28 Feb 2012
EKSTRA!
WARISAN KITA
Tinggi Darjat Kerana Budi
Paras rupa, pangkat atau harta benda bukan ukuran; budi bahasa jadi junjungan
BERAPA kerapkah kita ucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu kita, walau dalam perkara sekecil mana pun?
Sukar sangatkah kita mengukir senyum atau mengucap salam kepada jiran atau rakan sekerja ketika melewati mereka, walau kita mungkin tidak dapat dengan mereka?
Tanpa kita sedari, ucap terima kasih yang lahir daripada hati dan diiring dengan senyum mencerminkan budi bicara dalam diri kita.
Bagi orang Melayu, sejak zaman-berzaman, budi bahasa amat dititikberatkan dalam kehidupan harian.
Orang tua-tua kita dahulu menilai seseorang bukan daripada paras rupa, pangkat atau harta benda, tetapi daripada budi bahasa.
Walau secantik mana seorang wanita atau segagah mana seorang lelaki, mereka tetap tidak dipandang tinggi jika tidak berbudi.
Ini tergambar dalam pantun Melayu lama di bawah:
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan budi bahasa dan mengapa budi dianggap penting?
Budi ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji.
Ini termasuklah tutur kata dan budi bicara yang baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, sifat pemurah, ihsan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti.
Kata berbudi bermaksud mempunyai budi atau mempunyai pekerti yang baik atau akhlak terpuji dan orang yang berbudi ialah orang yang berpekerti baik atau berakhlak terpuji.
Apabila kata berbudi dicantumkan dengan bahasa, jadilah berbudi bahasa. Berbudi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa dan orang yang berbudi bahasa ialah orang yang mempunyai budi bahasa yang tinggi.
Apakah budi dan harta tidak seiringan?
Apakah budi dan paras rupa harus sentiasa bertentangan.Tidak semestinya.
Bahkan sebaliknya, orang yang berharta dan berbudi bahasa akan semakin menjadi sanjungan dalam masyarakat.
Begitu juga, paras yang cantik yang disertai dengan tingkah laku yang lemah lembut, indah tutur bahasa dan berbudi pekerti akan menjadi rebutan, lebih daripada .
Bagi yang ikhlas, budi bukan untuk dibalas.
Berbudi bahasa ialah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula kepada orang lain.
Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk dan sifat persaudaraan dapat disuburkan.
Dengan itu situasi ini dapat dijadikan asas baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat bertamadun.
Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama Islam juga.
Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu. Begitu juga ketika memulakan percakapan atau ucapan, serta apabila ingin masuk ke sesuatu tempat.
Yang muda memberi salam kepada yang tua; yang mendatangi pula memberi salam kepada yang sedia menunggu dan pengunjung rumah memberi salam kepada tuan rumah.
Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan.
Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni serta dilafazkan dengan nada elok dan jelas maksudnya.
Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya khususnya kanak-kanak.
Bangsa yang beradab dan umat yang bertamadun merupakan bangsa dan umat yang berbudi bahasa.
Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat bahkan tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang tetapi menggambarkan kekuatan peribadinya.
Semua orang normal sebenarnya tidak bermasalah untuk mengamalkan sikap berbudi bahasa kerana bahasa ialah modal yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap orang.
Untuk memiliki sikap berbudi hanyalah bermodalkan keinginan menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang baik dan sopan sebagai wahana.
Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita hari ini.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita.
Budaya berbudi bahasa ketika di rumah semakin pudar, bahkan konsep 'rumahku, syurgaku' tidak lagi diterapkan sepenuhnya.
Untuk memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak terhakis dalam budaya hidup masyarakat kita, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing, terutamanya ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan.
Ibu bapa perlu berperanan mendidik anak-anak sejak awal lagi dengan menyemai budi bahasa yang baik di rumah.
Percakapan antara suami dengan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara anggota keluarga di rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Hal ini penting untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal dicontohi oleh anakanak.
Kata-kata yang kasar dan mencarut hendaklah dielakkan kerana boleh mempengaruhi pembentukan jiwa kanakkanak. Bahasa yang halus dan penuh sopan santun hendaklah dibiasakan penggunaannya di rumah.
Apabila kanak-kanak meningkat dewasa kelak, mereka akan turut menggunakan kata-kata yang biasa didengar di rumah. Jika mereka terdedah kepada kata-kata yang baik, maka kata-kata yang baik itulah yang akan digunakan kelak, begitu juga sebaliknya.
Yang tua perlulah dihormati dan yang muda disayangi.
No comments:
Post a Comment