Showing posts with label jati diri. Show all posts
Showing posts with label jati diri. Show all posts

Tuesday, December 11, 2012

Jati Diri Bangsa Melayu



USAHA LESTARI JATI DIRI: Pengukuhan jati diri orang Melayu, yang termasuk agama, bahasa, pakaian dan seninya, harus diusahakan secara segar dan dengan bermaya kerana jati diri mencerminkan juga jiwa masyarakat.
- Foto fail
WARISAN MELAYU

Mengekal Jati Diri Bangsa Melayu

Kejayaan boleh dicapai tanpa perlu korban nilai dan identiti Melayu
BUDAYA sesebuah bangsa atau masyarakat mencerminkan bukan sahaja kemajuan bangsa tersebut, bahkan jiwanya.
Atas dasar itu penting bagi setiap bangsa atau masyarakat memelihara budayanya sebagai identiti anggota bangsa atau masyarakat itu.
Nasoha Saabin, seorang ilmuan Melayu, menggariskan bahawa identiti Melayu umumnya terbentuk atas beberapa paksi utama yang termasuk Islam, bahasa dan busana Melayu.
Meneliti dalam konteks semasa, adalah membimbangkan, menurutnya, apabila masyarakat Melayu sendiri tidak lagi berbangga akan paksi yang membentuk jati diri mereka itu.
Apa yang dikhuatiri ialah bangsa Melayu akan hanya dilihat dari sudut genetik sahaja, sedangkan budaya dan jati diri warisan mereka menjadi lapuk ditelan zaman.
Ini boleh berlaku apabila orang Melayu sendiri terlalu terkejar-kejar imej moden, yang akan mengakibatkan mereka mudah berhadapan dengan krisis identiti.
Nasoha menarik perhatian kepada sebilangan orang Melayu yang sanggup meninggalkan identiti Melayu mereka dan cuba mengamalkan gaya hidup Barat semata-mata kerana mereka pernah menuntut di Barat atau berkahwin dengan pasangan kulit putih, di samping berbusana Barat.
Pertuturan bahasa Melayu mereka turut terjejas sehingga menampakkan ciri-ciri lenggok bahasa Eropah.
Hakikatnya, masyarakat Melayu harus berusaha menampilkan imej dan identiti Melayu.
Ini terutamanya dalam majlis-majlis bercirikan kebudayaan, seperti majlis pernikahan dan sebagainya.
Malahan, andai keadaan mengizinkan, busana bercirikan identiti Melayu harus ditonjolkan dalam majlis- majlis yang menemukan pelbagai kaum dan budaya asing.
Menurut catatan sejarah, Ibnu Khaldun tetap teguh berjubah Maghribi sewaktu menjadi hakim perundangan di Kahirah, Mesir, menentang kelaziman pada zaman tersebut.
Beliau tetap teguh akan jati dirinya sebagai seseorang berketurunan Andalusia Maghribi.
Mengikut prinsip asabiah yang diketengahkan Ibnu Khaldun, secara tidak langsung, identiti yang dibawanya lewat busana pemakaiannya, sekali gus meningkatkan semangat kesatuan dan kebanggaan akan tradisi bangsanya.
Mengambil iktibar daripada pendirian Ibnu Khaldun ini, kita harus berusaha agar tidak meninggalkan identiti kita sebagai orang Melayu, di sebalik usaha kita melangkah mencapai kemajuan hidup.
Ini harus kita lakukan walaupun dalam menghadapi arus kemodenan dalam kehidupan masyarakat metropolitan seperti di Singapura.
Kita boleh sahaja berfikiran moden, berpendidikan tinggi dan melengkapkan diri dengan keperluan-keperluan hidup di zaman moden ini.
Kita juga boleh berpakaian moden yang disesuaikan dengan keperluan di tempat kerja dan sebagainya.
Namun, kesemua itu tidak semestinya bermakna kita meninggalkan sekali jati diri kita sebagai orang Melayu.
Ia tidak bermakna meninggalkan busana atau pakaian Melayu yang penuh sopan atau lupa akan bahasa serta budaya warisan kita.
Kita memang dituntut berusaha memperbaiki diri dan mengejar kemajuan hidup agar tidak ketinggalan dalam zaman moden ini.
Namun, kesemua ini boleh dicapai tanpa perlu mengorbankan jati diri kita.
Pengukuhan identiti masyarakat Melayu haruslah diusahakan secara sedar dan bermaya.

Wednesday, November 28, 2012

kehalusan Melayu


PADA HEMAT SAYA

Nilai besar 'kehalusan' Melayu

ADAB Melayu turut mencorakkan Asia Tenggara. Kenyataan ini bukan baru. Namun, apabila diujarkan Duta Kelana, Profesor Tommy Koh, 75 tahun, pada Forum Jangkauan Global anjuran akhbar The Straits Times pada Jumaat lalu, ia seolah-olah menggemakan pengamatan jauhari sejak zaman silam.
Para penjajah Barat, terutama yang kemudian menjadi semacam sarjana - daripada Thomas Stamford Raffles (pendiri loji British di Singapura) sehingga perisik dan sarjana Belanda, Snouck Hurgronje, telah lama mengungkapkan hal ini.
"Tidak dapat tidak, saya berasa bahawa bangsa Melayu sebagai satu kaum, bertutur satu bahasa dan bertebaran dalam kawasan luas, memelihara watak dan resam, di hampir semua negeri pesisir antara Laut Sulu dan Samudera Selatan."
Demikian terjemahan tukilan makalah Sir Thomas Stamford Raffles, On the Malay Nation (Asiatic Researchers, Jilid 12 (1816), muka 103).
Menurut Prof Koh, seorang sarjana perundangan yang tersohor dan sudah dianugerahi gelar doktor kehormat daripada banyak universiti ternama, sentuhan Melayu merubah kehadiran kaum-kaum lain.
Katanya, dalam konteks Singapura yang majoriti merupakan kaum Cina dan campur kehadiran India, budaya Melayulah yang "melicinkan" tepian yang bergerigis (rough edges).
Maka kaum-kaum ini menjadi kurang angkuh dan menolak sikap menantang (confrontational).
Katanya lagi, budaya Melayu "lebih lunak, halus" dan inilah yang membuat orang Singapura kurang garang atau bermegah-megah.
Pandangan beliau disampaikan sebagai respons kepada soalan seorang peserta: bagaimana penggabungan (integrasi) Asean terlaksana sedangkan negara-negara Asia Tenggara didapati berbeza budayanya.
Hujah Prof Koh, budaya-budaya negara Asean tidak bertentangan.
"Ada semacam budaya musyawarah di Asean," tegasnya.
Sebagai diplomat terbilang, memang Prof Koh menyedari konsep ini kerana sudah lama terlibat dalam urusan Asean.
Konsep 'musyawarah' digunakan begitu luas sehingga terbentuk Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Indonesia. Taraf MPR secara perundangan dianggap tertinggi - mengatasi presiden.
Musyawarah berasal daripada kekata Arab. Dalam bahasa Melayu, ia disebut pakat atau sepakatan, bak dinyatakan dalam peribahasa (bersifat tunjuk ajar, menurut Budayawan Besar Riau, Dr Tenas Effendy):
Bulat air kerana pembetung,
Bulat kata kerana muafakat.
"Untuk saling membantu, mencari muafakat. Ada budaya toleransi mengenai perbezaan antara yang lain, ada budaya ihsan (memaafkan) yang tiada pada bangsa Cina, Jepun dan Korea."
Beliau mengungkapkan anekdot yang diceritakan mantan setiausaha tetap Thai bagi ehwal luar mengenai hukuman ke atas sekumpulan askar muda yang terlibat dalam rampasan kuasa pada 2008.
Sesudah lama bertaubat, ada acara sambutan agar menerima mereka kembali dalam tentera Thai.
Ketika menyaksikannya, duta Korea Selatan bertanya kepada setiausaha tetap tadi mengapa ia boleh berlaku.
"Di Korea, orang begini akan dihukum oleh mahkamah tentera dan ditembak," kata duta itu.
Ujar Prof Koh:
"Kawan Thai saya memandangnya dan berkata, 'Wahai kawanku, itulah bezanya antara Asia Tenggara dengan Asia Timur Laut.'"
Tambah Prof Koh:
"Namun, saya tak pasti jika di Singapura. Di sini orang sedemikian mungkin dibicarakan di mahkamah tentera dan ditembak."
Prof Koh memang seorang optimis. Bermata harapan memang pembawaannya sewaktu saya baru mengenalinya di Lembaga Pengarah Majlis Seni Kebangsaan dalam 1996.
Menurutnya, Asia Tenggara mempunyai peradabannya yang berbeza daripada China dan India.
"Ia tercermin pada sastera, lukisan dan seni kita. Usah perkecil diri anda," katanya.
Jadi, berbalik pada adab Melayu: bagaimanakah ia boleh disuburkan sehingga seorang budiman Melayu dipandang mulia di pentas antarabangsa?
Ketika bersembang ringkas dengan Ustaz Ahmad Haris Suhaimi, pengarang sejumlah buku motivasi berdasarkan warisan Islam, jalan permulaan adab ialah didikan.
"Nabi kita diutus agar menyempurnakan adab. Itulah sebabnya akhlak baginda cukup luar biasa.
"Para Muslim awal memang indah adabnya. Selepas itu, barulah mereka diajarkan Nabi saw dengan ilmu agama seperti solat, puasa dan sebagainya sehingga kepada hukum-hakam.
"Jadi, wajar kita mulakan tadika Islam dengan pengajaran adab," katanya sambil menambah hal ini akan menjadi teras usahanya untuk buku selanjutnya.
Apabila adab indah, soal rasuah, silap tadbir, kezaliman dan apa jua yang negatif tentu dapat dibendung.
Kejayaan Wali Songo (para pendakwah terbilang di Jawa) dan sebaran Islam di rantau ini bukan menerusi pedang, tetapi adab para penyebarnya.
Itulah sebabnya Islam teguh di rantau ini berbanding mana-mana rantau lain.
Terorisme atau pengganasan bukan saja bertentangan dengan Islam, malah jauh daripada adab Melayu.
Menurut mahaguru terbilang dalam bidang adab Islam, Profesor Muhammad Naquib Al-Attas, Islam mengindahkan karakter Melayu yang lunak dan sopan.
Menjelang terbitnya zaman emas Pasifik dalam abad ke-21 ini, peradaban Melayu tentulah dinantikan.

Thursday, April 26, 2012

pelihara jati diri dengan fasih bahasa

5 Apr 2012

KOMENTAR

PANDANGAN
Pelihara jati diri dengan fasih bahasa

Oleh
Mohd Maidin Packer Mohd

BEBERAPA tahun lalu, saya tercengang-cengang mendengar berita perdana Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memapar orang Melayu Kuala Lumpur bertutur dalam bahasa tersekat-sekat dan 'dicanggih' dengan campuran Inggeris.

Jenis 'kekok cakap Melayu dengan fasih' itu sudah pun melanda muda-mudi Singapura lebih awal.

Kekata Inggeris yang diganti bukanlah unik. Ada pilihan yang biasa digunakan. Tetapi orang muda itu terfikir-fikir mencari perkataan yang sesuai. Akhirnya tersembur Inggeris.

Sejak itu, saya dapati hal serupa menonton berita TV3 atau saluran lain Malaysia.

Pemuda kota seperti KL dan Singapura, yang amat terdedah dengan bahasa Inggeris, mudah terikut mencampur atau menginggeriskan bahasa Melayu.

Ada kalanya saya kasihan, ada kalanya kecewa. Kenapa susah sangat nak sebut 'cabaran' yang diganti dengan challenge atau 'keutamaan' yang diganti priority?

Lainlah kalau inflasi atau disiplin yang belum ada gantian tepat dalam bahasa Melayu.

Baru-baru ini, saya tinjau sejenak beberapa akhbar dan TV Indonesia - keadaannya lebih hebat (parah).

Jumlah kekata Inggeris yang diserap dan diindonesiakan luar biasa banyaknya dan luas digunakan sehingga terasa seolah-olah karyawan muda Indonesia, terutama di Jakarta, sudah memulakan 'arus peralihan' - menggantikan satu persatu kata Melayu baku dengan Inggeris.

Selain singkatan yang banyak dicipta dan diguna (misal: wagub, mendagri), mereka kian lumrah dengan kekata Inggeris yang diindonesiakan seperti efisiensi, isolasi, aksi, posisi, komunikasi dan kompetisi. Orang muda hari ini cepat menyadur dan memelayukan kekata Inggeris. Ada bezanya.

Kalau di KL dan Singapura, kekata Inggeris disebut dalam Inggeris (misalnya excited dan situation), orang Indonesia menyebut 'ter-isolisasi' atau 'ke-isolisasi-an', menggantikan terpencil dan pemencilan; siap imbuhan seolah-olah ia sudah diterima sebagai kekata tempatan.

Pengaruh Inggeris sungguh tentu lebih hebat di Singapura yang penduduknya sudah lebih segenerasi bersekolah Inggeris. Anak muda hidup dengannya siang dan malam, termasuk di rumah.

Bahasa ibunda kurang digunakan walaupun di rumah. Buku agama pun Inggeris kerana 'kurang faham baca buku Melayu'. Bahkan kelas di madrasah hujung minggu juga menggunakan buku bahasa Inggeris!

Bahasa Inggeris dipakai di rumah memang suatu kelaziman. Ibu bapa muda mahu pendedahan secukupnya agar anak-anak siap ke sekolah dengan penguasaan yang mantap. Mereka tidak mahu anak terpinggir sejak hari pertama masuk kelas. Maka, jadilah Inggeris bahasa pertama keluarga.

Kita memahami keadaan ini, biarpun saya sendiri termasuk di antara kumpulan terakhir aliran Melayu sampai ke prauniversiti. Sampai hari ini, saya rasa bahasa Melayu saya lebih kukuh daripada bahasa Inggeris. Tentu yang sekolah Inggeris lebih kukuh Inggerisnya.

Soalnya apakah mutu bahasa Melayu muda-mudi kita akan terus meleset? Apakah bahasa Inggeris akan mengikis kefasihan berbahasa ibunda? Jika ada Singlish, mungkinkah nanti Malish?

FAKTOR GURU BAHASA MELAYU

Kita tahu guru Bahasa Melayu (GBM) berperanan penting mendidik bahasa Melayu yang betul dan setulen yang boleh. Ini juga satu cabaran kepada guru muda yang diasuh dalam aliran Inggeris.

Namun, saya difahamkan kebanyakan GBM dapat memikul tanggungjawab dengan baik kerana terlatih dan ada iltizam menjaga kemurnian bahasa ibunda. Mereka juga ikuti kursus peningkatan.

TERAPKAN BUDAYA

Pendidikan bahasa juga perlu diadun dengan pemahaman budaya, sekali gus membantu pelajar mengenal resam kegunaannya.

PERANAN MEDIA

Sebaran am - akhbar, radio dan TV - amat penting dalam aspek kebahasaan.

Dengan bahasa yang betul, rapi dan mudah, alat sebaran am menjadi sumber bacaan dan rujukan harian yang berpengaruh menjaga mutu bahasa Melayu di sini.

Malangnya, oleh kerana kian ramai wartawan muda juga daripada aliran Inggeris, saya dapati kemasukan kekata Inggeris kian ketara dalam ketiga-tiga sumber berita bahasa Melayu itu.

Cuba anda ikuti sendiri. Mudah mengesannya.

Misalnya, terdapat susunan ayat, gaya cerita dan laporan berbau Inggeris, dipengaruhi sumber berita dalam dan luar negeri yang berasal bahasa Inggeris, kemudian diterjemah mengikut gaya asal.

Di bahagian bukan berita, keadaan lebih menyerlah. Sudah ada ruangan Ekstra di BH dan Maintain di Suria. Drama TV dan radio banyak guna ayat Inggeris. Mungkin penulisnya mahu mencerminkan keadaan hidup semasa.

Pada pandangan saya, ketiga-tiga sumber berita Melayu perlu bertahan dan mengambil langkah menjaga saksiah (keaslian) bahasa Melayu. Usaha menjaga keaslian ini perlu dijadikan bahagian penting budaya kerja mereka.

Jika mantap keaslian bahasa, tentu ia memberi kesan baik. Begitu juga sebaliknya.

Jika alat sebaran am sama terikut arus generasi terdidik Inggeris, kemasukan ini akan bertambah.

Ini boleh menjadi senjata makan tuan. Jika terlalu banyak kekata Inggeris, apa perlunya masyarakat bersandar pada mereka lagi?

Dengan terjaga mutu bahasa, lepasan sekolah dan karyawan boleh terus mendengar, menonton atau membacanya, dan ini akan mengukuhkan bahasa ibunda mereka.

JAGA BAHASA

Perkataan juga ada nilai budayanya. Sebagai contoh, saya tercegat membaca risalah ceramah dengan tajuk Rasulullah Idolaku. Saya tegur penganjur - kekata 'idola' itu tidak sesuai dikait dengan Rasulullah. Mereka sempat mengubahnya.

Perkataan 'idola' (asalnya idol) tidak ada ruang dalam kehidupan orang Islam. Idol sering dikaitkan patung dan sistem pemujaan berhala.

Ketika pembukaan Makkah, patung-patung pujaan (idols) inilah yang pertama dimusnahkan oleh Rasulullah saw demi mengatasi pemesongan akidah.

Apakah kita mahu orang Islam 'meng-idola-kan' manusia? Penyeludupan kekata ini ke dalam bahasa dan kehidupan orang Islam harus dikekang.

Jika mudah terikut angin Barat (contoh: American Idol), kita boleh terbabas dengan cara dan amalan yang bercanggah. Begitu juga perkataan diva (dari dewa-dewi) dari sumber bahasa silam, Sanskerta, yang digunakan semasa orang Melayu masih Hindu.

Sejak kedatangan Islam kurun ke-13, para cendekiawan - pendakwah, pendita, sasterawan, ahli bahasa istana dan orang tua-tua - sudah berusaha mengalih sosok bahasa Melayu daripada berunsur Hindu kepada berteras Islam dengan kekata Arab Al-Quran.

Mereka melakukan 'pembersihan' ini secara bertahap. Janganlah pula kelekaan menyebabkan kita memasukkan semula kekata dengan percanggahan nilai.

Pemeliharaan bahasa adalah bidang yang tidak kurang penting. Ia perlukan usaha bersama, berterusan dan dukungan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, asatizah dan alat sebaran am agar bahasa Melayu terus subur pada masa depan.

Bahasa menjunjung budaya. Fasih bahasa, jiwai budaya agar mulia jati diri.

Tuesday, January 24, 2012

Jati diri bangsa Melayu

22 Jan 2012

EKSTRA!

BUDI BICARA MELAYU KITA

Karya sasterawan Melayu yang memperjuangkan jati diri bangsa perlu dijadikan iktibar


MELAYU itu orang yang bijaksana.

Nakalnya bersulam jenaka.

Budi bahasanya tidak terkira...


Melayu itu kaya falsafahnya.

Kias kata bidal pusaka.

Akar budi bersulamkan daya.

Gedung akal laut bicara....


Berdamai cara Melayu indah sekali.
Silaturrahim hati yang murni.
Maaf diungkap senantiasa bersahut.
Tangan diulur sentiasa bersambut.
Luka pun tidak lagi berparut...


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun.
Menyanggah dengan senyum.
Marahnya dengan diam.
Merendah bukan menyembah.
Meninggi bukan melonjak.


Kata-kata ini saya sedut daripada sajak bertajuk Melayu, tulisan Allahyarham Usman Awang, salah seorang penyair dan sasterawan ulung Melayu yang amat saya kagumi tulisannya.

Sejak kecil lagi saya sudah diperkenalkan kepada karya-karya Usman Awang, selain beberapa tokoh sasterawan ulung Melayu dan Indonesia.

Sebuah novelnya yang bertajuk Tulang-Tulang Berserakan pernah saya pelajari sebagai buku teks mata pelajaran sastera sewaktu saya menuntut di menengah dua dahulu.

Dari dahulu hingga sekarang, saya memandang tinggi golongan sasterawan.

Bagi saya, sasterawan merupakan satu golongan penting dalam mana-mana masyarakat, termasuk masyarakat kita.

Saya melihat sasterawan sebagai satu golongan yang begitu peka akan kejadian yang berlaku dan nasib yang dialami oleh masyarakat mereka dan manusia sejagat umumnya.

Seringkali mereka dapat merasakan denyut nadi masyarakat sekeliling dan membuat pemerhatian yang kadangkala tidak dapat dilihat oleh masyarakat ramai.

Golongan sasterawanlah yang selalunya mendekatkan diri dengan masyarakat bawahan, yang sering mereka panggil golongan marhain.

Suara sasterawan seringkali mewakili suara golongan marhain ini.

Itulah pemahaman saya tentang sasterawan sejati ini.

Itulah sebabnya golongan sasterawan amat saya hormati dan mendapat tempat istimewa di hati saya... terutama mereka yang berjuang bukan kerana nama atau ganjaran, apa lagi untuk menang anugerah dan pangkat.

Berbalik kepada sajak Melayu karya Allahyarham Usman Awang ini, saya menimbulkannya dalam ruangan kali ini kerana bagi saya, sajak tersebut amat berguna untuk membantu kita mengenal sifat-sifat orang Melayu yang tidak banyak berbeza sampai sekarang - baik di Singapura atau di mana jua pun.

Bagi saya, banyak yang kita boleh jadikan iktibar daripada sajak tersebut. Begitu juga dengan karya-karya Allhyaryam yang lain... asalkan saja kita sedia membuka minda dan berlapang dada.

Apa yang saya petik dalam empat perenggan pertama rencana ini menunjukkan sifat-sifat positif orang Melayu kita.

Sebahagian besarnya wajar kita contohi, walaupun dalam melayari hidup di zaman moden ini.

Pada asasnya, saya yakin, orang Melayu kita sampai sekarang masih mementingkan budi bahasa.

Walaupun kita sudah jarang berpantun untuk meluahkan perasaan, sifat lembut dan bertimbang rasa seperti yang diungkapkan dalam sajak Allahyarham Usman Awang itu masih berakar umbi dalam masyarakat kita.

Sifat bermaaf-maafan dan mengerat silaturrahim masih menjadi amalan umum masyarakat kita.

Cuma kadangkala, ada sebahagian orang kita yang lupa akan budi bicara dalam melayari kehidupan seharian.

Ada orang kita yang mudah naik baran dan tidak teragak-agak bila melemparkan kata-kata kesat apabila sedang marah.

Saya pernah membaca komen-komen yang tersiar dalam Facebook dan laman sosial lain yang dibuat oleh kita.

Apabila mereka mengecam tentang sesuatu golongan atau kejadian yang menjejas masyarakat kita, pelbagai perkataan, termasuk kata-kata kesan mereka luahkan.

Apabila mereka membidas sesuatu pandangan yang bertentangan dengan pandangan mereka sendiri, mereka menulis seolah-oah mereka sahaja yang betul.

Sedang ada antara kita yang pantang ditegur, lalu mudah merah telinga mereka, ada pula yang tidak henti-henti melemparkan kritikan seolah-olah semuanya salah.

Mereka ini sering lupa akan pepatah Melayu agar berhati-hati; bagai menghela rambut dari tepung, rambut tidak putus tepung jangan terserak.

Golongan Melayu seperti ini disebut dalam sajak Melayu Usman Awang tadi yang berbunyi :

Watak Melayu menolak permusuhan.
Setia dan sabar tiada sempadan.
Tapi jika marah tak nampak telinga.
Musuh dicari ke lubang cacing.
Tak dapat tanduk telinga dijinjing...
Hebat amuknya tak kenal lawan.

Apa nasihat Usman Awang kepada orang Melayu dalam sajaknya itu? Ini katanya:

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka



Bagi saya, sajak tersebut bagai satu permata yang wajar kita jadikan panduan.

Karya-karya Allahyarham umumnya bagaikan permata yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya.

Saya yakin, ramai juga antara sasterawan kita hari ini yang mempunyai semangat seperti Allahyarham.

Golongan inilah yang perlu kita berikan perhatian dan sokongan.

Jangan abaikan sasterawan kita.

Thursday, December 1, 2011

Bahasa ibunda buat pemantap jati diri

2 Dis 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Bahasa ibunda buat pemantap jati diri

Oleh
Maarof Salleh
SARANAN terbaru mantan Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew supaya disediakan dana besar ($100 juta) bagi mengembang dan memajukan pembelajaran bahasa ibunda di peringkat tadika wajar dialu-alukan para ibu bapa dan mereka yang arif tujuan pendidikan dan pembangunan budaya.

Langkah itu bertepatan dengan usaha membina sahsiah dan jati diri masa depan rakyat negara ini.

Biarkan kaedah pelaksanaannya dilakar dan dihasilkan pakar-pakar di bidang tersebut.

Yang penting, pembelajaran bahasa ibunda di peringkat awal itu harus diajarkan dalam bentuk yang mendatangkan rasa gembira dan suka kepada kanak-kanak, bukan sesuatu yang menjemukan atau yang sampai dianggap menjadi satu beban.

Mengapakah prinsip melaksanakan saranan itu wajar disokong?

Kajian menunjukkan pembelajaran sesuatu bahasa dan penguasaannya lebih mudah dan lebih cepat berlaku di peringkat usia muda.

Di peringkat usia muda, daya mengingat sesuatu dalam tempoh indera sedang berkembang didapati lebih kuat.

Mentelah daya ingat kanak-kanak juga masih baru - belum berdepan pelbagai ragam pengalaman yang dapat mengganggu tumpuan mereka.

Tegasnya, pengembangan pembelajaran bahasa ibunda di peringkat tadika menepati fitrah insan.

Selain itu, tentu ada pertimbangan-pertimbangan lain.

Para pemimpin negara ini, termasuk Encik Lee sendiri, telah beberapa kali mengaitkan kemungkinan keberuntungan Singapura dengan keterbukaan ekonomi negara China.

Mentelah, majoriti penduduk negara ini berketurunan etnik Cina.

Keberuntungan itu bukanlah sangat kerana persamaan etnik, tetapi atas andaian keupayaan berbahasa Mandarin dan pengongsian beberapa nilai dan budaya orang Cina.

Sayangnya, keberuntungan itu tidak menjadi kenyataan yang penuh kerana suasana penguasaan bahasa Inggeris di negara ini yang mengakibatkan berlakunya 'trade-off' iaitu kurang tumpuan pada pembelajaran bahasa ibunda, terutamanya bahasa Mandarin.

Akibatnya, kini apabila pintu ekonomi China mula dibuka, bukan semua usahawan dan pedagang Singapura dapat memanfaatkan bahasa Mandarin dan ilmu yang luas mengenai nilai dan budaya bangsa Cina demi meraih peluang di sebuah kuasa ekonomi antara terbesar di dunia.

Pun bak kata pepatah Inggeris better late than never (biar lambat asalkan dibuat), Encik Lee memancarkan diri sebagai seorang negarawan yang prihatin dengan terus mencari idea-idea segar untuk membaiki kelemahan masa lalu agar terjamin penakatan Singapura.

Selain manfaat ekonomi, isu yang tidak kurang penting mengenai pembelajaran bahasa ibunda ini ialah kaitannya dengan pembentukan sahsiah (personaliti) dan jati diri warga negara ini.

Sebabnya, bahasa amat berkait rapat dengan budaya. Bahasa bukan dipelajari bagi fungsi berkomunikasi bahkan sebagai pemantap budaya (cultural ballast).

Dasar dwibahasa negara ini sudah berjalan sejak Singapura mencapai taraf berpemerintahan sendiri (1959).

Selain tujuan berkomunikasi menerusi penguasaan aspek-aspek bahasa yang betul dan tepat (aspek linguistik), konsep dwibahasa disasarkan sebagai saluran bagi pemindahan warisan dan nilai-nilai budaya (aspek budaya).

Menerusi pengajaran bahasa ibunda, misalnya bahasa Melayu, yang berkesan, banyak nilai kehidupan bangsa Melayu dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Misalnya, nilai yang mahukan seseorang itu menjadi penyumbang serius dalam kehidupan bermasyarakat, bukannya seperti melukut di tepi gantang.

Atau, nasihat agar seseorang itu jangan menyombong dengan ilmunya yang sedikit (kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga), sebaliknya menjadi seorang yang merendah hati di sebalik ilmunya yang banyak (bak resmi padi: semakin tunduk semakin berisi).

Pertimbangan ekonomi menjadi sebab utama pembelajaran bahasa Inggeris diutamakan dan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.

Penguasaan bahasa Inggeris membuka peluang lebih besar bagi pekerjaan dan dalam perhubungan politik dan ekonomi antarabangsa.

Dengan persaingan sengit dalam kehidupan dan keinginan berjaya dalam meraih kekayaan kebendaan, bahasa Inggeris mempunyai daya tarikan tersendiri bagi setiap orang.

Kesannya, pembelajaran bahasa ibunda kurang mendapat perhatian. Hanya pelaksanaan dasar dwibahasa yang mensyaratkan setiap pelajar harus lulus minimum dalam bahasa ibunda yang membantu memastikan bahasa ibunda terus dihargai.

Peningkatan minat pada pembelajaran dan penggunaan bahasa Inggeris dan kurangnya tumpuan pada bahasa ibunda telah menghasilkan dwikesan serentak:


Pertama, semakin bersemarak budaya Barat yang datang bersama pembelajaran bahasa Inggeris.


Kedua, kian merudum nilai-nilai budaya etnik tempatan (Cina, Melayu dan India) yang malap bersama malapnya minat kepada bahasa ibunda.

Tentulah sukar mengelakkan kehadiran banyak pengaruh nilai dan budaya dari Barat yang datang bersama penguasaan dan pemakaian bahasa Inggeris yang meluas.

Pengaruhnya turut hadir 'di luar bilik darjah' seperti melalui saluran media cetak dan elektronik, terutamanya program-program import di televisyen, saluran media baru seperti Internet, bahkan melalui interaksi harian dengan karyawan dari negara-negara berbahasa Inggeris.

Singapura kini berhadapan dengan suasana kian ramai warganya, terutama generasi muda, yang mahir berbahasa Inggeris tetapi lemah penguasaan bahasa ibunda.

Malah, lebih membimbangkan lagi apabila mereka lebih mengongsi nilai-nilai dan budaya Barat tetapi kurang memahami apalagi menghayati nilai-nilai bangsa sendiri.

Saya masih teringat bagaimana seorang tokoh masyarakat menggambarkan suasana ini yang menunjukkan kaitan erat antara bahasa, budaya dan nilai-nilai.

Beliau menarik perhatian kemunculan CCC - bukannya citizen consultative committee (jawatankuasa perundingan rakyat), tetapi Coca-Cola Culture ('budaya Coca-Cola')!

Seseorang yang minum Coca-Cola tentu tidak akan menggunakan cangkir berpiring, tetapi meneguknya langsung dari botol atau kaling. Dia tidak akan duduk bersimpuh, sebaliknya berdiri.

Dalam situasi demikian, tentulah janggal baginya mengenakan kebaya atau ceongsam, sebaliknya akan bercelana ketat, menggerbangkan rambutnya dan memacakkan sebilah sikat di saku belakang celananya.

Seterusnya, dia akan berjalan dengan gaya yang kasar dan cepat, bukan dengan langkah yang lemah lembut atau melenggang.

Bayangkan perubahan budaya yang drastik yang bermula dengan tarikan iklan Coca-Cola berbahasa Inggeris, diikuti gaya meminumnya, diakhiri kemudian dengan nilai- nilai atau kebiasaan yang lain!

Lebih buruk lagi apabila pengaruh budaya seperti itu terbawa-bawa dalam kehidupan harian sehingga menjadi budaya baru yang asing daripada sahsiah dan jati diri asal seseorang.

Saya pernah mendengar luahan rasa kesal suri rumah yang menonton beberapa program televisyen tempatan. Terlalu banyak judul program, menurut mereka, yang 'rosak' bahasa Melayunya.

Mestikah kreativiti menjadi lesen menodai kemurnian bahasa Melayu?

Perlu diingat bahawa kebimbangan ini bukanlah bermakna Singapura harus surut daripada meneruskan dasar memajukan pembelajaran bahasa Inggeris.

Pilihan demikian hanyalah satu pilihan bunuh diri bagi negara ini.

Mentelah kita sebuah negara kecil tanpa sumber semula jadi kecuali modal insannya yang berketerampilan tinggi.

Yang harus menjadi keprihatinan bersama kita ialah jangan sampai setiap anak kita lupa daratan - mengetepikan kemuliaan warisan yang ada dan yang boleh menguatkan sahsiah dan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah.

Untuk itu kita berterima kasih atas saranan Encik Lee yang kena pada masanya!