Tuesday, April 3, 2012

'Ranking' Sasterawan



PANDANGAN SEORANG BERPENGALAMAN: Djamal Tukimin meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita. - Foto TAUFIK A KADER

Mudah cetak
E-mel

1 Apr 2012

EKSTRA!

Perlukah 'ranking' sasterawan?


APAKAH sebenarnya yang diragukan dalam ranking penulis-penulis Singapura?

Berkisar pada persoalan ini, tulisan Anuar Othman dalam 'Ranking dibuat Mana Sikana terhadap sasterawan tanah air lebih wajar diterima' (Berita Minggu, 25 Mac 2012) menarik perhatian saya.

Esei tersebut ditulis sebagai reaksinya terhadap pandangan Djamal Tukimin dalam eseinya 'Pernah 'bermusuhan' dalam sastera' (Berita Minggu, 11 Mac 2012).

Anuar Othman menulis, pandangan sasterawan terhadap sasterawan lain adalah subjektif. Begitu juga dengan pandangan Djamal yang meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita. Tetapi, sekiranya ia datang daripada seorang sarjana, kita lebih wajar menerimanya.

Tanggapan itu terbit daripada satu lagi pandangan yang lebih awal oleh Mana Sikana atau Dr Abdul Rahman Napiah, mantan pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) melalui kajian resepsinya yang dipercayainya lebih bersifat ilmiah, objektif dan bersandarkan kajian demi kajian yang beliau jalankan.

Kalau itulah yang dianggap Anuar Othman lebih wajar diterima, saya fikir tidak ada bezanya dengan pandangan Djamal Tukimin. Ini kerana kajian resepsi Mana Sikana juga masih boleh dianggap subjektif.

Saya katakan demikian kerana seingat saya, Mana Sikana membuat kajian itu secara rambang tanpa membuat kajian yang menyeluruh. Kajian itu cuma dilakukan ke atas peserta-peserta yang mengikuti bengkel Ingin Menjadi Pengkritik anjuran Majlis Pusat (MP) dengan kerjasama Anuar Othman & Associates Media Enterprise di Rumah MP, Toa Payoh Central antara 8 Feb-29 Mac 2003.

Tentulah amat sukar bagi kebanyakan mereka untuk menamakan 10 penulis Singapura yang dianggap terbaik dalam pengkaryaan sastera.

Ini kerana mereka yang hadir di bengkel kritikan setiap Sabtu itu terdiri daripada mereka yang terlibat langsung dalam bidang penulisan. Antaranya ialah Basuki Sastero, Azizfakir, Eznillah Hj Razali, Norulashikin Jamain, Noridah Kamari, Rohman Munasip dan Anuar Othman sendiri .

Selebihnya adalah guru dan penuntut NIE seperti Mohamed Ridhuan Mohamed dan Kartini Anwar.

Pada pendapat saya, penampilan Djamal Tukimin sebagai seorang sasterawan yang dikenali luar dan dalam Singapura cukup terserlah. Pandangan Djamal Tukimin, walaupun subjektif, bukan daripada sarjana dan buku sastera yang dihasilkannya juga cukup sedikit, ia wajar diberikan perhatian sebagai pandangan orang sastera berpengalaman.

Ranking yang dimuatkan dalam tulisan tersebut (sebenarnya bukan ranking kerana cuma satu nama saja).

Ia cuba menonjolkan kekuatan Iswardy (Allahyarham) dalam pengkaryaannya, terutamanya cerpen, jika dibandingkan dengan penulis-penulis yang sezaman dengannya.

Kewibawaan Mana Sikana pula yang saya sendiri kagumi dan memang tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja sebagai sasterawan dan kritikawan yang hampir keseluruhan tugasnya berdampingan dengan sastera dunia tetapi masih cukup bersedia berkongsi ilmunya bagi merancakkan dunia sastera kita dengan pelbagai gagasan kritikan.

Pada pendapat saya, kajian resepsi Mana Sikana yang ditukil Anuar Othman dalam eseinya itu hanya sebagai langkah pengenalan sebelum beliau lebih dekat dengan perwajahan sebenar penulis-penulis dan sastera Melayu Singapura.

Sekarang, setelah tempoh khidmatnya di sini tamat dan kembali ke kampung halamannya kalau ditanya tentang ranking sasterawan tanah air, mungkin ranking Mana Sikana sendiri akan jauh berbeza daripada kajian resepsinya yang telah lusuh itu.

Jadi, apakah masih perlu kita membuat ranking terhadap sasterawan Singapura?

Saya sendiri beranggapan ia sekadar ramalan yang tidak semestinya tepat atau tidak dapat diubah lagi. Adalah lebih penting setiap penulis menghasilkan karya yang sebaik mungkin dan diharapkan lahirnya pengkiritk yang dapat menilai dan mengukur keupayaan penulis dan sasterawan kita dengan ilmu kritikan dan pendekatan yang wajar demi kemanfaatan bersama.

No comments:

Post a Comment