Monday, May 31, 2010

Masa depan bahasa perlu jiwa kepimpinan oleh Yahya Hamid

23 Mei 2010

FORUM

Masa depan bahasa perlu jiwa kepimpinan


SAYA terpanggil mengusulkan suatu perubahan sikap mendasar orang Melayu terhadap bahasa ibundanya kerana keterkaitan budaya dan jati diri kita sebagai orang Melayu. Dua perkara yang perlu ditekankan adalah: Nilai niaga dan rasa bangga.

Pertama, penekanan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang bernilai niaga. Bahasa Melayu adalah bahasa Nusantara dengan sekitar 300 juta pengguna. Jumlah yang begitu besar tentulah mengundang pasaran niaga yang juga besar.

Kedua, tingkatkan rasa bangga terhadap bahasa Melayu dan keupayaan berbahasa Melayu. Sebenarnya bahasa Melayu sudah pun 'berakar umbi' sejak zaman Kerajaan Sriwijaya kira-kira 1,600 tahun lalu.

Menurut Darwis Harahap dalam bukunya Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu terbitan Universiti Sains Malaysia:

"Aksara Rencong ialah huruf Melayu Tua yang lebih tua daripada aksara Jawa Kuno (tulisan Kawi). Masyarakat yang telah memiliki kemahiran bertulis dianggap sebagai masyarakat yang telah tinggi peradabannya dan tentu telah mempunyai masyarakat yang berkurun- kurun lamanya."

Para pedagang dari India dan negeri Arab, dan pendakwah Islam dan penjajah umumnya, menggunakan bahasa Melayu dalam hubungan mereka dengan orang-orang tempatan kerana bahasa Melayu sudah pun menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan di Nusantara pada ketika itu.

Dengan dilaungkan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928 oleh pejuang kemerdekaan Indonesia dan dengan tercapainya kemerdekaan Indonesia pada 1945, bahasa Melayu dimartabatkan dengan diangkatnya bahasa Indonesia sebagai bahasa kesatuan dan persatuan Indonesia.

Dalam buku bertajuk Cermat Berbahasa Indonesia untuk Perguruan Tinggi tulisan Zaenal Arifin dan Amran Tasai, persoalan ini ditimbulkan: "Mengapakah Bahasa Melayu Diangkat Menjadi Bahasa Indonesia?"(Halaman 8). Mereka mengemukakan empat sebab sebagai berikut:

1. Bahasa Melayu sudah merupakan lingua franca (bahasa perantara) di Indonesia, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan.

2. Sistem bahasa Melayu sederhana, mudah dipelajari kerana bahasa ini tidak dikenal sebagai tingkatan bahasa, seperti dalam Bahasa Jawa (ngoko, kromo) atau perbezaan bahasa kasar dan halus seperti dalam Bahasa Sunda (kasar, lemes).

3. Suku Jawa, suku Sunda dan suku-suku lain dengan sukarela menerima bahasa Indonesia sebagai bahasa nasional.

4. Bahasa Melayu mempunyai kesanggupan untuk dipakai sebagai bahasa kebudayaan dalam erti yang luas.

Keputusan yang diambil para pejuang kemerdekaan Indonesia mengangkat bahasa Melayu menjadi Bahasa Indonesia adalah bijaksana dan tepat, dan kerana inilah kita dapat berhubungan lebih erat lagi sesama kita melewati perbatasan negara.

Jadi, tidak ada alasan baik bagi para pemimpin Melayu di Singapura tidak menguasai bahasa Melayu dan tidak menggunakannya dalam suasana yang sesuai.

Yahya Hamid

No comments:

Post a Comment