Tuesday, May 1, 2012

Hang Tuah pindah ke Perak

DR LEONARD Y. ANDAYA: Hang Tuah bermastautin dan menjadi pemimpin Orang Asli di kawasan utara Perak selepas kematian Hang Jebat. - Foto JOHARI RAHMAT



30 Apr 2012

SINGAPURA

Prof Sejarah: Hang Tuah pindah ke Perak

Oleh
Ervina Mohd Jamil

PAHLAWAN Melayu terbilang, Hang Tuah, dikatakan menetap di Perak selepas berlakunya pertarungan yang membawa kepada kematian Hang Jebat.

Ini, menurut Profesor Sejarah Asia Tenggara Universiti Hawaii di Manoa, Dr Leonard Y. Andaya, dalam bukunya, Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (Dedaun daripada Pohon Yang Sama: Perdagangan dan Keetnikan di Selat Melaka), yang diterbitkan NUS Press.

'Hang Tuah berpindah menuju ke utara bersama-sama keluarga isterinya dan keluarga Hang Jebat.

'Orang-orang Asli dari Gunung Ledang turut sama dan tinggal di situ, dengan sebahagian daripada mereka menetap di kawasan tengah Perak.

'Hang Tuah, bagaimanapun, meneruskan perjalanannya dan menjadi pemimpin Orang Asli di kawasan utara Perak.

'Kumpulan terakhir rombongan itu akhirnya menetap di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Lambor,' kata Dr Andaya yang merupakan profesor pelawat di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dalam bukunya itu, Dr Andaya mendedahkan bahawa Orang Asli menganggap Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi sebagai pemimpin-pemimpin awal dan penting kepada masyarakat mereka.

Dr Andaya baru-baru ini mengadakan ceramah di NUS mengenai identiti etnik Melayu.

Dalam e-melnya kepada Berita Harian, beliau berkata identiti etnik itu dibentuk secara sosial mengikut tempat dan masa.

Beliau berkata: 'Oleh itu, seorang Melayu dalam abad ke-7 berbeza daripada seorang Melayu dalam abad ke-8 dan sebagainya.

'Bagaimana seseorang itu mendefinisikan siapa Melayu dan golongan mana yang akan dimasukkan atau tidak akan berubah dan bergantung pada keadaan dan pilihan peribadi individu.

'Atas sebab itulah tidak mudah untuk berbual tentang 'asal usul' Melayu, seolah-olah terdapat garisan yang tidak terputus berkenaan identiti etnik Melayu dahulu dan sekarang.'

Menurut Dr Andaya, bukunya itu memberikan perincian bagaimana istilah Melayu itu digunakan pada pada masa dahulu mengikut tempoh yang berbeza-beza.

Katanya lagi, beliau juga ingin orang ramai melihat bahawa dalam mempelajari sejarah prapenjajah Asia Tenggara, masyarakat tidak boleh menyebut keetnikan sebagai sesuatu yang ditetapkan untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, ia sentiasa berubah mengikut peredaran waktu dan sekitaran yang berbeza.

No comments:

Post a Comment