Thursday, March 29, 2012

6 Mac 2012

EKSTRA!

PERIBAHASA WARISAN
Mutiara pemikiran datuk nenek


Ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi.

DENGAN hanya tujuh perkataan yang disusun mudah bersumberkan alam yang dekat dengan, datuk nenek moyang kita dahulu berupaya menyampai nilai murni yang cukup bererti untuk dijadikan pegangan hidup zaman berzaman.

Sekali gus, ia menggariskan falsafah Melayu yang amat menggalakkan sifat merendah diri walau setinggi mana kedudukan seseorang - tanpa sikap sombong dan bongkak.

Inilah salah satu kelebihan orang Melayu dahulu yang menjadikan peribahasa sebagai wadah untuk menyemai nilai-nilai murni dan menolak sifat-sifat buruk daripada amalan kehidupan seharian mereka.

Peribahasa merupakan satu susunan bahasa yang menarik, indah, berlapik dan memiliki ciri kehalusan budi pekerti pencipta dan penuturnya.

Ia merupakan rakaman pemikiran dan falsafah bangsa Melayu yang diungkap dengan bahasa begitu indah.

Sering kali, peribahasa Melayu lama bersumberkan alam semula jadi seperti tumbuhan dan binatang yang dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu kita.

Peribahasa bukan setakat susunan kata yang kosong. Sebaliknya, ia berperanan menyampaikan pengajaran, teladan, perbandingan, sejarah, nilai dan peraturan hidup bagi memandu kehidupan masyarakat Melayu zaman-berzaman.

Ia diungkap bagi menggambarkan budaya berbahasa dan pemikiran tinggi bangsa Melayu.

Banyak contoh peribahasa Melayu peninggalan datuk nenek kita yang tetap relevan untuk menjadi pegangan hidup kita hari ini.

Misalnya, pepatah Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama yang membawa maksud apabila seorang insan meninggal dunia, kelakuannya atau jasa baiknya akan tetap menjadi ingatan.

Pepatah Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit pula melambangkan falsafah Melayu bahawa untuk melakukan sesuatu yang besar, anda bermula dengan suatu yang kecil.

Pepatah Beri betis, hendak paha pula melambangkan seorang yang terlalu tamak yang sentiasa inginkan lebih daripada yang dimiliki atau yang diberi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya pula memberitahu kita bahawa untuk mendidik anak biarlah daripada kecil, tanpa menunggu sampai mereka besar panjang dan sukar dilentur.

Melalui kata-kata yang digunakan dalam peribahasa, sama ada secara tersurat ataupun tersirat, nenek moyang kita telah menyerlahkan nilai keindahan dan kesantunan berbahasa yang wujud dalam budaya Melayu.

Banyak lagi mutiara pemikiran dan falsafah yang ditinggalkan datuk nenek kita yang wajar kita selongkar dan kita pelajari sebagai bekalan hidup kita dan generasi akan datang.

Hakikatnya, peribahasa memaparkan nilai adat dan resam bangsa Melayu yang mementingkan sifat-sifat kerendahan hati, tidak bongkak dan sombong dalam kehidupan bermasyarakat.

Melalui peribahasa Melayu juga, terpancar usaha nenek moyang kita mencari makna terhadap sesuatu perlakuan serta usaha mencapai tindakan dan keputusan yang sewajarnya dengan perlakuan tadi.

Oleh itu, jangan sesekali menyangka semua yang lama itu sudah lapuk dan ketinggalan zaman.

Jangan mudah kita menolak semua yang lama tanpa mengkajinya terlebih dahulu.

Pemikiran sebegini hanya menimbulkan kerugian kepada kita kerana gagal mencedok pengajaran yang ditinggalkan datuk nenek kita.

Sebuah masyarakat yang menolak mentah-mentah segala warisan nenek moyang mereka tanpa mengkajinya adalah masyarakat yang rugi yang mudah terumbang-ambing dibawa arus perubahan zaman.

Semoga anak-anak muda Melayu kita sedar akan hakikat ini dan tidak membuat kesilapan yang merugikan itu.

No comments:

Post a Comment