Thursday, April 15, 2010

RITUAL 'PASANG GELANGGANG'



MENYERU SEMANGAT KUDA: Seorang pemain kuda kepang mengasap kudanya menggunakan tempat bara dengan membakar arang dan kemenyan sebagai 'makanan' kuda yang akan digunakan semasa persembahannya nanti. - Foto Taufik A Kadir

Mudah cetak
E-mel

11 Apr 2010

ISTIMEWA

RITUAL 'PASANG GELANGGANG'

Soalan: Kenapa gelanggang perlu 'disemah' terlebih dahulu sehari sebelum permainan kuda kepang diadakan, dan kenapa ada pemain yang memakan kaca?

Oleh
Chairul Fahmi Hussaini
SEBELUM memulakan sesebuah persembahan kuda kepang, ketua kumpulan akan 'menjenguk' dahulu tempat permainan mereka untuk 'pasang gelanggang'.

Ini didedahkan Ketua Kumpulan Sapto Manunggal Jiwo, Encik Ishak Yusoff, 48 tahun, yang mengaku mengadakan lawatan sedemikian pada malam sebelum hari sesebuah acara kuda kepang diadakan.

'Sebelum permainan dimulakan pada hari Minggu misalnya, pada 12 tengah malamnya saya perlu ke tempat itu untuk 'pasang gelanggang' di empat penjuru di mana tengah-tengahnya nanti para pemain kuda kepang akan bermain.

'Sebelum orang jejak tempat itu, kita perlu pastikan yang kita datang dulu. Minta izin, semah dulu kerana kita pun tak nampak benda-benda yang kotor-kotor. Itu cara kita 'pasang gelanggang' untuk acara yang akan berlangsung esoknya.

'Kemudian pada sebelah pagi, bila budak-budak datang, kita dah tak perlu bimbang. Kita siapkan perkakas, kuda, gamelan, semuanya disusun dan setelah itu baca doa selamat sikit bagi menghindari perkara-perkara tidak diingini daripada berlaku.

'Ada sesetengah kumpulan sebelum bikin persembahan mereka berpuasa untuk bersihkan badan, antara tiga hari dengan seminggu. Selalunya yang berpuasa adalah penunggang-penunggang kuda, biar badan mereka bersih. Jadi, kalau orang kata syirik, kami bangkang.

'Bila permainan berakhir, kita tutup gelanggang, kita bersyukur segalanya selamat,' terangnya sambil menambah secara purata sesebuah kumpulan mempunyai antara 12 dengan 20 pemain kuda kepang.

Diajukan pandangan bahawa satu perkara lazim dalam sesebuah persembahan kuda kepang ialah pemainnya akan memakan kaca, satu perbuatan yang ditegah agama, Encik Ishak menjawab:

'Ia (makan kaca) memang sepatutnya tidak digalakkan. Tapi kekadang, mungkin (makan kaca) dah jadi makanan dia. Tapi kita cuba elak, tak nak adakan kaca-kaca sebagai makanan.'

Tentang respons Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang melarang keras aspek 'menurun' dalam persembahan kuda kepang, Encik Ishak berkata:

'Memang susah nak diterangkan, tapi kita memang nak elakkan pertengkaran yang menyangkut pada agama. Itu memang kita tak nak, pasal kita anggap ini satu hiburan, satu permainan sahaja, tak lebih daripada itu.'

Pemeriksaan rambang akhbar ini juga menunjukkan bahawa golongan remaja membentuk sekitar 60 hingga 70 peratus pemain kuda kepang.

Ditanya tentang ramainya penglibatan belia dalam kegiatan kuda kepang, Penasihat Kumpulan Jaran Sembrani, Encik Abdul Malik Haji Marwi, berkata bahawa ini adalah satu cara untuk mengelakkan mereka daripada membuang masa dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

'Daripada budak-budak ini bercampur tak tentu arah atau lakukan benda-benda yang tak betul, baik saya kumpulkan mereka.

'Anak-anak remaja sekarang, haluan mereka ke mana? Kalau tak ke Marina, mereka ke VivoCity. Jadi saya kumpulkan mereka.

'Sekarang setiap minggu remaja-remaja ini ada depan mata saya, setiap hari 'Nam (Sabtu), hari Minggu (Ahad), mereka training (berlatih) kuda kepang.

'Itu yang kasi saya semangat nak adakan kumpulan kuda kepang. Dalam kuda kepang ni, saya lebih minat dengan bunyi-bunyian.

'Tetapi bahanakan remaja sekarang kalau setakat main gamelan atau main kompang, mereka jadi bosan.

'Jadi mereka bukan nak main gamelan saja, mereka nak cuba tarian pulak. Lepas tu nak cuba tunggang kuda pulak, jadi semua mereka nak cuba.

'Macam kita dulu lain, kalau kita di bahagian gamelan, kita main gamelan saja, kalau di bahagian tarian, menari, lepas tu nak tunggang pulak. Budak-budak sekarang dia nak upgrade (ada peningkatan),' kata Encik Abdul Malik.

Menyentuh tentang evolusi permainan kuda kepang, yang kini turut merangkumi persembahan tarian 'Barongan', seorang pemain gamelan yang pernah aktif dalam kuda kepang, Encik Ramle Ismail, 42 tahun, tidak menafikan hal itu.

Beliau yang mendapat bimbingan pakar dalam permainan gamelan di Indonesia, malah berkata, banyak perubahan telah berlaku dalam persembahan kuda kepang di Singapura sekarang, sejajar dengan perubahan selera masyarakat.

'Dari segi tarian kuda kepang umpamanya, sebahagiannya dipetik daripada wayang dikenali sebagai 'Wayang Wong'. Dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai 'Ramayana Ballet'. Nak belajar tarian-tarian ni memang banyak, tapi kita ambil yang ringkas dan mudah. Kesemua tarian ni kita ambil dari kisah epik Hindu, Mahabharata.

'Dari segi lagu juga, dulu dan sekarang banyak bezanya.

'Lagu pada masa dulu bunyinya cuma inang-itung-inang-itung. Sekarang lagu-lagu dah canggih. Mereka dah campurkan lagu Jawa dengan lagu moden.

'Lagu-lagu sekarang ada campuran lagu joget, lagu dangdut pun mereka dah boleh main. Lagu 'Lenggang Kangkung', lagu-lagu Siti Nurhaliza, lagu Inul, pun mereka boleh mainkan,' ceritanya

No comments:

Post a Comment