Thursday, April 26, 2012
menjadi muslim cemerlang
USTAZ MUHD IBRAHIM KASSIM: Pengarang buku The Seven Excellent Habits of A Successful Mu'min.
22 Apr 2012
SYIAR
Tujuh amalan
BAGAIMANA menjadi masyarakat Muslim cemerlang?
Amalkan tujuh perkara yang digariskan Allah menerusi beberapa ayat dalam Surah Al-Mukminun.
Jika tujuh perkara itu dilaksanakan, Allah menjanjikan kejayaan besar.
Allah berfirman: 'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna; dan orangorang yang menunaikan zakat; dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela, barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas; dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya; dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.' - Al-Mukminun: 1-11.
Tujuh amalan ke arah kecemerlangan ini telah dihasilkan dalam bentuk buku kecil oleh ulama setempat, Ustaz Ibrahim Mohd Kassim, bertajuk The Seven Excellent Habits of A Successful Mu'min (Tujuh Tabiat Cemerlang Mukmin yang Berjaya) bagi membentuk peribadi yang utuh.
Ustaz Mohd Ibrahim, yang juga pengasas Pusat Pengajian Secara Tradisi Al Fathhu, baru-baru ini berkongsi panduan tersebut dengan sekumpulan tenaga kerja Masjid Al-Istiqamah.
Menurutnya, pelaksanaan tujuh amalan itu boleh membantu umat Islam menjadi umat contoh, sesuai dengan ayat yang menyatakan 'kamu adalah sebaik-baik umat', sekali gus membantu melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini, berdaya menjaga diri, keluarga dan anak cucu walau cabaran datang menderu.
Berikut tujuh perkara yang harus diamalkan:
Khusyuk dalam solat
Solat yang khusyuk adalah satu proses pembersihan dan peningkatan jiwa. Solat khusyuk bak talian yang menyambungkan hubungan antara makhluk dengan Khaliknya (Pencipta).
Khusyuk tidak boleh dicapai jika minda dipenuhi dengan pelbagai fikiran.
Usaha ke arah khusyuk bermula daripada wuduk yang betul (pembersihan jasmani iaitu anggota wuduk dan pembersihan rohani iaitu menyucikan diri daripada perasaan dan sifat tercela seperti marah, dendam, iri, sakit hati dan sebagainya).
Ini disusuli dengan niat yang ikhlas dan sedar diri sedang menghadapi Yang Maha Pencipta, menutup semua 'jendela' yang ganggu fikiran, menjuruskan perhatian kepada-Nya dan cuba mencapai makam ihsan (berdasarkan hadis - berasa seolah- olah melihat Allah, jika tidak yakini bahawa Allah sedang melihat kamu).
Memahami dan menghayati bacaan dalam solat, menjaga rukun-rukun solat, mengingat kematian, menyedari betapa kerdilnya diri, berasa malu ke atas dosa- dosa yang dilakukan dan berasa bersyukur atas segala pemberian-Nya dapat membantu ke arah khusyuk.
Solat yang betul dapat membentuk jiwa luhur. Antara permohonan dalam solat ialah memohon petunjuk kepada jalan yang lurus - termasuk menjadi orang yang jujur dan amanah dalam apa jua bentuk kedudukan atau peranan.
'Solat bukan hanya untuk akhirat. Ia juga membawa kebaikan di dunia dan mendatangkan jalan keluar kepada pelbagai masalah. Solat mengingat diri kepada Allah, membawa ketenangan dan meluruskan fikiran,' kata Ustaz Ibrahim.
Menjauhkan diri daripada 'lagha' - perkataaan dan perbuatan sia-sia
Kehidupan amat terbatas. Kita tiada banyak masa di dunia. Maka itu jangan buang masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti bertengkar, bual kosong, umpat, gosip, menghasut, atau mengatakan sesuatu yang boleh menyakiti perasaan dan mendatangkan kemurkaan Allah.
Lagha termasuk panjang angan-angan dan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah seperti terpaut pada televisyen.
Panduannya ialah - kalau bercakap biar yang baik, jujur, positif dan berniat baik. Jika tidak, lebih baik diam.
Berusahalah menjadi orang yang benar dan tulus dalam perkataan dan perbuatan.
Mengeluarkan zakat dan bersegera melakukan kebajikan
Memberi apa yang kamu cintai. Zakat adalah rukun. 'Zakat' di sini merangkumi infak dan kebajikan. Dalam permulaan surah Al-Baqarah, takwa merangkumi tiga kategori iaitu percayakan yang ghaib, dirikan solat dan berinfak.
Kebajikan itu luas. Memberi bantuan (dalam pelbagai bentuk termasuk wang, tenaga dan nasihat), berlaku adil, mengeluarkan perkataan yang baik, mengalihkan paku dari jalan raya, memberi senyuman dan salam adalah antara bentuk kebajikan.
Memberi harus ikhlas (hinggakan tangan kiri tidak tahu akan tangan kanan yang memberi) tanpa mengharapkan balasan atau pujian.
Memberi secara senyap-senyap adalah baik. Memberi secara terbuka dilakukan hanya jika ia dapat menggalakkan atau menjadi dorongan kepada orang lain melakukan kebajikan.
Usah keberatan atau ragu melakukan kebajikan kerana ia menghapuskan sikap tamak atau pentingkan diri sendiri dan membantuk rasa cinta dan kasih sayang.
Elakkan zina
Bukan sahaja mengelak, dekat pun jangan. Zina membawa banyak kerosakan - menjatuhkan maruah dan harga diri, menghancurkan keluarga dan malah boleh membawa pembunuhan dan bunuh diri. Zina membawa banyak masalah.
Antara cara mengawal diri ialah dengan menjaga mata kerana daripada mata turun ke hati yang membisikkan pelbagai keinginan. Ia bak kebakaran yang bermula daripada percikan api.
Hubungan seks adalah untuk prokreasi (menghasilkan anak keturunan menerusi pernikahan), bukan rekreasi (suka-suka dengan siapa sahaja).
Antara cara mengawal diri ialah sedar bahawa Allah sentiasa melihat, sedar bahawa diri adalah khalifah, mengingat mati dan ingat setiap perbuatan ada balasan.
Menjaga amanah
Nabi terkenal sebagai Al- Amin kerana sifatnya yang amanah.
Orang Mukmin harus menjaga amanah dalam pelbagai bentuk - harta, barang, pinjaman, perancangan, rahsia, tugas dan tanggungjawab, ilmu pengetahuan, bakat dan sebagainya.
Allah mengamanahkan isteri kepada suami dan suami kepada isteri, anak-anak kepada ibu bapa.
Rumah tangga boleh runtuh apabila amanah tidak dijaga.
Bank dan insitusi kewangan besar seperti Lehman Brothers runtuh juga kerana masalah amanah.
Muslim yang berjaya ialah Muslim yang menjaga amanah.
Nabi menyatakan antara ciri orang munafik ialah apabila diberi amanah, dia khianat; apabila berkata, dia bohong; apabila berjanji, dia mungkir.
Kita juga harus menjaga amanah terhadap kurniaan Allah pada diri - lidah, mata, telinga, perut, kemaluan, tangan dan kaki.
Gunakan kurniaan ini melakukan ketaatan kepada-Nya, bukan berbuat dosa.
Tunaikan janji
Orang yang berjaya adalah orang yang menepati janjinya. Penuhi janji menggambarkan keutuhan peribadi.
Ingkari janji boleh membuat orang hilang kepercayaan. Ia menghilangkan rasa hormat, timbulkan rasa kecewa, hampa dan boleh merosakkan hubungan.
Dalam sepotong hadis, Nabi bersabda: 'Sayangi kanak-kanak. Layani mereka dengan baik dan jika kamu berjanji dengan mereka, tunaikan.'
Dalam surah Al-Israa: 34, Allah berfirman: '... dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabnya.'
Panduannya dalam bab ini, jangan berjanji kalau tidak sanggup penuhi. Buat janji jika yakin dapat menunaikannya.
Jaga solat lima waktu
Usah tinggalkan tanggungjawab ini atau memperlekehkannya. Solat adalah talian hubungan antara hamba dengan Penciptanya.
Nabi menyatakan solat lima waktu bak sungai yang mengalir di depan rumah. Jika kamu mandi lima hari sehari, apakah kotoran akan melekat di badan? Tidak.
Solat lima waktu membina disiplin dan membawa ketenangan diri. Solat adalah anugerah terbesar kepada manusia. Ia harus dijaga, dihargai dan dirai.
Perintah dirikan solat lima waktu diberi secara langsung kepada Nabi dalam peristiwa isra dan mikraj, tidak seperti perintah lain yang diberi menerusi perantaraan Jibrail.
Solat lima waktu mengandungi banyak rahmat dan rahsia. Ia antara cara mengingatkan tentang hakikat diri, sebagai tanggungjawab dan sebagai melahirkan rasa syukur.
Kita mengucapkan terima kasih kepada pemberi hadiah. Apakah kita tidak berterima kasih kepada Allah yang telah memberi kita kehidupan ini. Hakikatnya, kita berhutang hidup ini kepada Allah. Hidup adalah satu anugerah.
Nabi melakukan banyak solat sebagai melahirkan rasa syukur. Dalam satu riwayat, Aisyah bertanya kepada Nabi kenapa Baginda giat melakukan solat sedangkan semua dosanya telah diampunkan, Nabi menjawab 'apakah aku tidak harus menjadi orang yang bersyukur?'
Allah menyatakan 'Kalau kamu mensyukuri nikmat-Ku, Aku akan tambahkan; jika kamu mengkufurinya, sesungguhnya azab ku amat pedih'.
Ustaz Ibrahim memetik kata-kata pujangga bahawa dunia diibaratkan pentas. Manusia adalah pelakon-pelakonnya.
Tetapi bagaimana melakonkannya?
Ustaz Ibrahim berkata: 'Kita sudah diberi panduan cara memainkan peranan kita: Al-Quran menjadi skripnya, Nabi Muhammad menjadi pengarahnya. Ikut sahaja dan kita telah memainkan peranan dengan selamat.'
Tujuh amalan ini adalah antara panduan yang diberikan Tuhan.
Jika kita bersungguh-sungguh melaksanakannya, kita akan menjadi manusia dan masyarakat cemerlang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment