Thursday, March 29, 2012

Untuk Maju, Melayu Perlu

28 Mac 2012

KOMENTAR

Melayu perlu gabung minda, tenaga dan kekuatan lain untuk maju


SAYA tertarik membaca komentar Encik Ismail Pantek bertajuk Kenapa susah nak berjaya? (BM, 25 Mac).

Walaupun ini isu lama dan sudah banyak kali dibincangkan secara meluas di pelbagai wadah, saya berpendapat ia isu hangat dan wajar dikupas secara kritikal.

Melayu/Islam masyarakat minoriti terbesar di Singapura, membentuk sekitar 14 peratus warga setempat.

Namun, kita masih melihat orang Melayu berada di tangga terakhir dari segi pencapaian akademik, taraf pekerjaan, kemewahan dan sebagainya.

Adakah ini bermakna orang Melayu masih mundur dalam zaman moden ini? Jawapannya ialah 'ya' dan 'tidak'.

Kita boleh perhatikan semakin ramai orang Melayu memiliki rumah sendiri, kenderaan peribadi, alat teknologi canggih seperti komputer riba dan telefon bimbit serta mampu menjamu selera di kafe dan restoran mewah, melanjutkan pelajaran di institusi posmenengah dan seterusnya, selain terdapat kian ramai karyawan Melauyu bergaji ribuan dolar sebulan.

Oleh itu, boleh kita katakan dengan bangganya bahawa masyarakat Melayu Singapura sudah maju dan mencapai banyak perubahan berbanding pada zaman nenek moyang kita.

Namun, janganlah kita lupa bahawa semua perkara itu adalah kejayaan dari segi kebendaan semata-mata.

Seperti yang dinyatakan oleh Encik Ismail, orang Melayu masih ada beberapa sifat negatif atau kepercayaan kolot sehingga ke hari ini.

Contohnya, terdapat orang Melayu yang memandang rendah, berasa dengki dan iri hati serta kurang keyakinan terhadap orang kita sendiri dalam pelbagai hal, seperti perniagaan, pendidikan, taraf kemampuan dan pencapaian golongan tertentu.

Encik Ismail menyatakan bahawa orang Melayu lebih gemar berurusan dengan peniaga kaum lain atau bekerja di bawah majikan atau ketua bukan Melayu.

Saya percaya ini suatu perkara lumrah, berkemungkinan besar disebabkan oleh pengalaman peribadi.

Contohnya, pengalaman saya ketika membeli atau berurusan dengan peniaga Melayu.

Mereka meletak harga begitu tinggi, tidak memberi layanan mesra pelanggan dan ada yang menyindir secara sinis jika saya tidak jadi membeli atau mendapatkan khidmat mereka.

Sebaliknya, pengalaman ketika berurusan dengan peniaga kaum lain menyenangkan kerana mereka tidak memandang rendah terhadap kuasa beli pelanggan, memberi layanan penuh mesra, bersikap fleksibel dalam tawaran harga dan memberi mutu barangan dan khidmat yang baik.

Ada pula pekerja Melayu tidak suka bekerja dalam syarikat milik Melayu atau di bawah ketua Melayu dengan alasan syarikat Melayu mungkin sukar membayar gaji apabila tiba masanya, atau ketua Melayu mungkin tiada kuasa mutlak dalam syarikat dan kurang bersikap adil terhadap orang kita sendiri.

Pada pandangan saya, setiap kita, baik sebagai pembeli, peniaga, ketua syarikat, pelajar mahupun pekerja berkemahiran rendah, wajar mengubah sikap dan pendirian terhadap orang Melayu sendiri.

Kita perlu bergabung tenaga, minda, kekuatan dan sebagainya untuk bergerak ke arah sebuah masyarakat maju dan setaraf dengan kaum lain.

Akhir kalam, saya sudah hampir dua tahun bekerja dengan sebuah syarikat milik Melayu/Islam setempat.

Alhamdulillah, syarikat kami mendapat kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pekerja, pembekal dan pelanggan, baik Melayu mahupun bukan Melayu.

Muhammad Dzul Azhan Haji Sahban

No comments:

Post a Comment