Thursday, March 29, 2012

Mampukah Melayu Berfikir


Foto NADZRI EUNOS

Mudah cetak
E-mel

25 Mac 2012

EKSTRA!

Mampukah Melayu Berfikir?


MAMPUKAH Melayu berfikir?

Soalan provokatif itu kerap timbul dalam sesi wawancara dengan aktivis sosial, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib.

Sekerap itu juga, beliau memberi jawapan dengan nada kecewa: masih belum ada budaya berfikir secara kritikal dalam masyarakat kita.

'Kita amat kurang budaya berdiskusi, budaya membaca dan budaya mengkritik,' katanya dalam satu wawancara terus terang dengan Berita Minggu.

Lebih sedekad beliau dan teman-teman mengusahakan pembentukkan satu budaya intelektual dan berfikir menerusi kumpulan The Reading Group.

Walau usaha kumpulan itu mekar menerusi bilangan kecil anggotanya, dalam konteks yang lebih luas, impian beliau melihat suasana berdiskusi dan berbahas yang dinamik dalam kalangan masyarakat Melayu setempat masih lagi jauh dari kenyataan.

Sebaliknya, apa yang beliau lihat, terdapat semacam monopoli idea di kalangan pemimpin dan elit Melayu. Sebahagian pemimpin badan Melayu kita adalah orang lama, mereka yang memimpin sejak tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.

'Kerana sudah terlalu lama memegang pucuk pimpinan, mereka sukar terima kritikan. Bila ada sedikit kritik sahaja, bila ada sedikit penyimpangan, mereka rasa kedudukan mereka tergugat... kononnya ia akan menjejas kemantapan badan pimpinan mereka,' kata Encik Mohame Imran lagi.

Menurutnya, terdapat kecenderungan di kalangan pemimpin seperti itu untuk meminggirkan atau menekan suara-suara yang bertentangan sejak awal lagi.

'Jika ada pun, hanya segelintir sahaja badan Melayu/Islam kita yang sedia menolak sempadan dan meneroka bidang baru yang lebih luas. Sedikit sekali yang berani meneroka perdebatan dalam media sosial. Itu sebabnya, ramai orang muda yang mendapati badan-badan kita sebagai tidak relevan dan enggan menyertai badan tersebut.'

Menurut Encik Imran, beliau berpendapat demikian berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan orang-orang muda dan memandangkan banyak badan Melayu yang merungut tidak dapat menarik tenaga muda.

Beliau berpendapat, masyarakat kita, terutama pemimpin badan-badan, harus sedia menerima perbezaan pendapat atau pandangan. Ini akan menimbulkan semangat berdialog dan semangat mencari penyelesaiannya bersama.

'Kita perlu bertukar-tukar pandangan, berdiskusi, supaya kita dapat mencari penyelesaian yang lebih utuh dan tidak terperangkap dalam pemikiran sendiri yang sangat dogmatik, ujar Encik Imran, seorang lulusan Sarjana Muda Falsafah (kepujian) dari Universiti London yang kini seorang calon Sarjana di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Encik Imran, 35 tahun dan bapa empat orang anak, adalah antara pengasas The Reading Group, yang ditubuhkan pada Ogos 2000. Kumpulan itu, yang mempunyai sekitar 15 anggota aktif, membincangkan tulisan-tulisan pemikir tersohor dan kemudian membincangkan isu-isu kritikal yang terkandung dalam tulisan tersebut.

Selain menganjurkan siri seminar, The Reading Group juga telah menerbitkan beberapa karya hasil perbincangan kumpulan itu.

Beliau menarik perhatian, kini timbul dua golongan berbeza dalam kalangan mereka yang lebih kritis dan yang memiliki pemikiran alternatif. Golongan pertama ialah mereka yang mempunyai keberanian dan stamina untuk terus mempersoal dan mencabar.

'Tapi sayangnya, ramai yang tergolong dalam golongan kedua, iaitu mereka yang menyerah kalah dan langsung hilang sikap kepedulian,' ujarnya.

Encik Imran mahu melihat lebih banyak ruang kebebasan untuk golongan muda bereksperimentasi dalam hal-hal pemikiran.

Menurutnya, pandangan baru, berbeza dan yang mungkin tidak begitu sesuai dengan apa yang difahami sekarang, harus tetap diberi ruang untuk dieksperimentasi.

'Jadi anak-anak muda Melayu ini akan dapat mendebatkan sesuatu isu dan dalam proses tersebut menjadi lebih matang. Dan juga kita akan lihat, dalam jangka masa panjang, ada pemikiran baru yang muncul yang bermanfaat kepada masyarakat.

'Jika kita terus menutup ruang-ruang ini, kerana kita takut ia menyasar atau tidak sesuai, akhirnya langkah itu akan mematikan pemikiran itu sendiri dan lama-kelamaan kita tidak akan berfikir langsung,' kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Imran menekankan, beliau bukan memperjuangkan perbincangan dan perdebatan tanpa batasan. Walau manusia bebas berfikir mengenai apa sahaja, namun apabila pemikiran itu diungkapkan di ruang umum, terdapat etika yang wajib dipatuhi seperti berdiskusi secara beradab, tidak mematikan hujah dengan menyerang karakter pihak lawan dan terbuka mendengar idea-idea berbeza.

Meskipun pembentukan satu budaya berdiskusi dan berdebat terus mempunyai cabaran-cabaran tertentu, namun Encik Imran yakin terdapat cahaya di hujung pelangi.

Beliau menarik perhatian kepada sikap keterbukaan pemerintah kebelakangan ini.

'Ada yang mengatakan lebih banyak yang boleh dilakukan, tapi sekurang-kurangnya, pemerintah mengambil faktor konteks baru yang muncul kini, adanya semangatsemangat baru yang muncul, dan suara-suara yang mahukan ketelusan.

'Itu boleh kita manfaatkan untuk membuka lebih banyak ruang, tanpa perlu takut pada suara-suara kritis,' ujar beliau.

Lantaran itulah, Encik Imran berkata dari sudut memupuk budaya berfikir dan intelektual, masyarakat Melayu kini berada di persimpangan.

Media baru kini merintis jalan bagi perbincangan dan perdebatan yang tiada sempadan. Bagaimana masyarakat menanganinya akan mempengaruh kemunculan satu budaya berfikir yang sihat dan membina.

'Ada yang mengatakan alam siber ini berbahaya. Memang tidak dapat dinafikan. Ini adalah sesuatu yang baru dan kita tidak berpengalaman dalam menangani perbezaan dalaman sebegini,' ujarnya.

Bagaimanapun, Encik Imran menekankan ruang siber itu tidak harus dijadikan masalah.

Apa yang boleh jadi masalah ialah cara tidak matang dalam proses perdebatan dan perbincangan.

'Saya rasa, proses perdebatan ini tidak harus disekat, tapi dibiarkan, kerana ada suara-suara lain yang akan jadi faktor pengimbang. Ini akan menimbulkan satu kematangan dalam ruang awam. Akhirnya masyarakat umum akan dapat melihat sendiri, apa itu hujah yang kuat dan yang lemah.

'Jika ini dipupuk, saya yakin proses kematangan itu akan terjadi dan budaya berfikir akan berkembang,' tegas beliau.

Kumpulan The Reading Group ditubuhkan pada Ogos 2000 sebagai satu kumpulan membaca. Ia merupakan rangkaian longgar yang dibentuk beberapa orang teman yang berkongsi minat dan keprihatinan dalam membaca serta membincangkan isu-isu kritikal. Para anggota The Reading Group meneroka dimensi sosial dan intelektual pelbagai isu, sebelum membentangkan idea masing-masing untuk diperbahaskan. Buat masa sekarang, kumpulan itu dianggotai sekitar 15 anggota aktif daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang akademik, seni, kewangan, pendidikan dan sosial.

Teras utama perbincangan dan perbahasan kumpulan itu ialah:


Menghargai secara kritikal tradisi intelektual Muslim.


Meningkatkan keupayaan berdiskusi mengenai isu-isu kontemporari Islam.


Memupuk pemikiran analisis dan diagnostik.


Meningkatkan keupayaan untuk menangani isu identiti budaya dan intelektual Melayu berbanding pembangunan pemikiran masyarakat.

Maklumat lanjut mengenai The Reading Group boleh didapati di laman www.thereadinggroup.sg

No comments:

Post a Comment