Wednesday, March 14, 2012

pantun bermutu

13 Mac 2012

EKSTRA!

Guna perkataan Melayu lama dapat hasil pantun bermutu


Mari Berpantun Oleh
Mohamed Ashik
Penulis Tamu

DALAM kamus Melayu, terdapat banyak perkataan Melayu yang jarang kita gunakan atau tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Apabila saya menyiapkan rangkapan-rangkapan pantun, saya selalu menyemak perkataan-perkataan Melayu lama yang tidak pernah kita dengar.

Contohnya ialah rangkap pantun yang saya siapkan untuk menjawab jualan pantun daripada pembaca yang begini bunyinya:

Gadis Melewar jalan berpayung,
Mudik ke kali membawa cempa;
Adakah benar hidup lembayung,
Tangis sendiri tiada yang sapa.

Pantun di atas menggambarkan tentang nasib orang.

Melewar merupakan sebuah negeri yang beraja.

Mudik bererti naik ke hulu sungai, jika bersampan atau rakit. Jika turun ke kuala sungai kita katakan, menghilir ke muara.

Cempa pula ialah nama sejenis padi. Lembayung ertinya sejenis tumbuhan atau herba, yang biasa disebut bunga keladi bunting, dan kalau dikatakan merah lembayung, maknanya warna ungu atau merah ungu.

Maksud pantun di atas tersirat makna yang mempersoalkan, adakah benar hidup si miskin, tangis sendiri tiada yang sudi datang menghampiri.

Untuk menjawabnya saya katakan begini:

Penjual jamu hanya berkemban,
Jamu dicangkir bercampur keladi;
Sayang tumbuhmu di tepi jamban,
Lembayung terpinggir tiada yang sudi.

Selanjutnya saya dikemukakan pantun begini:

Redup sisiran mayang seludang,
Bayu membelai dahan bertingkat;
Hidup berjiran jarang bertandang,
Unggulkah nilai budaya sepakat?

Pantun di atas mempersoalkan budaya bertandang, di kalangan masyarakat Melayu.

Kita hidup berjiran, jarang kunjung-mengunjungi. Adakah itu nilai hidup yang terbaik di kalangan masyarakat kita yang berteras budaya muafakat?

Perkataan-perkataan yang menghiasi pembayang maksud pantun tadi sungguh cantik.

Redup bermaksud cuaca yang tidak terang kerana mendung atau awan gelap.

Mayang bererti kelopak kelapa atau pinang, seludang pembalut mayang. Redup sisiran mayang seludang membawa maksud renggangnya ikatan.

Bayu bererti angin yang bertiup perlahan, bertiup di celah-celah dahan yang berselang-selang.

Pantun tadi pula mempersoalkan, jika hidup berjiran jarang bertandang, unggulkah nilai budaya sepakat. Bertandang bermaksud saling kunjung berkunjung. Untuk menjawab pantun tadi, saya berpantun begini:

Rumah di bendang, cantik berbumbung,
Dinding bertingkat, tiang ditunggul;
Jarang bertandang, tetapi berhubung,
Budaya sepakat sentiasa unggul.

Bendang seerti dengan sawah, ditunggul bermakna ditegakkan, bertandang maksudnya berkunjung, dan unggul bermaksud mengatasi yang lain.

Semoga dengan meneliti naskhah Pantun Warisan kali ini, anda pembaca dapat menghasilkan pantun- pantun yang lebih bermutu.

No comments:

Post a Comment