14 Feb 2012
EKSTRA!
WARISAN KITA
Anyaman Cermin Identiti
Gambarkan pemikiran saintifik masyarakat dahulu kala
SENI adalah satu bahagian penting budaya warisan sesebuah bangsa.
Kata bijak pandai, tanpa seni, tidak lengkaplah budaya dan warisan bangsa.
Bagi masyarakat Melayu di rantau ini, seni anyaman merupakan antara warisan kebanggaan yang banyak mencerminkan identiti dan budi bicara mereka.
Seni anyaman Melayu sememangnya indah.
Ia adalah suatu bentuk kraf tangan yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Melayu.
Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan.
Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.
Daripada tikar hingga dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup orang Melayu yang boleh dilihat di mana-mana.
Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan yang lain.
Beberapa jenis reka bentuk kraf tangan dihasilkan melalui anyaman demi mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya topi, tudung saji, bakul dan tikar.
Terdapat pelbagai jenis anyaman yang menjadi kebanggaan orang Melayu sampai sekarang. Antaranya ialah:
Anyaman Mengkuang - menggunakan daun mengkuang sebagai bahan utama menghasilkan kerja seni seperti tikar, tudung saji, bekas pakaian dan lain-lain.
Anyaman Pandan - menggunakan daun pandan duri sebagai bahan untuk membuat produk seperti tikar sembahyang dan hiasan dinding.
Anyaman Buluh - menggunakan pelbagai jenis jenis buluh untuk menghasilkan bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain.
Anyaman Rotan - menggunakan rotan yang telah diproses untuk membuat bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain
Anyaman Lidi - menggunakan lidi daun kelapa untuk membuat produk seperti bekas buah dan bekas telur.
Anyaman Ribu-ribu - menggunakan paku pakis ribu-ribu untuk membuat tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas serba guna dan lain-lain.
Kegiatan seni anyaman ini bermula pada zaman dahulu lagi.
Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu. Misalnya dinding rumah Melayu dahulu dianyam dengan buluh.
Kehalusan seni anyaman ini masih bertahan sehingga ke hari ini.
Jika anda ke Arab Stree misalnya, anda akan dapati beberapa kedai yang menghasilkan hasil anyaman dan kraf tangan yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu ini.
Hasil seni anyaman Melayu ini juga banyak terdapat di negara jiran kita, Malaysia.
Pada amnya, seni anyaman mempamerkan budaya dan cara hidup orang Melayu dahulu kala.
Ia kadangkala disebut sebagai 'seni miskin' kerana dilakukan oleh orang kampung semata-mata untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Anyaman rotan misalnya, menghasilkan produk seperti bakul dan perabot yang kebanyakannya untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan di pasar terbuka.
Bahan mentahnya, iaitu rotan, hanya didapati di dalam hutan. Ia perlu ditebang, dibersihkan, dirawat dan dikeringkan dengan teliti supaya sesuai dijadikan peralatan yang boleh digunakan.
Masyarakat dahulu kala juga perlu memikirkan cara yang paling berkesan untuk menghasilkan produk yang bukan hanya cantik malah boleh bertahan lama.
Jika diteliti secara mendalam pemikiran saintifik dan matematik masyarakat Melayu sememangnya tersirat di dalam gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan.
Jelas sekali seni anyaman, dengan corak dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya, menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir secara saintifik.
KESIMPULAN
Anyaman adalah kesenian yang bersifat lahiriah, mempunyai makna yang dalam dan kewujudannya merupakan wadah pemaparan idea yang melibatkan panca indera penglihatan, pendengaran, pemikiran dan kesedaran secara seimbang sebagai simbol yang memberi makna yang tersendiri dalam masyarakat berhubung dengan adat, agama, kepercayaan, adab, perasaan, corak pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu.
Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya.
Namun usaha mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan zaman.
Budaya sesuatu masyarakat itu bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resamnya, bahkan dicerminkan juga melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi.
Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian dan sokongan daripada anggota masyarakat kita supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.
Semoga seni anyaman kebanggaan Melayu in akan dapat terus bertahan dan turut dibanggai oleh generasi anak-anak kita pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment