24 Apr
2012
EKSTRA!
Pengaruh Dalam Busana Melayu
Perkembangan busana cerminkan kehidupan dan selera masyarakat
yang dinamik
Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib
BAYANGKAN situasi seorang laksamana yang berdiri segak atas anjung kapal.
Bajunya seolah-olah melambai-lambai atas hembusan angin laut.
Berdasarkan lakaran tersebut, dapatlah ditafsirkan kecenderungan busana dan
fesyen untuk berkembang mengikut tuntutan dan keperluan tertentu.
Fesyen memainkan peranan besar dalam perkembangan sebarang
tamadun.
Hal yang sama malah dapat dilihat dalam busana Melayu.
Sesuai dengan peredaran zaman, busana Melayu turut berkembang bagi
mencerminkan kehidupan dan selera masyarakat yang dinamik.
Busana sebarang peradaban dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya termasuk
faktor cuaca, alam persekitaran, pengalaman, kepercayaan, nilai dan norma
sesebuah masyarakat.
Sebagai sebuah masyarakat, bangsa Melayu mempunyai sistem sosial yang jelas
sejak zaman dahulu.
Lewat busana yang dikenakan, dapatlah dibezakan antara golongan marhaen,
pendekar, istana dan sebagainya. Perbezaan tersebut antaranya dapat diperhatikan
menerusi perlengkapan harian.
Menjelaskan status sosial seseorang, masyarakat Melayu telah mencipta sejenis
busana rasmi sekitar dua abad yang lalu.
Bergantung pada daerah dan fahaman, busana tersebut antaranya dapat dikenali
sebagai baju sikap, baju layang, baju mengan dan baju alang.
Di daerah Singapura, baju tersebut dikenali sebagai baju sikap.
Sehingga kini, baju sikap merupakan sebahagian daripada pakaian rasmi sultan
di Malaysia dalam istiadat-istiadat rasmi.
Dipercayai, baju sikap mula dipakai dua abad lalu di kalangan keluarga diraja
Kedah.
Di samping itu, pada 1910, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mengenakan
Baju Sikap semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di
London.
Hal ini secara langsung menunjukkan bagaimana busana Melayu dapat dianggap
sebagai pakaian formal, waimah dalam persekitaran Barat sekalipun.
Ia berbeza daripada tanggapan masyarakat kini berkenaan baju Melayu yang
dianggapnya kuno.
Sejarah busana Melayu dipercayai bertunas sekitar 1424-1444. Pada ruang waktu
tersebut, di bawah kerajaan Sultan Muhammad Syah, Sultan ketiga daripada empayar
Kesultanan Melayu Melaka, orang Melayu ditekankan dengan kepentingan mempunyai
identiti sendiri.
Lantaran itu, beliau bertitah supaya rakyatnya menghindari pemakaian cara
'atas angin' mahupun 'bawah angin'.
Cara pemakaian 'atas angin' merujuk pada cara pakaian kaum Arab, India dan
Eropah manakala 'bawah angin' merujuk pada China dan Khmer.
Dikenakan dengan tengkolok, seluar, kain sampin, bengkung dan keris, baju ini
membawa imej Melayu yang kental.
Malahan, sehingga kini, sukar dicari sebarang potongan baju Melayu moden yang
dapat menandingi nilai ketampanan yang mampu diberikannya.
Atas dasar tersebut, sewaktu mula diperkenalkan, baju sikap hanya dikenakan
golongan kerabat diraja, bangsawan, dan bergelar.
Selayaknya, baju sikap hanya dipakai oleh golongan Bangsawan yang berdarah
raja di samping individu yang bergelar.
Jadi, bukan semua orang boleh memakai baju sikap ini.
Tanpa disedari, pemakaian baju tersebut menggariskan perbezaan antara
golongan marhaen dan ternama.
Menekankan perbezaan tersebut, kesusasteraan seterusnya digunakan sebagai
alat utama dalam memastikan rakyat memahami perbezaan yang
digariskan.
Fenomena tersebut antaranya dapat diperhatikan dalam Hikayat Malim Deman.
Lewat sastera tradisional itu, baju layang ataupun baju sikap kepunyaan Puteri
Bongsu telah dicuri Malim Deman yang ketika itu dalam penyamaran.
Akibatnya, Puteri Bongsu tidak dapat pulang semula ke kayangan lalu menetap
di Bandar Muar bersama Malim Deman.
Namun Malim Deman akhirnya terperangkap dalam kancah negatif sehinggakan
isterinya merajuk.
Akhirnya, setelah menemui baju layang yang disembunyikan, Puteri Bongsu
pulang ke kayangan bersama anak mereka.
Mempamerkan kecenderungan serupa dengan keadaan hari ini, fesyen pada waktu
tersebut turut menerima pengaruh daripada tamadun-tamadun besar yang
lain.
Reka bentuk asas baju sikap dijangka berasal dari Jawa atau
Aceh.
Atas dasar pragmatik, seluar yang dikenakan biasanya mengikut potongan
'gunting Aceh' dengan kepanjangan melepasi lutut.
Menariknya, hal ini selaras dengan sistem aurat dalam Islam. Secara langsung,
potongan-potongan tertentu digunakan bagi menjaga aib tubuh
pemakai.
Setelah kemasukan Islam, konsep tersebut dimurnikan dan diperindahkan untuk
zaman-zaman mendatang. Secara tidak langsung, ia sekali gus menjelaskan
keakraban budaya Melayu dengan Islam.
Berbeza daripada tanggapan ramai, Islam tidak pernah bertindak seperti satu
tamparan terhadap budaya Melayu. Malahan, Islam sekadar mengimbuhkan budaya
tersebut bagi menghasilkan nilai falsafah dan budaya yang lebih utuh dan kaya.
No comments:
Post a Comment