Tuesday, July 24, 2012

cindai

DIKAITKAN DENGAN PUNTIANAK: Penganut aliran mistik mendakwa kain cindai merujuk pada pakaian puntianak. Kepercayaan ini dikukuhkan lewat filem 'Pontianak Harum Sundal Malam' (2004) dengan pelakon utamanya Maya Karin. Filem ini banyak menonjolkan kain-kain yang melayang terbang di langit malam.

- Foto PESONA PICTURE


Warisan Kita

Cindai Dipercayai Punya Kuasa Sakti


Tekstil berasal dari Gujerat banyak mempengaruhi peradaban Melayu


Cindailah mana tidak berkias
Jalinnya lalu rentah beribu
LAGU Cindai yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza ini bukan sahaja popular malah banyak diperkatakan dalam kalangan pendengar.
Sedangkan cindai yang dimaksudkan dalam lagu tersebut sebenarnya merujuk pada sejenis kain yang berasal dari Gujerat, India, tidak kurang pula individu yang mendakwa bahawa cindai sebenarnya merujuk pada hantu puntianak.
Demikian halnya, lagu Cindai ditanggapi sebilangan pendengar sebagai lagu yang berhantu.
Ada yang berpendapat lagu tersebut memuja kehadiran puntianak dalam alam mistik Melayu.
Khususnya bagi penganut aliran mistik, cindai ataupun kain kelubung yang dipakai puntianak kononnya dapat memberikan kuasa sakti dan mampu menyembunyikan tubuh si pemakai hingga tidak dapat dilihat orang.
Bagi mereka, cindai secara khususnya merujuk pada pakaian puntianak.
Kepercayaan tersebut dikukuhkan lewat filem Pontianak Harum Sundal Malam pada 2004 yang banyak menonjolkan kain-kain yang melayang terbang di langit malam.
Tanpa disedari mereka, cindai yang mereka bincangkan sebenarnya merupakan antara khazanah tekstil yang paling bermakna dalam peradaban Melayu.
Selain songket dan batik yang sedia dikenali ramai, cindai merupakan sejenis kain yang banyak mempengaruhi peradaban Melayu.
Menurut penelitian beberapa sarjana di Indonesia, sekitar akhir abad ke-18 kain-kain cindai mula sukar didapati di Nusantara.
Ini mendorong pengusaha-pengusaha batik di Indonesia cuba meniru ragam hias dan motif-motif biasa pada kain cindai.
Hasilnya, terlahirlah motif jelamprang di Pekalongan dan nitik di Yogyakarta yang menampilkan pola motif yang serupa.
Peniruan tersebut dilakukan bagi menampung permintaan dan minat yang meluas dalam kalangan warga istana serta kalangan bangsawan di Indonesia masa itu.
Dalam ruang lingkup Tanah Melayu, cindai sebenarnya lebih daripada sekadar kain penghias tubuh.
Ia juga digunakan sebagai alat pertahanan diri bagi orang Melayu. Dipercayai bahawa jumlah tenunan kain cindai yang banyak menjadikannya kukuh dan mampu menahan tikaman senjata.
Dengan peredaran masa, penggunaan cindai sebagai tekstil oleh pahlawan Melayu telah digantikan dengan kain-kain lain yang serupa panjangnya.
Dalam konteks ilmu peperangan Melayu, seni cindai merujuk pada kemahiran pahlawan Melayu dalam menggunakan kain sebagai senjata.
Hal tersebut antaranya dapat ditelusuri lewat penulisan Hikayat Hang Tuah yang mencatatkan "ikat pinggang kesumba murup bersurat doa besar-besar".
Dalam pertarungan sengit antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, setelah Jebat ditikam oleh Tuah dengan keris Taming Sari, beliau sempat membalut lukanya dengan kain cindai sebelum turun ke bawah dan mengamuk lagi.
Diriwayatkan, Hang Jebat hanya benar-benar mangkat setelah Hang Tuah membuka balutan kain cindai tersebut.
Lebih menarik lagi, pertarungan antara Tuah dengan Jebat sekali gus menerangkan rasional pahlawan Melayu dahulu.
Jelasnya, senjata lawan bagi keris merupakan kain. Bagi Jebat, tatkala melihat Tuah begitu beria-ia hendak menikam dan membunuhnya, beliau terus melompat dan menyentap kain tabir untuk dijadikan senjata.
Kononnya, hal tersebut selaras dengan pesan guru kedua-dua pahlawan tersebut, Adi Putera, yang mendidik mereka akan kehebatan seni cindai dalam menangani senjata keris yang lazim digunakan dalam alam Melayu.
Selain digunakan sebagai lilit pinggang dan kepala, kain cindai turut digunakan dalam sebarang keadaan dan persekitaran.
Misalnya, dalam berhadapan dengan musuh di kawasan yang dekat dengan air, kain cindai boleh dibasahkan bagi meningkatkan daya ketahanan kain serta menambahkan lagi bisa pada kain apabila digunakan untuk melibas dan memukul lawan.
Antara bahagian tubuh musuh yang sering menjadi sasaran serangan cindai ialah muka dan mata.
Secara rasionalnya, kain cindai dilihat masyarakat Melayu dahulu sebagai hasil tekstil yang berteknologi tinggi.
Cindai yang berasal dari Gujerat di benua India yang begitu jauh dianggap masyarakat setempat sebagai hasil tekstil yang eksotik, sekali gus meningkatkan nilainya pada pandangan orang Melayu.
Ditambah pula dengan kecenderungan masyarakat Melayu terhadap alam ghaib dan mistik, kain cindai langsung dikaitkan dengan puntianak yang secara kebetulan turut elusif dan sukar difahami masyarakat.
Meskipun begitu, dalam konteks zaman yang semakin canggih dan menuntut penggunaan nilai akal, kain cindai sewajarnya diangkat sebagai pusaka warisan yang turut mewarnai peradaban Melayu.

No comments:

Post a Comment