31 Mei 2010
KOMENTAR
PANDANGAN
Jangan sampai kehilangan punca
Oleh
Pasuni Maulan
SEBAHAGIAN masyarakat kita masih lagi mewarisi pelbagai masalah sejak beberapa dekad yang lalu - penagihan dadah, jenayah, kehamilan remaja, penceraian dan sebagainya
Perangkaan penghuni di pusat tahanan bagi kesalahan juvena dan jenayah dewasa kurang diketahui umum. Namun bersandarkan kes-kes yang dipaparkan di media massa, dapat disimpulkan jumlah pesalah 'berbangsa Melayu' melebihi kadar penduduk Melayu/Islam Singapura.
Masalah sosial bak tiada akan berakhir - laksana membawa tepung dalam karung reput. Ditutup lubang yang bocor, tempat lain pula yang merekah sehingga tepung bertaburan.
Telah tiba masanya usaha gigih yang dilakukan berbagai pihak perlu dinilai semula. Dalam ruangan terhad ini, saya ingin menyentuh betapa penting mendisiplinkan peri laku anak muda kita.
Program pendidikan seks remaja
Banyak wang yang telah dibelanjakan untuk menjayakan program pendidikan seks remaja. Apakah ukur tara kejayaan yang telah ditetapkan sudah dicapai?
Adakah program sedemikian sekadar meningkatkan kesedaran atau megurangkan kes salah laku seks? Hal ini perlu disemak dengan tuntas.
Jangan jadi anjing menyalak bukit. Jika hubungan bebas anak-anak di peringkat sekolah dan remaja dibiarkan, bererti apa jua program asuhan seks untuk remaja mungkin tidak berkesan.
Kian ketara pelajar seawal menengah dua dan tiga berpimpin tangan ketika pergi dan pulang dari sekolah. Bagi yang lebih lebih tinggi umurnya pula, pergaulan mereka semakin memualkan - seperti tidak segan silu bercumbu di pengangkutan awam dan ditempat umum.
Usaha meningkatkan umur perkahwinan dari 16 tahun kepada 18 tahun diharapkan dapat mengurangkan pasangan muda yang ingin bernikah.
Namun di sebalik itu, ia hanyalah sekadar melambatkan mereka menjadi pasangan suami isteri yang sah tetapi hubungan bebas terus berkembang.
Kajian menyeluruh perlu diadakan tentang hubungan seks bebas dan kaitannya dengan penghayatan beragama keluarga dan tahap sosio ekonomi mereka serta pendidikan agama yang dilalui para remaja.
Masjid dan badan Islam wajar diserahkan tugas menyampaikan pendidikan seks bersendikan agama secara khusus atau diselitkan dalam kurikulum madrasah hujung minggu.
Mewajibkan pendidikan agama
Pemerintah menekankan peri penting pendidikan dan sudah melaksanakan Pendidikan Wajib (CE) sejak hampir sedekad yang lalu untuk memastikan semua anak Singapura diberikan peluang asas meraih ilmu bagi menyahut cabaran masa depan Negara.
Mereka yang tidak mendaftarkan anak bagi pengambilan murid ke darjah satu akan dikesan dan ibu bapa mereka akan dinasihatkan sehingga didenda jika melengahkan tanggungjawab asas ini.
Sayangnya, pendidikan agama tidak termasuk dalam CE. Hal ini dapat difahami kerana konteks sekular Singapura. Namun, ia menjadi kewajipan pada diri ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka diberikan pendidikan agama.
Sehingga kini jumlah anak Islam yang tidak menghadiri kelas-kelas agama dikatakan masih banyak. Bukankah ini merupakan satu cabaran untuk kita atasi?
Tanpa pendidikan agama yang disampaikan dengan berkesan kepada anak-anak kita, dikhuatiri akan kehilangan jati diri mereka sebagai Muslim yang bertanggungjawab.
Memang ibu bapa tidak boleh dipaksa untuk memastikan pendidikan agama anak mereka, tetapi tekanan sosial boleh dikenakan sehingga membuat mereka berasa 'malu' dan terdorong untuk tidak membiarkan anak-anak mereka.
Asatizah terlatih serta kurikulum dan pedogogi (cara pengajaran) agama yang disusun dengan baik diperlukan agar anak-anak kita berasa terangsang untuk belajar agama.
Mengukuhkan iman anak kita merupakan sebaik-baik bekalan ibu bapa dalam menghadapi cabaran dunia yang pesat berubah. Bahkan cara ini melindungi mereka dari jerat ajaran sesat, termasuk fahaman pelampau yang boleh mengancam keharmonian negara.
Ingatlah bahawa asas Islam bermula dengan wahyu pertama ialah 'Bacalah' - seruan mencari ilmu, terlebih utama ilmu agama.
Kita berdosa jika membiarkan anak kita 'diyatimkan' oleh ilmu agama dek kesilapan dan pengabaian peranan ibu bapa.
Oleh itu, masjid dan pertubuhan Islam perlu memikirkan strategi berkesan di peringkat kejiranan demi memastikan setiap anak Islam menghadiri kelas agama.
Tentulah untuk lebih mudah mendekati umat Islam, masjid dan badan Islam perlu memiliki daftar umat Islam di kawasan masing-masing. Ini boleh diperolehi daripada daftar pembayar zakat.
Tiada suatu tugas yang mudah dalam membetulkan masyarakat. Namun dalam setiap kesukaran, akan menanti jalan keluar ke arah kesenangan.
Oleh itu, amat wajar agar usaha mendekati keluarga yang tidak menghantar anak-anak mengikuti kelas agama dijadikan sebagai satu dari kayu ukur kelakonan (berdasarkan Indeks Kelakonan Utama) sesebuah masjid kejiranan.
Kita perlu bertindak sebelum mengeluh seolah-olah kehilangan punca.
Nota: Penulis ialah seorang ustaz, pemimpin masyarakat dan pemikir.
No comments:
Post a Comment