Thursday, April 26, 2012

ranking sasterawan singapura

8 Apr 2012

EKSTRA!

Ranking sasterawan Singapura dibuat Mana Sikana sudah lapuk


RENCANA tulisan Anuar Othman pada 25 Mac 2012 mengusik benak hingga membuatkan saya terpanggil untuk menyumbangkan pandangan.

Secara ringkas, Anuar menyangkal pandangan Djamal Tukimin yang tersiar di akhbar ini pada 11 Mac lalu.

Di dalam penulisannya, Djamal meletakkan Allahyarham Iswardy di rankINg pertama dalam penulisan cerpen.

Anuar menolak ranking tersebut kerana beliau berpegang teguh dengan ranking yang dibentangkan oleh Mana Sikana dalam bukunya yang berjudul Sasterawan Melayu Pascamodenisme.

Saya tidak mempersoalkan kesahihan ranking itu. Apa yang menjadi pertanyaan ialah mengenai tahun di mana ranking itu dilakukan. Seperti yang kita ketahui, buku tulisan Mana Sikana itu diterbitkan pada 2004.

Ini bermakna ranking tersebut berdasarkan pada kajian yang dilakukan lapan tahun yang lalu. Lapan tahun merupakan satu jangka waktu yang panjang.

Dalam jangka masa itu, pelbagai perkembangan berlaku dalam dunia penulisan. Sudah tentu banyak karya penulis lain tidak termasuk dalam penilaian Mana Sikana.

Perlu diingat, dalam jangka waktu lapan tahun yang kebelakangan ini, ada penulis mapan yang tidak berduduk diam.

Dengan kesungguhan berkarya, mereka mampu menunjukkan kematangan dalam karyanya. Tidak lupa juga ada penulis-penulis baru yang berbakat lahir menyemarakkan ujana sastera Melayu Singapura.

Biarpun mereka baru berjinak-jinak dalam penulisan, tidak semestinya mereka tidak mampu menghasilkan karya bermutu yang dapat menandingi penulis mapan. Yang demikian, mereka juga harus dinilai sama untuk mendapat kedudukan dalam ranking yang terkini.

Kita tentu maklum bahawa setiap ranking yang dibuat itu merupakan satu proses yang subjektif. Ia juga tidak dapat bertahan lama kerana faktor masa.

Kriteria yang digunakan oleh pembuat ranking juga berbeza-beza, sama ada berdasarkan kuantiti atau kualiti.

Yang demikian, jika hendak memperkatakan tentang kedudukan penulis Melayu Singapura masakini sudah tentu ranking Mana Sikana tahun 2004 sudah dianggap obsolete.

Oleh kerana itu, apabila ranking itu diguna pakai semula dalam tahun ini, ia memberikan gambaran yang kurang tepat.

Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, Djamal dan Anuar harus menekankan bahawa pandangan mereka itu berdasarkan pada faktor masa dan genre.

Sudah tentu ia tidak boleh dijadikan sebagai satu ukurtara untuk menggambarkan ranking penulis masa kini yang menulis berbagai-bagai genre penulisan.

Ramai yang tentu akan mempersoalkan bagaimana mungkin Allahyarham Masuri SN disebariskan dengan Nadiputra atau Dr Hadijah Rahmat?

Setiap dari mereka berkarya dalam bidang yang berbeza. Sasterawan Negara Masuri SN lebih berat kepada penulisan puisi, sementara Nadiputra pula lebih kepada bidang teater dan Dr Hadijah pula pada penulisan esei sastera.

Biarpun ada genre penulisan yang mereka kongsi bersama tetapi masing-masing lebih prolifik dalam satu bidang yang spesifik.

Mana mungkin sebiji buah jambu dinilaikan sejajar dengan sebiji durian?

Biarpun begitu, saya tidak menyangkal yang kedua-dua jenis buah itu boleh dinilaikan dalam satu bakul.

Jika kita menentukan rasa buah-buahan sebagai kriteria untuk membuat penilaian, sudah tentu soal rasa itu sendiri adalah subjektif.

Dalam makalahnya, Djamal Tukimin menyatakan 'Pada suatu ketika, ketika berceramah dua kali di Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai cerpen Melayu, saya meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita.'

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Djamal membuat kajian itu hingga membuatkannya membuat keputusan demikian.

Tetapi, apa yang saya dapati, beliau menyatakan dengan jelas bahawa penilaiannya berdasarkan pada cerpen sahaja.

Dengan ketepatan itu, penilaiannya lebih mudah diterima kerana ia menjurus pada satu bidang.

Mungkin dapatan itu lebih tepat lagi jika disertakan jangka waktu penilaian itu dibuat. Jika ia sekadar pandangan peribadi seperti yang Anuar jelaskan, ia tidak seharusnya dipandang secara serius.

Yang pasti, setiap penilaian harus disokong dengan butiran penting agar dapatan itu tidak menimbulkan seribu satu macam persoalan bukan saja di kalangan penulis tetapi juga masyarakat Melayu keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment