Showing posts with label nasib bahasa melayu. Show all posts
Showing posts with label nasib bahasa melayu. Show all posts

Monday, December 19, 2011

Nasib bahasa Melayu di Indonesia oleh Ahmad Ali Nurdin

14 Dis 2011

KOMENTAR

E-MEL DARI BANDUNG
Nasib bahasa Melayu di Indonesia

Oleh
Ahmad Ali Nurdin
DUNIA mengalami pelbagai 'kepupusan', termasuk bahasa. Menurut bahasawan Andrew Dalby dari England dalam bukunya, Language In Danger (2003), selang dua minggu ada satu bahasa di dunia yang hilang.

Dalam sedekad kelak, Encik Darby meramalkan akan hilang 5,000 bahasa dari jagat ini.

Ramalan ini tentu saja membuat kita prihatin akan kesinambungan bahasa, terutamanya bahasa bonda di mana-mana tempat.

Pendapat Encik Darby juga membuat saya tertanya-tanya tentang masa depan bahasa-bahasa ibunda di Indonesia - pupus juga atau bagaimana?

Saya ingin mengambil contoh bahasa Melayu di Indonesia. Mengapakah ramai orang Indonesia tidak menggunakan bahasa Melayu? Tidakkah penduduk negara jiran iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei masih menggunakan bahasa Melayu?

Mungkin betul masih ada tempat di Indonesia seperti di pulau Sumatera dan Kalimantan yang menggunakan bahasa Melayu.

Namun, umumnya orang Indonesia, apalagi belia, kurang mengenal bahasa Melayu. Padahal akar bahasa Indonesia bahasa Melayu Riau.

Ki Hajar Dewantara (wira pendidikan Indonesia) mengakui bahawa yang dinamakan bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu Riau yang diubah suai (ditambah atau dikurangi) dengan perkembangan zaman.

Menurut Pak Dewantara, berbeza daripada Melayu Pontianak dan Melayu Banjarmasin, Melayu Riau dipilih kerana dialek ini sedikit saja terpengaruh oleh kata serapan bahasa asing.

Jika sekarang hanya sedikit masyarakat Indonesia yang menggunakan bahasa Melayu, apakah makna di sebaliknya?

Bagi saya, kurangnya orang Indonesia memakai bahasa Melayu mengandungi dua pengertian.


Pertama, ini menunjukkan bahawa gagasan bahasa Indonesia sebagai bahasa persatuan yang dikempenkan oleh kaum belia melalui Sumpah Pemuda (28 Oktober 1928) berjaya dilaksanakan.

Bahasa Indonesia dijadikan sebagai bahasa penyatu masyarakat Indonesia yang berbilang etnik, ras dan kebudayaan.

Saya tidak tahu bagaimana bermacam-macam etnik yang berbeza bahasa ibunda seperti Jawa, Sumatera, Papua, Kalimantan dan Sulawesi berkomunikasi jika negeri ini tidak mempunyai bahasa persatuan iaitu bahasa Indonesia.


Kedua, kurangnya pemakaian bahasa Melayu boleh bermakna masyarakat kurang menghargai, kurang memelihara dan kurang berkempen mengggunakan bahasa ibunda, terutamanya masyarakat di Sumatera dan Kalimantan.

Kerana kurang digunakan dalam bahasa tulisan seperti menulis buku atau karya kesusasteraan, maka kalangan belia kini kurang mengenal bahasa Melayu.

Ini sangat berbeza daripada zaman pujangga Indonesia terdahulu yang banyak menulis karya sastera dalam bahasa Melayu.

Kurangnya bahan bacaan atau buku berbahasa Melayu yang masuk dan dijual di Indonesia hasil karya penulis Melayu Singapura, Malaysia dan Brunei juga salah satu sebab mengapa bahasa Melayu semakin tidak dikenal di Indonesia.

Hal ini dikaitkan dengan dasar penjajah Belanda menyekat kemasukan bahan bacaan Melayu dari luar Indonesia. Malangnya, dasar ini masih belum diperbetul.

Akibatnya, kurang bahan bacaan yang berbahasa Melayu. Maka kaum belia semakin tidak kenal atau tidak sedar bahawa akar bahasa Indonesia adalah Melayu Riau, apalagi bagi belia yang ada di pulau Jawa.

Tentu orang Indonesia akan rugi kerana hilangnya bahasa Melayu bererti hilangnya salah satu budaya dan sejarah akar bahasa Indonesia.

Namun, bagi saya akan lebih teruk lagi jika bahasa Melayu hilang daripada masyarakat yang ada di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Oleh itu, diperlukan usaha bersama berkempen agar masyarakat Melayu di mana-mana tempat - termasuk Indonesia - gemar membaca dan berbicara dengan bahasa Melayu.

Janganlah orang Jakarta, Singapura atau Kuala Lumpur berasa minder atau dipandang rendah ketika menggunakan bahasa Melayu.

Janganlah mereka berasa lebih bangga menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Sudah saatnya buku-buku berbahasa Melayu karya penulis-penulis di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam banyak dijual di Indonesia. Begitu pun sebaliknya.

Tersiarnya rancangan kanak-kanak Upin dan Ipin di televisyen di Indonesia secara tidak langsung mengenalkan semula bahasa Melayu kepada kanak-kanak Indonesia.

Jika banyak bacaan buku dan karya sastera ulung berbahasa Melayu dijual dan diedarkan di Indonesia, saya yakin bahasa Melayu sebagai akar bahasa Indonesia akan dikenal kembali oleh generasi belia Indonesia.

Tuesday, October 19, 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu

17 Oktober 2010 Ahad Mingguan Malaysia
Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

SAYA amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali.

Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sejak dahulu lagi isu ini telah dibangkitkan oleh pejuang-pejuang bahasa, tetapi ia tidak diendahkan, baharu sekarang kita mahu mengambil berat. Apakah sudah terlambat? Yang selalu kedengaran adalah kelantangan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong dalam mempertahankan bermatian-matian akan bahasa ibunda mereka. Kita baru mula insaf setelah nasi menjadi bubur. Orang lain bukan sahaja sudah insaf lama, tetapi mereka langsung tidak pernah mengenal erti putus asa. Namun, saya tetap bersangka baik, daripada tiada langsung, lebih baik ada.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Saya tidak pasti sejauh manakah kita mengimplementasikan syarat wajib lulus dalam bahasa Melayu mendapatkan kerja di sektor swasta? Apa yang saya tahu, langsung tidak ada pengawalan. Sama ada mereka lulus atau gagal bahasa Melayu, atau mungkin langsung tidak tahu berbahasa Melayu, sudah tidak menjadi ukuran. Yang penting adalah Malaysia boleh! Kenapakah kepentingan masa depan ini tidak dilihat secara serius?

Sebelum inipun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim telah membangkitkan dan membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan. Baginda menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu akibat berpecah-belah di negara ini pernah diutarakan oleh raja-raja Melayu yang lain seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dalam ucapan-ucapan baginda.

Menguatkuasakan

Sehingga hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh ‘terlepas’ ataupun sudahpun ‘terlepas’. Sepanjang pengamatan saya, negara-negara lain di dunia ini, tidak ada masalah langsung untuk memperkasakan perkara-perkara asas berkaitan dengan pembinaan masa depan dalam sebuah negara bangsa, kerana mereka tahu perlembagaan asas kepada hidup mati sesebuah negara? Rosak perlembagaan, rosaklah negara dan rakyatnya.

Perlu diingat, jika kitab suci itu adalah pegangan hidup beragama, maka perlembagaan adalah asas pegangan hidup bernegara. Dalam konteks yang lebih kecil, perlembagaan adalah asas kepada penubuhan sesebuah persatuan atau organisasi. Tanpa perlembagaan, persatuan atau organisasi tidak boleh ditubuh secara sah. Jika kita tidak setuju dengan perlembagaan tersebut, kita mesti kita mengambil jalan untuk keluar daripada pertubuhan tersebut. Begitulah dalam konteks bernegara, jika perlembagaan tidak dipatuhi, kita mesti mengambil jalan untuk keluar. Carilah tempat-tempat yang mana perlembagaannya dapat memenuhi selera dan nafsu kita.

Ini asas-asas bernegara dan berpersatuan yang mesti difahami. Saya berasa amat pelik kenapa ada segelintir daripada kita tidak langsung mengendahkan arahan kerajaan supaya kurikulum sekolah jenis kebangsaan dan sijil sekolah jenis persendirian dirombak mengikut kurikulum atau silibus kenegaraan, agar penguasaan bahasa Melayu menjadi lebih mantap. Namun, sudahlah arahan tersebut tidak diikuti, mereka lebih sibuk dan takut jika kurikulum dan silibus tersebut tidak diikhtraf oleh negara lain yang menjadi kiblat mereka selama ini?

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Kebiasaannya, kempen bulan bahasa tidak dilakukan ke atas bahasa kebangsaan kerana rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa ini sama ada suka atau tidak. Kempen bahasa kebangsaan sepatutnya giat dijalankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil atau di tempat-tempat bahasa Melayu tidak didaulatkan. Begitu juga dengan kempen ke atas bahasa-bahasa sampingan yang lain bagi menyemarakkan penguasaan bahasa-bahasa sampingan tersebut, seperti bahasa Inggeris.

Lihat sahaja negeri China, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak bersifat sedemikian? Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang guru senior India yang mengajar bahasa Inggeris, di Kuala Lumpur, menggelarkan dirinya Cikgu Siva Malaysia. Beliau amat terkenal di sekolahnya disebabkan cara hidup beliau yang amat berjiwa Malaysia berakarkan semangat kebangsaan kenegaraan yang begitu kuat. Bahasa Melayunya amat fasih mengalah orang Melayu sendiri. Saya fikir cara dan akhlak beliau seperti orang Islam, walaupun hakikatnya beliau masih belum Islam.

Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai politik Malaysia yang amat bersifat perkauman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak didaulatkan, apatah lagi dikuasai. Selaku seorang Kristian yang selalu ke gereja, katanya, sesetengah gereja turut bersifat perkauman. Menyindir dan mengutuk bangsa dan agama lain adalah perkara biasa. Isu video klip mengenai ceramah seorang Cina Muslim, mengenai agama Buddha dengan ‘King Kong’, sengaja diperbesar-besarkan oleh laman web Malaysian Insider, begitu jelas berniat hajat. Pergilah juga sama buat siasatan di tempat- tempat lain seperti gereja, apakah mereka tidak mengutuk agama dan bangsa lain?

Bersyukur

Apapun, Cikgu Siva amat bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dapat menjaga negeri bertuah ini dengan aman damai. Dengan adanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, orang bukan Islam berasa aman untuk menunaikan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Beliau turut memuji ceramah-ceramah oleh para agamawan Islam yang memberi ceramah dan kuliah-kuliah, yang mana mereka jarang mengutuk atau menghentam orang bukan Islam. Yang selalu diajar adalah untuk bagaimana caranya untuk menyeru bukan Islam supaya kembali memeluk Islam. Pendekatan yang kasar sedemikian, amat jarang sekali diajar di rumah Allah itu, kecuali beberapa kes terpencil.

Beliau amat menghargai toleransi umat Islam. Katanya lagi, kes pembunuhan Datuk Sosilawati adalah satu contoh jelas toleransi tersebut. Umat Islam dapat menerimanya secara terbuka tanpa menyalahkan mana-mana kaum. Pihak keselamatan pula, awal-awal telah membuat kenyataan bahawa ia tidak ada kaitan dengan isu perkauman. Begitulah seterusnya dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan supaya kita bertenang dan bertenang. Umat Islam menerima ketentuan takdir ini, tanpa rasa permusuhan dan benci terhadap orang India.

Bayangkan, andai kata peristiwa ini berlaku sebaliknya, menimpa orang bukan Melayu, yang melakukannya adalah orang Melayu. Apakah bukan Melayu akan menerimanya sebagaimana penerimaan orang Melayu? Apakah berita seperti ini tidak akan disensasikan dalam akhbar-akhbar mereka atau internet? Namun, bila kena pada orang lain, bagaimana kesudahannya? Selama kes ini disiasat pun, ada suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan dan pihak polis. Persoalannya, kenapa kita tidak menghormati toleransi seperti ini? Apakah lagi jenis toleransi yang kita harapkan lagi?

Apakah tidak ada langsung kredit patut diberikan kepada kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu? Hari ini, tidak ada cara berlembut lagi untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melainkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Monday, July 19, 2010

Usah biar bahasa kita terkubur

19 Jul 2010

EKSTRA!

BICARA BAHASA
Usah biar bahasa kita terkubur

Apakah nasib yang bakal menimpa bahasa Melayu pada generasi baru

Oleh
Roslie Sidik
KEDUDUKAN bahasa Inggeris kini bukan sahaja semakin meningkat tetapi semakin menggugat. Memanglah bahasa Melayu masih terus-menerus mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam masyarakat dan negara kita.

Namun, peningkatan penggunaan bahasa Inggeris kini di kalangan masyarakat kita cukup ketara sehingga terkesan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan di kalangan masyarakat kita sendiri semakin hari semakin terpinggir.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa bahasa Inggeris dilihat sebagai kunci modernisasi dan perkembangan ekonomi dan berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, perundangan dan perdagangan.

Bahasa Inggeris juga dianggap sebagai bahasa ilmu dan amat dititikberatkan oleh ibu bapa.

Bahkan, madrasah-madrasah dan institusi-institusi Islam seperti masjid juga telah mula memberikan perhatian khusus dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Di Singapura, masyarakat kita, khususnya generasi muda sudah mula tidak rasa canggung mendengar penyampaian khutbah dan mempelajari kelas agama dalam bahasa Inggeris.

Namun, persoalannya apakah nasib yang bakal menimpa bahasa kita, bahasa Melayu yang kita cintai, khususnya bagi generasi muda dan generasi baru yang akan datang. Apakah bahasa Melayu juga akan terkubur tanpa nisan dan mengalami nasib yang sama seperti bahasa Sanskrit yang pupus ditelan masa. Dalam keghairahan pejuang bahasa dan budaya yang sentiasa mendabik dada dan melaungkan kalimat 'Takkan Melayu hilang di dunia', kita sering menganggap bangsa Melayu tidak mungkin akan lenyap di muka bumi ini.

Tetapi apakah pernah kita terfikir bahawa mungkin benar bangsa Melayu itu tidak akan pupus, tetapi mampukah bahasanya juga kekal selama-lamanya.

Sekiranya Sanskrit itu sejarah silam dan kita beranggapan bahawa hal itu tidak akan terjadi kepada bahasa Melayu dalam konteks moden ini, mungkin kita harus rujuk dan pelajari daripada masyarakat Saraguros di Lagunas, Ecuador.

Masyarakat Saraguros merupakan masyarakat bilingual yang menuturkan bahasa Quechua (bahasa natif mereka) serta bahasa Sepanyol. Hornberger dan King (1996) dalam kajiannya tentang bahasa Quechua mendapati bahawa bahasa itu sedang mengalami proses kematian disebabkan rata-rata anak-anak kecil dalam komuniti tersebut hanya mampu menuturkan bahasa Sepanyol.

Tidak usah pergi jauh, mungkin kita hanya perlu mengenang semula nasib bahasa etnik kita sendiri, seperti bahasa Jawa dan Bawean yang suatu ketika dulu digunakan dengan sebaiknya oleh kelompok masyarakat itu sendiri, kini hanya tinggal kenangan.

Bahasa etnik di Singapura telah lama mati dan sekadar menunggu masa dikuburkan di pusara abadi kerana hampir keseluruhan generasi muda di Singapura sudah tidak lagi mampu menuturkan bahasa itu.

Ke mana arahnya nasib bahasa kita bukan sahaja terletak di atas bahu setiap tokoh pejuang dan pencinta bahasa dan budaya, bukan juga pada pihak pemerintah, pengajian tinggi, sekolah ataupun persatuan bahasa dan budaya semata-mata. Setiap individu memainkan peranan dalam memastikan pengekalan bahasa Melayu kerana sesuatu bahasa akan mati jika sudah tiada lagi penutur naratifnya.

Bahkan sarjana seperti Greenberg (1965) beranggapan bahawa 'salah satu faktor utama dalam pengekalan bahasa ialah keupayaan dan kemahuan ibu bapa itu sendiri dalam menyampaikan bahasa ibundanya kepada anak-anak'.

Tentulah amat membimbangkan jika si ibu pada hari ini memilih untuk mendodoi anak mereka hanya dengan alunan lagu nursery rhymes daripada lagu-lagu Melayu yang sedia ada.

Pasti membimbangkan juga apabila si anak mula membesar dan secara alamiah lebih bijak dan selesa mengira dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Turut membimbangkan lagi apabila si anak mula mengigau dan dalam igauan atau mimpi mereka, mereka berkata-kata dalam bahasa Inggeris.

Tentu ada juga datuk dan nenek yang mulutnya melopong apabila mendengar si cucu lebih fasih membaca doa makan dan menghafal doa solat dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Sedikit masa dahulu, hal-hal sebegini jarang sekali ditemui tetapi sekarang inilah realitinya.

Memang sukar untuk dinafikan bahawa bahasa Inggeris yang dilihat sebagai lebih berprestij sering mendapat tempat yang lebih istimewa dan semakin mengambil alih peranan bahasa Melayu secara sedar ataupun tanpa kita sedari.

Di Singapura, proses pengalihan bahasa dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris memang telah pun berlaku.

Menerusi bukunya Bahasa Melayu Di Singapura: Pengalihan dan Pengekalan (2003), Dr Roksana Bibi, seorang Penolong Profesor, Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, berkata bahawa 'pengalihan ke bahasa Inggeris ini membayangkan sikap utilitarian dan pragmatik komuniti masyarakat Melayu yang mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelbagai bidang, terutamanya pendidikan dan ekonomi'.

Tambah Dr Roksana lagi, tanpa usaha yang sungguh-sungguh, bahasa Melayu akan menjadi hanya sebagai satu pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu sahaja dan 'dari segi realitinya, bahasa Melayu tidak akan mungkin digunakan langsung jika tiada keperluan'.

Kita seharusnya sedar dengan hakikat bahasa yang melanda masyarakat kita dan bergerak ke arah usah-usaha untuk memperbaikinya.

Tiada sesiapapun yang sesekali menafikan kepentingan bahasa Inggeris ataupun meremehkan penggunaannya.

Tetapi sewajarnya dalam keghairahan kita menggunakan bahasa Inggeris yang sering dilihat sebagai bahasa sedunia, wajar juga kita terus-menerus berusaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu agar bahasa Melayu terus kekal relevan. Akhir kata 'Bahasa Kita, Gunakanlah'.

Nota: Penulis ialah seorang pendidik

Monday, May 31, 2010

Jangan Sampai sekadar menjadi bahasa pasar oleh Mohamad Farhan

23 Mei 2010

FORUM

Jangan sampai sekadar menjadi bahasa pasar


MEMBACA surat Encik Wahid Noordin (Tiada jalan pintas kuasai dan cintai bahasa Melayu, BH, 19 Mei), saya terpanggil untuk mengongsi pandangan.

Masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama sekali di kalangan pelajar dan golongan muda, hangat dibincangkan semenjak usulan semakan ke atas kurikulum bahasa ibunda ditimbulkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Kebimbangan atas kesannya jelas terlihat daripada kepantasan tindakan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) dan Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu (PGBM) membincangkannya dengan pihak MOE.

Huraian bagi masalah penguasaan bahasa Melayu, terutama di kalangan pelajar dan golongan muda, sebenarnya telah lama dibincangkan bahasawan dan guru-guru bahasa Melayu kita.

Antaranya ialah perlunya mendidik anak-anak kita dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul semenjak kecil lagi, sesuai dengan pepatah melentur buluh dari rebungnya.

Hendaklah kita membiasakan mereka membaca akhbar Berita Harian serta buku dan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Tatkala menonton televisyen bersama keluarga, kita boleh membiasakan mereka menonton siaran berita dengan memberi perhatian kepada penyampaiannya yang fasih dan lancar.

Kita juga boleh menjadikan beberapa pengacara televisyen sebagai contoh bagi anak-anak kita.

Pengacara yang fasih dwibahasa seperti Najip Ali pula boleh kita jadikan contoh bahawa tidak mustahil untuk menguasai kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dengan baik.

Ini bererti kita perlu menjadikan rumah kita sebagai madrasah pertama bagi anak-anak kita menguasai dan mencintai bahasa Melayu.

Selain saranan di atas, hendaklah kita sendiri membiasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik bersama ahli keluarga.

Barulah kemudian langkah ini dapat diteruskan bersama saudara-mara dan sahabat-handai.

Akhir sekali, teringat saya akan nasihat imam Masjidil Haram, Allahyarham Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin, kepada keluarganya: “Janganlah jadi seperti suatu kaum yang walaupun menguasai bahasa Arab yang fasih, mereka tetap menggunakan bahasa pasar.”

Saya rasa nasihat itu amat sesuai bagi kita.

Mohamed Farhan

Mohamed Samsudin

Tuesday, May 25, 2010

Penakatan bahasa ibunda bukan bertepuk sebelah tangan

24 Mei 2010

KOMENTAR

Penakatan bahasa ibunda bukan bertepuk sebelah tangan


BERTEPUK sebelah tangan tidak akan berbunyi. Begitulah isu pembelajaran bahasa ibunda kini. Pemerintah sudah pun menegaskan nilai agregat Bahasa Ibunda (MTL) bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tidak dikurangi. Bahkan, satu jawatankuasa khas pimpinan pengarah agung pendidikan, Cik Ho Peng, ditugaskan menyemak kurikulum sedia ada. Semakan itu kelak berteras pembelajaran pembezaan (differentiated learning) berdasarkan penggunaan harian bahasa ibunda dewasa ini.

Inilah hasil komitmen pemerintah mendengar suara hati rakyat yang amnya tidak rela martabat MTL terjejas. Mungkin ada pihak yang mengaitkan tolak ansur pemerintah itu dengan pilihan raya menjelang. Namun, itu soal kedua. Lebih penting, apakah sambutan warga selanjutnya? Tidak cukup hangat-hangat tahi ayam sahaja. Bayangkan, trend menggunakan bahasa Inggeris di rumah dalam kalangan keluarga Cina dan India meningkat seganda kepada 60 peratus berbanding dua dekad lalu. Bahkan keluarga Melayu juga menunjukkan pola serupa. Ini berlaku ketika MTL diberi penilaian setaraf dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik pada peringkat PSLE.

Masa depan bahasa ibunda bukan di bahu sekolah sahaja. Semua pihak berperanan dan harus berpimpin tangan. Lantaran itu, lejangan daripada perbahasan kini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Jika betul-betul serius, rakyat, terutama ibu bapa, mestilah mempertingkat penggunaan bahasa ibunda secara harian - baik di rumah, di luar rumah mahupun di tempat kerja. Ini saja jalan pastinya.

Warga perlu gigih memberi maklum balas kepada jawatankuasa semakan MTL nanti. Di sekolah, jejak kerjaya guru MTL perlu dipertingkat sebagai rangsangan. Pengajaran MTL mestilah hidup dan interaktif. Kepentingan bahasa ibunda perlu diterap dalam jiwa murid sejak di tadika lagi. Pelajar boleh dikenalkan kepada teks sastera menarik agar belajar MTL tidak bersifat linguistik yang membosankan. Kementerian Pendidikan (MOE) pula boleh menjalin kerjasama dengan media bagi penggunaan bahasa ibunda secara lebih luas dan teliti - baik dalam akhbar, iklan mahupun rancangan TV. Pengalaman negara lain memelihara bahasa ibunda boleh diserap. Penakatan bahasa ibunda merupakan daya saing watan ini. Kita tidak mampu kelu pada lisan dan kekok pada tulisan.

Saturday, March 27, 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi sendiri oleh Teo Kok Seong

Nasib bahasa Melayu di bumi sendiri

Oleh Teo Kok Seong

teokok@ukm.my

2010/03/28

Kita perlu beri contoh terbaik dalam usaha mengantarabangsakan lingua franca sendiri.

CADANGAN mewajibkan subjek Bahasa Melayu (BM) untuk sekitar 65,000 pelajar asing yang kini menuntut di Malaysia adalah satu langkah yang sudah tentu baik dalam usaha kita mengembangkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi untuk mengantarabangsakannya.

Antara kepentingannya dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah wadah komunikasi di negara ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik akan membolehkan pelajar ini berfungsi dengan baik dalam masyarakat Malaysia, sama ada dari segi kedua-dua kecekapan tatabahasa dan budi bahasa Melayu. Sebetulnya kesan ini cukup sahih dan perlu disokong. Namun, adakah prasarana serta ekologi bahasa Melayu yang wujud kini, sama ada yang formal atau sebaliknya, mendukung keadaan yang kondusif? Kedua-dua ini amat penting dalam membantu serta mendorong pelajar ini untuk menekuni bahasa Melayu, khususnya atas rangsangan integratif, yakni bukan saja untuk bercampur gaul, tetapi mengadunkan diri mereka dalam kehidupan tempatan, sementara mereka berada di Malaysia.

Jawapannya tidak positif seperti yang sepatutnya. Bahasa Melayu walaupun diberi pelbagai paparan baik lagi indah oleh sesetengah pihak, sebenarnya ia melukut di tepi gantang dalam beberapa hal di bumi watannya sendiri. Ekologi linguistik di negara ini tidak selalu memperlihat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, iaitu dalam konteks sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sebagai contoh, penamaan awam di Malaysia tidak banyak yang menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris lebih menjadi norma. ‘Bangsar South’ untuk sebuah perbandaran baru di Kuala Lumpur serta ‘Mara Liner’ bagi bas yang memberi perkhidmatan di kawasan luar bandar, khususnya penempatan komuniti Melayu adalah antara contohnya.

Mahu tidak mahu, semua ini memberi mesej bahawa bahasa Melayu tidak penting lagi, bukan saja kepada pelajar asing ini, tetapi juga kepada masyarakat Malaysia sendiri. Sehubungan ini, masyarakat tempatan ikut memberi gambaran negatif terhadap bahasa Melayu apabila mereka tidak banyak menggunakannya, khususnya dalam konteks sebagai bahasa negara untuk berkomunikasi sesama sendiri. Mereka lebih gemar dan bangga menggunakan bahasa lain dan jika bahasa Melayu digunakan, ia digunakan dalam bentuk campur aduk pula. Gambaran yang buruk terhadap bahasa Melayu ikut berlaku apabila kita tidak mahu menggunakannya ketika bercakap dengan sesetengah pelajar asing ini, walaupun ada antara mereka fasih dalam bahasa Melayu. Sebaliknya, kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai ganti. Sikap jelek kita ini memberi gambaran bahawa masyarakat Malaysia tidak bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara sendiri. Sesungguhnya ini bukan gambaran lagi, tetapi kenyataan benar mengenai perbuatan, pandangan dan kepatuhan kita terhadap bahasa Melayu.

Komuniti Melayu selaku penutur natif atau asal bahasa Melayu perlu mempamerkan teladan yang baik dalam memperlihat sikap positif terhadap bahasa itu. Mereka perlu pada setiap masa ‘memperlaku’ bahasa Melayu, yang bukan saja bahasa ibunda mereka, tetapi kini sudah menjadi bahasa negara yang mewakili dan dimiliki oleh semua, dengan penuh tertib dan adab. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul serta yang tidak bercampur aduk, khususnya pada majlis dan upacara rasmi.

Penggunaan seperti itu bukan saja penting dalam menyampaikan mesej bahawa bahasa Melayu berwibawa, tetapi dibangga selain diyakini sendiri oleh kalangan penutur natifnya mengenai kewibawaan itu. Sebetulnya kewibawaan bahasa Melayu perlu wujud dalam pelbagai bentuk yang mantap. Antaranya ialah pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya yang bukan asal, yang perlu dipertingkatkan agar melepasi bentuk yang dikenali sebagai ‘bahasa pasar’.

Masih ramai dalam kalangan ini yang hanya mampu berbahasa pasar ketika menggunakan bahasa Melayu, misalnya dalam bentuk “Saya atak pompuan punya, balu kawin sama Ipoh punya olang.” Kecekapan bahasa Melayu sebegini, khususnya dalam kalangan muda, selepas menghuni Malaysia sejak 1957 adalah bukan saja tidak baik untuk imej bahasa Melayu sebagai bahasa negara, tetapi yang lebih mudarat lagi ialah pengertian nasionaliti Malaysia mereka dalam konteks bahasa Melayu, iaitu bahasa tanah air mereka!

Sikap begini sudah tentu diperhati oleh kalangan pelajar asing, yang mungkin merumuskan bahawa bahasa Melayu tidak banyak dihormati oleh warga Malaysia sendiri. Hal ini ikut dirumuskan oleh pekerja asing. Sesetengah daripada mereka didapati fasih dalam bahasa Melayu, walaupun baru saja tiba, jika dibandingkan dengan segelintir pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), yang didapati sama sekali tidak fasih dalam bahasa Melayu, walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia!

Dalam soal pengekalan bahasa Melayu dalam bentuk daif ini, komuniti Melayu boleh ikut dipersalah. Mereka sering berkomunikasi dengan komuniti bukan asal dalam bahasa Melayu sebegini, walaupun ketika berkomunikasi dengan mereka yang amat fasih. Sifat akomodatif ini daripada komuniti Melayu perlu dihentikan dan digantikan dengan komunikasi dalam bahasa Melayu yang baik dan betul, tetapi dalam bentuk yang mudah.

Sebenarnya banyak yang perlu dilakukan sebelum kita memperluas domain penggunaan bahasa Melayu, khususnya kepada pelajar asing di negara ini dan juga dalam usaha kita mengantarabangsakan bahasa Melayu. Untuk tujuan ini, pertamanya, masyarakat Malaysia perlu memperlihatkan sikap yang lebih positif terhadap bahasa Melayu. Sikap ini boleh dipupuk dan seterusnya diperlihatkan oleh semua sektor masyarakat Malaysia dengan agak mudah. Bahasa Melayu yang menjadi alat perpaduan bangsa dan kemajuan negara, sudah ‘dikodifikasikan’ dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam soal ini, tekad terhadap bahasa Melayu perlu diperbaharui semula, melalui teladan yang penuh dengan iltizam dan tanggungjawab daripada komuniti Melayu selaku penutur natif, yang akan pula diikuti dengan kesan yang positif daripada pelbagai komuniti bukan Melayu lain. Ini penting bukan saja dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tetapi juga untuk melestarikannya pada persada dunia. Sesungguhnya bahasa Melayu yang juga bahasa kelima terbesar di dunia, mempunyai banyak potensi.

Penulis ialah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)