Thursday, March 29, 2012

Pahlawan

6 Mac 2012

EKSTRA!

WARISAN MELAYU
Siapa Yang Layak Bergelar Pahlawan?

Konsep kepahlawanan sering dikaitkan dengan keberanian


Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi;
Apa guna berambut panjang,
Kalau tidak berani mati.

Guruh berdentum bumi bergegar,
Ayam jaguh sedang bersabung;
Jangan cakap sahaja berdegar,
Hulur senjata kita bertarung.

Limau bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Inikan pula cicak mengkarung.

TIGA rangkap pantun warisan Melayu ini mencerminkan semangat keberanian yang menjadi salah satu ciri utama yang dimiliki oleh pahlawan Melayu sejak zaman-berzaman.

Setiap masyarakat mempunyai konsep dan pengertian hero atau wira mereka yang tersendiri.

Masing-masing mempunyai ciri dan keutamaan mereka sebagai ukur tara keperwiraan yang menjadi sanjungan mereka.

Seperti masyarakat lain, orang Melayu juga mempunyai wira mereka sendiri.

Dalam masyarakat Melayu lama, konsep wira atau kepahlawanan sering dikaitkan dengan keberanian, kegagahan dan kekuatan jasmani.

Ciri-ciri inilah yang dimiliki oleh pahlawan Melayu yang terkenal sampai sekarang iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu - lima bersahabat yang menjadi tunggak kekuatan pemerintahan Kerajaan Melayu dahulu sebelum ia tumpas di tangan kuasa penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris.

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (1400-1511 ).

Beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka, kira-kira dalam tahun 1444 S.M. Bapanya bernama Hang Mahmud, manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati.

Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana.

Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Menurut karya-karya sastera Melayu lama, orang yang mempunyai kekuatan fizikal serta keberanian mendapat perhatian yang istimewa daripada pihak Raja atau Sultan.

Orang tersebut akan dijulang sebagai seorang wira yang menjadi simbol kekuatan serta keagungan sesuatu kerajaan itu.

Sesiapa sahaja mempunyai harapan untuk menjadi wira asalkan memiliki kekuatan yang luar biasa, walaupun dirinya daripada kalangan orang bawahan.

Ini tergambar dalam Hikayat Hang Tuah melalui watak-watak Hang Tuah, Hang Kasturi, Hang Jebat (sebelum beliau menderhaka), Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Kekuatan mereka merupakan keteguhan pertahanan negeri Melaka dan kelemahan mereka pula menandakan kelemahan serta keruntuhan negeri Melaka. Begitu besarnya peranan mereka demi menjamin keutuhan kerajaan Melaka.

Dalam cerita-cerita penglipur lara yang merupakan sebahagian daripada cerita rakyat Melayu, setiap watak wiranya memiliki sifat-sifat kepahlawanan.

Hikayat Amir Hamzah, misalnya, menceritakan perihal kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam, iaitu Amir Hamzah, pada zaman sebelum dan awal kebangkitan Islam.

Hikayat Amir Hamzah merupakan salah satu daripada kisah hikayat yang disebut dalam Sejarah Melayu, semasa pertahanan Melaka daripada serangan Portugis.

Hikayat ini dikatakan telah dibacakan bagi menaikkan semangat pahlawan Melayu. Ia dikatakan telah diberikan oleh Sultan Melaka untuk dibacakan bagi menaikkan semangat pahlawan Melayu.

Ia meriwayatkan kisah keberanian dan kegagahan Sayidina Hamzah mengepalai tentera Islam dalam peperangan menentang tentera kafir.

Amir Hamzah terkenal sebagai pahlawan Islam yang terbilang; keberanian dan jasa-jasanya di medan perang, terutama sekali dalam peperangan Badar amatlah besar ertinya di sisi sejarah perkembangan agama Islam.

Hikayat-hikayat Melayu yang lain juga mempunyai wira yang tersendiri.

Misalnya oleh Malim Deman dalam Hikayat Malim Deman yang berjaya melawan Mambang Molek, anak raja kayangan. Dengan kepahlawanan itulah beliau berjaya dalam sebarang pertempuran atau perlawanan.

Banyak lagi kisah sejarah lama yang jelas menunjukkan sifat kepahlawanan yang menjadi sanjungan dalam masyarakat Melayu.

Mereka umumnya berjiwa besar, mempunyai kecekalan yang tinggi dan tidak mudah tunduk kepada musuh... walau hanya bersenjata keris, tombak dan badik.

Mereka ini bukan sahaja gagah perkasa dan berani melawan musuh, malah mempunyai ilmu di dada.

Pepatah jika tidak cukup ilmu di dada, lautan dalam jangan hendak diduga sering dikaitkan dengan kepahlawanan dalam masyarakat Melayu.

Pahlawan sekarang

Hari ini, erti pahlawan tidak lagi hanya dikaitkan dengan kehandalan berperang atau menumpaskan lawan.

Pahlawan juga kini dipandang sebagai orang yang dikagumi atas hasil tindakannya, serta sifat mulianya, sehingga diakui sebagai contoh dan teladan kepada orang lain.

Seseorang itu dapat dianggap sebagai pahlawan jika beliau berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara atau umat manusia dalam mengamalkan kejujuran, dan memberi contoh serta teladan dalam berkata dan berbuat jujur.

Selain itu, beliau berkorban demi tercapainya cita-cita dan tujuan mulia yang diimpikan seperti kejujuran yang diperjuangkan.

Anda juga dapat dianggap sebagai pahlawan jika memiliki sifat-sifat tersebut; walaupun tidak memiliki kehandalan bermain keris dan tombak untuk menghapuskan musuh di medan pertarungan.

No comments:

Post a Comment