Showing posts with label sastera. Show all posts
Showing posts with label sastera. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

Sastera Penulis Singapura



KHAS BUAT PELAJAR: Penyunting antologi, Dr Sa'eda Buang (bertudung) dan Encik Suraidi Sipan (dua dari kiri), menemui pengkarya (dari kiri) Encik Ahmad Jaaffar, Encik Mohamed Latiff Mohamed dan Cik Noridah. Turut hadir dalam pelancaran antologi di The Arts House semalam ialah Encik Yatiman (dua dari kanan), selaku tetamu terhormat.
- Foto TUKIMAN WARJI

Sastera penulis setempat mendapat tempat

Dua antologi bakal dimanfaatkan pelajar GCE 'O' dan 'A'
KARYA sastera Melayu ilham penulis setempat kian mendapat tempat di sekolah- sekolah Singapura.
Penggiat sastera setempat pula dicabar agar terus dapat menampung keperluan pembelajaran dan pengajaran sastera di sini.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kenya dan Rwanda, Encik Yatiman Yusof, menerusi ucapannya selaku tetamu terhormat majlis pelancaran antologi gabungan usaha Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Kementerian Pendidikan (MOE) bertajuk Tekad dan Begitulah Kata-Kata semalam berkata:
"Saya kira kita telah memulakan langkah ke arah tuntutan ini. Dengan adanya buku-buku seperti ini, bertambahlah lagi senarai dalam perbendaharaan (sumber-sumber) kesusasteraan Melayu tanah air.
"Soal peri pentingnya isu pemindahan nilai dan kaitan rapat antara sastera dan budaya, dengan pembelajaran bahasa ibunda merupakan perkembangan yang perlu diberi perhatian. Malah, kita perlu memikirkan semula mengenai pengajaran sastera dalam sukatan pelajaran sekolah.
"Saya juga berharap usaha ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi penulis-penulis muda kita untuk menyumbang kepada kepustakaan Melayu Singapura, mengikuti langkah penulis-penulis terdahulu," ujar Encik Yatiman, dalam majlis yang berlangsung di The Arts House semalam.
Diadakan buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD) MOE, kededua antologi itu menghimpunkan pilihan cerpen, sajak serta skrip drama sejak 1975.
Buku-buku tersebut bakal digunakan pelajar sastera Melayu dalam tempoh lima tahun mendatang ini.
Selain barisan karya penulis mapan seperti Encik Peter Augustine Goh, Encik Suratman Markasan dan Encik M. Saffri A. Manaf, karya penulis yang sudah meninggal dunia juga tidak dilupakan.
Umpamanya, sajak Begitulah Kata-Kata karya Allahyarham Masuri SN, dan cerpen Ruang ilham Allahyarham Ismail Wardi.
Yang menarik, terdapat juga karya yang dipetik daripada Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat terdahulu, selain disisipkan sebuah glosari perkataan dan soalan-soalan bantuan.
Difahamkan sekitar 1,900 pelajar dari lapan sekolah menengah dan 14 maktab rendah (JC) serta institut pusat (CI) dijangka memanfaatkan buku-buku terbitan Marshall Cavendish Education itu.
Menurut MOE, sastera Melayu dipelajari pelajar yang mengambil Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Lanjutan peringkat Menengah Tiga dan Empat sebagai mata pelajaran pilihan bagi Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'.
Sebelum ini, mereka menggunakan antologi bertajuk Anak Laut dan Anak Bumi Tercinta.
Tambah MOE, antologi Tekad, yang dilancarkan tahun lalu, akan menggantikan kedua-dua buku tersebut serta menjadi sebahagian bahan peperiksaan GCE 'O' tahun depan.
Sekolah-sekolah, JC dan CI pula akan diberitahu butir sukatan pelajaran baru termasuk perihal penggunaan buku Begitulah Kata-Kata, dalam masa terdekat.
Menurut penyunting Tekad, yang juga guru pesara, Encik Suraidi Sipan, karya dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti gaya bahasa, tema sesuai tuntutan pembelajaran dan sama ada pernah menerima anugerah sastera.
Tambah penyunting Begitulah Kata-Kata, Dr Sa'eda Buang, karya sastera mampu mendidik para pelajar mendalami erti kehidupan, nilai kemanusiaan dan peradaban bangsa.
Ketika ditemui, pensyarah sambilan, Cik Noridah Kamari, 33 tahun, berharap sajaknya yang berjudul Tanda Tangan dalam antologi Begitulah Kata-Kata dapat menyuntik semangat berkarya di kalangan generasi muda.
"Saya gembira karya itu diangkat sebagai bahan sastera pelajar. Moga ada kesinambungan selepas ini, untuk anak muda ikut bermain dan mencari makna dalam kata-kata," ujar Cik Noridah, yang berjinak-jinak menulis sejak berumur 12 tahun lagi.
Penulis cerpen Jago - yang juga dimuatkan dalam Begitulah Kata-Kata - Encik Ahmad Jaaffar Munasip, turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan usaha itu sebagai "satu permulaan yang bagus bagi sastera Melayu Singapura".
"Namun saya berharap usaha ini dapat dikembangkan pula kepada bahagian novel pada masa depan," ujar Encik Ahmad, 45 tahun.
Orang ramai boleh membeli Tekad dan Begitulah Kata-Kata di kedai buku Popular pada harga $8.90, sebelum GST.

Thursday, April 26, 2012

ranking sasterawan singapura

8 Apr 2012

EKSTRA!

Ranking sasterawan Singapura dibuat Mana Sikana sudah lapuk


RENCANA tulisan Anuar Othman pada 25 Mac 2012 mengusik benak hingga membuatkan saya terpanggil untuk menyumbangkan pandangan.

Secara ringkas, Anuar menyangkal pandangan Djamal Tukimin yang tersiar di akhbar ini pada 11 Mac lalu.

Di dalam penulisannya, Djamal meletakkan Allahyarham Iswardy di rankINg pertama dalam penulisan cerpen.

Anuar menolak ranking tersebut kerana beliau berpegang teguh dengan ranking yang dibentangkan oleh Mana Sikana dalam bukunya yang berjudul Sasterawan Melayu Pascamodenisme.

Saya tidak mempersoalkan kesahihan ranking itu. Apa yang menjadi pertanyaan ialah mengenai tahun di mana ranking itu dilakukan. Seperti yang kita ketahui, buku tulisan Mana Sikana itu diterbitkan pada 2004.

Ini bermakna ranking tersebut berdasarkan pada kajian yang dilakukan lapan tahun yang lalu. Lapan tahun merupakan satu jangka waktu yang panjang.

Dalam jangka masa itu, pelbagai perkembangan berlaku dalam dunia penulisan. Sudah tentu banyak karya penulis lain tidak termasuk dalam penilaian Mana Sikana.

Perlu diingat, dalam jangka waktu lapan tahun yang kebelakangan ini, ada penulis mapan yang tidak berduduk diam.

Dengan kesungguhan berkarya, mereka mampu menunjukkan kematangan dalam karyanya. Tidak lupa juga ada penulis-penulis baru yang berbakat lahir menyemarakkan ujana sastera Melayu Singapura.

Biarpun mereka baru berjinak-jinak dalam penulisan, tidak semestinya mereka tidak mampu menghasilkan karya bermutu yang dapat menandingi penulis mapan. Yang demikian, mereka juga harus dinilai sama untuk mendapat kedudukan dalam ranking yang terkini.

Kita tentu maklum bahawa setiap ranking yang dibuat itu merupakan satu proses yang subjektif. Ia juga tidak dapat bertahan lama kerana faktor masa.

Kriteria yang digunakan oleh pembuat ranking juga berbeza-beza, sama ada berdasarkan kuantiti atau kualiti.

Yang demikian, jika hendak memperkatakan tentang kedudukan penulis Melayu Singapura masakini sudah tentu ranking Mana Sikana tahun 2004 sudah dianggap obsolete.

Oleh kerana itu, apabila ranking itu diguna pakai semula dalam tahun ini, ia memberikan gambaran yang kurang tepat.

Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, Djamal dan Anuar harus menekankan bahawa pandangan mereka itu berdasarkan pada faktor masa dan genre.

Sudah tentu ia tidak boleh dijadikan sebagai satu ukurtara untuk menggambarkan ranking penulis masa kini yang menulis berbagai-bagai genre penulisan.

Ramai yang tentu akan mempersoalkan bagaimana mungkin Allahyarham Masuri SN disebariskan dengan Nadiputra atau Dr Hadijah Rahmat?

Setiap dari mereka berkarya dalam bidang yang berbeza. Sasterawan Negara Masuri SN lebih berat kepada penulisan puisi, sementara Nadiputra pula lebih kepada bidang teater dan Dr Hadijah pula pada penulisan esei sastera.

Biarpun ada genre penulisan yang mereka kongsi bersama tetapi masing-masing lebih prolifik dalam satu bidang yang spesifik.

Mana mungkin sebiji buah jambu dinilaikan sejajar dengan sebiji durian?

Biarpun begitu, saya tidak menyangkal yang kedua-dua jenis buah itu boleh dinilaikan dalam satu bakul.

Jika kita menentukan rasa buah-buahan sebagai kriteria untuk membuat penilaian, sudah tentu soal rasa itu sendiri adalah subjektif.

Dalam makalahnya, Djamal Tukimin menyatakan 'Pada suatu ketika, ketika berceramah dua kali di Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai cerpen Melayu, saya meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita.'

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Djamal membuat kajian itu hingga membuatkannya membuat keputusan demikian.

Tetapi, apa yang saya dapati, beliau menyatakan dengan jelas bahawa penilaiannya berdasarkan pada cerpen sahaja.

Dengan ketepatan itu, penilaiannya lebih mudah diterima kerana ia menjurus pada satu bidang.

Mungkin dapatan itu lebih tepat lagi jika disertakan jangka waktu penilaian itu dibuat. Jika ia sekadar pandangan peribadi seperti yang Anuar jelaskan, ia tidak seharusnya dipandang secara serius.

Yang pasti, setiap penilaian harus disokong dengan butiran penting agar dapatan itu tidak menimbulkan seribu satu macam persoalan bukan saja di kalangan penulis tetapi juga masyarakat Melayu keseluruhannya.

Monday, April 18, 2011

Semai bibit Hadiah Nobel Sastera

11 Apr 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Semai bibit Hadiah Nobel Sastera

Oleh
Jyh Wee Sew
POJOK Celoteh (BH 4 April) merangkai harapan agar penggunaan bahasa Melayu dibaik biak di negara ini sehingga terlahir pemenang Hadiah Nobel kelak.

Memang tiada sebab bagi karya Melayu, termasuk di negara ini, berada di luar pagar Hadiah Nobel bagi Sastera yang diselenggarakan oleh Akademi Sweden.

Dalam dekad 1960-an, karya kreatif bahasa Melayu pernah menempah sejarah cemerlang di Asia. Ranjau Sepanjang Jalan (1966) karya Shahnon Ahmad diangkat sebagai antara 10 novel terbaik sepanjang 1972 dalam harian Sydney Morning Herald (1973).

Terjemahannya muncul dengan nama No Harvest But A Thorn (1972) dalam bahasa Inggeris dan kemudian Le Riz (1987) dalam bahasa Perancis. Dewasa ini, Ranjau Sepanjang Jalan masih dijadikan rujukan wajib dalam modul Sastera Asia dan Masyarakat.

Shahnon (lahir 1933 di Sik, Kedah) mengakui sebagai peminat karya almarhum sasterawan besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006), yang pernah dipertimbangkan sebagai calon Hadiah Nobel dalam sastera.

Antara novel Pramoedya ialah Keluarga Gerilya, yang pernah dijadikan teks sastera di Singapura. Ia memaparkan kesengsaraan dan pengorbanan anak-anak Amilah, bunga tangsi yang semakin nyanyuk dimamah usia. Namun siri novelnya, Bumi Manusia, yang ditimbangkan oleh Akademi Sweden.

Kemampuan bahasa Melayu menyampaikan budi, konflik dan resmi masyarakat setempat telah terbukti dengan kewibawaan penulis Melayu seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang (Tongkat Warrant, 1929-2001), A. Samad Said (1935 -) dan Muhammad Dahlan (Arena Wati, 1925-2009) pada kurun ke-20. Penulis mapan lazimnya menimba pengalaman yang berwarna semasa menempuhi dan mengatasi liku-liku dan cabaran hidup.

Penghijrahan dari kampung ke kota dianggap oleh pengkaji sebagai satu tema utama dalam novel-novel Shahnon. Kemiskinan, nilai kemanusiaan dan keharmonian kaum sering kali menjadi latar dalam sajak Tongkat Warrant.

Namun hidup menjadi sasterawan tidak selalunya 'lumayan'. Sampai-sampai Sasterawan Negara Malaysia, A. Samad Said, pun pernah melancarkan mogok tulis sebagai demonstrasi pasif seorang penulis kreatif menghadapi kesempitan ekonomi.

Pendek kata, penulisan merupakan satu proses introspektif yang tidak terbeli dengan sogokan kebendaan. Minat terhadap bahasa Melayu sukar diperniagakan dan selera berkarya hanya terlahir menerusi dorongan sanubari. Sejauh manakah minat menulis dan menggunakan bahasa Melayu dapat dibangkitkan berhubungan rapat dengan kecenderungan dan gaya bahasa ibu bapa.

Seperkara itu, penggunaan bahasa ibunda di rumah seboleh- bolehnya bukan kod bahasa terhad. Konsep kod bahasa terhad telah diutarakan oleh Basil Bernstein, pakar sosiologi dan pendidikan British, yang mendapati ibu bapa kelas menengah menggunakan kod bahasa yang lebih meluas fungsinya.

Sebaliknya ibu bapa golongan pekerja menggunakan kod bahasa terhad semasa berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Walaupun kedua-dua kod ini sama penting, kod meluas menjadi simbol semiotik keutamaan masyarakat.

Dengan ini, jelaslah bahawa anak muda kita telah dibesarkan di rumah dengan gaya bahasa tertentu, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Sememangnya, di rumahlah tempatnya minat bahasa anak dilentur dan dipupuk ke zaman dewasanya.

Jadi menjadi sasterawan bertaraf dunia bukan dipupuk sekolah. Tetapi benihnya disemai di rumah - untuk berkarya dan moga-moga menjadi penerima Hadiah Nobel bagi Sastera pada suatu hari kelak.

Tuesday, February 8, 2011

Belajar daripada kritikan sastera

7 Feb 2011

EKSTRA!

SASTERA
Belajar daripada kritikan sastera


KRITIKAN sastera amat perlu ditumbuhkan khususnya lewat karya penulis muda.

Pembaca, peminat sastera dan penulis sendiri dapat belajar banyak perkara daripada teguran seorang pengkritik sastera.

Tanpa kritikan, kita tidak belajar suatu apa pun dan tidak mungkin dapat pergi lebih jauh.

Sungguhpun kita sering mendengar bahawa penulis mengambil sikap terbuka apabila berdepan dengan kritikan, namun pada hakikatnya kebanyakan pengarang lebih gemar mendengar yang muluk-muluk saja daripada mulut orang lain tentang karya mereka.

Perkara ini diakui sendiri oleh novelis terkenal Somerset Maugham (1874-1965). Beliau berkata, 'People ask for criticism, but they only want praise.'

Pengkritik sastera yang baik bahkan mampu melonjakkan nama penulis ke tempat yang paling tinggi di mata masyarakatnya.

Hal ini mengingatkan kita pada penyair Chairil Anwar yang hanya dikenali setelah H.B. Jassin mengkritik dan membedah puisi-puisinya. H.B. Jassin bahkan cukup marah ketika mengkritik Aku, puisi Chairil Anwar yang masyhur itu.

Menurut H.B. Jassin, menerusi sajak Aku, Chairil Anwar telah memporakperandakan Bahasa Indonesia!

Seorang pengkritik sastera bukanlah semata-mata membuat penghakiman terhadap cerpenis, penyair, novelis dan penulis dalam semua genre penulisan kreatif yang lain.

Pengkritik sastera mesti jujur, objektif dan berusaha mendidik penulis agar menjadi lebih prolifik.

Kritikan terhadap sebuah karya sastera dibaca oleh banyak orang yang mudah pula menerima dan mempercayainya bulat-bulat.

Sukarlah penulis terutama yang muda menempuhi masa depannya yang digelapkan oleh kritikan seorang pengkritik sastera.

Penulis perlulah sedar bahawa apabila mereka berani menerbitkan karya, itu bermakna mereka mendedahkan diri mereka kepada kritikan.

Mereka mesti bersikap terbuka dan bersedia berubah untuk terus maju sebagai penulis dan sasterawan.

Jika mereka tidak sanggup menerima kritikan, lebih baik mereka tidak berkarya. Benarlah apa yang disebutkan oleh Elbert Hubbard (1856-1915) 'To avoid criticism do nothing, say nothing, be nothing.'

Polemik dan kritikan sastera yang mundur mengakibatkan kurangnya majalah yang dapat kita beli bagi menikmati kritikan yang bernas, objektif dan menarik.

Jika kegiatan kritikan sastera tumbuh dan subur, tentulah kita dapat membaca majalah dan media selain Dewan Sastera di negara ini.

Memang ada usaha pelbagai pihak menerbitkan majalah yang lebih baik daripada Dewan Sastera, tetapi semuanya berkubur, antara lain kerana faktor kewangan dan ketiadaan sambutan daripada penulis dan pembaca.

Pada tahun 1950-an, para tokoh Angkatan Sasterawan 50 (Asas '50), Hamzah Hussin dan Asraf Haji Wahab menjuarai perdebatan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat'.

Ini suatu polemik yang penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden. Ketika itu kepimpinan Asas '50 dikuasai oleh wartawan Utusan Melayu.

Hamzah Hussin beranggapan pengaruh badan-badan yang diharamkan pada tahun 1948 telah meresapi Asas '50.

Hamzah mengesan sikap antiagama dan tercium unsur-unsur komunisme dalam karya dan wacana yang mereka hasilkan melalui pendekatan 'seni untuk masyarakat'.

Bertolak dari situ Hamzah kemudian mempergiatkan gerakan 'seni untuk seni'. Dan semakin suburlah kritikan sastera di tanah air.

Polemik dan kritikan sastera menjadi lebih rancak sekitar '70-an dan '80-an tetapi tidak dapat bertahan lama.

Dalam perkembangan sejarah Malaysia beberapa karya sastera telah menjadi tumpuan pengkritik sastera antara lain termasuklah Maharaja Beruk dan beruk-beruk lainnya oleh Yahaya Ismail yang diterbitkan pada 1988 dan Tikus Rahmat oleh Hassan Ibrahim (1990).

Lebih sedekad lalu novel Shit tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pula menimbulkan polemik yang agak besar juga. Kita terpaksa memikirkan semula bahawa sebuah karya sastera tidak semestinya mengungkapkan hanya yang indah-indah saja.

Dalam era kritikan sastera yang statik sekarang, tugas mengkritik karya sastera berpindah ke tangan pengarang akhbar dan majalah atau panel hakim hadiah sastera.

Sebagai petugas media, pengarang akhbar dan majalah memilih dan menilai berdasarkan 'warna' tertentu yang menunjangi dan memayungi tempat mereka makan gaji. Panel hakim hadiah sastera pula berpegang pada garis panduan yang telah ditetapkan.

Para editor menentukan karya yang mana boleh termuat dalam akhbar yang berkenaan, manakala panel hakim memilih karya mana yang wajar diberikan hadiah.

Setelah sesebuah karya diterbitkan baru pembaca dapat menilainya dan kalau mungkin, mengkritiknya.

Nota: Rencana ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia

Tuesday, November 16, 2010

Jika hendak sastera Melayu mekar

4 Nov 2010

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Jika hendak sastera Melayu mekar

Oleh
Mohd Raman Daud

ESOK malam, Angkatan Sasterawan '50 (Asas) akan menyambut hari ulang tahunnya yang ke-60.

Segelintir saja badan Melayu dari dekad 1950-an yang bertahan hingga kini. Pun ada yang menyifatkan Asas sekadar bertahan saja seperti almarhum Mansor Sukaimi (1943-2008), mantan anggota parlimen yang saya anggap antara ahli pendidikan dan motivasi watan ini.

'Ikutkan peredaran zaman, patut Asas tidak boleh bertahan saja. Seharusnya ia sudah ada institusi atau akademi untuk mendidik anak suka sastera sejak kecil lagi sehinggalah melatih guru agar terampil dalam bahasa dan sastera,' nasihatnya.

Asas dibentuk pada 6 Ogos 1950 dan di laman rumah deret oleh pencetus dan jurumudi utamanya, Muhd Ariff Ahmad (@MAS) di 24H, Henderson Road.

Sebelum Asas, memang terdapat beberapa badan persuratan termasuk Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Lembaga Bahasa Melayu.

Namun, Asas lebih menonjol di Dunia Melayu - hasil kegigihan MAS (kini bergelar Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad) - sebagai organiser par excellence (ahli atur hebat).

Pendaftarannya diurus wartawan dan bahasawan Muhd Asraf Abdul Wahab (@Asraf) dan disokong kalangan guru, wartawan sehinggalah seniman di Jalan Ampas. Dua ustaz, Osman Jantan dan Syed Abdillah Aljufri, pernah menyertainya.

Walaupun kecil tanpa rumah persatuan, Asas menjadi terkenal kerana daya cipta prolifik ahlinya dan kelantangannya menyuarakan perihal masyarakat marhaen lewat penulisan dan penerbitan buku.

Ia juga mendapat sokongan akhbar nasionalis Melayu, Utusan Melayu, pimpinan A. Samad Ismail (1924-2008), antara intelektual besar zamannya (turut mengasaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah kini).

Melalui Cikgu Masuri SN (almarhum Dr Masuri Salikun) dan wartawan Utusan seperti Asraf, Kamaluddin Muhamad (@Keris Mas), Usman Awang (@Tongkat Warrant) dan Abdul Wahab bin Mohamed (@Awamil Sarkam), nama Asas kian kukuh sebagai penyeru generasi 'Melayu Baru'.

Asas juga pendorong tiga Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM pada 1952, 1954 dan 1956) yang mencorakkan hala tuju bahasa Melayu di Malaya dan Singapura.

Asas dinilai sebagai 'badan beraliran' berikutan polemik Asraf dan Hamzah (yang keluar Asas dan membentuk Angkatan Penulis Muda) mengenai erti 'seni untuk rakyat' dan 'seni untuk seni' di dua akhbar yang bersaing sengit ketika itu - Utusan dan Melayu Raya.

Akhirnya, pucuk pimpinan Asas memilih 'seni untuk rakyat' yang dianggap oleh kalangan sarjana sebagai mencerminkan kecondongan Asas pada sosialisme.

Bahkan Hamzah dalam memoirnya, Dari Cathay Keris Ke Hulu Kelang (1999), membayangkan kalangan anggota Asas dipengaruhi komunis - hal yang dibantah keras oleh para tokoh lama Asas yang tebal pegangan agamanya.

Namun, sejarah Asas sering dikaburi oleh tanggapan sarjana yang tidak arif sejarahnya.

Pernah Asas dikatakan lahir di Kuala Lumpur atau dua Sasterawan Negara Malaysia, Keris Mas dan Tongkat Warrant, dianggap pengasasnya - padahal mereka muncul kemudian.

Syor Asas pada KBPM ketiga: maka lahirlah Dewan Bahasa dan Pustaka (kini sebuah agensi kerajaan Malaysia), konsep bahasa kebangsaan sehinggalah cogan kata ciptaan MAS - 'bahasa jiwa bangsa' yang sering disalah anggap sebagai peribahasa.

Apabila terbentuk Malaysia, tokoh-tokoh Asas asal Semenanjung balik kampung - membangun di Kuala Lumpur yang menjadi hab bahasa dan persuratan Melayu. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia, Asas terpukul lagi.

Namun, dalam dekad 1970-an, Asas seolah-olah melalui proses reka semula (re-making) lewat muzakarahnya, Perkampungan Sastera 1973, yang mengutarakan gagasan Hadiah Sastera untuk mengiktiraf karya penulis dan selanjutnya Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) untuk menyatukan penulis Dunia Melayu.

Konsep Hadiah Sastera dan PSN masih kekal dan menjadi ikutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Rentak pasang surut dalam kehidupan Asas mencerminkan suasana kebahasaan dan persuratan Melayu di Singapura. Mujurlah Singapura mengamalkan dasar dwibahasa yang menjamin bahasa bonda (termasuk Melayu) terus kekal di sini.

Namun, apa pun usaha pemerintah, tuah bahasa bonda amat bergantung pada penggunanya. Sayangnya, anak Melayu lebih selesa berbahasa Inggeris sehingga perlu tuisyen Bahasa Melayu untuk lulus periksa.

Di rumah dan pertubuhan Islam termasuk masjid, bahasa Inggeris kerap digunakan. Bahkan dalam ceramah dan khutbah juga, bahasa dan istilah Inggeris kian menonjol.

Walaupun bahasa Melayu masih dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa perintah dalam perbarisan di watan ini, ia bukan bahasa kerja. Di kalangan anak Melayu, termasuk guru pelatih dan guru bahasa Melayu sendiri, terdapat pengakuan mengenai tembok psikologi dalam penggunaan bahasa bonda kerana suasana bahasa Inggeris yang berpengaruh.

Agaknya suasana inilah yang mendorong Asas sendiri menghasilkan risalah atau wartanya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Hal ini menimbulkan sungutan kalangan anggota lama Asas dan pernah ditegur pojok Wak Cantuk (BM, 10 Oktober). Bahkan laman webnya juga dalam bahasa Inggeris.

Jadi, apakah matlamat utama Asas sudah tidak relevan dalam alaf baru ini? Padahal tanpa bahasa Melayu, Asas kini bukan lagi kesinambungan Asas yang asal.

Adakah proses mereka semula (re-making) memerlukan Asas menuntut strategi sedemikian demi mendapatkan pengiktirafan nasional lewat waritanya sebagai badan penulis dengan 'darah muda' yang aktif?

Jika demikian halnya, tidak lagi bermakna permutu 'bahasa jiwa bangsa'. Kita berharap tentulah hal seperti ini sekadar selingan waktu kerana Asas perlu kembali kepada matlamat akarnya - memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.

Dulu, Asas menulis memorandum yang menegur atau memberi saranan kepada pihak berkuasa. Peranan ini masih penting lagi dan perlu dihidupkan semula.

Dulu bahasa dan sastera Melayu digunakan sebagai wadah mengungkap kemerdekaan daripada penjajahan Barat.

Zaman penjajahan telah berlalu tetapi timbul zaman penyejagatan (globalisasi) yang lebih menghakis jati diri Melayu, termasuk bahasa dan sasteranya.

Jika bahasa dan sastera Melayu hendak terus mekar di sini, badan Melayu seperti Asas tentulah dipertanggungjawabkan.

Dalam rangka inilah, Asas perlu mendakap, memupuk dan menjana sebanyak mungkin cendekiawan dan aktivis yang mencintai bahasa Melayu, terutama berkarya dalam bahasa bonda.

Dari menara gading, ahli korporat, usahawan, profesional, guru, wartawan sehingga mat dan minah motor - semuanya perlu digembleng.

Pada usia matang 60 tahun, kewujudan Asas amat menuntut reka semula - menajamkan daya saing penakatan tanpa hilang matlamat asas penubuhannya.