Thursday, May 6, 2010

Benar atau Dongeng

1 Mei 2010

EKSTRA!

Benar atau dongeng?

Kisah gergasi wujud di dasar Loch Ness di Scotland menjadikan ia cerita menarik di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah


APAKAH sebenarnya yang wujud di dasar Danau Ness atau lebih dikenali sebagai Loch Ness di Scotland?

Benarkah wujudnya sejenis kehidupan gergasi atau naga laut seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini?

Mungkin bagi kebanyakan orang, kisah sejenis gergasi yang wujud di dasar Loch Ness hanya sebuah kisah dongeng.

Namun dokumen-dokumen terbaru yang didedahkan baru-baru ini di Scotland menunjukkan bahawa pada tahun-tahun 1930-an, para pegawai polis di Scotland begitu yakin akan kehidupan sejenis gergasi yang hidup di dasar danau tersebut.

Mereka begitu yakin sehinggakan mereka bimbang bagaimana untuk melindungi gergasi itu daripada menjadi mangsa para pemburu.

Laman AP melaporkan bahawa fail-fail daripada Arkib Nasional di Scotland menunjukkan bahawa para pegawai setempat telah meminta Parlimen Britain menyiasat isu tersebut dan mengesahkan tentang kewujudan gergasi itu - sebagai keperluan sains.

Seorang pegawai polis kanan, William Fraser, dipetik sebagai berkata: 'Kisah mengenai kewujudan gergasi di Loch Ness memang diketahui.

'Tetapi laporan yang menyatakan bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk melindunginya, merupakan sesuatu yang tidak diketahui.'

Laporan berjudul The Nessie Files, yang disimpan selama 70 tahun itu didedahkan sebagai sebahagian daripada satu pameran berkaitan rahsia pemerintah.

Pameran itu mengkaji bagaimana pemerintah pernah - pada satu ketika - merahsiakan hampir segalanya. Pameran itu juga mengkaji bagaimana sikap pemerintah mula berubah dan lebih terbuka pada masa ini.

Pastinya gergasi Nessie masih merupakan satu misteri.

Danau di mana gergasi itu dikatakan hidup adalah yang paling dalam di Britain - sekitar 230 meter dalamnya.

Legenda mengenai kehidupan di dasar danau itu mula tercatit sejak 565 Selepas Masihi (A.D.) apabila seorang lelaki Kristian, St Columba, dikatakan menghalau sejenis gergasi laut dengan menggunakan kuasa doa, menurut Arkib Nasional negara itu.

Dokumen-dokumen juga menunjukkan usaha pihak media mencari dan mendokumenkan gergasi itu.

Dan usaha mencari mula bertambah pada tahun- tahun 1930-an apabila seorang doktor bedah mengambil foto sejenis kepala dinosaur yang keluar dari dasar air danau tersebut.

Pakar arkib, Encik Tristram Clarke, berkata surat-surat lama yang disimpan menunjukkan bahawa orang ramai benar-benar mempercayai tentang kewujudan gergasi itu.

Walau apa pun, Clarker berkata surat-surat tersebut menunjukkan bahawa pihak polis pada ketika itu amat tertekan dalam usaha melindungi gergasi tersebut.

Seorang penceramah jurusan media dan budaya di Universiti Northumbria, Encik Lee Baron, berkata:

'Sebab mengapa kisah dongeng Nessie masih berterusan ialah kerana ia satu kisah yang menarik.

'Kita semua dapat rasakan dan bayangkan soalan seperti bagaimana sekiranya ia benar.

'Terdapat banyak kisah dongeng gergasi di danau- danau di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi kerana adanya kisah Nessie telah dilihat, serta foto-foto palsu yang dilaporkan, maka Nessie dianggap yang paling menarik.'

No comments:

Post a Comment