban Melayu-Islam Melaka bukan direka.
Ramai pengkaji dan penulis mencatatkan keadaan sama apabila menggambarkan keadaan kesultanan ini.
Apakah faktor atau ciri kesultanan ini sehingga menjadikannya peradaban kuat? Ini antara aspek dan persoalan menarik yang perlu ditelusuri.
Dalam beberapa bacaan, saya menemui beberapa ciri berikut yang membawa kepada kemajuan peradaban Melaka. Ciri ini boleh juga dianggap antara jati diri utama umat Melayu-Islam ketika era kesultanan Melaka.
Ciri pertama ialah kesultanan Melaka dianggotai masyarakat perdagangan yang kebanyakan tertumpu pada aktiviti kelautan.
Pedagang dari Timur dan Barat menjadikan Melaka pangkalan perniagaan sehingga pelabuhan Melaka begitu rancak dan strategik. Keadaan ini tentu menyumbang kepada sumber pendapatan kesultanan dan menggiatkan import dan eksport serta pembangunan ekonomi tempatan.
Jati diri masyarakat Melayu Melaka pada waktu itu sebagai masyarakat dagang seperti tergambar di dalam Undang-undang Laut Melaka.
Dalam kata lain, satu peraturan khusus diwujudkan kesultanan bagi memastikan urus niaga dan perdagangan ini terus berkembang sejajar aturan yang telus dan adil.
Ciri kedua Kesultanan Melaka sifat majmuk masyarakatnya.
Dalam satu catatan, dikatakan ada 84 bahasa asing digunakan ketika keagungan kerajaan Melaka.
Namun, bahasa Melayu adalah bahasa pengantara utama. Dikatakan juga penduduk Melaka terdiri daripada orang Gujerat, Benggali, Tamil, Arab dan Parsi.
Keadaan masyarakat majmuk ini adalah gambaran jiwa dan minda masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu itu yang bersifat terbuka atau berminda sejagat.
Sekiranya masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu berwatak tertutup, tentu sekali Melaka tidak mampu menjadi sebuah peradaban yang bersifat global dan terkenal.
Ciri terpenting lain ialah masyarakat Melayu-Islam Melaka hidup bersendikan hukum.
Hal ini tergambar dalam penggubalan Undang-undang Melaka yang mengandungi segala peraturan dan perundangan mengawal pergerakan masyarakat.
Jika kita telusuri Undang-undang Melaka, ia meliputi hukum perlembagaan, jenayah, pertanian, laut, sosial dan bahasa.
Ciri ini memainkan peranan amat bermakna di dalam mewujudkan ketenteraman di dalam masyarakat dan menimbulkan keyakinan seluruh masyarakat sama ada pada peringkat tempatan atau luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai pusat segala urusan kehidupan.
Keyakinan terhadap sistem perundangan yang telus, adil dan bebas mengundang kedatangan pelaburan yang meluas ke Melaka dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pula.
Nota: Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan rencana ini dipetik daripada akhbar Berita Harian Malaysia

Tuesday, February 1, 2011
Percutian
1 Feb 2011
EKSTRA!
Menuju puncak...
Penulis seronok takluki Gunung Kinabalu walau teruji daya mental dan fizikal
Oleh
Srinurainn Darmawan
PENGALAMAN berkunjung ke Sabah adalah suatu pengalaman yang tidak dapat diperolehi dan dialami di Singapura.
Pengalaman yang manis akan sentiasa kekal di ingatan.
Saya dan rakan-rakan seramai 20 orang disertai lima guru dan seorang ketua rombongan berjaya mengatasi segala rintangan sehingga berjaya menakluki Gunung Kinabalu di Sabah.
Kapal terbang JetStar yang rombongan kami naiki berlepas dari lapangan terbang Changi pada 10.35 pagi. Penerbangan kami memakan masa selama kira-kira dua jam.
Setibanya di lapangan terbang Sabah, perasaan tenang terus menyelubungi kami, selain nikmat pemandangan indah yang diwarnai kecantikan alam semula jadi.
Kami terus menuju ke restoran Sri Melaka untuk menjamu selera selepas perjalanan kami yang memakan masa selama dua jam.
Selepas menjamu selera, kami menuju ke destinasi kami di Rose Cabin untuk merehatkan tubuh yang letih.
Hari pertama kami di Sabah merupakan hari untuk kami berehat kerana kami akan mendaki Gunung Kinabalu pada keesokan hari.
Kami sedar betapa pentingnya kami mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum pendakian bermula.
Pengembaraan mendaki Gunung Kinabalu bermula pada 7 pagi. Kami dibahagi kepada empat kumpulan, sebelum memulakan objektif pertama - mendaki ke pertengahan gunung setinggi 4.5 kilometer.
Ketua rombongan kami, Joe, mengingatkan bahawa kami harus sampai ke destinasi seterusnya, Pandant Hut, sebelum matahari terbenam.
Mujur, semua empat kumpulan berjaya tiba di Pandant Hut pada waktu yang ditetapkan. Di situ kami bermalam sebelum bermulanya objektif yang kedua - mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Pendakian ke puncak merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan amat mencabar kerana kami harus meneruskan pendakian dalam keadaan yang mengantuk dan letih yang amat sangat. Bayangkan, kami memulakan pendakian pada 2 pagi.
Perjalanan ke puncak gunung sungguh menguji daya kekuatan mental dan fizikal masing-masing kerana dalam perjalanan kami ada beberapa laluan yang becak dek hujan.
Kekuatan dan kemantapan tangan kami juga diuji kerana kami harus menggunakan tali untuk meneruskan pendakian ke puncak.
Terus terang saya katakan, ia sungguh mencabar sebab kami bukan sahaja menarik berat badan sendiri, malah harus menarik beg kami yang amat berat untuk ke sampai ke puncak.
Misi pendakian tersebut adalah sampai ke puncak sebelum 6 pagi.
Kumpulan saya sahaja yang berjaya mengharungi cuaca yang sangat sejuk iaitu paras suhu 10 darjah Celsius.
Kami sungguh terpegun dan diam terpaku sejurus sahaja kami melihat keindahan terbitnya matahari.
Sungguh indahnya pada saat itu!
Itulah kali pertama dalam hidup kami dapat melihat matahari terbit dengan jelas.
Yang membuat pengalaman tersebut suatu yang tidak dapat dilupakan ialah kami menyaksikannya di atas gunung tertinggi di Asia.
Perjalanan menuruni gunung adalah satu lagi kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana kami seolah-olah sedang berjalan di bulan!
Kami terhuyung-hayang apabila berjalan menuju ke destinasi seterusnya.
Mungkin disebabkan ketinggian gunung dan mungkin juga keletihan yang amat sangat di kaki kami!
Akhirnya, kami berjaya mengakhiri perjalanan turun ke bawah pada 8 malam.
Dalam keadaan yang letih dan mengantuk, kami singgah sebentar di Rose Cabin untuk mengambil beg yang kami tinggalkan pada siang hari. Kemudian kami terus menuju ke bandar untuk ke tempat penginapan kami yang terakhir di Sabah, Borneo Backpackers.
Aktiviti terakhir kami ialah berakit di sungai - satu aktiviti yang memerlukan kami merentasi sungai yang begitu deras. Sungguh menggerunkan!
Namun, kami dapat mengatasi perasaan gerun itu kerana segala-galanya yang gerun bertukar menjadi perasaan seronok yang sukar digambarkan.
Rasa pilu menyelubungi hati kami apabila tiba masa kami mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah.
Pengalaman yang dilalui di sana tidak akan pudar daripada ingatan kami kerana percutian ke Sabah beramai-ramai ini mungkin peluang yang datang hanya sekali dalam hidup kami.
Nota: Penulis seorang pelajar berusia 16 tahun.

Cinta pada bahasa ibunda
30 Jan 2011
FORUM
Melayu perlu ada rasa cinta pada bahasa ibunda
SEBAGAI bekas pendidik yang mengajar bahasa Melayu selama 42 tahun, saya ingin berkongsi pengalaman saya di samping memberi respons mengenai masalah penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Guru-guru seangkatan saya berasa tersangat sedih dan prihatin mendengar keluhan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin mengenai isu ini. Ada yang mengajar semula setelah pencen demi anak didik bangsa.
Beberapa tahun lalu, Bahasa Melayu adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling mudah untuk memperolehi A*/A bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan A1/A2 bagi peringkat menengah. Ada yang terus dapat menguasainya dengan cemerlang hingga kini.
Semenjak bahasa Inggeris dan matematik dititikberatkan, ramai di kalangan masyarakat Melayu kita mengambil ringan tentang kepentingan bahasa Melayu, bahasa ibunda kita, sehingga timbul masalah penguasaan bahasa ibunda itu.
Setiap penyakit ada ubatnya.
Segera berubat jika terdapat tanda-tanda sesuatu penyakit. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita patut bertindak segera.
Jika kita sibuk berusaha gigih untuk mengubati sakit lemah jantung, kini kita diserang pula penyakit lemah semangat! Semangat yang saya maksudkan ialah lemah semangat kebangsaan, kekitaan dan perjuangan.
Bukankah bahasa itu merupakan satu ciri penting sesuatu bangsa?
Bahasa adalah jiwa satu-satu bangsa. Ada di antara mereka yang tidak menghiraukan langsung atau rasa bersalah jika anak mereka lemah dalam bahasa ibunda. Ini membuktikan mereka tidak cintakan bahasa ibunda sendiri.
Para pencinta bahasa berusaha gigih menaiktarafkan bahasa ibunda di sekolah dengan pelbagai inisiatif dan program. Badan-badan bahasa dan budaya pula menganjurkan pelbagai aktiviti. Pemerintah mengadakan pelbagai latihan bagi guru dan kini gigih dalam usaha pengambilan guru baru.
Ini selain menaikkan gaji para guru dan menyuntik jutaan dolar bagi menggalak dan menjayakan terus penggunaan bahasa ibunda.
Adakah matlamat kita ini akan tercapai?
Pada pendapat saya, jika para ibu bapa dan pendidik tidak tersemat rasa cinta pada bahasa ibunda serta punya semangat perjuangan dan pengorbanan, usaha akan tersiasia.
Rasa cinta pada sesuatu perkara itulah yang menjadi pemangkin dalam diri setiap individu untuk berjaya dalam apa yang dicita-citakannya.
Saya sokong perubahan yang dibuat pihak kementerian. Ini hanya dimulakan pada 2013. Hasilnya akan dilihat dalam peperiksaan 2017.
Bagaimana pula nasib murid-murid masa kini yang lemah, yang sedang sakit dan yang parah dalam bahasa ibunda?
Adakah apa-apa perubahan drastik dibuat untuk mereka? Adakah kita akan tetap teruskan apa yang telah dirancang hingga mereka mengalami barah pula dalam bahasa ibunda? Kita di Singapura ini terlalu menekankan soal ekonomi dan keputusan peperiksaan!
Aminah Ali

Sama-sama Waspada apbila berbicara isu sensitif
2 Feb 2011
FORUM
Sama-sama waspada apabila berbicara isu sensitif
TENTUNYA kenyataan rasmi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bahawa pandangan Menteri Pembimbing (MM), Encik Lee Kuan Yew, tidak didukung oleh beliau dan pemerintah, meredakan keadaan dan perasaan tersinggung masyarakat Melayu/Islam kita.
Episod sebegitu mengajak kita memikirkan beberapa perkara dan diharap ia dapat mengurangkan kemungkinan berulangnya isu-isu seperti itu pada masa hadapan.
Pertama, mengikut MM Lee orang Melayu/ Islam adalah paling kurang integrasi di Singapura – kerana mereka "berbeza dan terpisah" jika dilihat dari segi pakaian dan amalan makanan mereka.
Jawapan beliau untuk menyelesaikan isu ini: "Kurangkan ketaatan kepada amalan-amalan agama."
Kenyataan MM Lee itu bukanlah baru.
Beliau berhujah sedemikian semenjak 1988 lagi apabila beliau kesali apa yang dilihat sebagai keinginan masyarakat Melayu/Islam berpakaian, makan dan berkelakuan seperti apa yang disebutnya orang Islam di Timur Tengah.
Pada 2001, setelah memerhatikan betapa Muslim kelihatan bertambah taat kepada agama, beliau terus merumuskan Singapura menghadapi masalah.
Kini, beliau ulang lagi sentimen yang sama.
Kedua, keprihatinan beliau tentang perlunya integrasi kaum di negara ini memang berasas.
Malah, semua kaum di Singapura perlu berusaha demi menuju arah matlamat tersebut.
Sebagai penganut Islam, orang Melayu faham dan terima dasar menghormati kepelbagaian kaum dan agama kerana inilah yang dianjur agama kita.
Masyarakat Melayu/Islam kita telah banyak berusaha mengamalkan sikap toleransi, menghargai orang-orang bukan Melayu, mempunyai kawan daripada pelbagai agama, dan telah membuktikan semangat mahu membina sebuah negara yang berintegrasi dan bersatu padu.
Ketiga, hakikat bahawa masyarakat kita tidaklah seperti yang dinyatakan MM Lee telah banyak dibuktikan menerusi data dan kesimpulan daripada beberapa kajian beberapa profesor universiti dan institusi disegani, seperti Institusi Kajian Dasar (IPS) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
Satu kajian awal oleh IPS lebih kurang pada 2002 menunjukkan bahawa 95 peratus orang Melayu mendapati Singapura sebagai negeri yang baik untuk dijadikan tempat tinggal jika dibandingkan dengan hanya 89 peratus rakyat Cina dan 77 peratus rakyat India yang berpendapat sedemikian.
Satu lagi hasil kajian IPS pada 2009 mendedahkan orang Melayu menduduki tempat teratas dalam aspek ‘kesediaan untuk berkorban’ bagi Singapura.
Baru-baru ini, kajian NYC menunjukkan orang Melayulah yang mencatat markah tertinggi dalam aspek ‘mempercayai kaum lain’.
Malah, dalam sejarah, orang Melayu telah turut menyumbang bakti mereka dan cukup membuktikan taat setia mereka kepada negara, termasuk semasa perjuangan dan pengorbanan rejimen Askar Melayu.
Begitulah juga reaksi orang Melayu apabila berlakunya perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965.
Bukan sahaja pengundi Melayu banyak yang mengundi Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan bukan Umno, bahkan apabila ada tawaran tanah luas khas di Johor untuk Melayu Singapura, dan banyak lagi tawaran pekerjaan yang baik di Malaysia, sebahagian besar rakyat Melayu Singapura masih mengambil keputusan tidak berhijrah ke Malaysia.
Kenyataan MM Lee bahawa kononnya orang Melayu dan Islam merupakan masalah besar dalam usaha pemerintah mahu mengintegrasikan negara yang berbilang bangsa dan agama ini, jelasnya tidak tepat; malah yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.
Maka itu, mujur PM Lee dan Kabinet mengasingkan diri daripada pandangan MM Lee.
Kurangnya integrasi di negara lain bukan tertakluk kepada keinginan sesuatu kaum atau agama untuk mengenakan pakaian berbeza dan makanan berlainan dan tersendiri – tetapi pada isu lebih besar, iaitu pembangunan negara secara keseluruhannya, termasuk bagaimana sebuah negara itu diperintah dan tahap penglibatan rakyat dalam sama-sama membina negara.
Akhir sekali, diharapkan pada lain masa, para pemimpin kita akan lebih berhati-hati apabila mengeluarkan komen atau menyentuh isu-isu sensitif seperti kaum, agama dan budaya.
Tabiat berterusan menunjuk jari kepada orang Melayu/Islam dan melahirkan rasa kurang senang mengenai tahap keislaman mereka perlu dihentikan segera.
Yang perlu juga kita titikberatkan adalah jika pemerintah mahukan semua golongan rakyat prihatin dan berwaspada apabila berbicara dan menyentuh isu-isu sensitif seperti kaum dan agama, diharapkan para pemimpin kita juga harus sama-sama menjunjung prinsip ini.
Profesor Madya Dr Hussin Mutalib

Subscribe to:
Posts (Atom)