5 Apr
2012
KOMENTAR
PANDANGAN
Pelihara jati diri dengan fasih bahasa
Oleh
Mohd Maidin Packer Mohd
BEBERAPA tahun lalu, saya tercengang-cengang mendengar berita perdana Radio
Televisyen Malaysia (RTM) yang memapar orang Melayu Kuala Lumpur bertutur dalam
bahasa tersekat-sekat dan 'dicanggih' dengan campuran Inggeris.
Jenis 'kekok cakap Melayu dengan fasih' itu sudah pun melanda muda-mudi
Singapura lebih awal.
Kekata Inggeris yang diganti bukanlah unik. Ada pilihan yang biasa digunakan.
Tetapi orang muda itu terfikir-fikir mencari perkataan yang sesuai. Akhirnya
tersembur Inggeris.
Sejak itu, saya dapati hal serupa menonton berita TV3 atau saluran lain
Malaysia.
Pemuda kota seperti KL dan Singapura, yang amat terdedah dengan bahasa
Inggeris, mudah terikut mencampur atau menginggeriskan bahasa
Melayu.
Ada kalanya saya kasihan, ada kalanya kecewa. Kenapa susah sangat nak sebut
'cabaran' yang diganti dengan challenge atau 'keutamaan' yang diganti priority?
Lainlah kalau inflasi atau disiplin yang belum ada gantian tepat dalam bahasa
Melayu.
Baru-baru ini, saya tinjau sejenak beberapa akhbar dan TV Indonesia -
keadaannya lebih hebat (parah).
Jumlah kekata Inggeris yang diserap dan diindonesiakan luar biasa banyaknya
dan luas digunakan sehingga terasa seolah-olah karyawan muda Indonesia, terutama
di Jakarta, sudah memulakan 'arus peralihan' - menggantikan satu persatu kata
Melayu baku dengan Inggeris.
Selain singkatan yang banyak dicipta dan diguna (misal: wagub, mendagri),
mereka kian lumrah dengan kekata Inggeris yang diindonesiakan seperti efisiensi,
isolasi, aksi, posisi, komunikasi dan kompetisi. Orang muda hari ini cepat
menyadur dan memelayukan kekata Inggeris. Ada bezanya.
Kalau di KL dan Singapura, kekata Inggeris disebut dalam Inggeris (misalnya
excited dan situation), orang Indonesia menyebut 'ter-isolisasi' atau
'ke-isolisasi-an', menggantikan terpencil dan pemencilan; siap imbuhan
seolah-olah ia sudah diterima sebagai kekata tempatan.
Pengaruh Inggeris sungguh tentu lebih hebat di Singapura yang penduduknya
sudah lebih segenerasi bersekolah Inggeris. Anak muda hidup dengannya siang dan
malam, termasuk di rumah.
Bahasa ibunda kurang digunakan walaupun di rumah. Buku agama pun Inggeris
kerana 'kurang faham baca buku Melayu'. Bahkan kelas di madrasah hujung minggu
juga menggunakan buku bahasa Inggeris!
Bahasa Inggeris dipakai di rumah memang suatu kelaziman. Ibu bapa muda mahu
pendedahan secukupnya agar anak-anak siap ke sekolah dengan penguasaan yang
mantap. Mereka tidak mahu anak terpinggir sejak hari pertama masuk kelas. Maka,
jadilah Inggeris bahasa pertama keluarga.
Kita memahami keadaan ini, biarpun saya sendiri termasuk di antara kumpulan
terakhir aliran Melayu sampai ke prauniversiti. Sampai hari ini, saya rasa
bahasa Melayu saya lebih kukuh daripada bahasa Inggeris. Tentu yang sekolah
Inggeris lebih kukuh Inggerisnya.
Soalnya apakah mutu bahasa Melayu muda-mudi kita akan terus meleset? Apakah
bahasa Inggeris akan mengikis kefasihan berbahasa ibunda? Jika ada Singlish,
mungkinkah nanti Malish?
FAKTOR GURU BAHASA MELAYU
Kita tahu guru Bahasa Melayu (GBM) berperanan penting mendidik bahasa Melayu
yang betul dan setulen yang boleh. Ini juga satu cabaran kepada guru muda yang
diasuh dalam aliran Inggeris.
Namun, saya difahamkan kebanyakan GBM dapat memikul tanggungjawab dengan baik
kerana terlatih dan ada iltizam menjaga kemurnian bahasa ibunda. Mereka juga
ikuti kursus peningkatan.
TERAPKAN BUDAYA
Pendidikan bahasa juga perlu diadun dengan pemahaman budaya, sekali gus
membantu pelajar mengenal resam kegunaannya.
PERANAN MEDIA
Sebaran am - akhbar, radio dan TV - amat penting dalam aspek kebahasaan.
Dengan bahasa yang betul, rapi dan mudah, alat sebaran am menjadi sumber
bacaan dan rujukan harian yang berpengaruh menjaga mutu bahasa Melayu di sini.
Malangnya, oleh kerana kian ramai wartawan muda juga daripada aliran
Inggeris, saya dapati kemasukan kekata Inggeris kian ketara dalam ketiga-tiga
sumber berita bahasa Melayu itu.
Cuba anda ikuti sendiri. Mudah mengesannya.
Misalnya, terdapat susunan ayat, gaya cerita dan laporan berbau Inggeris,
dipengaruhi sumber berita dalam dan luar negeri yang berasal bahasa Inggeris,
kemudian diterjemah mengikut gaya asal.
Di bahagian bukan berita, keadaan lebih menyerlah. Sudah ada ruangan Ekstra
di BH dan Maintain di Suria. Drama TV dan radio banyak guna ayat Inggeris.
Mungkin penulisnya mahu mencerminkan keadaan hidup semasa.
Pada pandangan saya, ketiga-tiga sumber berita Melayu perlu bertahan dan
mengambil langkah menjaga saksiah (keaslian) bahasa Melayu. Usaha menjaga
keaslian ini perlu dijadikan bahagian penting budaya kerja mereka.
Jika mantap keaslian bahasa, tentu ia memberi kesan baik. Begitu juga
sebaliknya.
Jika alat sebaran am sama terikut arus generasi terdidik Inggeris, kemasukan
ini akan bertambah.
Ini boleh menjadi senjata makan tuan. Jika terlalu banyak kekata Inggeris,
apa perlunya masyarakat bersandar pada mereka lagi?
Dengan terjaga mutu bahasa, lepasan sekolah dan karyawan boleh terus
mendengar, menonton atau membacanya, dan ini akan mengukuhkan bahasa ibunda
mereka.
JAGA BAHASA
Perkataan juga ada nilai budayanya. Sebagai contoh, saya tercegat membaca
risalah ceramah dengan tajuk Rasulullah Idolaku. Saya tegur penganjur - kekata
'idola' itu tidak sesuai dikait dengan Rasulullah. Mereka sempat
mengubahnya.
Perkataan 'idola' (asalnya idol) tidak ada ruang dalam kehidupan orang Islam.
Idol sering dikaitkan patung dan sistem pemujaan berhala.
Ketika pembukaan Makkah, patung-patung pujaan (idols) inilah yang pertama
dimusnahkan oleh Rasulullah saw demi mengatasi pemesongan akidah.
Apakah kita mahu orang Islam 'meng-idola-kan' manusia? Penyeludupan kekata
ini ke dalam bahasa dan kehidupan orang Islam harus dikekang.
Jika mudah terikut angin Barat (contoh: American Idol), kita boleh terbabas
dengan cara dan amalan yang bercanggah. Begitu juga perkataan diva (dari
dewa-dewi) dari sumber bahasa silam, Sanskerta, yang digunakan semasa orang
Melayu masih Hindu.
Sejak kedatangan Islam kurun ke-13, para cendekiawan - pendakwah, pendita,
sasterawan, ahli bahasa istana dan orang tua-tua - sudah berusaha mengalih sosok
bahasa Melayu daripada berunsur Hindu kepada berteras Islam dengan kekata Arab
Al-Quran.
Mereka melakukan 'pembersihan' ini secara bertahap. Janganlah pula kelekaan
menyebabkan kita memasukkan semula kekata dengan percanggahan nilai.
Pemeliharaan bahasa adalah bidang yang tidak kurang penting. Ia perlukan
usaha bersama, berterusan dan dukungan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru,
asatizah dan alat sebaran am agar bahasa Melayu terus subur pada masa
depan.
Bahasa menjunjung budaya. Fasih bahasa, jiwai budaya agar mulia jati
diri.
No comments:
Post a Comment