Tuesday, February 28, 2012

pahlawan melayu - leftenan adnan

18 Feb 2012

KOMENTAR

Peringati pahlawan Melayu Perang Dunia Kedua


Cetusan Minda Oleh
Mohd Noor A. Rahman

GENAP 70 tahun lalu, pada 14 Februari 1942, berlaku satu peristiwa sedih, namun amat membanggakan anak watan.

Dengan pekikan perang 'Banzai!', tentera Jepun daripada Divisyen ke-18, Askar Imperial Jepun, menyerbu Bukit Chandu yang dipertahankan 42 askar daripada Kompeni C, Briged Pertama, Rejimen Askar Melayu, yang diketuai Sarjan Adnan Saidi (kemudian dinaikkan pangkat anumerta Leftenan).

Sehari sebelumnya, pasukan Rejimen Askar Melayu itu, yang ditempatkan di Kampung Pasir Panjang, melawan kemaraan tentera Jepun di kawasan tersebut dengan berani walaupun terus dibedil hebat tentera Negara Matahari Terbit itu.

Namun, akhirnya mereka terpaksa berundur ke Bukit Chandu dan membina barisan pertahanan baru, dan yang terakhir, menentang penaklukan tentera Jepun ke atas Singapura.

Berlakulah pertempuran Bukit Chandu pada 14 Februari yang merupakan salah satu pertempuran paling hebat yang berlaku di tanah ini semasa Perang Dunia Kedua.

Sayangnya, kekurangan peluru dan bilangan musuh yang berlipat ganda, selain tidak mendapat sokongan Tentera Bersekutu lain, menyebabkan anggota rejimen itu tewas semuanya kecuali seorang.

Tubuh Leftenan Adnan digantung songsang dan ditikam dengan bayonet berulang kali sebelum tubuhnya dibakar.

Begitu kejam sekali layanan askar Jepun kepada Almarhum Leftenan Adnan.

Mereka marah atas 'kedegilan' pasukan Rejimen Askar Melayu yang bertahan dengan berani di kawasan Pasir Panjang.

Selepas kejatuhan Pasir Panjang dan beberapa tempat lain, kedudukan Tentera Bersekutu kian tersepit dan esoknya, 15 Februari 1942, panglima pasukan itu, Mejar-Jeneral A.E. Percival, terpaksa menyerah kalah kepada pasukan Dai Nippon pimpinan Leftenan-Jeneral Yamashita Tomoyuki, walaupun bilangan Tentera Bersekutu jauh melebihi tentera Jepun.

Maka jatuhlah kubu kuat British di Timur yang sebelum ini dianggap kebal.

Peristiwa pertempuran di Pasir Panjang itu telah dijadikan bahan filem/telemovie oleh kededua negara, Singapura dan Malaysia, dengan kededua negara juga memberi penghormatan tinggi kepada perjuangan dan pengorbanan pasukan Rejimen Askar Melayu pimpinan Leftenan Adnan.

Namun, ada persoalan yang timbul adakah pasukan itu berjuang demi kepentingan British yang ketika itu menjajah Tanah Melayu?

Pada pendapat saya, matlamat Rejimen Askar Melayu adalah sama seperti pasukan tentera lain seperti New Zealand, India dan Australia - menentang penaklukan Jepun yang inginkan Tanah Melayu yang pada masa itu kaya bijih timah dan getah, atau lebih kurang separuh bekalan bijih timah dan getah dunia.

Namun, rejimen itu lebih bersemangat tinggi memandangkan Tanah Melayu merupakan tanah tumpah kelahiran mereka.

Apakah semangat juang tinggi Rejimen Askar Melayu ini ada pada anak muda kita hari ini?

Apakah mereka mudah menyerah diri apabila diserang musuh, atau lebih rela menentang berhabis-habisan bak kata pepatah, biar putih tulang jangan putih mata?

Prinsip pepatah itulah yang dipegang Almarhum Leftenan Adnan dan anggota pasukannya yang lebih rela berjuang hingga ke titisan darah terakhir, daripada dipermalukan apabila ditawan dan dijadikan hamba tawanan perang.

Mengikut sejarah, ribuan askar Tentera Bersekutu pupus semasa menjadi tawanan perang selepas dikerah sebagai 'pekerja hamba' tanpa diberikan makanan dan minuman yang mencukupi.

Paling penting, warga Singapura, termasuk generasi muda, mesti terus ingat dan mengetahui perjuangan dan pengorbanan anggota Rejimen Askar Melayu ini kerana merekalah wira tanah air ini, termasuk wira lain negara seperti Mejar Jeneral Lim Bo Seng, kumpulan Dalforce merangkumi penduduk Cina setempat dan ribuan anggota Tentera Bersekutu yang mempertahankan Singapura.

Sayangnya, sebilangan generasi muda hari ini sekadar kenal perjuangan Leftenan Adnan dan Jeneral Lim pada nama sahaja kerana setakat membacanya di buku sekolah tanpa benar-benar menghayati perjuangan mereka yang tidak mementingkan diri sendiri.

Perang Dunia Kedua, walaupun telah berlalu hampir 70 tahun lalu, memberi berbagai-bagai iktibar penting.

Antaranya, pertahanan negara kita tidak boleh diambil ringan.

Lebih banyak latihan dan persiapan yang dibuat semasa tempoh damai, lebih tinggi peluang kita mempertahankan tanah air tercinta ini.

Sikap British yang menganggap kota Singa sebagai kebal juga wajar kita ambil contoh agar kita tidak terlalu yakin dengan apa yang kita ada, dan apa yang telah atau sedang kita lakukan dalam melakarkan strategi pertahanan negara ini.

Satu lagi adalah kita tidak boleh memperkecilkan pihak lawan, seperti British yang menganggap Jepun sebagai tidak mempunyai keupayaan menyerang Tanah Melayu dan kota Singa.

Mereka silap dan akibat rasa ego serta megah itu, seluruh Tanah Melayu ditakluk Jepun dalam masa beberapa minggu sahaja.

Moto Rejimen Askar Melayu pada waktu itu - Taat setia berjuang bermati-matian - sehingga hari ini sukar dicontohi kebanyakan tentera di dunia.

Pengorbanan anggota Kompeni C yang diketuai Leftenan Adnan itu diiktiraf dengan pembinaan Pusat Interpretatif Perang Dunia Kedua atau Imbasan di Bukit Chandu, di Pepys Road, yang dibuka secara rasmi pada 15 Februari 2002.

Dalam hal ini, teringat lirik lagu Sekapur Sirih Seulas Pinang nyanyian almarhum Saloma yang sangat sesuai melambangkan semangat patriotik Rejimen Askar Melayu 1942:

Biarlah gugur, biarlah gugur bertumpah darah

Biar berlengkar, biar berlengkar di medan perang

Janganlah undur, janganlah undur menyerah kalah

Pantang pendekar, pantang pendekar di tengah gelanggang.

1 comment: