23 Mei 2010
FORUM
Jangan sampai sekadar menjadi bahasa pasar
MEMBACA surat Encik Wahid Noordin (Tiada jalan pintas kuasai dan cintai bahasa Melayu, BH, 19 Mei), saya terpanggil untuk mengongsi pandangan.
Masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama sekali di kalangan pelajar dan golongan muda, hangat dibincangkan semenjak usulan semakan ke atas kurikulum bahasa ibunda ditimbulkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Kebimbangan atas kesannya jelas terlihat daripada kepantasan tindakan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) dan Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu (PGBM) membincangkannya dengan pihak MOE.
Huraian bagi masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama di kalangan pelajar dan golongan muda, sebenarnya telah lama dibincangkan bahasawan dan guru-guru bahasa Melayu kita.
Antaranya ialah perlunya mendidik anak-anak kita dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul semenjak kecil lagi, sesuai dengan pepatah melentur buluh dari rebungnya.
Hendaklah kita membiasakan mereka membaca akhbar Berita Harian serta buku dan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.
Tatkala menonton televisyen bersama keluarga, kita boleh membiasakan mereka menonton siaran berita dengan memberi perhatian kepada penyampaiannya yang fasih dan lancar.
Kita juga boleh menjadikan beberapa pengacara televisyen sebagai contoh bagi anak-anak kita.
Pengacara yang fasih dwibahasa seperti Najip Ali pula boleh kita jadikan contoh bahawa tidak mustahil untuk menguasai kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dengan baik.
Ini bererti kita perlu menjadikan rumah kita sebagai madrasah pertama bagi anak-anak kita menguasai dan mencintai bahasa Melayu.
Selain saranan di atas, hendaklah kita sendiri membiasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik bersama ahli keluarga.
Barulah kemudian langkah ini dapat diteruskan bersama saudara-mara dan sahabat-handai.
Akhir sekali, teringat saya akan nasihat imam Masjidil Haram, Allahyarham Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin, kepada keluarganya: “Janganlah jadi seperti suatu kaum yang walaupun menguasai bahasa Arab yang fasih, mereka tetap menggunakan bahasa pasar.â€
Saya rasa nasihat itu amat sesuai bagi kita.
Mohamed Farhan
Mohamed Samsudin
No comments:
Post a Comment