20 Mar 2012
Ekstra!
Pantun bermutu ada irama di tengah rangkap
TUDUHAN, khabar, kisah dan lain-lain, yang diada-adakan atau dibuat-buat, untuk memburuk-burukkan atau membencanakan seseorang dan sebagainya, dinamakan fitnah.
Kenyataan secara lisan yang tidak benar, yang dikatakan fitnah, biasanya bertujuan memburuk-burukkan atau merosakkan nama baik seseorang, dan memfitnah dalam masyarakat boleh membawa kepada porak-peranda.
Dalam agama Islam kita, fitnah itu merupakan dosa besar; malah lebih besar daripada membunuh.
Mengapa memfitnah itu dikatakan berdosa besar? Ini kerana fitnah itu lebih kejam daripada membunuh atau pembunuhan ke atas jiwa seseorang.
Orang yang kena fitnah biasanya akan berasa terluka, menjadi rendah diri, kecewa dan hidup dalam kemurungan.
Walaupun jasadnya hidup, jiwanya mati kerana sakitnya terkena panahan fitnah.
Berkaitan dengan fitnah, saya telah dikemukakan dengan pantun jualan yang dikirimkan oleh pembaca yang berbunyi begini:
Berlingkar merata akar di tanah,
Batang selasih tempat berpaut;
Hidup sengketa lantaran fitnah, Kenapa masih hendak diturut?
Perhatikan perkataan merata pada baris pertama sama bunyinya, dengan perkataan sengketa.
Perkataan selasih pada baris kedua pula sama bunyinya dengan perkataan masih pada baris keempat.
Pada rangkap pantun tadi, bunyi hujung tanah sama dengan fitnah pada hujung baris ketiga, dan perkataan berpautpada baris kedua sama dengan bunyi perkataan diturut pada baris keempat.
Ini merupakan contoh pantun bermutu. Bukan saja bunyinya sama di hujung, malah juga di bahagian tengah rangkap pantun.
Jika kesemua hujung pantun bunyinya sama i, i , i, i ia bukan dinamakan pantun.
Maksud pantun yang tersirat tadi ialah sudah tahu fitnah itu buruk, mengapa masih hendak dilakukan juga?
Sebagai menjawabnya saya berpantun begini:
Kotor bolor kain jahitan,
Jatuh di tanah pinggiran desa;
Jiwa kotor bernafsu syaitan,
Syaitan melakukan fitnah tak takut dosa.
Kemudian saya dikemukakan pantun yang bunyinya begini:
Tinggi busut di Bukit Permata, Turun selasih di pinggir pekan;
Fitnah menghasut membawa sengketa,
Kenapa masih tetap diamalkan.
Sebagai menjawabnya saya berpantun begini:
Perahu punah kerana diterjah, Berbatu karang dasar lautan;
Angkara fitnah buruk natijah, Berputus arang berkerat rotan.
Semoga dengan meneliti pantun warisan kali ini, akan mengilhamkan anda pembaca, untuk menghasilkan pantun-pantun yang bermutu.
No comments:
Post a Comment