Thursday, August 2, 2012

Strategi bina bahasa Melayu


E-mel Dari Melbourne

Perlu strategi bina bahasa Melayu



LEBIH separuh daripada 6,000 bahasa lisan di dunia bakal digantikan bahasa lebih utama. Ertinya, lebih 3,000 bahasa tidak akan digunakan lagi pada akhir abad ke-21.
Laman 'Atlas Bahasa Dunia Dalam Bahaya' (Atlas of the World's Languages in Danger) 2009 terbitan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unesco) melaporkan bahasa dalam bahaya terdapat di segenap tempat di dunia, termasuk Australia.
Menurut banci penduduk Australia pada 1996, pengguna bahasa peribumi membentuk 12.1 peratus. Ia merosot ke 11.1 peratus pada 2001 dan 9.2 peratus pada 2006.
Sejak era penjajahan British, bahasa peribumi di Australia telah merosot dan digantikan dengan bahasa Inggeris. Daripada 250 bahasa orang asli di Australia, kini tinggal 145 bahasa peribumi yang masih lagi digunakan.
Keadaan di Australia menyebabkan saya menghargai usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) merancakkan dan menyelaraskan aktiviti kebahasaan di tanah air seperti Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan.
Baru-baru ini, MBMS mengadakan Bulan Bahasa (30 Jun hingga 15 Julai) yang sayangnya tidak cukup sebulan tetapi dua minggu saja kerana ketibaan bulan puasa.
Namun, apakah langkah atau strategi MBMS memastikan bahasa Melayu akan terus digunakan di Singapura, terutama bagi masyarakat Melayu yang membentuk 13 peratus penduduk?
Saya juga sering mengalu-alukan setiap perayaan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP). Setiap 9 Ogos, saya berbangga menyaksikan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perintah NDP. Apalagi apabila Lagu Kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa Melayu dan melihat 'jata' (coat of arms) 'Majulah Singapura' masih menjadi lambang Singapura.
Amanat Perdana Menteri pada setiap rapat Hari Kebangsaan pula dimulakan dengan Bahasa Kebangsaan. Perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu masih lagi subur di tanah air.
Namun, adakah kebanggaan tadi berasas untuk jangka panjang?
Kita perlu menilai perubahan masa dan sikap masyarakat pada bahasa. Seorang pembaca bukan Melayu, Encik Ajit Singh, menulis kepada The Straits Times pada 5 Julai lalu, mempersoal arah masa depan bahasa Melayu dan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Beliau berpendapat tidak ramai warga bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka tiada sebab kukuh berbuat demikian.
Tentulah pandangannya mencerminkan pandangan ramai lagi warga bukan Melayu di tanah air.
Maklum balas secara telus ini pernah disuarakan oleh seorang pembaca akhbar ini, Haji Sairi Manan, bahawa bahasa Melayu mungkin akan menjadi 'bahasa asing' pada 10 hingga 15 tahun seandainya warga Melayu terus tidak rajin menggunakannya.
Sejarah mengingatkan sikap orang Melayu yang membawa penutupan sekolah aliran Melayu.
Sesudah perpisahan Malaysia- Singapura, ibu bapa Melayu 'berhijrah minda' dengan menghantar anak mereka ke aliran Inggeris.
Menurut dua ahli sains politik, Seah Chee Meow dan Linda Seah, dalam makalah Education Reform and National Integration dalam buku Singapore: Development Policies and Trends suntingan Peter S.J. Chen, ramai pelajar aliran Melayu bertukar ke aliran Inggeris kerana mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknikal diajarkan dalam bahasa Inggeris dan demi pekerjaan masa depan.
Perubahan sikap ini menyaksikan bilangan pelajar dalam aliran Melayu pada 1969 yang hampir 24,000 orang merosot kepada 1,029 orang pada 1979.
Desakan Majlis Pelajaran Melayu mendorong penubuhan Sekolah Menengah Sang Nila Utama (SNU) sebagai sekolah tunggal aliran Melayu yang menawarkan pendidikan prauniversiti. Ia didirikan pada 1961 dan berhenti menerima pelajar prauniversiti aliran Melayu pada 1979. Akhirnya ia ditutup pada 1988. Kini bangunannya digunakan askar Gurkha.
Soal sikap orang Melayu turut dikritik Suratman Markasan pada 1992. Beliau menyalahkan golongan Melayu berpendidikan Inggeris kerana berwatak tidak setia dengan mengabaikan bahasa ibunda mereka sendiri.
Melayu berpendidikan Inggeris marah-marah apabila melihat papan tanda berbahasa Inggeris dan Cina di pusat pertukaran bas, namun sering menggunakan bahasa Inggeris di rumah atau apabila bersembang. Golongan ini juga sering merungut kerana tidak banyak karya seni diilhamkan dalam bahasa Melayu. Anehnya, mereka tidak pun membeli atau membaca buku Melayu.
Dari segi geopolitik dan perhubungan, Singapura tidak boleh mengetepikan bahasa Melayu yang luas digunakan di Indonesia, Malaysia dan Brunei. Bahasa Melayu sebagai bahasa keenam terbesar di dunia dengan potensi penutur sekitar 300 juta orang.
Di Singapura, MBMS perlu mengatur strategi serampang dua mata - membangun Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu yang mudah difahami untuk bukan Melayu seperti menyanyikan Lagu Kebangsaan) dan bahasa Melayu untuk masyarakat Melayu.
Peringkat utama bagi masyarakat Melayu hendaklah disasarkan pada ibu bapa Melayu yang perlu gigih lagi berdisiplin menggunakan bahasa Melayu yang baik di rumah, terutama semasa mengasuh anak.
Peringkat selanjutnya ialah gerakan badan Melayu termasuk pertubuhan, masjid sehinggalah balai rakyat. Dari surat-menyurat sehingga minit mesyuarat perlu kembali ditulis dan dibincangkan dalam bahasa Melayu yang baku.
Biarpun majoriti penduduk bukan Melayu, mereka perlu memahami budi bicara lautan Melayu rantau ini. Kian ramai warga tinggal di Malaysia atau Indonesia seperti Batam, maka kebolehan berbahasa Melayu memang perlu.
MBMS dan badan penyokongnya perlu berubah paradigma daripada mengadakan sekadar Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan semata. Strategi lebih ampuh diperlukan jika bahasa Melayu hendak disuburkan di Singapura dan menjadi 'penyatu' watan.

No comments:

Post a Comment