Tuesday, April 3, 2012

SULAMAN

3 Apr 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Sulaman Rahsia Yang Terpusara

Songket adalah khazanah Melayu yang sarat dengan nilai falsafah dan intelektual

Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib
DALAM membincangkan warisan intelektual Melayu, seni sastera sering menjadi tumpuan utama.

Walhal, sebagai sebuah peradaban, bangsa Melayu juga kaya dengan khazanah keintelektualan lain yang tidak kurang kompleks dan kaya.

Antara khazanah keintelektualan itu ialah songket.

Songket pernah diakui seorang pengkaji Barat, Walter W. Skeats, sebagai kain sapu tangan raja-raja, yakni kain yang dianggap layak untuk golongan bangsawan dan raja-raja sahaja.

Songket merupakan antara bahan khazanah Melayu yang sarat dengan nilai falsafah dan intelektual dalam pemikiran masyarakat Melayu lama.

Ini jelas terbayang dalam pelbagai ungkapan adat dan pepatah yang menjelaskan peri pentingnya songket dalam kehidupan masyarakat Melayu kita.

Jelasnya, selain menjadi lambang kesenian dan estetika Melayu yang bermutu tinggi, songket juga menyampaikan makna dan erti kemelayuan kepada pemakainya.

Terdapat nilai-nilai ilmu yang tersirat di sebalik corak dan motifnya.

Songket Melayu dapat dilihat sebagai suatu bahan yang merakamkan pola pemikiran, kefahaman dan keintelektualan masyarakat Melayu.

Hubungan yang akrab antara manusia Melayu dengan alam akhirnya menghasilkan pelbagai motif bersangkutan alam.

Antaranya termasuklah motif 'bunga cengkih' dan 'pucuk rebung'.

Bunga cengkih digunakan masyarakat tempatan dalam masakan Melayu.

Tanpa disedari ramai, bunga tersebut kerap digunakan dalam bidang perubatan dan pergigian sejak 200 tahun sebelum Masihi.

Begitu juga dengan motif pucuk rebung, yang menjadi simbol hikmat dan kesuburan.

Secara simbolik, motif pucuk rebung menegaskan betapa manusia harus berpendirian teguh, mempunyai iman yang kuat, takwa, rendah hati dan berakhlak mulia.

Selain itu, pucuk rebung turut menyerupakan 'pohon hayat' dan 'bunga semangat' sebagai manifestasi semula jadi.

Jelas sekali, motif-motif yang tergambar dalam songket Melayu tidak diilhamkan secara sewenang-wenangnya.

Misalnya, unsur-unsur negatif seperti gambaran hantu dan binatang-binatang tertentu tidak dirakamkan dalam songket.

Lazimnya, penenun tradisional tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi pelbagai jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh.

Hasilnya, kebanyakan motif songket berteraskan bentuk pokok, bunga, burung dan sebagainya.

Sementara itu, sesetengah motif Melayu berteraskan nama-nama kuih-muih yang dipercayai kesukaan raja-raja seperti seri kaya, wajik dan tepung talam.

Sayangnya, dewasa ini, seni tenunan songket seolah-olah semakin pudar.

Ini mungkin berpunca daripada sikap segelintir penenun yang kurang memahami nilai falsafah yang tersirat di sebalik tenunan songket.

Mereka cenderung mengambil jalan pintas.

Akibatnya, motif-motif yang dianggap rumit sengaja diringkaskan sehingga terkeluar daripada norma yang sewajarnya.

Bagi 'mengubati' keadaan, pengkaji hari ini seharusnya berusaha mencari nilai-nilai yang hilang pada songket Melayu.

Tanpa mereka sedari, songket Melayu membekamkan segala tatacara serta pola pemikiran masyarakat Melayu.

Lewat penghayatan serta pengamatan songket Melayu, individu yang mendalami nilai yang dibawa songket Melayu akan terdedah kepada sistem pemikiran, hierarki, budaya, kosmologi, dan budi masyarakat Melayu.

Nescaya, sistem kepercayaan Melayu masa kini turut dibentuk 'sulaman rahsia Melayu'.

Harus diakui, kesusasteraan bukanlah satu-satunya wadah yang menyampaikan ilmu Melayu.

Seperti hiroglif dalam masyarakat purba, motif-motif songket Melayu bertindak selaku catatan rahsia yang hanya mampu dikenali masyarakat yang hidup dalam persekitaran yang sama.

Melestarikan pepatah alam terkembang menjadi guru, ilmu songket Melayu sewajarnya dikupas dan difahami sepenuhnya.

Seandainya tidak, segala rahsia yang tersingkap tidak lebih daripada ilmu yang terpusara dalam perkembangan masa.

No comments:

Post a Comment