30 Mei 2010
EKSTRA!
Kenapa perlu belajar Mandarin?
Usah anggap ia bahasa asing yang hanya akan menyusahkan diri dan anak-anak kita, sebaliknya anggap ia alat tingkatkan daya saing
TIDAK berapa lama lagi, Majlis Bahasa Melayu kita akan memulakan Bulan Bahasa Melayu.
Ia satu usaha murni untuk menggalakkan masyarakat kita, terutama anak-anak muda, agar lebih cintakan bahasa ibunda mereka.
Namun, bukan soal itu yang ingin saya ketengahkan dalam rencana saya kali ini, tetapi sebaliknya bahasa Cina, atau lebih khusus lagi, Mandarin.
Terus terang, kita perlu mempercepat langkah belajar bahasa tersebut demi penakatan kita dalam era globalisasi ini.
Mungkin ada daripada anda menganggap Mandarin itu hanya untuk orang-orang Cina dan kita tidak perlu menggunakannya, apa lagi sampai nak bersusah payah  belajar bahasa tersebut.
Buat apa nak pikul satu beban lagi, sedangkan sekarang sahaja kita menghadapi cabaran besar menguasai dua bahasa - Melayu dan Inggeris? Itu belum termasuk bahasa Arab, bahasa agama kita.
Terserah pada anda membuat kesimpulan.
Tetapi, bagi saya, kita perlu bersikap pragmatik dan membuka minda kita kepada tuntutan zaman sekarang serta keperluan masa depan.
Kita kini berada dalam era globalisasi atau pensejagatan yang melihat kemunculan China sebagai satu kuasa besar ekonomi dan politik yang baru. Ia menuntut satu perubahan paradigma dalam diri kita.
Cakap mudahnya, kita perlu buat perubahan pada pemikiran kita kerana pemikiran lama tidak akan mampu membawa kita untuk bersaing dengan orang lain.
Sekarang sahaja, kita makin sering mendengar keluhan anak-anak Melayu kita (dan juga orang bukan Cina) yang kecewa apabila pekerjaan yang diiklankan memerlukan mereka sekurangkurangnya boleh bertutur Mandarin.
Kita anggap ini satu diskriminasi dan amalan tidak adil.
Ia bahkan turut diberi perhatian pemerintah dan juga kesatuan sekerja, yang kemudian menasihatkan majikan agar bersikap lebih adil dan tidak mengamalkan diskriminasi kaum, agama dan juga bahasa.
Tetapi, kita juga mesti bersikap realistik. Sampai bila kita dapat menahan arus penggunaan Mandarin daripada melanda kita?
Apakah kita masih mahu berdegil hingga akhirnya membiarkan diri ditenggelami arus tersebut?
Mengapa perlu belajar Mandarin?
Faktor utamanya ialah negara China yang kian muncul sebagai kuasa besar dunia dengan penduduk lebih 1 bilion orang.
Dengan pasaran sebesar itu ( melebihi jumlah penduduk Amerika, Eropah dan Jepun keseluruhannya), tiada siapa yang mampu untuk tidak mempedulikan peluang-peluang perniagaan dengan negara tersebut.
Walaupun kian ramai rakyat dan pengusaha China sendiri yang berusaha belajar bahasa Inggeris, bahasa perdagangan antarabangsa sekarang ini, mereka tentunya lebih senang dan percaya berurusan dengan orang asing yang mampu menjalin komunikasi dengan menggunakan bahasa Mandarin yang baik.
Berjuta-juta orang bukan Cina kini giat mempelajari Mandarin, dengan pemerintah China sendiri menganggarkan angka ini sudah menghampiri 100 juta orang sekarang.
Pentingnya mempelajari Mandarin juga disedari oleh orang-orang bukan Asia seperti Amerika dan Eropah.
Bahkan, Indonesia sendiri, negara jiran terdekat kita, kian menggalakkan rakyatnya menguasai Mandarin.
Hakikatnya, Mandarin kian menjadi mata pelajaran bahasa asing utama di banyak negara, mengatasi kedudukan bahasa-bahasa asing lainnya seperti Perancis, Jerman, Jepun dan Sepanyol.
Bagaimana dengan Singapura sendiri?
Keadaan kita di sini sudah jelas, umpama pepatah 'sudah terang lagi bersuluh'.
Dengan kaum Cina yang membentuk 75 peratus jumlah penduduk Singapura, dan dengan urusan perniagaan yang semakin berlipat ganda dengan negara China, peri pentingnya Mandarin sudah tidak perlu diperdebat.
Cuma, yang menjadi persoalan, sampai bila masyarakat Melayu kita hendak berdiam diri dan menutup mata daripada hakikat tersebut?
Jawabnya mudah. Kita harus mempercepat langkah mempelajari bahasa tersebut.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa Mandarin adalah salah satu bahasa yang amat sulit untuk dipelajari, terutama dari segi tulisan.
Tetapi itu tidak harus mematikan semangat kita. Tambahan pula, sudah ada anak-anak Melayu kita yang mula mempelajarinya, bahkan ada yang sudah meraih manfaat daripada kelebihan menguasai bahasa tersebut.
Memang tidak semua mampu belajar sampai tiga bahasa. Lantaran itu, kita perlu mendekatinya selangkah demi selangkah.
Nasihat saya, anda yang mampu, belajarlah dari sekarang.
Galakkan anak-anak kita agar ambil kesempatan mengikuti dengan serius kelas-kelas Mandarin yang ditawarkan di sekolah sebagai tambahan kepada bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.
Bagi yang dewasa, carilah kelas-kelas Mandarin yang diadakan di kelab-kelab masyarakat dan sebagainya.
Yang paling penting, bagi saya, kita betulkan sikap kita terhadap Mandarin.
Jangan anggap ia sebagai bahasa asing yang hanya akan menyusahkan diri dan anak-anak kita.
Tetapi, anggaplah ia sebagai satu alat untuk meningkatkan daya saing kita, bukan sahaja di Singapura, bahkan di luar negara, terutama China.
Bagi saya, Mandarin tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu kita, selagi kita yakin dan berpegang teguh pada jati diri kita.
No comments:
Post a Comment