Monday, May 17, 2010

Dasar Dwibahasa kekal

14 Mei 2010

SINGAPURA

Eng Hen beri guru Bahasa Ibunda jaminan dasar dwibahasa kekal penting, mereka dihargai


MENTERI Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, telah menulis kepada semua guru Bahasa Ibunda (MTL), menekankan peri penting dasar dwibahasa yang dilaksana pemerintah selama ini dan menjamin bahawa guru MTL dihargai di atas segala apa yang telah mereka lakukan untuk mengajar bahasa ibunda kepada kanan-kanak di sini.

Dalam suratnya itu, Dr Ng berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk MTL, termasuk menggajikan lebih ramai guru MTL dan mempertingkat kemudahan bagi pembelajaran dan latihan guru.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bersama Dr Ng telah memberi jaminan pemerintah tidak akan mengurangkan nilai markah MTL bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Ini selepas banyak pihak khuatir perkara itu akan dilakukan pemerintah setelah Dr Ng membayangkannya dalam satu wawancara dengan akhbar The Straits Times.

Dr Ng mengirim surat dua halamannya itu kepada para guru MTL menerusi e-mel pada hari sama. Surat itu diberi kepada media kelmarin.

Beliau merujuk kepada reaksi keras sejak tiga minggu lalu terhadap bayangan yang beliau beri dalam wawancara itu.

Antara mereka yang memberi reaksi itu ialah para guru MTL. Ramai daripada mereka tertanya-tanya adakah mereka menghadapi risiko diberhentikan kerja.

Meredakan kebimbangan itu, Dr Ng dalam suratnya berkata jumlah guru Bahasa Ibunda sebenarnya akan ditambah agar sekolah dapat melakukan lebih banyak lagi bagi memenuhi keperluan murid yang mempunyai kemampuan berbeza-beza.

'Jumlah guru MTL akan ditambah. Kami akan mengadakan lebih banyak program pengayaan dan program berkembar dengan sekolah-sekolah di China, India dan Malaysia.

'Kami telah meluaskan program bahasa pilihan di peringkat sekolah menengah dan maktab rendah,' ujarnya.

Memuji dedikasi para guru MTL, Dr Ng berkata dalam suratnya: 'Pelajar kita bernasib baik mempunyai guru-guru MTL yang ghairah, yang telah memupuk bergenerasi warga Singapura yang dwibahasa.

'Kerja keras dan komitmen anda... telah membantu (Kementerian Pendidikan) mempertingkat pengajaran MTL, sedang kita menjalankan semakan dari masa ke masa.'

No comments:

Post a Comment