Tuesday, February 28, 2012

tajdid

Profesor Dr Muhammad Quraish Shihab

Mudah cetak
E-mel

19 Feb 2012

SYIAR

Penting Tajdid Demi Kebaikan

Pembaharuan perlu dengan bersyarat agar agama kita boleh bertahan dan Islam dapat ditampilkan sesuai dengan masa


TAJDID atau pembaharuan dalam mentafsirkan Al-Quran perlu dibuat sejajar dengan perkembangan ilmu dan suasana semasa.

Hakikatnya, Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan sentiasa relevan kepada semua sepanjang masa.

Hal ini ditekankan oleh ilmuan Islam serantau, Profesor Dr Muhammad Quraish Shihab, dalam beberapa ceramah yang disampaikan semasa diundang ke sini oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sempena seminar asatizah minggu lalu.

Semasa membincangkan topik 'Membumikan Al-Quran', beliau antara lain menekankan perlunya mendekatkan diri pada Al-Quran sehingga berasa ia berbicara dengan kita dan menjadi petunjuk dalam mengharungi pelbagai persoalan kehidupan semasa.

Beliau juga membincangkan topik 'mengimbangi intelek kerohanian dan kepimpinan' merangkumi, antara lain, kualiti yang perlu ada di kalangan pemimpin agama dalam masyarakat masa kini.

Semasa menyampaikan ceramah utamanya bertajuk 'Tajdid (pembaharuan) dari Perspektif Al-Quran Al-Karim' di Auditorium Muis, beliau berkata ada beberapa fahaman tentang pembaharuan.

Menurutnya, ada yang memahaminya sebagai kembali kepada pengamalan agama seperti zaman Rasulullah, para sahabat dan ulama salaf. Namun Profesor Quraish lebih cenderung menyifatkan pemahaman ini sebagai pemurniaan agama.

Ada pula yang memahami tajdid sebagai menyebar-luaskan ilmu. Walau ini juga benar, beliau berkata ia belum merangkumi apa yang dimaksudkan sebagai tajdid.

Pengertian tajdid, menurutnya, adalah luas.

Ia merangkumi mempertegas prinsip ajaran Islam (termasuk mengingatkan apa yang sudah dilupakan), meluruskan pemahaman, menampilkan solusi baru sesuai dengan kehidupan semasa tetapi tidak bertentangan dengan agama, memberi penjelasan baru, dan menawarkan pendapat baru yang belum disentuh oleh pemikir generasi lalu.

Menurut beliau lagi, dalam Al-Quran sendiri ada tajdid - ada konsep nasakh (pembatalan hukum dan diganti dengan hukum lain).

Nabi juga bertajdid. Baginda misalnya pernah melarang orang menziarah kubur dan kemudian membenarkannya.

Satu lagi contoh ialah Imam As-Syafie. Mazhabnya di Mesir tidak sama dengan yang di Iraq.

Namun, Profesor Quraish menegaskan bahawa tidak semua boleh diubah, dan tidak juga bermakna mengabaikan semua yang lama.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak semua orang boleh mengetengahkan pembaharuan.

Pembaharuan mesti bersyarat dan dilakukan oleh orang yang layak - ada kepakaran dalam bidang ilmu, ikhlas dan bersikap objektif.

Menjelaskan, beliau memetik ayat Al-Quran (Surah Ibrahim: 24) '...Allah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.'

Syahadah, jelasnya, laksana akar yang tetap (tsawabit) tidak boleh diubah atau dicabut.

Beberapa aspek lain dalam agama pula laksana dahan (furuuk), daun dan buah yang boleh berganti (diistilahkan sebagai al-mutaghayyirat atau boleh berubah) - sesuai dengan kemaslahatan dan perkembangan positif masyarakat.

Ia boleh jadi sama dan boleh berlainan antara satu masa dengan masa yang lain, dan/atau antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.

'Semua harus bersumber daripada akar ajaran iaitu Al-Quran dan Sunah dan hasil ijtihad/pemikiran diibaratkan dengan daun dan buah yang boleh berubah, tumbuh dan berganti,' jelas beliau.

Profesor Quraish berkata ulama masa lalu yang telah banyak berjasa dengan pengalaman dan pemikiran mereka harus dihormati. Kita tidak boleh menolak pendapat mereka dan menerima semua yang baru. Namun, meninjau pandangan ulama dulu juga tidak bererti tidak menghormati mereka.

'Kita tidak boleh lepas daripada masa lalu. Tetapi kita menoleh ke belakang untuk bergerak ke depan,' kata beliau.

Maka itu, pendekatan yang baik ialah memelihara yang lalu dan masih relevan dan ambil yang baru yang lebih baik.

Beliau berkata dunia berubah dan masyarakat berkembang. Ini kenyataan dan kita juga perlu ikut berkembang. Jika tidak, kita akan tertinggal atau ditinggal.

Pada masa yang sama, timbul tuntutan dan persoalan baru yang jawapannya tidak tertera dalam kitab suci. Namun, Al-Quran telah menjelaskan prinsip-prinsip, seperti bertanya kepada yang ahli.

Profesor Quraish menjelaskan bahawa Al-Quran menyatakan Islam sudah sempurna. Kesempurnaan yang dimaksudkan ialah prinsip-prinsip yang menjadi panduan dan pertimbangan dalam menetapkan hukum. Namun perinciannya boleh ditafsirkan mengikut perkembangan zaman.

Dahulu misalnya, orang tidak boleh ambil upah mengajar Al-Quran, sekarang boleh kerana dianggap sebahagian daripada profsionalisme.

Keperluan makan dan pakai tidak berubah, yang berubah adalah cara masak dan jahitannya.

Malah, dalam prinsip pun ada pengecualian. Pada dasarnya, babi haram tetapi dibolehkan semasa darurat. Puasa wajib, tetapi boleh diganti bagi orang yang tidak mampu melaksanakannya.

'Hakikatnya, ilmu itu bersifat relatif dan boleh berubah-ubah. Rokok dulu dihukum makruh tetapi kini ada yang mengharamkan kerana ia didapati boleh merosakkan.

'Itu yang jadikan agama kita sentiasa sesuai. Setiap kesulitan ada jalan keluarnya. Maka itu, kita perlu tajdid. Kalau tidak agama kita ditinggalkan orang atau ada lebih dulu tinggalkan agama,' kata beliau.

Untuk melakukan tajdid, Profesor Quraish berkata antara perkara pertama ialah pola fikiran dan cara pengajaran perlu diubah.

'Dulu murid tidak boleh bertanya, sekarang keadaannya lain. Cara kita melayani dan menghadapi manusia, termasuk pada anak-anak, juga berubah. Apa yang diajar harus juga berubah.

'Terlalu banyak hal yang berkembang sekarang dihadapi oleh anak kita (di Internet) yang tidak ada jawapannya.

'Ini belum lagi diperkira bidang ekonomi yang juga banyak berubah,' kata beliau.

Beliau juga menyebut beberapa hambatan terhadap pembaharuan seperti kebekuan fikiran; ketidakpastian antara as-tsawabit dan qath'i dengan al-mutaghayyirat dan dzanni; kekurangan ulama dengan keahlian yang tinggi; syarat yang berat; takut dikecam atau dituduh kafir, dan beberapa cabaran lain.

Menyimpulkan ceramahnya, Profesor Quraish berkata dunia sudah tidak seperti dahulu dan telah banyak berubah.

'Kita perlukan tajdid, tetapi dengan bersyarat, supaya agama kita boleh bertahan.

'Apabila tajdid berkembang, barulah Islam dapat ditampilkan sesuai dengan masa,' kata beliau.

No comments:

Post a Comment