Tuesday, May 1, 2012

Hang Tuah pindah ke Perak

DR LEONARD Y. ANDAYA: Hang Tuah bermastautin dan menjadi pemimpin Orang Asli di kawasan utara Perak selepas kematian Hang Jebat. - Foto JOHARI RAHMAT



30 Apr 2012

SINGAPURA

Prof Sejarah: Hang Tuah pindah ke Perak

Oleh
Ervina Mohd Jamil

PAHLAWAN Melayu terbilang, Hang Tuah, dikatakan menetap di Perak selepas berlakunya pertarungan yang membawa kepada kematian Hang Jebat.

Ini, menurut Profesor Sejarah Asia Tenggara Universiti Hawaii di Manoa, Dr Leonard Y. Andaya, dalam bukunya, Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (Dedaun daripada Pohon Yang Sama: Perdagangan dan Keetnikan di Selat Melaka), yang diterbitkan NUS Press.

'Hang Tuah berpindah menuju ke utara bersama-sama keluarga isterinya dan keluarga Hang Jebat.

'Orang-orang Asli dari Gunung Ledang turut sama dan tinggal di situ, dengan sebahagian daripada mereka menetap di kawasan tengah Perak.

'Hang Tuah, bagaimanapun, meneruskan perjalanannya dan menjadi pemimpin Orang Asli di kawasan utara Perak.

'Kumpulan terakhir rombongan itu akhirnya menetap di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Lambor,' kata Dr Andaya yang merupakan profesor pelawat di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dalam bukunya itu, Dr Andaya mendedahkan bahawa Orang Asli menganggap Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi sebagai pemimpin-pemimpin awal dan penting kepada masyarakat mereka.

Dr Andaya baru-baru ini mengadakan ceramah di NUS mengenai identiti etnik Melayu.

Dalam e-melnya kepada Berita Harian, beliau berkata identiti etnik itu dibentuk secara sosial mengikut tempat dan masa.

Beliau berkata: 'Oleh itu, seorang Melayu dalam abad ke-7 berbeza daripada seorang Melayu dalam abad ke-8 dan sebagainya.

'Bagaimana seseorang itu mendefinisikan siapa Melayu dan golongan mana yang akan dimasukkan atau tidak akan berubah dan bergantung pada keadaan dan pilihan peribadi individu.

'Atas sebab itulah tidak mudah untuk berbual tentang 'asal usul' Melayu, seolah-olah terdapat garisan yang tidak terputus berkenaan identiti etnik Melayu dahulu dan sekarang.'

Menurut Dr Andaya, bukunya itu memberikan perincian bagaimana istilah Melayu itu digunakan pada pada masa dahulu mengikut tempoh yang berbeza-beza.

Katanya lagi, beliau juga ingin orang ramai melihat bahawa dalam mempelajari sejarah prapenjajah Asia Tenggara, masyarakat tidak boleh menyebut keetnikan sebagai sesuatu yang ditetapkan untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, ia sentiasa berubah mengikut peredaran waktu dan sekitaran yang berbeza.

hang tuah wujud

 
'Pada pandangan saya, Hang Tuah itu wujud. Ini berdasarkan Catatan Okinawa (Jepun) yang menyebut tentang seorang laksamana hebat, keterampilannya menyerlah pada zaman Kesultanan Melaka pada pertengahan 1400-an.' - Dr John Miksic, mahaguru arkeologi Program Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS)



30 Apr 2012

SINGAPURA

Sejarawan: Hang Tuah wujud, asal Singapura

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini Dan Ervina Mohd Jamil

HANG Tuah bukan saja wujud, bahkan dipercayai berasal dari Singapura berdasarkan Catatan Okinawa mengenai dua pucuk surat yang dipercayai dikirim Laksamana Melaka itu kepada Kerajaan Jepun pada 1480 dan 1481.

Kedua-dua surat itu tersimpan di Arkib Budaya Ryukyu di Jepun.

Demikian menurut seorang sejarawan yang juga mahaguru arkeologi bagi Program Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Dr John Miksic, dalam satu wawancara bersama Berita Harian semalam.

'Pada pandangan saya, Hang Tuah wujud. Ini berdasarkan Catatan Okinawa (Jepun) yang menyebut tentang seorang laksamana hebat, keterampilannya menyerlah pada zaman Kesultanan Melaka pada pertengahan 1400-an.

'Catatan Okinawa ini penting dan agak boleh dipercayai kerana ia memenuhi kekosongan apabila tidak terdapat Catatan China setelah (China) memutuskan hubungan (dengan dunia luar) selepas 1430,' terang beliau.

Kenyataan Dr Miksic itu sekali gus menepis pandangan ahli sejarah Malaysia, Tan Sri Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, yang berkata Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Miksic berkata salah satu surat itu menyatakan seorang laksamana ada mengerahkan sebuah kapal ke Champa, iaitu Vietnam sekarang, dan menyelamatkan dua lelaki Ryukyu yang terselamat daripada satu pergaduhan dengan warga Vietnam.

'Laksamana memohon kepada pemerintah Ryukyu supaya menghantarkan kepadanya sebilah pedang, sebuah alat membaiki busur dan sebuah pelana kuda,' kata Dr Miksic, 55 tahun.

Kelmarin, Dr Miksic menyampaikan ceramah 'Dunia Melayu dan Singapura: Dari Sudut Arkeologi' anjuran Taman Warisan Melayu di Muzium Negara Singapura.

Menurut beliau lagi, pada 1481 pula Laksamana menandatangani sepucuk surat sebagai mengesahkan penerimaan hadiah dan utusan luar negara, dan senarai hadiah yang dikirimkan sebagai balasan.

'Surat ini selalunya dikirimkan oleh Sultan sendiri, tetapi dengan Laksamana sendiri menulisnya bagi pihak raja menunjukkan ketinggian kedudukan beliau,' ujarnya.

Dalam hal ini, kata Dr Miksic, seseorang itu akan berasa teruja memikirkan apakah laksamana yang menulis surat itu ialah orang yang sama menulis kepada Ryukyu pada 1480 dan 1481 dan merupakan Hang Tuah.

Menurut Dr Miksic lagi, Laksamana tentera laut Portugis, Afonso D'Alboquerque, mengesahkan kewujudan laksamana itu.

Ini termuat dalam Commentaries of the Great Afonso D'Alboquerque (Komentari Afonso D'Alboquerque Yang Hebat) yang ditulis tidak lama selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511.

'Laksamana itu disifatkan sebagai pahlawan terbilang, seorang yang ulung, berusia sekitar 80 tahun dan bertempat di Singapura,' kata Dr Miksic.

Dalam wawancara itu, beliau mengongsi pandangannya bahawa Hang Tuah berasal dari Singapura.

Menurutnya, dengan tertubuhnya Melaka peranan Singapura, seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu, berubah daripada sebuah ibu kota kepada tempat kekuasaan anak seorang pegawai berpangkat Sri Bija Diraja - yang menyandang jawatan penting sebagai laksamana, panglima tentera laut Kesultanan Melaka.

Pada masa sama, Hang Tuahjuga menyandang jawatan sebagai laksamana.

Dr Miksic berkata sifat Hang Tuah serupa Arjuna dalam Mahabharata, sebuah epik klasik India.

'Catatan Sejarah Melayu mengenai Sultan Mansur Shah, antara tempoh gemilang Melaka, menyatakan Singapura ketika itu memiliki 40 kapal atau geliung bertiang tiga.

'Singapura sumber terpenting dari segi kekuatan tentera laut ketika itu, seperti Bintan sebelumnya. Melaka tidak punya warga pelaut tempatan,' kata Dr Miksic.

bahasa dapat buka pintu peluang

28 Apr 2012

SINGAPURA

WAWANCARA BERSAMA ZAQY MOHAMAD
'Bahasa dapat buka pintu peluang'


SETIAP penduduk di Singapura harus berupaya bertutur dengan fasih dalam sekurang-kurangnya dua bahasa.

Menurut Pengerusi Bulan Bahasa 2012, Encik Zaqy Mohamad, kebolehan bertutur dalam beberapa bahasa penting memandangkan penduduk di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.

'Kita harus boleh berkomunikasi dengan kaum lain menggunakan bahasa ibunda mereka kerana ia akan membuka banyak pintu peluang untuk kita.

'Kefasihan bertutur dalam beberapa bahasa juga sangat penting sekiranya kita harus berurusan dengan negara lain.

'Ia sangat berguna dalam merobohkan adangan lebih-lebih lagi jika kita merupakan minoriti di dalam konteks lebih besar,' sambungnya.

Encik Zaqy, yang fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Perancis, berkata dirinya sendiri telah meraih manfaat daripada kebolehan bertutur dalam beberapa bahasa.

Beliau, yang mengambil bahasa Perancis di peringkat sekolah menengah, berkata kebolehannya bertutur dalam bahasa tersebut telah memberinya peluang mengikuti program pertukaran ke Perancis sewaktu menuntut di universiti dan memudahkan urusannya dalam perundingan perniagaan.

'Kadang-kadang apabila berhubung dengan pelanggan dari Perancis, saya bertutur dengan mereka menggunakan bahasa mereka.

'Ini membuat perundingan menjadi lebih santai dan secara tidak langsung membantu saya dalam urusan perniagaan,' kata Encik Zaqy yang memegang jawatan Ketua Sektor Media dan Perhubungan di Dimension Data.

Beliau memutuskan mempelajari bahasa Perancis kerana pada waktu itu, pasaran Perancis dan Jerman sedang membangun dan kebolehan bertutur dalam bahasa ibunda kedua-dua negara itu dilihat sebagai satu kelebihan.

'Tetapi kini kita melihat pasaran China dan Timur Tengah semakin membangun. Jadi berdasarkan trend ini, kita harus mempelajari bahasa Mandarin dan Arab agar kita turut dapat meraih manfaat daripada pembangunan ini.

'Saya sendiri jika mempunyai masa lapang ingin sekali mempelajari bahasa Mandarin dan Arab,' kata Encik Zaqy sambil menambah jika bahasa Mandarin ditawarkan sewaktu zaman persekolahannya dulu, beliau pasti akan mengambilnya.

Encik Zaqy turut membuat pemerhatian bahawa lebih ramai anak Melayu kini mengambil bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab.

Malah, dua anaknya juga sedang mengikuti kelas bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga.

Namun, dalam mempelajari bahasa asing, Encik Zaqy berkata masyarakat tidak harus lupa dengan bahasa ibunda sendiri.

'Masyarakat Melayu di Singapura dan di rantau ini harus melindungi bahasa ini kerana ia adalah satu warisan yang harus terus dipromosikan kepada anak muda kita,' kata Encik Zaqy.

Menurut Banci Penduduk 2010, 26 peratus anak Melayu berusia dari lima hingga 14 tahun kini membesar dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding 9.4 peratus pada 2000.

Sekitar 52 peratus daripada penduduk Cina berusia lima hingga 14 tahun dan 50 peratus daripada penduduk India berusia lima hingga 14 tahun dibesarkan dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Keadaan sebegitu, kata Encik Zaqy lagi, sukar dielakkan memandangkan bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di tempat kerja, di sekolah dan juga di alam siber.

Namun begitu, beliau mengatakan perkembangan tersebut bukan sesuatu yang merisaukan.

'Di Singapura, kefasihan bertutur dalam dua bahasa menjadi keutamaan. Tidak ditetapkan bahasa yang mana dilihat sebagai lebih penting. Kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mesti sama baik,' kata Encik Zaqy.

tidak perlu kekok berbahasa Melayu

28 Apr 2012

SINGAPURA

WAWANCARA BERSAMA ZAQY MOHAMAD
Tidak perlu berasa kekok berbahasa Melayu

Pengerusi Bulan Bahasa harap dapat dekati lebih ramai masyarakat umum terutama golongan muda

Oleh
Nur Dhuha Esoof

PENGERUSI Bulan Bahasa 2012, Encik Zaqy Mohamad, faham perasaan anak-anak muda yang diibaratkan seperti 'orang Melayu yang bukan Melayu' - lebih fasih berbahasa Inggeris meskipun orang Melayu tulen.

Ini kerana sejak kecil, beliau dan dua adiknya dibesarkan dalam keluarga Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Peluang baginya mengasah penguasaan bahasa ibunda tidak banyak kerana Encik Zaqy, 37 tahun, hanya menggunakan bahasa tersebut di sekolah, di madrasah separuh masa dan kadangkala bersama anggota keluarganya yang lebih berumur.

Justeru, Encik Zaqy, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, mahu Bulan Bahasa tahun ini membuka peluang kepada anak-anak muda yang kurang fasih berbahasa Melayu agar mendekati dan memahami bahasa tersebut.

Malah, ia menjadi salah satu daripada objektifnya bagi Bulan Bahasa tahun ini.

'Tujuan Bulan Bahasa adalah untuk mempromosikan bahasa Melayu kepada masyarakat umum tetapi yang sering mengambil bahagian adalah para pelajar, guru-guru bahasa Melayu, wartawan dan penulis.

'Mereka yang bukan pengamal bahasa tersebut merasakan diri tidak layak menyertai Bulan Bahasa. Mereka rasa kekok kerana penguasaan bahasa Melayu mereka tidak sehandal mana. Saya mahu menghilangkan segala kejanggalan ini,' kata Encik Zaqy.

Beliau, yang dilantik menjadi pengerusi Bulan Bahasa tahun ini oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) yang juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Hawazi Daipi, berkata mungkin pengalaman dan pemahamannya tentang kejanggalan menggunakan bahasa Melayu menjadi sebab beliau dipilih.

'Mungkin dengan pengalaman dan pemahaman orang luar seperti saya, yang datang daripada keluarga yang bertutur dalam bahasa Inggeris, saya memahami perasaan golongan muda yang tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

'Bulan Bahasa kali ini diharap dapat mendekati lebih ramai masyarakat umum,' kata Encik Zaqy.

Sambil berseloroh, beliau juga berkata mungkin satu lagi sebab beliau 'ditakdirkan' menjadi pengerusi adalah kerana sudah sampai masanya beliau 'bertaubat' memandangkan bahasa Melayunya agak lapuk.

Ini kerana sejak meninggalkan bangku sekolah, beliau tidak mempunyai banyak peluang menggunakan bahasa tersebut.

Menurut Encik Zaqy, sepanjang pengajiannya di Sekolah St Michael's dan Raffles Institution (RI), markah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu yang diraihnya sangat baik.

Malah di RI, beliau diberi peluang mengambil Bahasa Melayu lanjutan tetapi Encik Zaqy menolak tawaran itu dan sebaliknya memilih untuk mengambil bahasa ketiga iaitu bahasa Perancis bagi 'meluaskan pengalaman' pembelajarannya.

Encik Zaqy kemudian melanjutkan pengajiannya ke Maktab Rendah Raffles dan dari situ, beliau berkata penguasaan bahasa Melayunya mula menjadi lemah.

'Peluang menggunakan bahasa Melayu mula berkurangan sejak saya berada di RI lagi kerana bilangan pelajar Melayu di sana sangat sedikit.

'Apabila di universiti, saya langsung tidak menggunakan bahasa itu kerana kursus kejuruteraan yang saya ambil tidak memerlukan penggunaan bahasa Melayu,' kata Encik Zaqy yang mengikuti kursus Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Namun, bagi Encik Zaqy, yang kini menjawat jawatan Ketua Sektor Media dan Perhubungan di Dimension Data, penceburannya dalam politik merubah segalanya.

Sejak menyertai bidang itu pada 2006, Encik Zaqy mula sedar bahawa beliau harus berupaya berkomunikasi dengan baik dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

'Sebagai tokoh masyarakat, antara tugas saya termasuk mewakili penduduk mengenai isu-isu yang melibatkan diri mereka.

'Apabila saya bertemu penduduk Melayu, sama ada di rumah mereka ataupun di sesi dialog, saya harus selesa berbual dengan mereka dalam bahasa ibunda agar saya dapat lebih memahami masalah yang dihadapi,' kata Encik Zaqy.

Mujur baginya, sejak beberapa tahun lalu, peluang yang diberikan untuk berinteraksi dan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di acara awam dan di Parlimen telah memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya.

'Masyarakat di sini mempunyai harapan tinggi bahawa ahli-ahli politik yang berbangsa Melayu harus fasih bertutur dalam bahasa ibunda dan juga bahasa Inggeris.

'Saya tidak menggelarkan diri saya ahli linguistik, sebaliknya saya masih belajar dan berharap dapat belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam masyarakat ini,' katanya.

Beliau akui kadangkala berasa lebih segan dan gementar apabila berucap di khalayak ramai dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Encik Zaqy berkata beliau harus berhenti berfikir dalam bahasa Inggeris sebelum menterjemahkannya kepada bahasa Melayu dan cara terbaik untuk memperbaiki penguasaan bahasa ibundanya adalah dengan 'mengamalkannya, mengamalkannya dan mengamalkannya' (practice, practice and practice).

Thursday, April 26, 2012

busana Melayu

24 Apr 2012

EKSTRA!

Pengaruh Dalam Busana Melayu

Perkembangan busana cerminkan kehidupan dan selera masyarakat yang dinamik

Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib

BAYANGKAN situasi seorang laksamana yang berdiri segak atas anjung kapal. Bajunya seolah-olah melambai-lambai atas hembusan angin laut.

Berdasarkan lakaran tersebut, dapatlah ditafsirkan kecenderungan busana dan fesyen untuk berkembang mengikut tuntutan dan keperluan tertentu.

Fesyen memainkan peranan besar dalam perkembangan sebarang tamadun.

Hal yang sama malah dapat dilihat dalam busana Melayu.

Sesuai dengan peredaran zaman, busana Melayu turut berkembang bagi mencerminkan kehidupan dan selera masyarakat yang dinamik.

Busana sebarang peradaban dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya termasuk faktor cuaca, alam persekitaran, pengalaman, kepercayaan, nilai dan norma sesebuah masyarakat.

Sebagai sebuah masyarakat, bangsa Melayu mempunyai sistem sosial yang jelas sejak zaman dahulu.

Lewat busana yang dikenakan, dapatlah dibezakan antara golongan marhaen, pendekar, istana dan sebagainya. Perbezaan tersebut antaranya dapat diperhatikan menerusi perlengkapan harian.

Menjelaskan status sosial seseorang, masyarakat Melayu telah mencipta sejenis busana rasmi sekitar dua abad yang lalu.

Bergantung pada daerah dan fahaman, busana tersebut antaranya dapat dikenali sebagai baju sikap, baju layang, baju mengan dan baju alang.

Di daerah Singapura, baju tersebut dikenali sebagai baju sikap.

Sehingga kini, baju sikap merupakan sebahagian daripada pakaian rasmi sultan di Malaysia dalam istiadat-istiadat rasmi.

Dipercayai, baju sikap mula dipakai dua abad lalu di kalangan keluarga diraja Kedah.

Di samping itu, pada 1910, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mengenakan Baju Sikap semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di London.

Hal ini secara langsung menunjukkan bagaimana busana Melayu dapat dianggap sebagai pakaian formal, waimah dalam persekitaran Barat sekalipun.

Ia berbeza daripada tanggapan masyarakat kini berkenaan baju Melayu yang dianggapnya kuno.

Sejarah busana Melayu dipercayai bertunas sekitar 1424-1444. Pada ruang waktu tersebut, di bawah kerajaan Sultan Muhammad Syah, Sultan ketiga daripada empayar Kesultanan Melayu Melaka, orang Melayu ditekankan dengan kepentingan mempunyai identiti sendiri.

Lantaran itu, beliau bertitah supaya rakyatnya menghindari pemakaian cara 'atas angin' mahupun 'bawah angin'.

Cara pemakaian 'atas angin' merujuk pada cara pakaian kaum Arab, India dan Eropah manakala 'bawah angin' merujuk pada China dan Khmer.

Dikenakan dengan tengkolok, seluar, kain sampin, bengkung dan keris, baju ini membawa imej Melayu yang kental.

Malahan, sehingga kini, sukar dicari sebarang potongan baju Melayu moden yang dapat menandingi nilai ketampanan yang mampu diberikannya.

Atas dasar tersebut, sewaktu mula diperkenalkan, baju sikap hanya dikenakan golongan kerabat diraja, bangsawan, dan bergelar.

Selayaknya, baju sikap hanya dipakai oleh golongan Bangsawan yang berdarah raja di samping individu yang bergelar.

Jadi, bukan semua orang boleh memakai baju sikap ini.

Tanpa disedari, pemakaian baju tersebut menggariskan perbezaan antara golongan marhaen dan ternama.

Menekankan perbezaan tersebut, kesusasteraan seterusnya digunakan sebagai alat utama dalam memastikan rakyat memahami perbezaan yang digariskan.

Fenomena tersebut antaranya dapat diperhatikan dalam Hikayat Malim Deman. Lewat sastera tradisional itu, baju layang ataupun baju sikap kepunyaan Puteri Bongsu telah dicuri Malim Deman yang ketika itu dalam penyamaran.

Akibatnya, Puteri Bongsu tidak dapat pulang semula ke kayangan lalu menetap di Bandar Muar bersama Malim Deman.

Namun Malim Deman akhirnya terperangkap dalam kancah negatif sehinggakan isterinya merajuk.

Akhirnya, setelah menemui baju layang yang disembunyikan, Puteri Bongsu pulang ke kayangan bersama anak mereka.

Mempamerkan kecenderungan serupa dengan keadaan hari ini, fesyen pada waktu tersebut turut menerima pengaruh daripada tamadun-tamadun besar yang lain.

Reka bentuk asas baju sikap dijangka berasal dari Jawa atau Aceh.

Atas dasar pragmatik, seluar yang dikenakan biasanya mengikut potongan 'gunting Aceh' dengan kepanjangan melepasi lutut.

Menariknya, hal ini selaras dengan sistem aurat dalam Islam. Secara langsung, potongan-potongan tertentu digunakan bagi menjaga aib tubuh pemakai.

Setelah kemasukan Islam, konsep tersebut dimurnikan dan diperindahkan untuk zaman-zaman mendatang. Secara tidak langsung, ia sekali gus menjelaskan keakraban budaya Melayu dengan Islam.

Berbeza daripada tanggapan ramai, Islam tidak pernah bertindak seperti satu tamparan terhadap budaya Melayu. Malahan, Islam sekadar mengimbuhkan budaya tersebut bagi menghasilkan nilai falsafah dan budaya yang lebih utuh dan kaya.

pelihara jati diri dengan fasih bahasa

5 Apr 2012

KOMENTAR

PANDANGAN
Pelihara jati diri dengan fasih bahasa

Oleh
Mohd Maidin Packer Mohd

BEBERAPA tahun lalu, saya tercengang-cengang mendengar berita perdana Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memapar orang Melayu Kuala Lumpur bertutur dalam bahasa tersekat-sekat dan 'dicanggih' dengan campuran Inggeris.

Jenis 'kekok cakap Melayu dengan fasih' itu sudah pun melanda muda-mudi Singapura lebih awal.

Kekata Inggeris yang diganti bukanlah unik. Ada pilihan yang biasa digunakan. Tetapi orang muda itu terfikir-fikir mencari perkataan yang sesuai. Akhirnya tersembur Inggeris.

Sejak itu, saya dapati hal serupa menonton berita TV3 atau saluran lain Malaysia.

Pemuda kota seperti KL dan Singapura, yang amat terdedah dengan bahasa Inggeris, mudah terikut mencampur atau menginggeriskan bahasa Melayu.

Ada kalanya saya kasihan, ada kalanya kecewa. Kenapa susah sangat nak sebut 'cabaran' yang diganti dengan challenge atau 'keutamaan' yang diganti priority?

Lainlah kalau inflasi atau disiplin yang belum ada gantian tepat dalam bahasa Melayu.

Baru-baru ini, saya tinjau sejenak beberapa akhbar dan TV Indonesia - keadaannya lebih hebat (parah).

Jumlah kekata Inggeris yang diserap dan diindonesiakan luar biasa banyaknya dan luas digunakan sehingga terasa seolah-olah karyawan muda Indonesia, terutama di Jakarta, sudah memulakan 'arus peralihan' - menggantikan satu persatu kata Melayu baku dengan Inggeris.

Selain singkatan yang banyak dicipta dan diguna (misal: wagub, mendagri), mereka kian lumrah dengan kekata Inggeris yang diindonesiakan seperti efisiensi, isolasi, aksi, posisi, komunikasi dan kompetisi. Orang muda hari ini cepat menyadur dan memelayukan kekata Inggeris. Ada bezanya.

Kalau di KL dan Singapura, kekata Inggeris disebut dalam Inggeris (misalnya excited dan situation), orang Indonesia menyebut 'ter-isolisasi' atau 'ke-isolisasi-an', menggantikan terpencil dan pemencilan; siap imbuhan seolah-olah ia sudah diterima sebagai kekata tempatan.

Pengaruh Inggeris sungguh tentu lebih hebat di Singapura yang penduduknya sudah lebih segenerasi bersekolah Inggeris. Anak muda hidup dengannya siang dan malam, termasuk di rumah.

Bahasa ibunda kurang digunakan walaupun di rumah. Buku agama pun Inggeris kerana 'kurang faham baca buku Melayu'. Bahkan kelas di madrasah hujung minggu juga menggunakan buku bahasa Inggeris!

Bahasa Inggeris dipakai di rumah memang suatu kelaziman. Ibu bapa muda mahu pendedahan secukupnya agar anak-anak siap ke sekolah dengan penguasaan yang mantap. Mereka tidak mahu anak terpinggir sejak hari pertama masuk kelas. Maka, jadilah Inggeris bahasa pertama keluarga.

Kita memahami keadaan ini, biarpun saya sendiri termasuk di antara kumpulan terakhir aliran Melayu sampai ke prauniversiti. Sampai hari ini, saya rasa bahasa Melayu saya lebih kukuh daripada bahasa Inggeris. Tentu yang sekolah Inggeris lebih kukuh Inggerisnya.

Soalnya apakah mutu bahasa Melayu muda-mudi kita akan terus meleset? Apakah bahasa Inggeris akan mengikis kefasihan berbahasa ibunda? Jika ada Singlish, mungkinkah nanti Malish?

FAKTOR GURU BAHASA MELAYU

Kita tahu guru Bahasa Melayu (GBM) berperanan penting mendidik bahasa Melayu yang betul dan setulen yang boleh. Ini juga satu cabaran kepada guru muda yang diasuh dalam aliran Inggeris.

Namun, saya difahamkan kebanyakan GBM dapat memikul tanggungjawab dengan baik kerana terlatih dan ada iltizam menjaga kemurnian bahasa ibunda. Mereka juga ikuti kursus peningkatan.

TERAPKAN BUDAYA

Pendidikan bahasa juga perlu diadun dengan pemahaman budaya, sekali gus membantu pelajar mengenal resam kegunaannya.

PERANAN MEDIA

Sebaran am - akhbar, radio dan TV - amat penting dalam aspek kebahasaan.

Dengan bahasa yang betul, rapi dan mudah, alat sebaran am menjadi sumber bacaan dan rujukan harian yang berpengaruh menjaga mutu bahasa Melayu di sini.

Malangnya, oleh kerana kian ramai wartawan muda juga daripada aliran Inggeris, saya dapati kemasukan kekata Inggeris kian ketara dalam ketiga-tiga sumber berita bahasa Melayu itu.

Cuba anda ikuti sendiri. Mudah mengesannya.

Misalnya, terdapat susunan ayat, gaya cerita dan laporan berbau Inggeris, dipengaruhi sumber berita dalam dan luar negeri yang berasal bahasa Inggeris, kemudian diterjemah mengikut gaya asal.

Di bahagian bukan berita, keadaan lebih menyerlah. Sudah ada ruangan Ekstra di BH dan Maintain di Suria. Drama TV dan radio banyak guna ayat Inggeris. Mungkin penulisnya mahu mencerminkan keadaan hidup semasa.

Pada pandangan saya, ketiga-tiga sumber berita Melayu perlu bertahan dan mengambil langkah menjaga saksiah (keaslian) bahasa Melayu. Usaha menjaga keaslian ini perlu dijadikan bahagian penting budaya kerja mereka.

Jika mantap keaslian bahasa, tentu ia memberi kesan baik. Begitu juga sebaliknya.

Jika alat sebaran am sama terikut arus generasi terdidik Inggeris, kemasukan ini akan bertambah.

Ini boleh menjadi senjata makan tuan. Jika terlalu banyak kekata Inggeris, apa perlunya masyarakat bersandar pada mereka lagi?

Dengan terjaga mutu bahasa, lepasan sekolah dan karyawan boleh terus mendengar, menonton atau membacanya, dan ini akan mengukuhkan bahasa ibunda mereka.

JAGA BAHASA

Perkataan juga ada nilai budayanya. Sebagai contoh, saya tercegat membaca risalah ceramah dengan tajuk Rasulullah Idolaku. Saya tegur penganjur - kekata 'idola' itu tidak sesuai dikait dengan Rasulullah. Mereka sempat mengubahnya.

Perkataan 'idola' (asalnya idol) tidak ada ruang dalam kehidupan orang Islam. Idol sering dikaitkan patung dan sistem pemujaan berhala.

Ketika pembukaan Makkah, patung-patung pujaan (idols) inilah yang pertama dimusnahkan oleh Rasulullah saw demi mengatasi pemesongan akidah.

Apakah kita mahu orang Islam 'meng-idola-kan' manusia? Penyeludupan kekata ini ke dalam bahasa dan kehidupan orang Islam harus dikekang.

Jika mudah terikut angin Barat (contoh: American Idol), kita boleh terbabas dengan cara dan amalan yang bercanggah. Begitu juga perkataan diva (dari dewa-dewi) dari sumber bahasa silam, Sanskerta, yang digunakan semasa orang Melayu masih Hindu.

Sejak kedatangan Islam kurun ke-13, para cendekiawan - pendakwah, pendita, sasterawan, ahli bahasa istana dan orang tua-tua - sudah berusaha mengalih sosok bahasa Melayu daripada berunsur Hindu kepada berteras Islam dengan kekata Arab Al-Quran.

Mereka melakukan 'pembersihan' ini secara bertahap. Janganlah pula kelekaan menyebabkan kita memasukkan semula kekata dengan percanggahan nilai.

Pemeliharaan bahasa adalah bidang yang tidak kurang penting. Ia perlukan usaha bersama, berterusan dan dukungan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, asatizah dan alat sebaran am agar bahasa Melayu terus subur pada masa depan.

Bahasa menjunjung budaya. Fasih bahasa, jiwai budaya agar mulia jati diri.

ranking sasterawan singapura

8 Apr 2012

EKSTRA!

Ranking sasterawan Singapura dibuat Mana Sikana sudah lapuk


RENCANA tulisan Anuar Othman pada 25 Mac 2012 mengusik benak hingga membuatkan saya terpanggil untuk menyumbangkan pandangan.

Secara ringkas, Anuar menyangkal pandangan Djamal Tukimin yang tersiar di akhbar ini pada 11 Mac lalu.

Di dalam penulisannya, Djamal meletakkan Allahyarham Iswardy di rankINg pertama dalam penulisan cerpen.

Anuar menolak ranking tersebut kerana beliau berpegang teguh dengan ranking yang dibentangkan oleh Mana Sikana dalam bukunya yang berjudul Sasterawan Melayu Pascamodenisme.

Saya tidak mempersoalkan kesahihan ranking itu. Apa yang menjadi pertanyaan ialah mengenai tahun di mana ranking itu dilakukan. Seperti yang kita ketahui, buku tulisan Mana Sikana itu diterbitkan pada 2004.

Ini bermakna ranking tersebut berdasarkan pada kajian yang dilakukan lapan tahun yang lalu. Lapan tahun merupakan satu jangka waktu yang panjang.

Dalam jangka masa itu, pelbagai perkembangan berlaku dalam dunia penulisan. Sudah tentu banyak karya penulis lain tidak termasuk dalam penilaian Mana Sikana.

Perlu diingat, dalam jangka waktu lapan tahun yang kebelakangan ini, ada penulis mapan yang tidak berduduk diam.

Dengan kesungguhan berkarya, mereka mampu menunjukkan kematangan dalam karyanya. Tidak lupa juga ada penulis-penulis baru yang berbakat lahir menyemarakkan ujana sastera Melayu Singapura.

Biarpun mereka baru berjinak-jinak dalam penulisan, tidak semestinya mereka tidak mampu menghasilkan karya bermutu yang dapat menandingi penulis mapan. Yang demikian, mereka juga harus dinilai sama untuk mendapat kedudukan dalam ranking yang terkini.

Kita tentu maklum bahawa setiap ranking yang dibuat itu merupakan satu proses yang subjektif. Ia juga tidak dapat bertahan lama kerana faktor masa.

Kriteria yang digunakan oleh pembuat ranking juga berbeza-beza, sama ada berdasarkan kuantiti atau kualiti.

Yang demikian, jika hendak memperkatakan tentang kedudukan penulis Melayu Singapura masakini sudah tentu ranking Mana Sikana tahun 2004 sudah dianggap obsolete.

Oleh kerana itu, apabila ranking itu diguna pakai semula dalam tahun ini, ia memberikan gambaran yang kurang tepat.

Untuk mengelakkan kekeliruan pembaca, Djamal dan Anuar harus menekankan bahawa pandangan mereka itu berdasarkan pada faktor masa dan genre.

Sudah tentu ia tidak boleh dijadikan sebagai satu ukurtara untuk menggambarkan ranking penulis masa kini yang menulis berbagai-bagai genre penulisan.

Ramai yang tentu akan mempersoalkan bagaimana mungkin Allahyarham Masuri SN disebariskan dengan Nadiputra atau Dr Hadijah Rahmat?

Setiap dari mereka berkarya dalam bidang yang berbeza. Sasterawan Negara Masuri SN lebih berat kepada penulisan puisi, sementara Nadiputra pula lebih kepada bidang teater dan Dr Hadijah pula pada penulisan esei sastera.

Biarpun ada genre penulisan yang mereka kongsi bersama tetapi masing-masing lebih prolifik dalam satu bidang yang spesifik.

Mana mungkin sebiji buah jambu dinilaikan sejajar dengan sebiji durian?

Biarpun begitu, saya tidak menyangkal yang kedua-dua jenis buah itu boleh dinilaikan dalam satu bakul.

Jika kita menentukan rasa buah-buahan sebagai kriteria untuk membuat penilaian, sudah tentu soal rasa itu sendiri adalah subjektif.

Dalam makalahnya, Djamal Tukimin menyatakan 'Pada suatu ketika, ketika berceramah dua kali di Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai cerpen Melayu, saya meletakkan Iswardy di ranking pertama antara sasterawan tanah air kita.'

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Djamal membuat kajian itu hingga membuatkannya membuat keputusan demikian.

Tetapi, apa yang saya dapati, beliau menyatakan dengan jelas bahawa penilaiannya berdasarkan pada cerpen sahaja.

Dengan ketepatan itu, penilaiannya lebih mudah diterima kerana ia menjurus pada satu bidang.

Mungkin dapatan itu lebih tepat lagi jika disertakan jangka waktu penilaian itu dibuat. Jika ia sekadar pandangan peribadi seperti yang Anuar jelaskan, ia tidak seharusnya dipandang secara serius.

Yang pasti, setiap penilaian harus disokong dengan butiran penting agar dapatan itu tidak menimbulkan seribu satu macam persoalan bukan saja di kalangan penulis tetapi juga masyarakat Melayu keseluruhannya.