28 Mac 2012
KOMENTAR
Ada anak terdesak tempatkan ibu bapa di rumah tumpangan
SAYA merujuk kepada makalah bertajuk Taat dan sayangi ibu bapa demi keredaan mereka dan Allah (BH, 16 Mac), yang turut mengetengahkan isu ibu bapa ditempatkan di rumah tumpangan warga emas.
Dalam perkara ini, kita perlu juga memikirkan sebab-sebab perkara ini berlaku. Kita mungkin tidak boleh terus menuduh seseorang anak itu tidak mengenang budi dan jasa orang tuanya jika dia meletak mereka di rumah tumpangan.
Saya tidak menafikan ada anak yang zalim dan tergamak menempatkan orang tua mereka tanpa cara yang terhormat. Mereka boleh disifatkan sebagai manusia yang lupa asal usul dan hanya mementingkan diri sendiri.
Mereka akan menerima balasan sama apabila mereka tua kelak atau musibah dalam hidup mereka lantaran perbuatan itu.
Pada sudut lain pula, tindakan menempatkan ibu bapa di rumah tumpangan warga emas mungkin adalah langkah terakhir atas sebabsebab tertentu yang tidak boleh dipandang ringan.
Menjaga ibu bapa tua bermasalah bukan suatu tugas mudah. Kesabaran yang tebal dan kerjasama daripada anak-anak lain sangat penting dalam menangani perkara ini.
Bayangkan jika anda menjaga ibu bapa nyanyuk, meracau, melakukan perkara membahayakan diri sendiri atau orang lain. Mungkin juga tingkah laku ibu bapa itu boleh memporakperandakan rumah tangga anak yang menjaganya.
Apatah lagi jika anak-anak lain tidak memberi kerjasama menjaga ibu bapa bermasalah itu secara bergiliran, tidak menziarahinya, tidak menelefon atau bertanya khabar berbulan lamanya dengan masingmasing memberi pelbagai alasan semata-mata bagi mengelakkan diri daripada menjaga ibu bapa dan mementingkan diri sendiri.
Adakah anda berasa selesa menjalani hidup seperti ini?
Saya fikir anda boleh berasa tertekan yang amat sangat jika menghadapi masalah tersebut.
Disebabkan faktor-faktor inilah maka anak yang menjaga ibu atau bapa mereka yang bermasalah mungkin terpaksa memutuskan menempatkan ibu atau bapa mereka di rumah tumpangan warga emas.
Di rumah tumpangan sekurangkurangnya ibu atau bapa mereka selamat, tidak kesunyian kerana dapat berinteraksi dengan kawan sebaya mereka.
Saya yakin anak yang berbuat demikian masih menyayangi ibu bapa mereka walaupun ibu atau bapa mereka berada di rumah tumpangan warga emas.
Apatah lagi jika dia sering menziarah mereka dan mengambil mereka pulang pada masa-masa tertentu.
Langkah ini dapat menyelamatkan rumah tangga mereka daripada kehancuran disebabkan kerenah ibu atau bapa bermasalah, selain kerenah anak-anak lain yang enggan memberi kerjasama.
Saya percaya mereka yang sedang menghadapi masalah tersebut akan setuju dengan pandangan saya.
Saya berharap pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) dan badan Islam yang mengendalikan rumah tumpangan warga emas memainkan peranan lebih aktif dengan mengadakan khidmat penjagaan sementara bagi warga emas.
Ini antara lain bagi membolehkan anak yang menjaga ibu atau bapa pergi ke luar negara untuk berehat sejenak menghilangkan tekanan atau menunaikan ibadah haji dan umrah.
Sekembalinya anak ini dari luar negara, mereka boleh membawa pulang semula ibu atau bapa mereka.
Anggaplah cadangan ini sebagai suatu cadangan demi mewujudkan rumah tangga yang tenang dan aman, yang dituruti dengan sikap bertanggungjawab ke atas orang tua walaupun orang tua berada di rumah tumpangan warga emas.
Saya harap cadangan ini dapat dipertimbang. Saya juga harap pembaca lain dapat memberi pandangan mereka dalam hal ini.
Mohd Kamin Suradi
No comments:
Post a Comment