Thursday, March 29, 2012

Belajar di Restoran McD

25 Mac 2012

FORUM

Ibu bapa boleh sediakan ruang selesa untuk anak belajar di rumah


BARU-BARU ini hangat diperkatakan mengenai isu remaja belajar di restoran makanan segera McDonald's sama ada di ruangan Forum BH mahupun di laman Facebook Berita Minggu.

Ini menyebabkan pelanggan sukar mencari ruang/meja kosong di dalam restoran itu kerana kebanyakan mejanya dipenuhi remaja yang sedang belajar.

Berbeza daripada perpustakaan, para remaja dapat duduk berbincang dan bersembang dengan teman mereka apabila berada di restoran McDonald's.

Di setiap estet kejiranan, hanya sebuah perpustakaan dibina, lantas tidak mudah bagi remaja mendapatkan meja atau ruang selesa bagi membolehkan mereka berkumpul belajar bersama-sama.

Ada pelanggan yang meminta agar pihak pengurusan restoran McDonald's melakukan sesuatu agar tabiat remaja belajar di situ dapat dihentikan dan kesukaran mendapatkan tempat duduk semasa waktu sibuk dapat diatasi.

Dalam laporan Berita Minggu lalu, terdapat seruan agar sekolah dibuka pada hujung minggu bagi membolehkan pelajar belajar di situ.

Persoalannya ialah siapakah nanti yang akan ditugaskan membuat pemantauan agar kawasan sekolah tidak disalahgunakan?

Siapakah yang akan ditugaskan membuka dan mengunci pintu pagar sekolah?

Siapakah pula yang akan ditugaskan memastikan pelajar sentiasa berlaku sopan dan tidak mengganggu ketenteraman di sekolah?

Dalam isu ini, golongan ibu bapa harus melihat peranan mereka dalam menyediakan ruang belajar di dalam rumah agar anak-anak dapat belajar dengan selesa.

Seperti pernah dikongsi seorang teman, ada ibu bapa lebih menitikberatkan ruang hiburan, contohnya untuk karaoke, di dalam rumah daripada menyediakan ruang selesa untuk belajar.

Bagi ruang belajar, biarlah ia jauh daripada gangguan televisyen agar apabila televisyen itu dihidupkan, ia tidak mengganggu tumpuan pelajar yang sedang belajar atau mengulang kaji pelajaran.

Maaf kata, ada juga ibu bapa yang sering 'mengganggu' anak mereka yang sedang belajar, dengan meminta pelbagai bantuan, contohnya disuruh pergi ke kedai membelikan sesuatu.

Akhirnya, ada antara pelajar yang berasa tidak selesa belajar di rumahnya kerana sering 'diganggu'.

Bagaimana pula reaksi kita jika anak kita ingin mengundang teman-temannya datang ke rumah untuk belajar bersamasama?

Adakah kita akan menyambut kehadiran teman-teman anak kita itu dengan tangan terbuka?

Atau kita rasa kehadiran mereka hanya menyusahkan kita, lantas kita tidak begitu mengalu-alukan saranan anak kita itu.

Kesimpulannya, isu remaja memenuhi ruang makan di restoran makanan segera McDonald's perlu diatasi bersama.

Penting bagi kita meneliti isu ini agar penyelesaiannya nanti bakal memberi manfaat semua pihak รข€“ remaja, ibu bapa mereka dan pelanggan McDonald's.

Mohmad Shafiee Barahim

No comments:

Post a Comment