Thursday, April 26, 2012

Jati Diri Melayu Budiman

22 Apr 2012

KOMENTAR

Jati diri Melayu budiman


BAGAIMANA kita hendak mengenal hati budi orang Melayu?

Apakah cukup kita menilai jati diri orang Melayu hanya dari segi pakaian, percakapan, tingkah laku dan amalan sahaja?

Saya fikir, masih banyak yang perlu kita kupas dan kita perjelaskan, terutama kepada anak-anak muda kita sendiri, tentang erti jati diri bagi orang-orang Melayu.

Ini penting, agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan tanggapan-tanggapan negatif lagi kurang tepat, baik yang ditimbulkan oleh orang lain, mahupun oleh orang Melayu kita sendiri.

Mungkin dek cengkaman sindrom minoriti - bahawa kita hanya golongan minoriti dan ketinggalan pula di belakang kaum-kaum lain - maka kita berasa tiada apa yang hendak kita banggakan tentang masyarakat kita.

Anak-anak muda kita pun semakin keberatan berbahasa Melayu, bahasa ibunda mereka sendiri.

Apa yang harus kita lakukan?

Selain usaha memajukan diri dalam pendidikan, ekonomi dan perniagaan, satu perkara penting yang harus kita usahakan ialah kembali mengenal jati diri sebenar orang Melayu.

Untuk mengenali orang Melayu, tidak cukup kita hanya melihat dari segi luaran sahaja - pemakaian, tingkah laku, tutur bahasa, budaya dan amalan seharian.

Bahkan, ia juga harus dilihat dari segi dalaman atau batiniah Melayu. Ia bukan sekadar rasa atau emosi, bahkan meluputi hati budi kita sebagai orang Melayu.

Seorang cendekiawan Melayu Malaysia, Profesor Dr Hashim Hj. Musa, dalam bukunya bertajuk Hati Budi Melayu, telah menyimpulkan bahawa terdapat 26 teras hati budi orang Melayu kita, iaitu:

1. Hidup berteraskan agama Islam. 2. Utamakan pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi, bertakwa dan beramal. 3. Nilai kerja yang utamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan dan kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu. 4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka. 5. Setia kepada ketua yang adil dan terpuji.

6. Halus budi bahasa dan budi pekerti.

7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan kebajikan umum dan hidup bermasyarakat.

8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu.

9. Sederhana dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan cermat, tidak kasar, keras dan ganas:

10. Prihatin tentang harga diri, maruah yang terjelma dalam istilah 'menjaga air muka' dan 'rasa malu yang mendalam'.

11. Tahu tempat letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak sewajarnya.

12. Membela, mempertahan kebenaran dan keadilan.

13. Menanam budi dan membalas budi.

14. Sifat pemaaf dan pemurah.

15. Sifat kasih sayang.

16. Hidup sederhana.

17. Setia dan rela berkorban.

18. Sikap berdikari.

19. Menghormati hak dan milik orang lain.

20. Jujur dan ikhlas.

21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk.

22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang.

23. Sifat amanah:

24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa.

25. Memandang masa depan:

26. Mensyukuri nikmat Allah:

Kesemuanya terkandung dalam ajaran orang tua-tua Melayu yang disampaikan secara indah lagi berkesan menerusi simpulan bahasa, pepatah, pantun dan sebagainya yang dikaji oleh Profesor Hashim.

Menurut beliau, jika 26 perkara ini dapat disemai, dipupuk dan diamalkan, ia dapat melahirkan Melayu budiman handal, bijak dan tangkas dan dapat menjadi pemangkin kepada pembinaan peradaban Melayu selanjutnya dalam zaman moden ini.

Apakah terlalu sukar untuk kita mengamalkannya?

Dalam masyarakat Melayu turun-temurun, orang-orang yang dianggap mempunyai nilai etika, moral dan akhlak yang tinggi dipandang mulia oleh masyarakat.

Mereka dinamakan seorang orang Melayu yang budiman.

Mereka mempunyai budi pekerti dan adab sopan yang mulia; budi bahasa dan budi bicara yang bernas; hati budi yang tinggi, akal fikiran dan dilengkapi dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kebaikan.

Inilah juga yang harus kita semaikan dalam jiwa anak-anak kita zaman sekarang, tanpa mengira berapa jauh kita melangkah dan seberapa tinggi pun pencapaian kita.

Orang Melayu sebenarnya bangsa yang besar, yang mempunyai tamadun budaya dan falsafah sendiri yang jelas tercermin dalam pepatah, pantun warisan dan adat resam nenek moyang mereka.

Mereka telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu, atau mungkin lebih awal daripada itu.

Bacalah sejarah dan anda akan dapati orang Melayu memang handal dan bijaksana. Mereka telah membentuk empayar yang besar dan menjadi pedagang berjaya yang meneroka dunia dengan berbekal hati budi yang kukuh dan luhur.

Jadi, mengapa harus kita malu untuk mempertahankan nilai-nilai murni dan jati diri kita sebagai orang Melayu, walaupun jumlah kita setakat kurang setengah juta di bumi Singapura ini?

Saya akhiri rencana ini dengan mengajak anda merenungi pantun warisan berikut yang menunjukkan betapa pentingnya budi dalam masyarakat kita sejak turun-temurun.

Tegak rumah kerana sendi,

Runtuh sendi rumah binasa;

Tegak bangsa kerana budi,

Runtuh budi hilanglah bangsa.

Bunga melati bunga di darat,

Bunga seroja di tepi kali;

Hina besi kerana karat,

Hina manusia tidak berbudi.

Di sana padi di sini padi,

Baru bernama sawah dan bendang;

Di sana budi di sini budi,

Baru sempurna bernama orang.

No comments:

Post a Comment